Orang yang tidak mengenali keburukan,
mudah terjebak ke dalamnya. Orang yang tidak tahu ciri-ciri kepalsuan,
cepat terpedaya dengannya. Ada orang ingin membeli permata, malangnya
terbeli kaca, lantaran tidak arif yang mana manikam, dan yang mana kaca.
Orang yang mahu membeli emas jika tidak
tahu yang mana tulen dan yang mana palsu, mungkin mudah tertipu.
Bermodalkan hanya RM50, ada sindiket menjual seutas rantai dengan harga
ribuan ringgit dengan menyadurkannya dengan warna emas dan menandakan
cangkuknya dengan nombor 916. Akibat tidak kenal tulen dan palsu, ramai
pelanggan sudah tertipu.
Untuk mengenali satu-satu barang yang
tulen lagi asli, bukan hanya melalui ciri-ciri keaslian dan ketulenan.
Kemahiran tentang kaedah penipuan dan ciri-ciri pemalsuan sangat
penting agar kita cepat mengecam dan mengenal pasti jika ia berlaku.
Dalam perihal agama juga begitu. Mahu
mengenal Iman yang hakiki, mestilah mempelajari apa itu kufur dengan
segala cabang-cabangnya. Mempelajari Tauhid yang suci, mestilah
dirangkaikan dengan ilmu mengenai syirik dan bahagian-bahagiannya. Erti
sebenar ketaatan tidak akan diketahui jika tidak mengetahui apa itu
maksiat. Keteguhan kepada sunnah tidak akan difahami jika tidak kenal
apa itu Bidaah. Begitulah seterusnya. Setiap perkara dipelajari dengan
lawannya.
Kaedah inilah yang diisyaratkan di
dalam hadis Huzaifah bin Al-Yaman. Beliau berkata, “Orang ramai
bertanya Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam tentang kebaikan, dan aku
pula bertanya baginda tentang keburukan kerana takut ia menimpaku”.
(Direkod oleh Bukhari dan Muslim)
Di dalam satu puisi Arab:
Kukenal keburukan bukan untuk diamalkan,
Tapi untuk menghindarkan darinya,
Kerana orang yang tak kenal keburukan,
mudah terjerumus ke dalamnya.
Tapi untuk menghindarkan darinya,
Kerana orang yang tak kenal keburukan,
mudah terjerumus ke dalamnya.
Berhadapan dengan pelbagai fitnah di
zaman ini, umat Islam mesti mempunyai pengetahuan tentang bidaah dan
kesesatan serta ciri-cirinya. Belajar apa itu bidaah, dan apa itu sesat
supaya kita terselamat. Belajar apakah ciri-ciri ajaran sesat agar
tidak mudah diperdaya.
Menyedari pentingnya tajuk ini, saya
akan cuba menyenaraikan beberapa ciri-ciri ajaran yang menyeleweng.
Supaya apabila kita berdepan dengan kumpulan yang mempunyai ciri-ciri
sebegini, kita akan lebih berhati-hati.
Antara ciri-ciri ahli bidaah dan ajaran menyeleweng ialah:
1) Tidak menyenangi ilmu hadis.
Ia adalah ciri terpenting mana-mana kumpulan ajaran sesat dan ahli
bidaah. Mereka amat fobia dengan firman Allah, dan sabda Nabi
Sallallahu Alahi Wasallam. Manakan tidak, fakta dari dua sumber inilah
yang akan membongkar temberang dan pembohongan ahli bidaah. Mereka akan
kelu dan kaku jika cuba berhujah di hadapan kitab-kitab hadis.
Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H)
meriwayatkan bahawa Abu Nasr bin Sallam Al-Faqih berkata, “Tidak ada
sesuatu yang lebih berat bagi kumpulan yang menyeleweng dan paling
dibenci oleh mereka selain daripada mendengar hadis dan meriwayatkannya
dengan sanad”.
Al-Hakim (wafat: 404H) dalam kitab
Makrifah Ulum al-Hadis menceritakan bahawa Syeikh Abu Bakr Ahmad bin
Ishaq Al-Faqih berdebat dengan seorang lelaki. Apabila Syeikh menyebut,
“Telah meriwayatkan kepada kami oleh si Fulan…”, lantas lelaki tersebut
berkata, “Tinggalkan sahaja periwayatan. Sampai bila masih mahu
menggunakan periwayatan?”. Syeikh tersebut kemudian menghalau lelaki
tersebut dari rumahnya.
2) Memusuhi dan memperlekahkan ahli hadis.
Ahli bidaah dan sesat bukan setakat membenci ilmu hadis, malah tidak
menyenangi ulama yang tutur katanya dihiasi “Firman Allah, dan sabda
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam”. Kerana ahli hadis lah benteng kepada
kemurnian ajaran Islam.
Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H) berkata, “Tanda ahli bidaah ialah mencela terhadap ahli hadis”.
Ahmad bin Sinan Al-Qattan berkata,
“Tidak ada ahli bidaah di atas dunia ini kecuali dia membenci ahli
hadis. Apabila seorang lelaki membuat bidaah, akan tercabut dari
hatinya kemanisan hadis”.
Al-Hakim (wafat: 404H) menyebut di
dalam kitab Makrifah Ulum Al-Hadis, “Beginilah kami mmengenali samada
ketika perjalanan atau ketika menetap, bahawa setiap orang yang
dinisbahkan kepada menyeleweng dan bidaah akan memandang hina terhadap
‘Thoifah Mansurah’ (Ahli Sunnah)”.
Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H)
menegaskan, “Tanda paling jelas kumpulan ahli bidaah ialah terlalu
membenci terhadap mereka yang membawa hadis-hadis Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam, serta mereka memperlekehkan golongan ini”.
3) Melabelkan Ahli Sunnah dengan pelbagai gelaran. Antara gelaran-gelaran yang sering bermain di bibir ahli bidaah ialah menuduh Ahli Sunnah sebagai ‘Musyabbihah’.
Ishaq bin Rahuyah (wafat: 238H)
berkata: “Tanda Jahm dan pengikut-pengikut mereka ialah: mereka
mendakwa ke atas Ahli Sunnah Wal Jamaah serta celaan bohong bahawa
mereka (Ahli Sunnah) adalah musyabbihah”.
Kata Abu Hatim Al-Razi (wafat: 277 H): “Tanda Jahmiyyah ialah mereka menamakan Ahli Sunnah sebagai Musyabbihah”.
Selain gelaran Musyabbihah, ahli bidaah
sering menggelarkan ahli sunnah sebagai ‘Hasyawiyyah’ dan ‘Zahiriyyah’
sebagaimana disebut oleh Abu Utsman Al-Shabuni (wafat: 449H).
Malah Imam Bukhari sendiri pernah
dilabelkan sebagai ‘Hasyawiyyah’ oleh ahli bidaah. Di dalam kitab Siyar
A’lam al-Nubala, Imam Zahabi menyebut bahawa Al-Shahib (wafat: 385)
seorang berfahaman Syiah dan Muktazilah disebut kepadanya nama Imam
Bukhari. Lalu beliau berkata, “Siapa Bukhari? Hasyawi yang tidak boleh
dirujuk kepadanya”.
Demikian perangai ahli bidaah dari dahulu sampai sekarang, melabelkan ahli sunnah dengan pelbagai gelaran.
4) Melampau dalam kepercayaan.
Antara ciri-ciri ajaran yang menyeleweng ialah melampau dalam satu-satu
kepercayaan. Sikap melampau sangat ditegah dalam Al-Quran dan Sunnah.
Sesatnya Kristian adalah kerana sikap melampau mereka terhadap Nabi Isa
Alaihissalam. Nabi Isa, hamba Allah yang bertaraf Rasul diangkat mereka
sebagai Tuhan yang disembah.
Sikap seperti inilah yang ada pada
banyak ajaran-ajaran songsang. Mengangkat guru-guru dan syeikh-syeikh
mereka melebihi had yang sebenar. Menganggap guru mereka mengetahui apa
yang tersembunyi dalam dada anak-anak muridnya. Ada yang percaya guru
mereka boleh bertolak ansur dengan Tuhan dalam hal-hal ajal dan maut.
Paling aneh lagi melucukan, setiap kumpulan ini menganggap guru mereka
lah wali paling tinggi tarafnya di zamannya. Pelbagai gelaran
diberikan, Sahibuzzaman, Sultan Awliya, Wakil Tuhan, dan macam-macam.
5) Guru yang mengaku bahawa dia Wali Allah.
Ada sesetengah ajaran kebiasaannya ajaran tarekat, gurunya secara
terang-terangan mengaku bahawa dia adalah Wali Allah. Yang lebih hebat,
jika ditambah lagi dengan kelebihan-kelebihan lain seperti dilantik
sebagai Wakil Allah, atau Orang Allah.
Kalau kita tahu apa makna wali yang
sebenar, nescaya kita tidak akan mempercayai individu yang mengaku
bahawa dia wali. Wali adalah orang yang paling bertaqwa kepada Allah
Taala. Orang yang benar-benar bertaqwa tidak akan sekali-kali
mengangkat dirinya dan mengaku bahawa dia paling bertaqwa. Mengaku wali
bererti mengaku ketinggian taqwanya kepada Allah.
Allah berfirman, maksudnya:
“Maka jangan kamu memuji diri kamu sendiri, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang bertaqwa”. (Al-Najm: 32)
6) Berhujah menggunakan mimpi guru.
Oleh kerana ajaran Quran dan Sunnah tidak mungkin memihak kepada
kumpulan-kumpulan ajaran sesat, mereka terpaksa mencari helah lain bagi
mengaburi mata para pengikut. Antaranya berhujah dengan mimpi.
Berhujah dengan mimpi tanpa merujuk
kepada syariat menjadi sebab kesesatan. Abdul Aziz bin Nashir Al-Jalil
berkata, “Hendaklah bersikap jaga-jaga dengan permainan syaitan
terhadap manusia dalam mimpi waktu tidur. Betapa ramai individu malahan
kumpulan menjadi sesat dengan sebab mimpi”.
Hendaklah kita meyakini bahawa syariat
Islam sudah sempurna dan lengkap. Tidak berhajat kepada penambahan
melalui mimpi mana-mana wali atau wakil Tuhan. Malahan, seluruh ulama
bersepakat bahawa mimpi tidak boleh dijadikan hujah dalam hukum-hakam.
7) Menganggap guru mereka tidak melakukan dosa. Atau dengan kata lain guru mereka maksum, seperti para Nabi.
Lihat bagaimana Syiah Rafidhah
mempercayai bahawa imam-imam mereka yang 12 orang adalah manusia
maksum, tidak melakukan dosa. Kepercayaan seperti ini menunjukkan
kesesatan mereka.
Begitu juga sesetengah ajaran tarekat
yang menyifatkan guru mereka sebagai tidak berdosa. Tidak berani
menggunakan perkataan ‘Maksum’ yang khas bagi para Nabi, mereka
mencipta istilah lain, iaitu ‘Mahfuz’. Hakikat dan maksudnya sama iaitu
mengangkat guru setaraf dengan Nabi Sallallahu Alahi Wasallam.
Imam Malik bin Anas (wafat: 179H)
berkata, “Setiap orang diambil kata-katanya dan ditolak. Kecuali
empunya kubur ini (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam)”.
Demikian beberapa ciri-ciri untuk
mengenali ahli bidaah dan ajaran menyeleweng. Semoga dengan mengenali
sifat-sifat mereka, kita akan lebih berjaga-jaga apabila bertemu dengan
kumpulan seperti ini. Mudah-mudahan Allah Taala menyelamatkan akidah
dan pegangan kita daripada diperdaya oleh musuh-musuhNya.
MaashaaAllah.. Terbaik. Izinkan ana copy ke blog ana.
ReplyDelete