Monday, August 22, 2011

MEMAHAMI MAKNA LIBERALISME?


Akhir-akhir ini banyak orang bercakap mengenai faham liberal. Ada yang mengungkap liberalisme sebagai satu bentuk falsafah. Tidak kurang pula yang menganggap falsafah liberalisme itulah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia dan masyarakat. Falsafah liberal yang difahami sebagai satu bentuk pembebasan atau kemerdekaan bakal memungkinkan manusia mencapai tahap kejayaan.

Mengapa liberalisme dihubungkaitkan dengan kejayaan? Persoalannya berkait rapat dengan sifat manusia itu sendiri. Manusia memerlukan kebebasan, kerana melalui kebebasan itulah manusia menjadi lebih kreatif, termasuk mereka cipta sesuatu tanpa adanya sebarangan kekangan, terutamanya kekangan berfikir.

Konsep liberal sebenarnya muncul semasa meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan kaum pekerja menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan (fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan. Menurut H.Gruber, prinsip liberalism yang paling asas ialah “contrary to the natural, and inalienable right and liberty and dignity of man, to subject himself to an authority, the root,rule,measure, and sanction of which is not in himself.”

Falsafah liberalisme kemudiannya dikembangkan oleh beberapa pemikir, antaranya John Locke, Hume, Rousseau, Diderot, Lessing dan Immanuel Kant. Sebelumnya fahaman ini menjadi bahan motivasi penting kepada falsafah eksistensialisme atau nihilisme yang dikembangkan oleh Nietzche. Istilah liberalisme adalah berasal dari bahasa Latin, iaitu liber. Istilah ini membawa makna bebas atau merdeka.

Pada penghujung abad ke-18, iaitu sejak permulaan Revolusi Perancis, istilah ini mempunyai kaitan dengan konsep manusia merdeka. Konsep merdeka ini dilihat dalam konteks kebebasan, sama ada kebebasan yang diperoleh sejak lahir ataupun setelah dibebaskan daripada belenggu kekuasaan atau perhambaan.

Dalam satu tulisan pada tahun 1818, Germaine de Stael menjelaskan bahawa perjuangan kaum liberal ialah menuntut kebebasan individu seluas-luasnya. Perjuangan itu turut menolak sebarang bentuk kekuasaan yang dianggap sebagai menyekat kebebasan atau belenggu termasuk kekuasaan Tuhan, penguasaan gereja dan sebagainya. Disebabkan sebelum Revolusi Perancis, masyarakat dianggap berada dalam cengkaman gereja.

Individu tidak bebas, kerana pihak gereja akan menentukan sama ada boleh atau tidak, termasuk mengenakan hukuman mati terhadap sesiapa sahaja yang mempunyai pendapat yang bertentangan, misalnya Galileo. Galileo yang mengutarakan pendapat bahawa bumi mengelilingi matahari telah dijatuhkan hukuman mati oleh pihak gereja kerana dianggap bercanggah dengan fahaman agama yang dipegang oleh pihak gereja.

Bagi membezakan kedudukan dengan gereja, golongan yang memperjuangkan kebebasan telah menggunakan istilah liberal sebagai lambang perjuangan mereka, termasuk kebebasan intelektual. Mereka berfikir, tanpa meletakkan prinsip rasional dan bukti ilmiah, kehidupan mereka adalah terkongkong dengan fahaman gereja. Hubungan dengan penguasa politik juga terjejas apabila mereka menolak fahaman feudal, yang dikatakan punca kemunduran.

Konsep liberal membawa kepada prinsip rasional, keterbukaan dan kebebasan intelektual. Maka dari sini juga turut lahirnya pelbagai falsafah yang lain termasuk atheisme, agnostik dan kebebasan mutlak. Hasilnya, konsep pentadbiran yang dahulunya sangat rapat dengan kekuasaan feudal semakin lenyap, dan prinsip pemerintahan secara republik mengambil alih.

Di bidang ekonomi liberalisme dihubungkan dengan sistem pasaran bebas. Kerajaan tidak berhak campur tangan dan campur tangan kerajaan jika berlaku pun ia hanyalah dalam bentuk yang paling minimum. Liberalisme membiarkan kapitalisme menguasainya, penentuan harga adalah berdasarkan kuasa pasaran. Ia turut menyerap masuk prinsip spekulasi dan pelobian dalam memperoleh sesuatu. Terjadi semacam perlumbaan dan persaingan yang hebat bagi merebut penguasaan pasaran.

Dalam hubungan social, liberalism memberikan makna ke atas prinsip kesamarataan. Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan perjuangan kaum feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini seterusnya membawa kepada terlahirnya istilah gender, kepupusan kawalan sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan. Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri, dan dalam menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk melahirkan anak, atau kilang bayi.

Memangnya dengan memberikan gelaran tersebut kepada wanita, ia menampakkan semacam satu penghinaan. Tetapi, sebenarnya fungsi perkahwinan menurut alamiah ialah untuk memperbanyakkan zuriat sebagai hakikat kehidupan. Kerana kecewa dengan tanggapan tersebut, maka prinsip liberalisme ini menekankan bahawa wanita berhak menentukan nasibnya sendiri. Tidak seorang pun boleh memaksa atau berhak untuk menyekatnya. Wanita menjadi kuasa baru dalam pelbagai hal, sama ada politik, pengurusan mahupun ekonomi.

Pola ini sedang berkembang luas. Nisbah yang hampir sama antara lelaki dan wanita menyebabkan nilai masyarakat terhadap kehidupan wanita telah berubah. Untuk membuka pasaran dan mencari keuntungan, perlu ada produk khudus untuk wanita dan kerana itu maka produk yang berkait dengan keperluan wanita semakin banyak. Baik yang berupa pakaian, barangan kecantikan, perhiasaan, elektrik mahupun majalah. Jika dilihat pasaran majalah, majalah khsusus untuk wanita lebih banyak daripada majalah khusus untuk lelaki atau pun lain-lain bidang profesional. Jika dilihat dari aspek pertumbuhan gedung membeli-belah, kedai-kedai yang menjual perkakasan untuk wanita adalah lebih banyak daripada lain-lain barangan.

Dari segi agama, fahaman liberalisme ini dianggap amat merbahaya, terutamanya bagi Islam. Konsep liberal berhubung kait dengan kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selaras dengan prinsip rasional seseorang. Agama dilihat sebagai hak peribadi, dan orang lain tidak boleh menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif individu, perspektif kemasyarakatan tidak menjadi teras pegangan. Prinsip untung rugi menjadi sandaran, dan kerana itulah sesuatu tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut.

Melalui pemahaman itulah kita dapat kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan. Umpamanya, sedikit masa dahulu kita diperkenalkan dengan ungkapan “seks sebagai sedekah”, “dosa dan pahala tidak bercampur, ianya seperti lapisan minyak dan air”, “seseorang itu boleh melakukan dosa kerana selepasnya boleh bertaubat,”, “dosa masing-masing”, “orang berzina tidak boleh dihukum, ia dilakukan berdasarkan suka sama suka”, “duduk serumah tanpa ikatan perkahwinan tidak menyalahi peraturan sampai bila-bila selagi tidak berlaku pergaduhan” dan sebagainya.

Prinsip itu berkembang dan membudayakan masyarakat Malaysia. Kalau dahulu prinsip liberalisme itu hanyalah berkembang biak dalam komuniti masyarakat Protestan, kini Islam turut dilanda. Penganut Katholik juga turut bimbang dengan perkembangan ini. Di Malaysia, walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, nilai-nilainya semakin berkembang di kalangan masyarakat Islam.

Berdasarkan perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan, proses sosialisasi dan teknologi maklumat, faham liberal dalam masyarakat semakin mengambil tempat. Keluarga yang mempunyai kawalan mutlak terhadap kebebasan anak-anak mula terhakis apabila merasakan anak-anak perlu diberikan kebebasan. Anak-anak yang bekerjaya menjadikan ikatan kekeluargaan semakin longgar atas desakan kesibukan masa dan keperluan profesional.

Jika dilihat dari segi perlakuan sumbang dan keruntuhan moral misalnya, kita dapat membuat ukuran mengenai prinsip liberalisme dalam masyarakat Islam. Seseorang yang memangnya nakal dan melanggar peraturan akan terus dibela sehingga menampakkan dirinya tidak bersalah. Perjuangan untuk “membersihkan diri” itu dilakukan secara bersungguhnya, sehingga mengetepikan tuduhan asal melalui percanggahan teknikal. Undang-undang seolah-olah bukan lagi bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada manusia untuk tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan ramai. Undang-undang akan dicabar dari segala aspek, sehingga yang mentafsirkan undang-undang itu sendiri tidak mempunyai kata sepakat tentang sesuatu perkara. Masing-masing melihat dalam perspektif untuk mendapatkan kemenangan dan kecekapan mencari kesilapan teknik.

Inilah prinsip liberalisme yang sedang diperjuangkan. Maka untuk mendapat sesuatu kemenangan, perlu kita mencari seorang peguam yang handal, seorang peguam yang cekap memahami kesilapan teknikal dan mengetepikan hujah, walaupun adakalanya pertanyaan itu tidak mempunyai kaitan yang jelas dengan kes yang dibicarakan. Boleh sahaja, keputusan pertama bersalah, keputusan kedua, selepas membuat rayuan, hukuman tersebut boleh dipinda. Inilah namanya kebebasan, dan akhirnya kebebasan itu menjerat kebebasan orang lain. Harga sebuah kekebasan itu menjadi terlalu mahal, dan adakalanya melanggar kebebasan orang lain. Prinsip liberalisme itu turut berkembang dalam pemikiran umat Islam sehingga akhirnya pegangan tradisi tentang agama akan berubah.

Jika secara tradisinya Islam tidak memberikan ruang kepada wanita menjadi imam, hari ini Aminah Wadud yang berfahaman liberal telah mengimamkan solat Jumaat. Aminah Wadud yang pernah mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekembalinya ke Amerika Syarikat telah menggemparkan masyarakat Islam apabila menjadi imam sembahyang Jumaat. Namun, perkembangan Islam liberal di Malaysia masih tidak tersusun sebagaimana Indonesia melalui bentuk-bentuk pertubuhan dan organisasi. Idea dan falsafah Islam liberal telah sampai dalam pengetahuan masyarakat Malaysia sama ada melalui buku-buku mereka yang ditulis secara ilmiah atau simposium yang dianjurkan oleh masyarakat setempat.

Oleh KAMARUN KH
http://ummatanwasatan.net/2009/07/memahami-makna-liberalisme/

No comments:

Post a Comment