Sunday, June 24, 2012

SOLAT SUNAT RAWATIB


Solat sunat Rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum mahupun sesudah solat fardu lima waktu. Bagi solat Rawatib sebelum solat fardu ianya dikenali sebagai solat sunat Qabliyah dan bagi solat Rawatib yang dikerjakan sesudah solat fardu ianya dikenali sebagai solat Ba’diyah.

Fungsi Solat Qabliyah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang setelah melalui aktiviti kehidupan seharian yang adakalanya terlalu sibuk sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk khusyuk ketika mendirikan solat fardu. Oleh itu solat Qabliyah berfungsi untuk mententeramkan jiwa serta memastikan kita berada dalam keadaan yang cukup bersedia bagi menyempurnakan solat fardu.

Solat Ba’diyah pula bertindak bagi menyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melaksanakan solat fardu seperti kesilapan dalam bacaan, tidak khusyuk, tersilap dalam pergerakan dan lain-lain.

Solat sunat Rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (diperkuatkan) dan ghairu mu’akkad (tidak diperkuatkan). Para ulamak berbeza pendapat tentang jumlah rakaat solat Rawatib yang mu’akkad sama ada jumlah keseluruhannya dua belas atau sepuluh rakaat.

SOLAT RAWATIB YANG  MU’AKKAD

Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah radhiallahu’ anha menjelaskan terdapat dua belas rakaat solat Rawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ
إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya:
Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 728

Di dalam riwayat yang lain diperjelaskan pula apakah itu solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang dimaksudkan hadis di atas. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ

أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ

وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.

Maksudnya:
Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.  Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 380.

Melalui riwayat Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh pula menunjukkan jumlah rakaat solat Rawatib adalah sepuluh. Dia berkata:

حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ

رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ

وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.

Maksudnya:
Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.

Dari sini dapat kita fahami bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu dua belas mahupun sepuluh rakaat solat sunat Rawatib. Perbezaan tersebut adalah disebabkan perbezaan jumlah rakaat ketika melaksanakan solat Qabliyah Zuhur. Oleh itu bolehlah bagi kita semua untuk memilih untuk mengerjakan solat Qabliyah Zuhur tersebut sebanyak empat mahupun dua rakaat.

Keutamaan mengerjakan solat Rawatib adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh hadis riwayat Ummu Habibah radhiallahu’ anha iaitu disediakan sebuah rumah di syurga bagi mereka yang mendirikannya. Selanjutnya penulis akan membentangkan setiap jenis solat Rawatib dan tatacara perlaksanaannya.

SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD
Berkaitan solat Rawatib Qabliyah Asar, Maghrib dan Isyak maka ianya termasuk dalam solat sunat yang tidak mu’akkad. Maka mengerjakannya termasuklah amalan-amalan sunat yang terpuji. Dalil disyariatkan solat-solat tersebut adalah keumuman sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.
Maksudnya:
Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no 624.

Di samping itu terdapat juga hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat Qabliyah Asar sebanyak empat rakaat malah bagi mereka yang mengerjakannya akan dikasihi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا.
Maksudnya:
Allah akan mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 430.

Berkaitan solat Qabliyah Maghrib telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh, dia berkata:

كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ

حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ

وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ. قَالَ عُثْمَانُ بْنُ جَبَلَةَ وَأَبُو دَاوُدَ عَنْ شُعْبَةَ:

لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلَّا قَلِيلٌ.

Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah. ‘Utsman bin Jabalah dan Daud meriwayatkan daripada Syu’bah: Tiada (jarak) antara keduanya kecuali sebentar. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 625

Berkenaan dengan solat Qabliyah Maghrib ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

Saya (iaitu Ibnu Hajar) katakan bahawa seluruh dalil menunjukkan bahawa solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib dilaksanakan secara ringkas (ringan) seperti solat sunat Fajar. Hikmah dianjurkan solat sunat dua rakaat tersebut adalah sebagai harapan agar doanya dimakbulkan, sebab doa di antara azan dan iqamah tidak ditolak (mustajab). Apabila suatu waktu itu lebih mulia, maka pahala ibadah yang dikerjakan pada waktu tersebut akan lebih banyak – al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 4, ms. 89



No comments:

Post a Comment