Esok, 10 Muharram adalah Hari Asyura.
Antara tradisi orang Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini
ialah membuat bubur Asyura. Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang
diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada
yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis
bahan makanan, jangan dikurang dan jangan dilebih. Jika tidak, ia tidak
dinamakan bubur Asyura.
Entah dari mana sumbernya saya tidak tahu. Yang pasti, sudah 10 tahun saya tidak merasai keenakan makan bubur Asyura di kampung.
Mengimbau zaman kanak-kanak di hari
Asyura, masih teringat apabila bubur Asyura hampir masak, saya bersama
adik-adik dan rakan-rakan, masing-masing dengan memegang tempurung
kelapa menyerbu kawah yang berisi bubur yang masih panas. Satu
nostalgia yang tidak dilupakan, makan bubur Asyura berpiringkan
tempurung dan bersudukan daun kelapa.
Waktu itu, tidak pernah terlintas di
fikiran saya sempena apakah dibuat jamuan bubur Asyura. Adakah ia satu
amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Sehingga apabila masuk ke
sekolah menengah dan mendapati jamuan bubur Asyura dijadikan upacara
tahunan yang dianjurkan oleh pihak Sekolah.
Dengan sedikit kajian ringkas tentang
asal-usul bubur Asyura dalam masyarakat Melayu, mungkin boleh dikatakan
kewujudan jamuan bubur Asyura dalam masyarakat Melayu bertitik tolak
dari dua sandaran.
Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s.
Banyak laman web menyebut tentang kisah
ini. Dinukilkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al
Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur
Rahman Al Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh
Daud Al Fathoni. Yang antara lainnya menceritakan bahawa, ketika mana
bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura’, maka
berkatalah ia pada umatnya :
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S : “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”.
Penilaian:
- Cerita seperti ini perlu kepada
kajian. Dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini.
Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini
dalam sumber hadis dan atsar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat
membantu.
- Jika kisah ini sahih sekalipun, dan
kita menerima kaedah ‘Syarak sebelum kita adalah syarak kita juga’,
persoalannya adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. adalah satu
bentuk jamuan sempena 10 Muharram, atau ia adalah makanan biasa yang
berkebetulan pada tarikh 10 Muharram?
- Jika benar kisah ini, dan betul
istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan
cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam atau amalan para sahabat tentang perkara ini?
Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan Kepada Keluarga
Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur
Asyura ialah hadis-hadis tentang memberi galakan supaya pada hari
Asyura hendaklah menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum
keluarga.
Hadis yang dimaksudkan ialah:
“Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.
Mungkin kerana mempercayai kelebihan
dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada
kaum keluarga pada hari 10 Muharram, dengan harapan Tuhan akan
mempermudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk
memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan.
Cuma kedudukan hadis ini di sisi ulama
hadis adalah paslu atau dhaif. Rujuk: Al-Maudhu’aat oleh Ibn Jauzi
2/572, Al-Manar al-Munif oleh Ibn Qayyim 1/111, Al-Fawaid al-Majmu’ah
oleh Syaukani 1/98.
Sekali lagi kita terpaksa terima bahawa
jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini,
sebenarnya ia adalah hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharap
kepada fadhilat yang belum pasti kesahihannya.
Cuma, membuat bubur Asyura itu kalau
setakat dijadikan adat, tanpa ada kepercayaan keagamaan, ia bukanlah
satu yang salah. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur
Asyura, buatlah bubur Asyura. Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang
sahih, seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu
berlabuhnya bahtera baginda.
Wallahu A’lam.
http://abuumair1.wordpress.com
No comments:
Post a Comment