Ahli
(ulama') hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang
dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka
terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat,
perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya,
tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; sama ada yang dapat mewujudkan
hukum atau tidak.
Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang
pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar
ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia
perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan
segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu
pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.
Sementara
itu ulama' fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh
perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum
syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan
perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub
(sunat).
Pengertian Sunnah
Sunnah
menurut bahasa: ialah jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak;
juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.
Rasul SAW bersabda:
"Sungguh
kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang
sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga
sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak) nescaya
kamu memasukinya juga." (Hadith riwayat Muslim)
"Barangsiapa
menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala
sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat,
dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat (buruk)
maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga
hari qiamat." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Jelaslah
bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan dengan
perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang
dimaksudkan oleh bahasa.
Sunnah menurut istilah ahli hadith:
ialah
segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam baik
yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir,
sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan
ahli hadith menetapkan bahawa pengertian yang demikian sama dengan
pengertian hadith.
Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul:
ialah
segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam sama ada
perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan
dengan hukum. Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:
"Sesungguhnya
aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama
kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya".
(Hadith riwayat Malik)
1. Contoh sunnah (hadith) perkataan (qauliyyah) ialah:
"Segala 'amal itu dengan niat." [Riwayat Bukhari, Muslim dan sekelian ulama' hadith]
2. Contoh sunnah (hadith) perbuatan (fi'iliyyah) ialah:
"Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang." [Riwayat Bukhari dan Muslim]
3. Contoh hadith (sunnah) taqrir. Taqrir ialah:
(a)
Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan
tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredaannya;
(b) menerangkan kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.
Contoh
yang pertama ialah sebagaimana Nabi saw membenarkan ijtihad para
sahabat mengenai urusan sembahyang 'Asar di Bani Quraizah dengan
sabdanya:
"Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." [Riwayat Bukhari]
Sebahagian
sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu
menta'khirkan sembahyang 'Asar itu sampai selepas Maghrib. Dan ada
sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan
bahawa yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah.
Kerana itu mereka mengerjakan sembahyang 'Asar pada waktunya, sebelum
tiba ke Bani Quraizah.
Kedua-dua
perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada
Nabi saw beritanya, dan Nabi saw tinggal berdiam diri tidak membantah
apa-apa.
Contoh yang kedua sebagaimana
yang diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid pernah memakan dab (sejenis
haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi saw. Nabi
saw sendiri enggan memakannya, maka bertanya sebahagian sahabat:
"Adakah
diharamkan makannya ya Rasulullah? Lalu ia bersabda: Tidak! cuma
binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar
kepadanya."
Selanjutnya pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang
ditunjuki oleh dalil syara', baik berdasarkan dalil Qur'an atau pun
berdasarkan hadith, mahu pun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti
mengumpulkan mashaf (Qur'an) dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf
'Uthman, dan seperti membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).
Lawan dari sunnah ini ialah bid'ah, inilah yang dimaksudkan oleh hadith:
"Berpeganglah
kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang
mendapat pertunjuk sesudahku." [Abu Daud & Tarmizi]
Sementara
itu ulama' fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi saw
dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah.
Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah
bid'ah; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan:
talak bid'ah.
Ulama' Syafi'e mengatakan
bahawa sunnah itu ialah suatu yang dipahalai orang yang mengerjakannya,
tidak disiksai orang yang meninggalkannya.
Menurut
ulama' mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi saw
atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan
berjama'ah.
PERBEZAAN ANTARA HADITH DENGAN HADITH QUDSI
Dalam kitab-kitab hadith didapati hadith Qudsi. Ulama' hadith mengatakan bahawa hadith Qudsi itu:
ialah
perkataan Nabi saw yang disebut dengan mengatakan Allah bertitah,
disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadanya.
Kesimpulannya
Hadith Qudsi: ialah titah Allah yang disampaikan kepada Nabi saw di
dalam mimpi atau dengan jalan ilham, lalu Nabi saw menerangkan apa yang
disampaikan itu kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya
sendiri serta menyandarkan kepada Allah; sedang hadith-hadith yang lain
tidak demikian itu. Hadith Qudsi itu dinamakan juga Hadith Ilahi atau
Hadith Rabbani.
Dan pernah pula dibezakan Hadith Qudsi dengan yang
lainnya; iaitu segala hadith yang bersangkut dengan kebersihan atau
kesucian zat Allah dan sifat-sifat kebesaran dan kemuliaanNya. [Kitab
al-Dar al-Nadid min Majmu'ah al-Hafid]
Contoh Hadith Qudsi itu, Rasulullah saw bersabda:
"Firman
Allah Ta'ala: Tiap-tiap amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka
sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya.
Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia
memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan; maka
jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia
katakan: aku ini berpuasa." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Rasulullah saw bersabda:
"Firman
Allah Ta'ala: Aku menurut persangkaan hambaKu dan Aku bersamanya di
mana saja ia sebut (ingat) akan daku." (Hadith riwayat Bukhari &
Muslim)
ISTILAH-ISTILAH YANG DIGUNAKAN DALAM 'ILMU MUSTHALAH HADITH
Di antara istilah-istilah yang digunakan itu ialah:
Sanad: iaitu jalan yang menyampaikan kepada hadith.
Isnad:
iaitu menyebutkan hadith itu kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan
isnad hampir sama ertinya; keduanya adalah penting untuk menentukan
nilaian hadith. 'Abdullah bin Mubarak berkata: "Isnad adalah dari
urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad, nescaya berkatalah orang
yang mau apa yang ia mau berkata."
Musannid: iaitu orang yang meriwayatkan hadith dengan isnadnya.
Musnad: iaitu kitab yang dikumpulkan hadith di dalamnya, yang diriwayatkan dari seorang sahabat atau lebih.
Matan: iaitu hadith nabi (s.a.w) yang di akhir sanad.
Riwayat: iaitu memindahkan hadith dari seorang kepada seorang yang lain, dan orang yang memindahkan disebut rawi.
Istikhraj
dan Ikhraj: iaitu mengambil sesuatu hadith dari sesuatu kitab, dan
mencari sanad yang lain dari sanad penyusun kitab itu, atau menerangkan
bahawa hadith itu dipindahkan oleh penyusun dari kitab yang lain;
umpamanya dikatakan: Akhrajah Al-Bukhari, ertinya: mengeluarkan hadith
itu oleh Imam Bukhari; maksudnya ada disebut di dalam Bukhari dan ia
memindahkannya ke dalam kitabnya.
Muhaddis: iaitu orang yang
banyak menghafaz hadith serta mengetahui sifat-sifat orang yang
meriwayatkan tentang 'adil dan kecacatannya.
Hafiz: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 100,000 hadith dengan isnadnya.
Hujjah: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 300,000 hadith dengan isnadnya.
Hakim: iaitu orang yang meliputi 'ilmunya dengan urusannya hadith.
BAHAGIAN-BAHAGIAN NAMA HADITH
HADITH-HADITH ITU TERBAHAGI KEPADA BEBERAPA BAHAGIAN, DI ANTARANYA;
1. HADITH MUTAWATIR
Iaitu
hadith "Perbuatan atau perkataan atau pengakuan (taqrir) Nabi saw yang
diketahui oleh beberapa orang yang sampai kepada bilangan mutawatir,
iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka akan
bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran (hadith) itu. Dan dari
mereka yang tersebut sampai pula perkhabaran itu kepada orang lain yang
dipercayai. Demikianlah pertalian penerimaan turun temurun itu sampai
ke akhirnya."
Contoh hadith mutawatir itu ialah:
"Barangsiapa
berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat
duduknya di dalam neraka." [Riwayat Jama'ah dari Abu Hurairah - hadith
ini menurut kata Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat.]
2. HADITH MASYHUR ATAU MUSTAFIDH
Iaitu
hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau
hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang
atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya
tiga sanad yang berlainan.
Contohnya ialah:
"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."
Hadis
ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan.
Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.
Sanad
Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B.
Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi
Sallallahu 'alayhi wa sallam.
Sanad Imam
Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari
Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.
Sanad
Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa',
dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa
sallam.
Cubalah perhatikan ketiga-tiga
sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan
orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya
berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua,
jadi dengan demikian tidaklah sama.
3. HADITH SAHIH
Iaitu
hadith yang berhubung sanadnya dari permulaan hingga akhirnya dan orang
yang menjadi riwayatnya semuanya mempunyai sifat-sifat ini:
a) Adil
b) Dabid
c) Sejahtera dari keganjilan
d) Sejahtera dari 'illat (kecederaan) yang memburukkan).
Penjelasan Sifat-sifat Perawi:
'Adil:
Yang dimaksudkan dengan 'adil ialah: Orang Islam, baligh, ber'aqal,
tidak mengerjakan dosa besar, tidak pula berkekalan melakukan dosa
kecil dan tidak mengerjakan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah
atau kehormatan diri.
Dabid: Yang
dimaksudkan dengannya ialah: Orang yang cukup kuat ingatan untuk
mengingat sesuatu yang didengarnya. Bila sahaja dikehendaki ia dapat
mengeluarkannya (menyebutkannya) dari ingatannya dengan mudah. Termasuk
kepada pengertian ini apabila ia menulis hadith yang telah didengarnya
dan disimpannya serta diyakini benar-benar sahnya sehingga diriwayatkan
orang daripadanya.
Sejahtera dari
keganjilan: Yang dimaksudkan ialah: Sejahtera riwayatnya dari perbezaan
dari riwayat orang-orang yang kepercayaan dengan bertambah atau
berkurang pada sanadnya atau matannya.
Sejahtera dari 'illat (kecederaan yang memburukkan): Yang dimaksudkan ialah:
Sejahteranya
dari sebab-sebab yang tersembunyi yang dapat memburukkan atau
mencacatkan hadith, misalnya; didapati setelah dilakukan penelitian
yang mendalam, bahawa di antara seorang perawi (yang meriwayatkan
hadith) yang tadinya disangka kuat ingatan, tenyata seorang yang tidak
kuat ingatannya.
Hadith sahih boleh dijadikan hujjah dalam hukum Islam misalnya ialah:
"Tidak ada sembahyang bagi orang yang tidak membaca Fatihah." (Riwayat Bukhari dari 'Ubadah bin Samit)
"Kalaulah
tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka
dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari
Abu Hurairah)
"Barangsiapa mengumpulkan (sesuatu barang untuk
dijual dengan harga yang lebih mahal) maka ia adalah bersalah."
(Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Tirmizi)
4. HADITH HASAN
Iaitu
hadith yang berhubung (bersambung) sanadnya dan diriwayatkan oleh
orang-orang yang 'adil sama seperti hadith sahih, tetapi kurang
dabidnya; iaitu kurang kekuatan ingatannya (hafaznya) lagi sejahtera
dari keganjilan dan kecederaan.
Kekurangan satu syarat itu mengurangkan nilai dan martabat hadith, dan meletakkan tingkatan hadith hasan.
Hadith
hasan boleh dijadikan hujjah dalam menetapkan sesuatu hukum. Misal
hadith hasan ialah seperti misal hadith sahih yang lalu, iaitu hadith:
"Kalaulah
tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka
dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari
Abu Hurairah)
Hadith ini adalah sahih menurut riwayat Bukhari
dari jalan (sanad) A'raj dari Abu Hurairah. Dan hadith ini juga
dikatakan hadith hasan menurut riwayat Tirmizi dari jalan (sanad)
Muhammad bin 'Amru dari Abi Salamah dari Abu Hurairah.
Adapun
sebab hadith ini menjadi hadith hasan kerana menurut riwayat Tirmizi
bahawa Muhammad bin 'Amru salah seorang daripada sanadnya tidak
mempunyai kekuatan ingatan yang diperlukan dalam syarat hadith sahih.
Lagi misal hadith hasan ialah:
"Sembelihan anak binatang dalam perut ibunya ialah sembelihan ibunya[*]."
[*] Maksudnya: cukuplah sembelihan ibunya sahaja.
Hadith
ini diriwayatkan oleh beberapa imam hadith. Dan kalau dilihat dari
sanad imam Tirmizi, nyatalah bahawa di antara beberapa orang sanadnya
ada seorang yang benama Mujalid. Ia seorang yang lemah. Begitu pula
kalau dilihat dari sanad Imam Hakim (dalam kitabnya al-Mustadrak) maka
teranglah bahawa di antara beberapa orang sanadnya ada seorang yang
benama Abu Laili. Ia seorang ulama' fiqh dan qadi hadith tersebut
dengan sendirinya telah menjadi hadith hasan.
ISTILAH YANG DIPAKAI UNTUK MARTABAT HADITH-HADITH SAHIH
Menurut
yang diistilahkan dalam ilmu ini, bahawa apabila satu hadith yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanad mereka masing-masing
maka dinamakan hadith tersebut: (riwayat Bukhari dan Muslim). Dan
apabila hadith yang satu itu diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
dengan sanad yang satu yang bersamaan qaul dan matan dan sanadnya, maka
hadith itu dinamakan: Hadith Muttafaqun 'Alaih, ertinya: yang disetujui
keduanya atasnya.
Hadith seperti ini,
iaitu (yang disetujui keduanya atasnya) adalah setinggi martabat
hadith, yang diutamakan dan didahulukan waktu mengambil dalil satu-satu
hukum daripada yang lainnya.
Ulama' hadith telah membahagikan hadith sahih kepada tujuh bahagian.
1.
Hadith sahih yang disetujui keduanya (oleh Bukhari dan Muslim), iaitu
keduanya meriwayatkan dengan sanad yang satu. Ini yang dinamakan
muttafaqun 'alaih.
2. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari sendiri.
3. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim sendiri.
4.
Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith (selain keduanya)
dengan sanad sepakat antara keduanya. Ini yang dinamakan yang
dipersetujui oleh keduanya.
5. Hadith
sahih yang diriwayatkan oleh Ulama' hadith dengan sanad Bukhari menurut
syarat-syarat yang dipakai Bukhari sendiri dalam kitabnya. Ini yang
dinamakan menurut syarat Bukhari.
6.
Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith dengan sanad Muslim
atau menurut syarat-syarat yang dipakai Musllm sendiri. Ini dinamakan
menurut syarat Muslim.
7. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith selain Bukhari dan Muslim.
Dengan
memerhatikan bahagian-bahagian ini tahulah kita bahawa hadith sahih itu
bertingkat-tingkat martabatnya dan kedudukannya diutamakan dari yang
lainnya dan apabila ditemui hadith lain yang bertentangan maksudnya
dengan hadith sahih, maka hadith sahih inilah yang didahulukan dan
diamalkan.
HADITH HASAN SAHIH
Dalam
kitab-kitab hadith seperti kitab Sunan Tirmizi dan dalam kitab ini
(Hadith Empat Puluh) ada didapati di akhir hadith perkataan "Hasan
Sahih" ertinya hadith ini hasan lagi sahih. Dengan demikian bermakna
hadith itu mempunyai dua martabat: pertama hasan dan kedua sahih.
Menurut
keterangan ulama' hadith, bahawa hadith tersebut dikatakan hasan
menurut perhitungan atau penilaian pada satu sanadnya. Dan dikatakan
pula sahih padanya menurut perhitungan atau penilaian pada sanadnya
yang lain. Ini jika pada hadith itu ada sanadnya (jalannya).
Jika
pada hadith itu satu sanadnya, maka erti hasan padanya menurut
pandangan segolongan ulama' hadith dan sahih menurut pandangan ulama'
yang lain, yang tidak sama tinjauan terhadap sifat dan peribadi orang
yang menjadi rawinya atau yang memindahkannya.
HADITH DA'IF
laitu
hadith yang tidak mempunyai syarat hadith sahih dan tidak pula syarat
hadith hasan, misalnya: rawinya (orang yang meriwayatkannya) bukan
orang Islam, belum lagi baligh, tidak pula diketahui orangnya atau
sifatnya, tidak bagus ingatannya kerana selalu lupa, tidak benar
percakapannya, tetapi pernah berdusta, serta tidak menjauhi dari
melakukan dosa dan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah atau
kehormatan peribadinya, ditambah lagi riwayatnya menyalahi riwayat
orang yang lebih masyhur daripadanya.
Hadith da'if mempunyai
martabat yang berlainan; ada yang terlampau lemah, dan ada yang lemah,
menurut keadaan sanad dan matannya. Di antara hadith da'if ialah hadith
munqati', mu'addal, syaz, muddarab.
Misal hadith da'if ialah:
"Barangsiapa
berkata kepada orang miskin, bergembiralah engkau! Maka sesungguhnya
wajiblah (tetaplah) syurga baginya." (Riwayat Ibn 'Adi)
Dalam
riwayat hadith ini, ada seorang bernama 'Abdul Malik bin Harun yang
dituduh pendusta. Kerana ini hadith tersebut dipandang da'if.
"Menuntut ilmu adalah fardu atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan wanita." (Riwayat al-Baihaqi Ahmad dari Anas)
Imam
al-Baihaqi berkata: Hadith ini masyhur di antara manusia tetapi
sanadnya lemah dan telah diriwayatkan menerusi jalan yang banyak yang
kesemuanya lemah belaka.
Sementara itu
Imam Nawawi telah pula berkata: Hadith itu da'if (lemah) sekalipun
maknanya sahih (betul) dan telah diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla
dalam Masnadnya dengan sanadnya sekali dari Anas dan Nabi Sallallahu
'alayhi wa sallam. Dalam sanadnya itu terdapat seorang benama Hafsin
bin Sulayman, ia orang yang lemah.
"Makhluq itu keluarga Allah, dan mereka yang lebih kasih kepada Allah ialah mereka yang lebih bermanfa'at kepada keluarganya."
Hadith
ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dari riwayat Yusuf bin
'Atiyyah dari Thabit dari Anas dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.
Yusuf bin 'Atiyyah adalah orang yang lemah, kerana ini hadithnya adalah
hadith yang lemah.
Hukum meriwayatkan hadith da'if dan mengamalkannya*
Sebahagian
Ulama' membolehkan kita meriwayatkan hadith da'if dengan tidak
menerangkan keda'ifannya dalam perkara yg berhubungan dengan kisah atau
cerita, pengajaran atau nasihat dan yg bertalian dengan keutamaan ‘amal
(Fadail al-‘amal) itu sahaja, dan tidak dalam perkara yg berhubungan
dengan i'tiqad dan dengan hukum halal, haram, makhruh, sunat. Demikian
menurut pendapat sebahagian Ulama'.
Seterusnya
mereka sepakat menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali kita
mengamalkan hadith da'if untuk menetapkan sesuatu hukum halal, haram,
hukum jual-beli, hukum perkahwinan, talaq dan lain-lain.
Imam
Bukahri, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak
boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk segenap pekerjaan, untuk
segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu ‘amal,
supaya tidak ada orang yg mengatakan kepada Rasulullah saw perkataan yg
tidak baginda katakan, dan supaya tidak ada orang yg meng'itiqadkan
sunat sesuatu perkara yg tidak disunatkan.
Sementara
itu Imam Nawawi berkata: "Bahawa Ulama' hadith, fiqh dan lain-lain
telah menetapkan bahawa boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk
‘amal-'amal utama (Fadail ‘amal) dan untuk pengajaran menggemarkan dan
menakutkan, selama hadith itu belum sampai ke darjat maudu' (palsu).
1. Hadith Sahih Li Zaatihi:
Perkataan Sahih adalah lawan kpd perkataan sakit.
Dari sudut istilah:
Iaitu
Hadis yg bersambung sanadnya melalui pembawakan org yg kuat hafalan dan
adil serta meriwayatkan drpd org yg kuat hafalan dan adil sehinggalah
ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat
iaitu kecacatan.
2. Sahih Li Ghairihi
atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi apabila ianya diriwayatkan melalui
satu atau beberapa cara yg lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan
pada dua bentuk:
Pertama: Riwayatnya
adalah melalui perawi-perawi yg masyhur dgn kebenaran dan penjagaan
rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak
mencapai taraf ahli Hafaz yg mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis
Sahih.
Kedua: Riwayatnya adalah melalui
cara yg lain di mana dgn cara ini diperolehi satu kekuatan yg dapat
menggantikan apa yg hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat
menaikkan taraf dari taraf Hasan kpd taraf Sahih, cuma ianya bukan Li
Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi. Hadith Sahih:
Hukumnya:
1-
Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila
terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana
pendapat yg dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.
2-
Wajib beramal dgn setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari
dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dlm huraian kitab
An-Nakhbah.
3- Hendaklah diterima
kesahihannya sekalipun tiada yg beramal dengannya, sebagaimana pendapat
Al-Qasimi di dlm kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid
At-Tahdis.
4- Tidak terhalang utk beramal
selepas menerima Hadis yg sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg
membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada
pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat
suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yg melarang, maka hendaklah
diperhatikan padanya terlebih dahulu.
5-
Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat
seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah
diambil drpd kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dlm kitab (Ighathah Al-Lahfan).
6-
Tidak semua Hadis yg sahih diceritakan kpd org awam. Dalilnya ialah:
Hadis yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim drpd Muaz dan antaranya
(Tidak ada seseorang yg mengucapkan kalimah syahadah bahawa tiada tuhan
yg layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah
pesuruh Allah akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka
kepadanya). Sehubungan dgn itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah
aku boleh menyampaikannya kpd org ramai agar mereka dapat bergembira?
Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah
tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan
baginda.
Kedudukan Hadis Sahih mengikut karangan yg masyhur iaitu tujuh kedudukan:
1- Hadis yg telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).
2- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
3- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.
4-
Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka
berdua tidak meriwayatkan di dlm Sahih masing-masing. Imam Nawawi
berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita
mestilah berpandukan kpd syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal
pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dlm kedua-dua
kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka
berdua tidak meletakkan syarat di dlm kitab masing-masing begitu juga
di dalam kitab-kitab yg lain).
5- Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.
6- Hadis yg menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.
7- Hadis yg dianggap sahih oleh ulama-ulama selain drpd keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang drpd mereka.
Bahagian Dua
Abu
Isa At-Tirmizi dianggap sebagai org pertama yg diketahui telah
membahagikan Hadis kpd Sahih, Hasan dan Dhaif sebagaimana yg disebut
oleh Ibnu Taimiyah di dlm kitab Majmuk Al-Fatawa tetapi pengertiannya
terhadap Hadis Hasan, ialah Hadis Hasan Li Ghairihi. Beliau telah
membuat pengertian di dlm bab kecacatan-kecacatan yg terdapat di dlm
kitab Jami'nya, di mana katanya: (Setiap Hadis yg diriwayatkan kemudian
tidak terdapat pada isnadnya perawi yg dituduh berbohong dan Hadis
tersebut juga tidak ganjil serta diriwayatkan dgn bentuk lain yg
seumpamanya, maka pada pendapat kami ianya adalah Hadis Hasan).
Perkataan
berlawanan dgn kuat. Dhaif terdapat dlm bentuk fizikal (hissi) dan
maknawi. Dhaif yg dikehendaki di sini ialah dari segi maknawi.
Dari sudut istilah:
Pengertian yg dibuat oleh Ibnu Solah ialah: Setiap Hadis yg tidak terkumpul padanya sifat2 Hadis Sahih dan Hadis Hasan.
Dhaif dapat dibahagikan apabila hilang syarat2 penerimaan kpd beberapa jenis dan secara ringkasnya adalah seperti berikut:
a - Hilang syarat sanad yg bersambung. Ianya dapat dibahagikan kpd lima bahagian iaitu:
1 - Muallak 2-Mungqati' 3-Muaddhal 4-Mursal 5-Mudlis
b - Hilang syarat adil. Ianya dapat dibahagikan kpd beberapa bahagian iaitu:
1 - Maudu' 2-Matruk 3-Mungkar 4-Matruh 5-Mudha'af 6-Mubham
c - Hilang syarat kuat hafalan. Ianya terbahagi kpd:
1 - Mudraj 2-Maqlub 3- Muddtarib 4-Musahhif dan Muharrif
d - Hilang syarat terpelihara drpd syuzuz (keganjilan). Ianya dapat dibahagikan kpd satu bahagian sahaja iaitu syaz.
e - Hilang syarat terpelihara drpd Illat (kecacatan). Ianya hanyalah satu bahagian sahaja iaitu Muallil.
Hukum meriwayat dan beramal dengannya (Hadis dhaif)
Hadis-hadis Dhaif yg tidak tetap dan tidak ditegaskan pembohongannya.
Ibnu
Taimiyah menyebut di dlm kitab Majmuk Al-Fatawa: (Apabila diketahui
ianya adalah batal dan Hadis yg diada-adakan, tidak harus cenderung
kepadanya, kerana sesuatu pembohongan adalah sama sekali tidak
berfaedah, tetapi apabila terdapat ketetapan bahawa ianya adalah Sahih,
maka tetaplah hukumnya dan apabila berlaku keraguan pada keduanya maka
ia boleh diriwayatkan kerana kemungkinan ianya benar dan tiada
kemudaratan pada pembohongannya.
Imam
Ahmad berkata: Apabila seseorang berkata: Jika terdapat suatu targhib
(Dorongan mendekati kebaikan) dan tarhib (Dorongan menjauhi keburukan),
maka kami mempermudahkan pada sanad-sanadnya. Maksudnya: Kami
meriwayatkan Hadis, di dlm Hadis tersebut disertakan dgn sanad-sanad
sekalipun perawinya tidak mempunyai kepercayaan yg boleh dibuat hujah.
Begitu juga ada yg berpendapat: Ianya boleh diamalkan dari sudut kelebihan-kelebihan amalan.
Dimana
(beramal dengannya ialah beramal dgn amalan yg soleh seperti membaca
Al-Qur'an dan berzikir). Begitu juga pendapat beliau: (Apabila
Hadis-hadis bab kelebihan mempunyai kadar dan had tertentu seperti
sembahyang dlm waktu tertentu dgn bacaan tertentu atau dgn cara
tertentu, maka ianya tidak harus kerana galakan terhadap gambaran yg
tertentu ini, tidak tetap dgn dalil syarak).
Kemudian
beliau mengakhiri kata-katanya dgn berkata: Maka keputusannya dlm bab
ini, dibolehkan meriwayat dan beramal dengannya dlm keadaan targhib dan
tarhib, bukan dlm bab galakan. Kemudian pegangan terhadap perkara
wajib, iaitu kadar pahala dan balasan bergantung pada dalil syarak).
Kesimpulan
drpd kata-kata Ibnu Taimiyah yg lepas, iaitu syarat-syarat yg wajib
diikuti ketika meriwayatkan Hadis Dhaif yg tidak tetap pembohongannya
serta tidak ditegaskan kebenarannya.
Syarat-syarat tersebut ialah:
1- Hendaklah terkandung dlm asas amalan seperti membaca Al-Qur'an dan doa.
2-
Bukan dari ketetapan syarak atau merupakan sifat bagi Allah iaitu drpd
perkara-perkara yg berhubung dgn aqidah dan hukum, juga bukan galakan
dan seumpamanya.
3- Ianya bukan perkara
batil yg dibuat-buat. Jika diketahui kebatilan dan ianya perkara yg
dibuat-buat, maka tidak harus diambil kira dan berhujah dengannya dlm
semua perkara.
Hadith Maudhu’ (Palsu / Dusta)
Pengertiannya pada bahasa:
Kalimah maudhuk iaitu menjatuhkannya dan dinamakan sedemikian kerana tergugur kedudukannya.
Dari sudut istilah:
Berita yg dibuat-buat terhadap Rasulullah [s.a.w] sebagai pembohongan terhadap baginda.
Kedudukannya:
Ianya
adalah seburuk-buruk jenis Dhaif, bahkan sesetengah ulama menjadikannya
satu bahagian yg berasingan, tidak tergolong drpd Hadis-hadis Dhaif dan
tidak digunakan padanya dgn lafaz Hadis melainkan dari sudut org yg
memaudhukkannya.
Hukum meriwayatkannya:
Telah
sepakat pengharaman meriwayatkan berita yg dibuat-buat Dan disandarkan
kpd Rasulullah [s.a.w], melainkan jika diiringi dgn keterangan tentang
Maudhuknya, ini ialah kerana Rasulullah [s.a.w] pernah bersabda:
Sesiapa yg membuat pembohongan terhadapku dgn sengaja maka disediakan tempatnya di dlm Neraka.
Sabda Baginda lagi:
Sesiapa
yg memperkatakan sesuatu tentang aku dgn percakapan yg diketahui ianya
adalah bohong maka dia adalah salah seorang pembohong.
Tanda-tanda Hadis Maudhuk:
Para ulama telah menggariskan kaedah-kaedah utk mengenali Hadis-hadis Maudhu’. Di antara kaedah-kaedah tersebut ialah:
1-
Pengakuan drpd pembuat sendiri, seperti pengakuan Ibnu Abu Mariam yg
mengaku membuat pembohongan terhadap Hadis-hadis Kelebihan Surah.
2-
Terdapat bukti pada kedudukkan hubungan perawi, seperti meriwayatkan
drpd syeikh yg terbukti beliau tidak menemuinya, hidup sezaman dgn nya,
meninggal dunia sebelum kelahiran perawi atau beliau tidak memasuki
tempat yg beliau mendakwa pernah mendengarnya spt Makmun bin Ahmad
Al-Harawi yg mendakwa pernah mendengar drpd Hisyam bin Umar, maka Ibnu
Hiban bertanya padanya: Bilakah kamu memasuki Syam? Beliau menjawab:
Pada tahun 250 Hijrah. Ibnu Hiban berkata: Sesungguhnya Hisyam yg
diriwayatkan oleh Makmun telah meninggal dunia pada tahun 245 Hijrah.
3-
Terdapat bukti pada matan yg menunjukkan pembohongannya, seperti
terdapat pada riwayat tersebut kesalahan pada tata bahasa atau terdapat
kelemahan pada lafaz dan tergugur makna.
4-
Bersalahan dgn akal, fizikal dan penyaksian: Spt riwayat drpd Ar-Rahman
bin Zaid bin Aslam bahawa kapal Nabi Nuh a.s tawaf di Baitullah tujuh
keliling dan sembahyang di belakang makam dua rakaat.
5-
Bersalahan dgn keterangan Al-Qur'an dan sunnah yg sahih, yg tidak boleh
ditakwil seperti: Aku adalah penutup para Nabi, tiada Nabi selepasku
melainkan jika dikehendaki oleh Allah; maka ianya bersalahan dengan
firman Allah s.w.t yg bermaksud: (Tetapi Muhamad adalah pesuruh Allah
dan penutup para Nabi) dan seperti apa yg bersalahan terhadap kebenaran
sunnah yg mutawatir (Akulah penyudah, tiada Nabi selepasku).
6-
Bersalahan dgn data sejarah yg diketahui pada masa Nabi s.a.w seperti
riwayat dikenakan Jizyah ke atas org Yahudi selepas perang Khaibar dan
tidak dikenakan kerja tanpa upah terhadap mereka dgn disaksikan oleh
Saad bin Muaz dan ditulis oleh Muawiah bin Abu Sufian. Sedangkan
ketetapan sejarah mengatakan bahawa Jizyah belum lagi diperkenalkan dan
belum disyariatkan pada tahun peperangan Khaibar kerana ayat tentang
Jizyah diturunkan selepas tahun peperangan Tabuk. Sesungguhnya Saad bin
Muaz meninggal dunia sebelum peristiwa tersebut iaitu dlm peperangan
Khandak. Manakala Muawiah pula memeluk Islam pada tahun pembukaan Mekah.
7-
Khabar tentang perkara yg penting berulang dakwaan pembawakannya
seperti yg berlaku dgn disaksikan oleh semua sahabat tetapi tidak
meriwayatkanya melainkan seorang sahaja dan yg lainnya
menyembunyikannya, seperti diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah
memegang tangan Ali bin Abu Talib ketika dihadiri oleh seluruh sahabat
sewaktu kepulangan mereka dari mengerjakan Haji Widak, kemudian baginda
bersabda selepas org ramai mengenalinya: (Kanak2 ini adalah, saudaraku
dan akan menjadi khalifah selepasku, maka hendaklah kamu mendengar dan
mentaatinya). Adakah seseorang Muslim boleh menerima berita yg
menunjukkan semua sahabat telah sepakat utk menyembunyikannya ketika
mereka memilih Abu Bakar sebagai Khalifah dan dgn dipersetujui oleh Abu
Bakar dan mereka menyetujuinya sbg khalifah mereka?
8-
Mengandungi balasan yg berat teradap dosa kecil atau pahala yg banyak
terhadap amalan yg sedikit. Perkara ini masyhur terhadap balasan siksa
dan balasan baik seperti kata mereka: (Sesiapa yang mengucapkan kalimah
"Tiada illah melain Allah" maka Allah akan menciptakan utk nya seekor
burung yg mempunyai tujuh puluh ribu lidah manakala setiap lidah
mempunyai tujuh puluh ribu bahasa yg sentiasa meminta keampunan
untuknya.
Hadith Qudsi
Pengertiannya pada bahasa:
Al-Qudsi
dinisbahkan kpd perkataan Al-Qudus iaitu suci, manakala Hadis Qudsi
pula ialah Hadis yg dinisbahkan kpd Zat Yg Maha Suci iaitu Allah s.w.t.
Dari sudut istilah:
Hadis
yg diriwayatkan kpd kita drpd Nabi s.a.w. Sanad Hadis tersebut
disandarkan oleh Nabi s.a.w kpd Allah s.w.t samada bersambung atau
tidak dan ianya bukan Al-Qur'an.
Bentuk Riwayatnya:
Utk meriwayatkan Hadis Qudsi perawi boleh menggunakan dua bentuk riwayat iaitu:
1 - Sabda Rasulullah s.a.w tentang apa yg diriwayatkan atau (diceritakan) oleh Allah s.w.t.
2 - Firman Allah s.w.t sebagaimana yg diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Hukumnya:
Terbahagi kpd Hadis yg diterima atau Hadis yg ditolak mengikut keadaan perawi.
Dalam meriwayatkan hadis dhaif, ulama' telah menggariskan kaedah2 tertentu. tidak boleh secara semborono.
Al-Imam al-Nawawi ada menyebutkan:
Para
ulama dari kalangan ahli Hadis, ahli Feqh dan selainnya berkata:
Dibenarkan dan disukai beramal dengan hadis Dhaif dalam hal2 fadha'il
serta targhib dan tarhib, selama hadis itu tidak berstatus maudhu'
(palsu). (Al-Azkar, hal. 5)
Fadha'il
bermaksud hadis2 yang menyatakan kelebihan beramal. Targhib ialah hadis
yang mengandung galakan untuk berbuat baik. Dan tarhib pula adalah yang
mengandungi ancaman bagi mereka yang berbuat jahat dan maksiat.
Berdasarkan pendapat al-Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa beramal dengan hadis dha'if adalah dilarang kecuali:
1. Dalam hal2 fadha'il, targhib dan tarhib. Kebalikannya ialah, hadis dhaif tidak boleh digunakan sebagai hujah hukum.
2. Kedha'ifan hadis itu tidak sampai ke tahap maudhu'.
------------------------
Apabila
al-Imam al-Nawawi mensyaratkan pengamalan hadis dha'if adalah yang
tidak sampai ke taahap maudhu', maka kita tertanya2 apakah maksudnya?
Apakah penafsirannya?
Catatan kaki di dalam al-Azkar ada menyebutkan:
"Perkataan
al-Nawawi: (Selama hadis itu tidak berstatus maudhu'): Termasuk hadis
yang terlalu dha'if. Maka tidak boleh beramal dengan hadis yg di
dalamnya terdapat rawi yang pendusta atau tertuduh dusta. Dan, ada lagi
dua syarat untuk beramal dengan hadis Dha'if, iaitu: Sesuatu amalan itu
hendaklah mempunyai syahid yang lain (ada dasarnya dari nash lain yang
sahih) seperti ia berada di bawah suatu nash yang umum atau di bawah
satu kaedah umum. Ketika beramal dengan hadis ini hendaklah tidak
di-Iktikadkan bahawa ia sabit (dari Rasulullah s.a.w.). Malah,
hendaklah di-iktikadkan sebagai ihtiati (langkah berjaga2) sahaja."
(ibid.)
Ini bermakna berdasarkan kepada
kenyataan al-Imam al-Nawawi dan dari catatan kaki dalam kitab al-Azkar,
bahawa untuk beramal dengan hadis Dhaif bukanlah secara mutlak boleh
beramal. Asal sahaja ada hadis dhaif yang berbentuk fadha'il amal, maka
kita boleh terus beramal dengannya. Bukan begitu. Mahu beramal dengan
hadis dhai'if ada syarat-syaratnya. Sebagaimana yg dinyatakan ada 4
syarat:
1. Hadis itu untuk fadha'il a'mal, targhib dan tarhib.
2. Hadis itu tidak terlalu dha'if dan tidak maudhu'.
3. Amalannya mestilah mempunyai dasarnya dari nash sahih yang lain yang umum atau ia berada di bawah kaedah yang umum.
4.
Semasa beramal, hadis itu tidak di-iktikad-kan sabit dari Rasulullah
s.a.w.. Malah ia hendaklah ber-iktikad untuk ihtiyati sahaja.
Jadi,
adalah suatu tanggapan yang salah apabila kita berhadapan dengan hadis
dha'if lalu kita mengatakan: "Tidak mengapa, ini hanya untuk fadhilat
amal sahaja.." Tanpa kita memperhatikan syarat2nya.
Antaranya, beliau menyebutkan:
"…
Al-Hafiz Ibnu Hajar menetapkan tiga persyaratan untuk dapat diterimanya
periwayatan yang lemah (dhaif) dalam hadis-hadis raqa'iq dan targhib.
Ketiga syarat itu disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadribur
Rawi sebagai berikut:
Pertama
(syarat ini disepakati oleh para ahli): Kelemahan tersebut tidak
keterlaluan. Kerana itu, harus ditolak periwayatan tunggal dari
orang-orang yang memang dikenal sebagai pembohong, atau yang dicurigai
sebagai pembohong, ataupun yang dikenal hafalannya sangat tidak akurat.
Kedua:
Makna hadis tersebut masih dapat digolongkan dalam suatu tema dasar
umum yang diakui. Maka harus ditolak setiap hadis yang hanya dikarang
begitu sahaja, dan tidak ada asalnya sama sekali.
Ketiga:
Pada saat penerapannya, hendaknya tidak dipercayai sebagai hadis yang
tak diragukan asalnya dari Nabi s.a.w. Agar tidak terjadi penisbahan
suatu ucapan kepada baginda, sedangkan baginda tidak mengucapkannya.
Jadi, hendaknya hadis tersebut dipercayai dengan sikap ihtiyath
(berhati-hati). (Kaifa Nata'amalu Ma'as Sunnah (edisi terjemahan:
Bagaimana Memahami Hadis Nabi s.a.w.), hal. 71)