Tuesday, February 1, 2011

TATA CARA MEMANDIKAN JENAZAH

PERSEDIAN DAN KEPERLUAN UNTUK MEMANDIKAN JENAZAH.

1. Sediakan tempat mandi ( Tanggung atau papan katil atau bangku panjang ), supaya apabila jenazah dimandikan, air yang jatuh kelantai tidaklah terpercik semula mengenai jenazah.

2. Sabun mandi. ( Sabun buku atau sabun cecair )

3. Air daun bidara. ( Daun bidara yang telah diramas kedalam air selanjutnya ditapis dengan menggunakan tapisan atau kain jarang, untuk mengasingkan daun yang hancur sehingga nampak air daun bidara tersebut bersih pada pandangan mata )

4. Air bersih.

5. Sugi atau kain putih yang berukuran kecil ( 2''x 3'' ) digulung. Sediakan secukupnya, kain sugi itu digunakan untuk menyugi ( menghilangkan najis dan kotoran ) kecemaran yang ada pada anggota jenazah seperti pada mata, lubang hidung, lubang telinga, mulut jenazah, pusat, celah jari tangan dan jari kaki. )

6. Sarung tangan getah/atau kain peruam. Kain peruam ( kain putih ) hendaklah disediakan beberapa helai dimana setiap sebuahnya berukuran dua kaki persegi atau ukuran kain tersebut boleh membalut ( menutupi ) tapak tangan, dan belakang tangan hingga ke pergelangan tangan pemandi. Sarung tangan getah atau sarung tangan hospital juga boleh digunakan sebagai ganti kain peruam tetapi hendaklah dibersihkan semula apabila hendak digunakan pada kali kedua atau ketiga dan seterusnya.

7. Air kapur barus. ( kapur barus hendaklah dihancurkan, tidak kira sama ada hendak ditumbuk atau diramas dengan tangan. Kemudian diletakkan ke dalam air sebanyak 3 atau 4 gelen ataupun sekita-kira memadai untuk menjiruskan mayat. )

8. Bekas air. Sediakan bekas air seperti baldi atau besen yang boleh memuatkan 2 atau 3 gelen air, serta gayong ( timba ). Bekas air pertama diisi dengan air mutlak, bekas air kedua diisi dengan air bidara atau air sabun atau kedua-dua sekali, dan bekas air ketiga diisi dengan air kapur barus.

9. Lidi berukuran 2 inci atau yang menyerupai batang mancis, untuk membersihkan dan mencungkil kotoran dicela-cela kuku tangan dan kaki jika diperlukan.

10. Kain penutup aurat mayat semasa proses memandikan, seelok-eloknya berwarna gelap jika ada. Seelok-eloknya kain batik lepas atau sarung juga boleh digunakan.

11. Tempat memandikan jenazah. Tempat memandikan jenazah hendaklah tertutup, ini dapat menghindarkan jenazah dikerumuni oleh orang-orang yang tidak berkenaan.

PERSEDIAN DAN KEPERLUAN UNTUK MENGKAPANKAN JENAZAH.

1. Kain putih kira-kira 20 meter bagi dewasa.
Adapun perkara yang berkenaan dengan kain kapan adalah :
- Kain kapan yang berwarna putih diutamakan.
- Cara memotong kain kapan :

a. Kain itu hendaklah dikoyakkan tepinya terlebih dahulu untuk dijadikan tali pengikat mayat. Jadikan 5 utas tali pengikatnya yang lebarnya kira-kira 1 inci. Tali tersebut juga boleh digunakan untuk mengukur panjang dan lebar badan mayat untuk disesuaikan dengan kain kapan.

b. Bagi orang dewasa hendaklah dilebihkan sekadar 1 kaki dan kanak-kanak pula sekadar 1 kaki.

c. Lebar kain ialah menurut keadaan mayat itu ( lebar sebelah kanan dan kiri kain kapan mayat boleh disamakan dengan lebar badan mayat tersebut. )

d. Kain kapan dibuat menjadi 3 lapis, tiap-tiap helai kain digunakan untuk pembungkus mayat. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini samada untuk mayat lelaki ataupun mayat perempuan.

Caranya : Ukur panjang jenazah terlebih dahulu . Pastikan dilebihkan sekaki dibahagian kepala dan sekaki dibahagian kaki. Ataupun gunakan ukuran biasa dan diagakkan apabila mengapan jenazah bahagian kepala dan bahagian kakinya agar senang diikat dan tidak mudah diurai apabila jenazah di angkat ke tempat solat dan untuk dikebumikan.

3. Gunting
4. Minyak wangi
5. Sehelai tikar
6. Kapas dua gulung jika diperlukan untuk menutupi apa-apa cairan yang keluar dari tubuh mayat.

CARA MEMANDIKAN JENAZAH :

Hadis Ummu Atiyyah r.a katanya:
Nabi s.a.w masuk ke tempat kami dan kami ketika itu sedang memandikan anak perempuan baginda. Beliau kemudian bersabda: Mandikanlah dia sebanyak tiga kali, lima kali atau lebih banyak lagi bila kamu merasakannya perlu, begitu juga mandikanlah dia dengan air dan daun bidara. Akhirilah basuhan tersebut dengan menggunakan air kapur barus atau sedikit kapur barus. Setelah selesai, beritahukanlah kepadaku. Apabila kami selesai, kami memberitahu baginda, lalu baginda menghulurkan kain baginda kepada kami sambil bersabda: Pakaikanlah kain ini kepadanya

Berdasarkan hadis diatas , maka cara memandikan jenazah adalah sebagai berikut :

1. Letakkan mayat di tempat mandi yang disediakan. Kalau boleh tempat tersebut sedikit tinggi setinggi pinggang orang dewasa, untuk memudahkan pemandian. Sekurang-kurangnya ada 3 orang yang bertugas memandikan jenazah. Seorang bertugas mencurahkan air mutlak ke atas jenazah tersebut. Dua orang pula ditugaskan menggosok-gosok jenazah tersebut dan membersihkan najis-najis yang ada pada jenazah tersebut.

2. Ditanggalkan pakaiannya, dan ditaruh diatasnya sesuatu yang dapat menutupi auratnya ( seperti kain ). Kecuali jika mayat adalah anak kecil. Untuk mayat lelaki tutuplaj dengan kain dari pusar sampai lutut, adapun mayat perempuan dari dada sampai lutut.

3. Sediakan air bersih, air daun bidara atau air sabun

4. Sediakan air kapur barus.

5. Berniat untuk memandikan mayat dan memastikan ketika memandikan mayat, agar tidak boleh hadir kecuali orang yang diperlukan kehadirannya.

6. Membersihkan najis atau kotoran yang ada dibadannya. Ketika hendak membersihkan auratnya, maka hendaklah dilapisi tangan dengan kain sarung tangan getah atau kain peruam . Jika ada nanah darah yang beku hendaklah dihilangkan terlebih dahulu dengan menggunakan air sabun.

7. Membasuh tempat anggota – anggota wudhuk dengan air bersih.
Cara membasuh tempat anggota – anggota wudhuk jenazah ini iaitu dengan mencucurkan air ke atas jenazah itu bermula dari muka dan akhir sekali pada kakinya, sebagaimana melaksanakan wuduk biasanya.

- Sabda Rasulullah saw : Mulailah ( membasuh tubuh jenazah )dengan bagian yang kanan dan anggota – anggota wudhuk. HR Bukhari dan Muslim.

8. Telentangkan mayat, mulalah memandikan jenazah dengan membersihkan seluruh anggota tubuh badan bahagian kanan dengan dijiruskan air mutlak dari hujung kepala ( termasuk rambut ) bahagian hadapan atau kanan sampai hujung kaki, sambil menggosok-gosok tubuh badannya dan membuang najis yang melekat ditubuhnya kalau ada.

9. Selanjutnya basuh dengan air daun bidara atau air sabun dari kepala ( termasuk membasuh rambut ) hingga hujung kaki dengan menggosok-gosok badan mayat dengan tangan yang dilapisi sarung tangan getah atau kain peruam, untuk menghilangkan kotoran sama ada daki, peluh dan sebagainya. Selanjutnya dijiruskan air mutlak untuk menghilangkan bekas daun bidara atau sabun sehingga diyakini benar-benar bersih.

10. Kemudian memiringkan mayat ke kiri basuh bahagian lambung kanan sebelah belakang sebagaimana pada no 8 dan 9.

11. Memiringkan mayat ke kanan basuh bahagian lambung sebelah kirinya pula sebagaimana pada no 8 dan 9.

12. Telentangkan semula mayat, ulangi pemandian seperti bil. 8 hingga 9.

13. Ulangilah pemandian untuk yang ketiga kalinya seperti pada bil. 8 dan 9.

14. Dan sandainya 3 kali siraman itu tak cukup, misalnya belum bersih dan sebagainya maka hendaklah dilebihi menjadi 5 atau 7 kali .

15. Lepas itu dijiruskan air kapur barus dari kepala hingga ke kaki ( keseluruh tubuh mayat )

16. Setelah selesai pemandian, hendaklah mengeringkan air mandi dengan mengelapnya dengan kain bersih agar kain kapannya tidak basah. Rambut hendaklah di sisir dengan sikat yang jarang dan dilakukan dengan perlahan-lahan.

17. Lepas itu usung jenazah tersebut dengan menutup seluruh anggotanya. Dan diletakkan diatas kain kafan yang telah dibentangkan.

18. Dengan ini selesailah kerja memandikan mayat dengan sempurna. sebagai peringatan bahawa orang yang memandikan jenazah hendaklah ia mandi, dan sesiapa yang mengangkat jenazah hendaklah ia mengambil wudhuk.

Dari Abu Hurairah ra. Berkata : " Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : " Siapa yang memandikan mayat hendaklah ia mandi dan siapa yang membawanya hendaklah ia berwudhuk"HR Abu Daud, Ibnu Majah,Tirmidzi.

Mayat perempuan :

Tidak ada perbezaan khusus cara pemandian mayat lelaki dan perempuan, kecuali jika mayat itu perempuan, sunat menguraikan rambutnya jika rambutnya panjang dan lebat, lalu dicuci dan dijalin kembali dengan dilepas belakangnya.

- Dari Ummu 'Atiyah :
" Bahawa wanita-wanita itu menjalin rambut puteri Nabi saw menjadi tiga untai." Saya tanyakan kepadanya : " Apakah mengurai rambutnya , lalu menjalinnya jadi tiga untai ?" "Benar", ujarnya.

- Dan menurut riwayat muslim berbunyi : " Maka kami jalinlah rambutnya menjadi tiga untai, yaitu dua disamping dan satu ditengah."
Sedang pada Shahih Ibnu Hibban , suruhan menjalin rambut itu diambil dari sabda Nabi saw : " Dan jadikanlah rambutnya menjadi tiga untai."

No comments:

Post a Comment