MENINGGALKAN QUNUT SUBUH
Kebanyakan umat Islam di Malaysia berpendapat sekiranya sesiapa yang meninggalkan doa qunut pada solat Subuh secara sengaja seolah-olah dia telah melakukan satu perbuatan yang telah menyalahi syari’at dan menggugat kesempurnaan ibadah solat. Mereka melihat qunut Subuh ini seakan-akan ianya berstatus wajib dalam solat Subuh. Mereka seperti tidak mengerti bahawa di sisi mazhab al-Syafi’i sekalipun ianya hanyalah sunat mu’akad. al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Adzkar (ms. 111) berkata: “Menurut mazhab kami (iaitu al-Syafi’i), qunut disyari’atkan pada solat Subuh dan hukumnya adalah sunat mu’akad”[1] Sebelum kita meneliti sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang sebenar mengenai qunut ini, seeloknya kita memahami pengertian qunut dahulu. Qunut dari segi bahasa bermakna berdiri. Di dalam al-Qur’an terdapat beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang boleh menjelaskan kepada kita makna qunut dengan lebih mendalam seperti:
...bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi,
semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya (qaanituun) [2]
Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya (qaanituun).[3]
(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat (qaanitun) mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?[4]
...dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitab-Nya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat (al-qaanitiin).[5]
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. (qaannitiin)[6]
Manakala dalam hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam terdapat penjelasan baginda tentang qunut iaitu hadis daripada Jabir radhiallahu 'anh:
سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَلاَةِ أَفْضَلُ؟
قَالَ: طُولُ الْقُنُوتِ.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya
pekerjaan solat yang manakah yang lebih utama?
Rasulullah menjawab: (Solat yang) panjang berdirinya (al-Qunut).[7]
Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam di atas boleh kita katakan: “Qunut artinya khusyu’, selalu taat, doa, menghinakan diri kepada Allah, diam, tunduk, mengekalkan ibadah, lama berdiri dalam solat.[8] Qunut dalam ibadah solat adalah berdiri untuk berdoa sebelum rukuk (untuk qunut witir[9]) atau bangkit sesudah rukuk (qunut nazilah[10] dan qunut witir pada akhir pertengahan bulan ramadhan). Bagi mereka yang bermazhab al-Syafi’i qunut juga diamalkan setelah bangkit dari rukuk pada solat Subuh yang dilakukan secara berterusan setiap hari.
Dalil disyari’atkan doa qunut dalam solat sunat witir adalah hadis berikut:
Hasan bin Ali radhiallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah mengajarkan aku beberapa kalimat yang harus aku ucapkan di dalam solat witir, iaitu:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ
وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ
إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ
وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.
Ya Allah, tunjukilah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan petunjuk,
sejahterakanlah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan kesejahteraan,
sayangilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau sayangi,
berkatilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau berkati,
hindarilah aku dari segala bahaya yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukan yang ditentukan,
Sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau lindungi
dan tidak akan menjadi mulia orang yang Engkau musuhi.
Engkau wahai Tuhan adalah Maha Mulia serta Maha Tinggi. [11]
Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar cucunya untuk membaca doa qunut di atas dalam solat witir, bererti membaca doa qunut ketika solat witir adalah sesuatu yang disyari’atkan. Manakala dalil disyari’atkan doa qunut nazilah dalam solat fardhu adalah hadis berikut daripada Abdullah ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma:
قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا
فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ
كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ
يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ
وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah berqunut sebulan berturut-turut
dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir
ketika i’tidal sehabis mengucapkan “Samiallahuliman hamidah”.
Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Bani Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.”[12]
Sementara itu Anas bin Malik radhiallahu’anh juga telah berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَقْنُتُ
إلاَّ إذَا دَعَا الْْقَوْمِ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.
“Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidaklah pernah berdoa selepas
(bangun daripada rukuk) kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai
atau mengutuk sesetengah kaum itu.”[13]
Bersandarkan dalil-dalil di atas, telah bersepakat ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah akan sunnahnya doa qunut witir dan qunut nazilah. Sedangkan qunut secara berterusan dalam solat Subuh, ulama’ berbeza pendapat kesunnahannya.[14] Yang lebih tepat menurut Sayyid Sabiq rahimahullah adalah:
Qunut dalam solat Subuh itu tidak disyari’atkan kecuali apabila terjadi bahaya (iaitu membaca qunut nazilah – pen). Dan kalau terjadi bahaya itu, maka bukan hanya dalam solat Subuh sahaja disunatkan berqunut, tetapi juga di dalam semua solat fardhu yang lain sebagaimana yang diterangkan di atas.[15]
Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya radhiallahu’anhum tidak mengerjakan qunut Subuh secara terus-menerus sepanjang hayat mereka melainkan jika terjadi sesuatu musibah maka mereka membacakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu termasuk solat Subuh. Berkata Anas bin Malik radhiallahu 'anh:
أنَّ النَِّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ كَانَ لاَ يَقْنُتُ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ
إِلاَّ إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.
Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam itu tidak pernah berqunut
dalam solat Subuh kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi sesuatu kaum (muslimin) atau mendoakan kebinasaan sesuatu kaum (kafir) (iaitu qunut nazilah – pen).[16]
عَنْ أَبِي مَالِكٍ الأَشْجَعِيِّ قَالَ, قُلْتُ لأَبِي:
يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ
هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُون؟َ
قَالَ: أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌ.
Abi Malik al-Asyja’i berkata, saya bertanya kepada ayahku:
“Wahai bapaku! Sesungguhnya engkau pernah bersolat di belakang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali bin Abi Thalib di Kufah selama lima tahun, apakah mereka melakukan qunut?”
Jawab ayahku: “Hai anakku! Itu adalah perbuatan bid’ah! [17]
Dari dalil-dalil di atas dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh melainkan qunut nazilah. Maka bukanlah satu kesalahan yang besar bagi mereka yang berpendapat qunut Subuh itu tidak disyari’atkan lalu mereka meninggalkannya. Tidak perlu untuk sujud sahwi sekiranya meninggalkan qunut Subuh samada dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Apa sepatutnya yang lebih diutamakan sekarang ini ketika musibah dan bencana melanda umat Islam di serata dunia[18] adalah mengerjakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu memandangkan ianya memang telah disepakati pengsyari’atannya. Namun begitu apa yang menghairankan qunut nazilah ini jarang-jarang dikerjakan walaupun keadaan umat Islam di seluruh dunia begitu terhimpit sekarang ini. Abu Ubaidah menegaskan:
Membaca doa qunut (nazilah – pen) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum musimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir.[19]
Oleh itu marilah kita menyuburkan semula sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang semakin jarang-jarang diamalkan di Malaysia iaitu membaca qunut nazilah. Semoga doa-doa kita dimakbulkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dapat membantu meringankan beban saudara-saudara seagama kita serta menghancurkan musuh-musuh Islam.[20]
[1] Dinukil daripada buku Hafiz Firdaus Abdullah, Menangani Persoalan Qunut: Dibaca Atau Tidak?, (Jahabersa, Johor Bahru, 1999), ms. 58.
[2] al-Baqarah (2): 116
[3] al-Ruum (30): 26
[4] al-Zumar (39): 9
[5] al-Tahriim (66): 12
[6] al-Baqarah (2): 238
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 756.
[8] Definisi ini dinukil daripada kitab al-Masaa-il karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jld.1, ms. 235
[9] Qunut Witir adalah doa qunut yang dibacakan dalam solat sunat witir.
[10] Qunut Nazilah adalah doa qunut yang dibacakan selepas bangkit dari rukuk dalam rakaat terakhir dalam mana-mana solat fardhu ketika umat Islam menghadapi bahaya, bencana atau bala.
[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 1425. al-Nawai juga mensahihkannya dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 472. Juga dikeluarkan oleh al-Nasai dengan tambahan selawat pada akhir doa akan tetapi ini adalah dhaif sebagaimana nilai al-Albani dalam Dhaif Sunan al-Nasai – hadis no: 1746.
[12] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan berkata al-Nawawi dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 482: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan atau sahih.” Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no. 1443.
[13] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no. 620 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Musthafa al-‘Azhami dalam semakannya ke atas kitab tersebut. Juga dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq fi Masa’il al-Khilaf, hadis no. 774. Berkata al-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq: “Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh al-Khatib dalam Kitab al-Qunut.”
[14] Penulis tidak bercadang untuk memperdebatkan secara mendalam tentang kelemahan hadis-hadis berkaitan dengan doa qunut dalam solat Subuh kerana objektif penulisan bab ini hanyalah untuk menerangkan kenapa ada pihak yang tidak berqunut Subuh. Sekiranya pembaca budiman berminat untuk mengkaji dengan lebih lanjut, sila dapatkan buku “Menangani Persoalan Doa Qunut: Dibaca Atau Tidak?” oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.
[15] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.2, ms. 43
[16] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban sebagaimana dinyatakan oleh al-Zaila‘i (الزيلعي) dalam Nasb al-Rayah (نصب الراية) fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.2, mukasurat 145. Juga disandarkan kepada Ibn Hibban oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan beliau mensahihkan sanadnya. Rujuk al-Dirayah fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.1, mukasurat 195. Ibn al-Humam juga mensahihkan sanadnya, rujuk Fath al-Qadir Syarh al-Hidayah, jld.1, mukasurat 433-434.
Hadis sahih ini menggambarkan pegangan sebenar Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkaitan Qunut Subuh. Oleh itu hadis ini secara tidak langsung menolak sebuah hadis yang sering digunakan sebagai hujah untuk berqunut Subuh daripada Anas radhiallahu ‘anhu yang tidak sahih iaitu,
مَا زَالَ رَسُولُ الله صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّ فَرَقَ ألدُّنْيَا.
“Senantiasa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berqunut pada solat Subuh sehingga baginda wafat.” (Hadis riwayat Ahmad, Baihaqi, Daruquthni, Hakim, Abdur Razzaq dan Abu Nu’aim). Kelemahan hadis ini terletak pada sanadnya yang terdapat seorang perawi bernama Abu Ja’far al-Razi (Nama aslinya Abu Ja’far Isa bin Mahan al-Razi) yang telah dilemahkan oleh imam-imam hadis seperti Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah, al-Fallas, Ibnu al-Madini, Ibnu Hibban, Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim, Ibnu Kathir, al-Zaila’i dan tokoh hadis abad ini, Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahumullah. al-Nawawi rahimahullah juga mengakui kelemahannya namun beliau menyatakan hadis Anas tersebut mempunyai penguat dari beberapa hadis-hadis lain yang beliau anggap sahih. Namun sebenarnya hadis-hadis tersebut kesemuanya memiliki kecacatan yang berat dalam sanad sehingga tidak dibolehkan dijadikan penguat. Yazid bin Abdul Qadir Jawas telah membuktikan dengan jelas tentang kelemahan kesemua hadis-hadis tersebut dalam sebuah artikel bertajuk “Semua Hadits Tentang Qunut Shubuh Terus Menerus Adalah Lemah” dalam buku beliau Ar-Rasaail, Jld.1, (Pustaka Abdullah, Jakarta, 2004). Silalah rujuk perbahasan beliau yang begitu mendalam tentang isu ini.
Jelas di sini terdapat dua hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh yang bercanggah antara satu sama lain. Antara kaedah untuk mengatasi masalah hadis-hadis yang kelihatan bercanggah ialah jika hadis yang bercanggah tersebut adalah antara hadis yang kuat (sahih atau hasan) dengan hadis yang lemah (dhaif atau mawdhu’), maka percanggahan itu dapat diatasi dengan mengunggulkan hadis yang kuat dan menolak hadis yang lemah. Untuk mendalami kaedah-kaedah menangani hadis-hadis bercanggah sila rujuk buku karya Hafiz Firdaus Abdullah bertajuk ‘Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah’ yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru, 2003.
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no. 402.
[18] Antara musibah yang sedang melanda umat Islam sehingga memerlukan qunut nazilah adalah kekejaman rejim Zionis di Palestine, pencerobohan tentera kuffar di negara-negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan, penindasan umat Islam di India, Filipina, Wilayah Selatan Thailand, kesengsaraan umat Islam di benua Asia yang dilanda ombak Tsunami dan lain-lain. Semoga Allah Ta’ala melindungi pejuang-pejuang Islam yang sedang berjuang di seluruh dunia. Ameen Ya Rabb al-‘Alameen.
[19] Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 136- 137.
[20] Catitan penyunting: Para tokoh Mazhab al-Syafi’i menekankan bahawa terdapat hadis-hadis sahih yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membaca doa qunut Subuh. Doa qunut ini adalah doa yang umum, bukan qunut nazilah. Saya berkata:
1.
Darjat hadis-hadis tersebut masih terbuka kepada perbincangan sama ada sahih atau tidak.
2.
Seandainya sahih, maka hadis-hadis tersebut yang bersifat umum diperincikan oleh hadis-hadis yang menerangkan bahawa doa tersebut ialah qunut nazilah dan dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah.
3.
Adapun doa qunut yang lazim dibaca sekarang ini, ia sepatutnya dibaca ketika solat witir dan bukannya solat Subuh. Petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah amat jelas dalam hal ini.
http://hafizfirdaus.com
No comments:
Post a Comment