BAB 3: SALAH FAHAM TERHADAP UCAPAN ‘UMAR
AL-KHATTAB DAN HADITH SUNNAH HASANAH.
Dalam usaha mem-pertahankan tindakan-tindakan yang dianggap bid‘ah di sisi syarak, sesetengah pihak menggunakan beberapa riwayat sebagai bukti bahawa diharuskan membuat bid‘ah selagi mana ia dipandang baik oleh pembuatnya. Antara yang masyhur ialah ucapan ‘Umar Ibn Khattab radhiallahu 'anh yang menyebut “sebaik-baik bid‘ah” untuk Solat Tarawih berjamaah dan perkataan “Sunnah Hasanah” dalam sebuah hadith Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Bab ini akan menjelaskan kekeliruan yang berkaitan dengan riwayat-riwayat tersebut.
Salah Faham Terhadap Ucapan ‘Umar al-Khattab
Sesetengah pihak cuba berdalil dalam membolehkan bid‘ah dengan menyatakan bahawa Saiyyidina ‘Umar radhiallahu 'anh turut telah membuat bid‘ah. Mereka berkata, pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak ada Solat Tarawih berjamaah lalu ‘Umar melakukannya dan menyatakannya sebagai: “Sebaik-baik bid‘ah” (نعمت البدعة هذه).
Yang mereka maksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Shahihnya dan al-Imam Malik dalam al-Muwattha’:
عَنْ عَبْدِالرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ أَنَّهُ قَالَ: خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِي اللَّه عَنْهم لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ. فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ. فَقَالَ عُمَرُ: إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ. ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ. قَالَ عُمَرُ: نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنِ الَّتِي يَقُومُونَ. يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ.
Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Qari, katanya: Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama dengan ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh ke masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya.
‘Umar berkata: “Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka‘ab. Kemudian aku keluar pada malam yang lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (Ubai bin Ka‘ab).
Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bid‘ah adalah perkara ini, sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka bangun (awal malam).”[1]
Berdasarkan riwayat di atas, ada yang tersalah sangka dengan menganggap ‘Umar bin al-Khattab adalah orang yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah. Maka dirumuskan bahawa ia adalah satu perbuatan bid‘ah yang dianggap baik oleh ‘Umar. Justeru boleh membuat bid‘ah di dalam ibadah asalkan ia dilakukan dengan niat yang baik.
Sebenarnya rumusan seperti ini muncul kerana kurang membaca hadith-hadith Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah dan ini jelas tertera dalam kitab-kitab hadith, seperti dalam Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim. Hadith yang dimaksudkan berasal daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلاَتِهِ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ. فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا. فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلاَتِهِ. فَلَمَّا كَانَتِ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلاَةِ الصُّبْحِ. فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ: أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ .
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar pada suatu pertengahan malam. Baginda solat di masjid (Masjid Nabi). Beberapa orang mengikut solat baginda (menjadi makmum). Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka berkumpullah lebih ramai lagi orang (pada malam kedua). Baginda bersolat dan mereka ikut solat bersama. Pada pagi (esoknya) orang ramai bercerita mengenainya. Maka bertambah ramai ahli masjid pada malam ketiga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam keluar bersolat dan mereka ikut solat bersama.
Apabila malam keempat, masjid menjadi tidak muat dengan ahli. (Baginda tidak keluar) sehingga pada waktu solat subuh. Selesai solat subuh, baginda mengadap orang ramai, bersyahadah seraya bersabda: “Amma ba’d, sesungguhnya bukan aku tidak tahu penantian kalian (di masjid pada malam tadi) tetapi aku bimbang difardukan (Solat Tarawih) ke atas kalian lalu kalian tidak mampu.[2] Hal sebegini berlaku sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat.[3]
Dalam sebahagian riwayat al-Bukhari dan Muslim disebut: “…yang demikian berlaku pada bulan Ramadhan.” (وذلك في رمضان) s[4]
Hadith ini dengan jelas menunjukkan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah yang pertama memulakan Solat Tarawih secara berjamaah dengan satu imam. Walaubagaimanapun baginda tidak melakukannya secara berterusan, bukan kerana ia perbuatan yang salah tetapi kerana bimbang ia menjadi satu kewajipan. Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam wafat, kebimbangan ini tidak wujud lagi, maka dengan itu ‘Umar meneruskan semula Solat Tarawih secara berjamaah. Justeru ‘Umar al-Khattab bukanlah orang yang pertama memulakannya secara berjamaah.
al-Imam al-Syatibi rahimahullah menegaskan:
Renungi hadith ini. Ia menunjukkan kedudukan Solat Tarawih adalah sunat. Sesungguhnya solat baginda pada peringkat awal menjadi dalil menunjukkan kesahihan menunaikannya di masjid secara berjamaah pada bulan Ramadan. Baginda tidak keluar selepas itu adalah kerana bimbang ia difardukan. Ini tidak menunjukkan ia dilarang secara mutlak kerana zaman baginda ialah zaman wahyu dan tasyri’ (perundangan) (sehingga) ada kemungkinan akan diwahyukan kepada baginda sebagai satu kewajipan jika manusia mengamalkannya. Apabila telah hilang ‘illah al-tasyri’[5] dengan wafatnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam maka ia kembali kepada asalnya.[6]
Timbul persoalan seterusnya, mengapakah Abu Bakr radhiallahu 'anh tidak menghimpunkan orang ramai untuk melakukan Solat Tarawih secara berjamaah? Untuk mengetahui jawapannya, kita merujuk sekali lagi kepada penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah:
Adapun (sebab) Abu Bakr tidak mendirikannya adalah kerana salah satu daripada berikut, sama ada (pertama) dia berpendapat solat orang ramai pada akhir (malam) lebih afdal padanya dari dihimpunkan mereka dengan satu imam pada awal malam. Ini disebut oleh al-Turtusyi (الطرطشي) ataupun (kedua) disebabkan kesempitan waktu pemerintahannya[7] untuk melihat perkara-perkara cabang seperti ini sedangkan beliau sibuk dengan golongan murtad dan selainnya yang mana lebih utama daripada Solat Tarawih.[8]
Timbul persoalan kedua, kenapakah ‘Umar al-Khattab radhiallahu 'anh menggelar hal tersebut sebagai satu bid‘ah? Sekali lagi, penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullah menjadi rujukan:
Dia menamakannya bid‘ah hanya disebabkan pada zahirnya kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah meninggalkannya dan sepakat pula ia tidak berlaku pada zaman Abu Bakr radhiallahu 'anh. Ia bukanlah bid‘ah pada makna (syarak). Sesiapa yang menamakan bid‘ah disebabkan hal ini, maka tiada perlu perbalahan dalam meletakkan nama. Justeru itu tidak boleh berdalil dengannya untuk menunjukkan keharusan membuat bid‘ah.[9]
Jelaslah ucapan ‘Umar bukanlah merujuk kepada bid‘ah yang dilarang oleh syarak tetapi merujuk kepada bid‘ah yang dimaksudkan dari segi bahasa atau keadaan. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah melakukan Solat Tarawih secara berjamaah lalu berhenti disebabkan faktor penghalang yang dinyatakan tadi. Apabila faktor penghalang telah hilang, maka ‘Umar menghidupkannya semula. Justeru itu beliau menamakannya bid‘ah. Perkataan bid‘ah yang digunakan oleh ‘Umar radhiallahu 'anh hanya merujuk pada segi bahasa, tidak pada segi syarak. Dari segi syarak, ia adalah Sunnah kerana merupakan sesuatu yang pernah berlaku sebelumnya pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
[Ke atas]
Salah Faham Terhadap Hadith Sunnah Hasanah
Terdapat sebuah hadith yang disering disalah fahami bagi membolehkan amalan bid‘ah. Hadith yang dimaksudkan ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.[10]
Hadith ini dijadikan bukti bahawa tidak mengapa melakukan bid‘ah asalkan ia baik. Ini adalah bukti yang salah hasil daripada kefahaman yang salah. Kefahaman yang benar dapat diperoleh dengan merujuk kepada Sabab al-Wurud (سبب الورود) bagi hadith ini. Jika dalam pengajian tafsir ada bab yang dinamakan Sabab al-Nuzul, maka dalam hadith ia dinamakan Sabab al-Wurud atau Sabab Wurud al-Hadith. Saya ta’rifkan Sabab Wurud al-Hadith sebagai:
ما دعا الحديثَ إلى وجوده، أيام صدوره.
Apa yang membawa kepada kewujudan hadith pada hari-hari kemunculannya[11]
Maksudnya, faktor yang menyebabkan sesebuah hadith itu terbit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam kata lain, faktor-faktor yang menyebabkan baginda mengucapkan sesuatu ucapan, melakukan sesuatu perbuatan atau mengakui sesuatu tindakan. Memahami sebab-sebab yang menyebabkan terbitnya sesebuah hadith adalah sangat penting bagi mengelakkan kita daripada meletakkan hadith tidak pada tempatnya. Ini kerana kadang-kala sebab terbitnya sesuatu hadith sangat mempengaruhi maksud hadith. Kesalahan dalam memahami sebab terbitnya hadith boleh membawa kepada kesalahan faham kepada maksud hadith. Umpamanya hadith yang di atas ada Sabab al-Wurudnya dan ini boleh dirujuk dalam hadith itu sendiri dalam bentuknya yang lengkap:
عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: جَاءَ نَاسٌ مِنَ الأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. عَلَيْهِمُ الصُّوفُ. فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ. قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ. فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ. فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ. قَالَ: ثُمَّ إِنَّ رَجُلاً مِنَ لأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ. ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ. وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ.
Daripada Jarir bin ‘Abd Allah katanya: Datang sekumpulan Arab Badawi kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan kemarahan pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada golongan Ansar datang dengan sebekas perak (dan mensedekahkannya). Kemudian datang seorang yang lain pula, kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga terlihat kegembiraan pada wajah baginda.
(Melihat yang sedemikian) Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun.[12]
Dengan merujuk Sabab al-Wurud dalam hadis di atas, kita dapat mengetahui bahawa “Sunnah Hasanah” yang dimaksudkan merujuk kepada sedekah yang dianjurkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia bukannya satu perbuatan yang tidak memiliki asal usul di dalam syariat. Memulakannya tidak bermaksud memulakan amalan baru, sebaliknya bermaksud memulakan langkah atau tindakan bagi perkara yang sudah ada asal usulnya.
Lebih lanjut, marilah kita merujuk kepada penjelasan al-Syeikh ‘Ali Mahfuz[13] dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’ (الإبداع في مضارّ الابتداع) ketika menjawab kekeliruan orang-orang yang menjadikan hadith ini sebagai hujah bagi membolehkan bid‘ah:[14]
Jawapan terhadap kekeliruan ini ialah, bukanlah maksud memulakan sunnah itu membuat rekaan (baru). Namun maksudnya (ialah memulakan) amalan yang thabit (pasti) daripada sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam … Sesungguhnya sebab yang kerananya terbit hadith ini ialah sedekah yang disyariatkan … (lalu disebut hadith di atas secara lengkap) … hadith ini menunjukkan bahawa yang dikatakan sunnah di sini seperti apa yang dilakukan sahabat tersebut yang membawa sebekas perak. Dengan sebabnya terbukalah pintu sedekah dengan cara yang lebih nyata sedangkan sedekah memang disyariatkan dengan kesepakatan ulama’. Maka jelas maksudnya (“Sesiapa yang memulakan Sunnah Hasanah…”) di sini ialah sesiapa yang beramal. Ini kembali kepada hadith ( من أحيا سنة قد أميتت بعدي فإن له من الإجر…). s[15] Seakan-akan sunnah itu sedang tidur maka sahabat radhiallahu 'anh berkenaan menggerakkannya dengan perbuatannya. Bukan maksudnya mengadakan sunnah yang (sebelumnya) tidak pernah ada.
Dalam Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyad al-Salihin (نزهة المتقين شرح رياض الصالحين) karya Dr. Mustafa al-Bugha[16] dan rakan-rakannya, dijelaskan:[17]
Hadith ini dianggap sebagai asal dalam menentukan Bid‘ah Hasanah dan Saiyyiah. Bersegeranya sahabat, berlumba dan bersaing, dalam bersedekah adalah Bid‘ah Hasanah –seperti yang disebut oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Dari sini difahami bahawa apa yang dikatakan Bid‘ah Hasanah itu adalah sesuatu yang pada asalnya disyarakkan seperti sedekah.
Berkata al-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin rahimahullah (1421H)[18]:[19]
Jika kita mengetahui sebab (terbitnya) hadith ini dan meletakkan maknanya dengan betul, maka jelas bahawa yang dimaksudkan dengan “memulakan sunnah” di sini ialah memulakan amal. Bukan memulakan tasyri’ (syariat baru). Ini kerana tasyri’ hanya boleh dimulakan oleh Allah dan Rasul-Nya. Maksud hadith “sesiapa yang memulakan” ialah memulakan amal dengannya dan orang ramai mencontohinya… atau boleh dimaksudkan juga sesiapa yang memulakan jalan yang baik yang menyampaikan kepada ibadah lalu orang ramai mencontohinya. Ini seperti menulis buku, meletakkan bab-bab ilmu, membina sekolah dan sebagainya dimana ia adalah jalan kepada perkara yang dituntut syarak. Apabila seorang insan memulakan jalan yang membawa kepada perkara yang dituntut oleh syarak dan jalan itu pula tidak terdiri daripada yang dilarang, maka dia termasuk dalam hadith ini. Jika makna hadith adalah seperti yang disalah fahami, iaitu seorang insan boleh membuat apa jua syariat yang dia mahu, bererti agama Islam belum sempurna pada (pengakhir) hayat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
[Ke atas]
Kesimpulan Perbincangan
Sebagai kesimpulan perbincangan, sekali lagi ditegaskan bahawa maksud hadith “…memulakan dalam Islam sunnah yang baik (Sunnah Hasanah)…” ialah memulakan perkara yang sudah sedia memiliki asal usul di dalam syarak seperti sedekah yang dianjurkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
BAB 4: AMARAN MENGADAKAN BID‘AH.
[1] Rujuk Shahih al-Bukhari – hadith no: 2010 (Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan) dan al-Muwattha’
(الموطأ) al-Imam Malik – hadith no: 231 (Kitab seruan kepada solat, Bab apa yang berkenaan solat pada malam Ramadhan).
[2] Saya katakan, Allah tidak mungkin menfardukan sesuatu yang manusia tidak mampu. Namun maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah baginda bimbang umat Islam akan gagal atau cuai melakukannya lalu mereka berdosa. Baginda bersifat mengasihi umat, lalu mengelakkan dari ia diwajibkan oleh Allah.
[3] Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 761 (Kitab solat musafir dan menqasarkannya, Bab anjuran bersolat pada malam Ramadhan)
[4] Rujuk Shahih al-Bukhari – hadith no: 2011 (Kitab Solat Tarawih, Bab keutamaan orang yang beribadah pada malam Ramadhan)
[5] ‘Illah al-Tasyri’ (علة التشريع) bermaksud punca yang menyebabkan diletakkan sesuatu perundangan atau hukum. Dalam kes ini, punca baginda mengelak solat tersebut berjamaah secara berterusan ialah bimbang ia menjadi kewajipan. Baginda tidak ingin membebankan umat dengan suatu kewajipan baru, dibimbangi mereka akan cuai dan akhirnya berdosa.
[6] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147.
[7] Saiyyidina Abu Bakr radhiallahu 'anh hanya sempat memerintah dua tahun tiga bulan. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah (البداية والنهاية), jld. 7, m.s. 18)
[8] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 147-148.
[9] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 148.
[10] Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).
[11] Saya sebut “saya ta’rifkan” kerana penulisan para ulama terdahulu tidak meletakkan ta’rif yang jelas dan kaedah-kaedah yang tetap dalam ilmu ini sekalipun mereka ada menyebut tentang kepentingannya. Alhamdulillah saya telah memperolehi Ph.D dengan menulis tesis dalam subjek ini berjudul: Sabab Wurud al-Hadith: Dirasat Tahliliyyah bi tarkiz khas ‘ala Dawabit wa Ma‘ayir
(سبب ورود الحديث: دراسة تحليلية بتركيز خاص على الضوابط والمعايير) dan menggunakan ilmu ini. Kaedah-kaedah ini adalah kesimpulan daripada penulisan para ulama hadith dan fikh terdahulu dan sekarang yang muktabar.
[12] Rujukan yang sama sebelumnya, Shahih Muslim – hadith no: 1017 (Kitab Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar…).
[13] al-Syeikh ‘Ali Mahfuz semasa hidupnya adalah anggota Pembesar ‘Ulama Universiti al-Azhar. Buku tulisan beliau ini bertujuan memerangi bid‘ah yang banyak berlaku dalam masyarakat. Buku ini mendapat pengiktirafan para ulama al-Azhar dan dijadikan sukatan silibus pelajaran. Beliau meninggal dunia pada tahun 1942. Sila lihat pujian dan pengiktirafan untuk buku ini dalam edisi cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut.
[14] ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madarr al-Ibtida’, m.s. 128-129. (nukilan berpisah)
[15] Hadith yang dimaksudkan ialah:
مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِي قَدْ أُمِيتَتْ بَعْدِي فَإِنَّ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلَ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ.
Sesiapa selepasku yang menghidupkan satu sunnah dari sunnahku yang telah mati, maka baginya pahala seperti orang yang beramal dengannya dengan tidak dikurangkan pahala mereka sedikitpun. Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Majah. al-Tirmizi menghasankannya. Akan tetapi yang benar hadis ini tertolak kerana kedua-duanya meriwayatkannya daripada jalan Kathir bin ‘Abd Allah, beliau matruk iaitu dianggap pendusta atau pereka hadith. Justeru itu penilaian yang dibuat oleh al-Imam al-Tirmizi dipertikaikan. Berkata al-Munziri rahimahullah (656H): “Bagi hadith ini ada syawahid (lafaz-lafaz hadith lain yang menyokongnya).” (al-Munziri, al-Tarhib wa al-Targhib, jld. 1, m.s. 47).
[16] Beliau ialah seorang tokoh semasa yang masyhur, bermazhab al-Syafi’i.
[17] Dr. Mustafa al-Bugha, Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyad al-Salihin , jld. 1, m.s. 160.
[18] Beliau ialah Abu ‘Abd Allah Muhammad bin al-Shalih bin Muhammad bin al-‘Utsaimin, seorang ahli fiqh yang terkenal daripada Arab Saudi. Banyak mengarang dan merupakan salah seorang ahli panel majlis fatwa Arab Saudi.
[19] Muhammad bin Salih al-‘Utsaimin, Alfaz wa Mafahim (ألفاظ ومفاهيم), m.s. 53.
No comments:
Post a Comment