Thursday, August 25, 2011

ILMU MUSTALAH HADITH


ILMU MUSTALAH HADITH

Bahagian Satu

Pengertian Hadith

Mustalah hadith ialah satu ilmu untuk mengetahui istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu hadith. Orang yang mula menyusunnya ialah Qadi Abu Mahmud al-Ramahramzi [Tahun 360 Hijrah].

Hadith menurut bahasa, ialah;
Pertama: Yang baharu,
Kedua: Perkhabaran,
Ketiga: Yang dekat atau yang belum lama.

Menurut istilah ahli hadith pula: ialah segala ucapan nabi, segala perbuatan dan segala keadaannya. Masuk ke dalam pengertian keadaannya, segala yang diriwayatkan dalam buku sejarah seperti hal keputraannya, tempatnya dan segala yang bertalian dengannya. Pengertian ini samalah dengan pengertian sunnah menurut istilah golongan ahli hadith. Tetapi pengertian ini berlainan dengan pengertian ahli usul. Dan sebab berlainan ini ialah kerana berlainan jurusan yang mereka lihat dan mereka tinjau.

Ahli (ulama') hadith membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang dijadikan ikutan bagi umatnya. Kerana ini mereka pindahkan dan mereka terangkan segala yang bersangkutan dengan rasul, baik mengenai riwayat, perjalanannya, mengenai budi pekertinya, keutamaannya, keistimewaannya, tutur katanya, perbuatan-perbuatannya; sama ada yang dapat mewujudkan hukum atau tidak.
Ulama' usul membahaskan rasul sebagai seorang pengatur undang-undang yang meletakkan atau menciptakan dasar-dasar ijtihad bagi para mujtahid sesudahnya, dan menerangkan kepada manusia perlembagaan hidup (dustur al-hayat) maka mereka pun memperhatikan segala tutur kata rasul, perbuatan-perbuatannya dan taqrirnya, iaitu pengakuan-pengakuannya bersangkutan dengan perkara penetapan hukum.

Sementara itu ulama' fiqh membahaskan peribadi rasul sebagai seorang yang seluruh perbuatannya atau perkataannya atau menunjukkan kepada suatu hukum syara'. Mereka membahaskan hukum-hukum yang mengenai para mukallaf dan perbuatan mereka dari segi hukum wajib, haram, harus, makruh dan mandub (sunat).

Pengertian Sunnah

Sunnah menurut bahasa: ialah jalan yang dilalui sama ada terpuji atau tidak; juga suatu adat yang telah dibiasakan walaupun tidak baik.

Rasul SAW bersabda:

"Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak) nescaya kamu memasukinya juga." (Hadith riwayat Muslim)

"Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat, dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat (buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga hari qiamat." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Jelaslah bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan dengan perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang dimaksudkan oleh bahasa.

Sunnah menurut istilah ahli hadith:
ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam baik yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadith menetapkan bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadith.

Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul:
ialah segala yang dipindahkan dari nabi sallallahu 'alayhi wa sallam sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum. Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:

"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya". (Hadith riwayat Malik)

1. Contoh sunnah (hadith) perkataan (qauliyyah) ialah:

"Segala 'amal itu dengan niat." [Riwayat Bukhari, Muslim dan sekelian ulama' hadith]

2. Contoh sunnah (hadith) perbuatan (fi'iliyyah) ialah:

"Bersembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersembahyang." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

3. Contoh hadith (sunnah) taqrir. Taqrir ialah:

(a) Nabi SAW membenarkan apa yang diperbuat oleh seorang sahabat dengan tidak mencegah atau menyalahkan serta menunjukkan keredaannya;

(b) menerangkan kebagusan yang diperbuat itu serta dikuatkan pula.

Contoh yang pertama ialah sebagaimana Nabi saw membenarkan ijtihad para sahabat mengenai urusan sembahyang 'Asar di Bani Quraizah dengan sabdanya:

"Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah." [Riwayat Bukhari]

Sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta'khirkan sembahyang 'Asar itu sampai selepas Maghrib. Dan ada sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan bahawa yang dimaksudkan nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan sembahyang 'Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.

Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi saw beritanya, dan Nabi saw tinggal berdiam diri tidak membantah apa-apa.

Contoh yang kedua sebagaimana yang diriwayatkan bahawa Khalid bin Walid pernah memakan dab (sejenis haiwan seperti biawak) kemudian dikemukakan orang kepada Nabi saw. Nabi saw sendiri enggan memakannya, maka bertanya sebahagian sahabat:

"Adakah diharamkan makannya ya Rasulullah? Lalu ia bersabda: Tidak! cuma binatang itu tidak ada di negeri kaumku, kerana itu aku tidak gemar kepadanya."
Selanjutnya pernah juga dinamakan sunnah itu suatu yang ditunjuki oleh dalil syara', baik berdasarkan dalil Qur'an atau pun berdasarkan hadith, mahu pun berdasarkan ijtihad para sahabat, seperti mengumpulkan mashaf (Qur'an) dan menyuruh manusia membaca menurut suhuf 'Uthman, dan seperti membukukan ilmu (menyusun dan mengarangnya).

Lawan dari sunnah ini ialah bid'ah, inilah yang dimaksudkan oleh hadith:

"Berpeganglah kamu sungguh-sungguh dengan sunnahku dan sunnah khalifah-khalifah yang mendapat pertunjuk sesudahku." [Abu Daud & Tarmizi]

Sementara itu ulama' fiqh berpendapat, bahawa suatu yang diterima dari Nabi saw dengan tidak difardukan dan tidak diwajibkan dinamakan sunnah. Imbangannya ialah wajib, haram, makruh dan mubah. Lawannya ialah bid'ah; talak yang dijatuhkan dalam haid menurut mereka dinamakan: talak bid'ah.

Ulama' Syafi'e mengatakan bahawa sunnah itu ialah suatu yang dipahalai orang yang mengerjakannya, tidak disiksai orang yang meninggalkannya.

Menurut ulama' mazhab Hanafi, sunnah itu ialah suatu yang disunnahkan Nabi saw atau para khalifah serta dikekalkan mengerjakannya, seperti azan dan berjama'ah.

PERBEZAAN ANTARA HADITH DENGAN HADITH QUDSI

Dalam kitab-kitab hadith didapati hadith Qudsi. Ulama' hadith mengatakan bahawa hadith Qudsi itu:
ialah perkataan Nabi saw yang disebut dengan mengatakan Allah bertitah, disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadanya.

Kesimpulannya Hadith Qudsi: ialah titah Allah yang disampaikan kepada Nabi saw di dalam mimpi atau dengan jalan ilham, lalu Nabi saw menerangkan apa yang disampaikan itu kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya sendiri serta menyandarkan kepada Allah; sedang hadith-hadith yang lain tidak demikian itu. Hadith Qudsi itu dinamakan juga Hadith Ilahi atau Hadith Rabbani.
Dan pernah pula dibezakan Hadith Qudsi dengan yang lainnya; iaitu segala hadith yang bersangkut dengan kebersihan atau kesucian zat Allah dan sifat-sifat kebesaran dan kemuliaanNya. [Kitab al-Dar al-Nadid min Majmu'ah al-Hafid]
Contoh Hadith Qudsi itu, Rasulullah saw bersabda:

"Firman Allah Ta'ala: Tiap-tiap amal anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk-pikukkan; maka jika dia dimaki oleh seorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan: aku ini berpuasa." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)
Rasulullah saw bersabda:

"Firman Allah Ta'ala: Aku menurut persangkaan hambaKu dan Aku bersamanya di mana saja ia sebut (ingat) akan daku." (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

ISTILAH-ISTILAH YANG DIGUNAKAN DALAM 'ILMU MUSTHALAH HADITH

Di antara istilah-istilah yang digunakan itu ialah:

Sanad: iaitu jalan yang menyampaikan kepada hadith.

Isnad: iaitu menyebutkan hadith itu kepada orang yang mengatakannya. Sanad dan isnad hampir sama ertinya; keduanya adalah penting untuk menentukan nilaian hadith. 'Abdullah bin Mubarak berkata: "Isnad adalah dari urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad, nescaya berkatalah orang yang mau apa yang ia mau berkata."

Musannid: iaitu orang yang meriwayatkan hadith dengan isnadnya.

Musnad: iaitu kitab yang dikumpulkan hadith di dalamnya, yang diriwayatkan dari seorang sahabat atau lebih.

Matan: iaitu hadith nabi (s.a.w) yang di akhir sanad.

Riwayat: iaitu memindahkan hadith dari seorang kepada seorang yang lain, dan orang yang memindahkan disebut rawi.

Istikhraj dan Ikhraj: iaitu mengambil sesuatu hadith dari sesuatu kitab, dan mencari sanad yang lain dari sanad penyusun kitab itu, atau menerangkan bahawa hadith itu dipindahkan oleh penyusun dari kitab yang lain; umpamanya dikatakan: Akhrajah Al-Bukhari, ertinya: mengeluarkan hadith itu oleh Imam Bukhari; maksudnya ada disebut di dalam Bukhari dan ia memindahkannya ke dalam kitabnya.

Muhaddis: iaitu orang yang banyak menghafaz hadith serta mengetahui sifat-sifat orang yang meriwayatkan tentang 'adil dan kecacatannya.

Hafiz: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 100,000 hadith dengan isnadnya.

Hujjah: iaitu orang yang menghafaz sebanyak 300,000 hadith dengan isnadnya.

Hakim: iaitu orang yang meliputi 'ilmunya dengan urusannya hadith.

BAHAGIAN-BAHAGIAN NAMA HADITH

HADITH-HADITH ITU TERBAHAGI KEPADA BEBERAPA BAHAGIAN, DI ANTARANYA;

1. HADITH MUTAWATIR

Iaitu hadith "Perbuatan atau perkataan atau pengakuan (taqrir) Nabi saw yang diketahui oleh beberapa orang yang sampai kepada bilangan mutawatir, iaitu bilangan yang tidak mungkin pada fikiran kita bahawa mereka akan bermuafakat berbuat dusta tentang perkhabaran (hadith) itu. Dan dari mereka yang tersebut sampai pula perkhabaran itu kepada orang lain yang dipercayai. Demikianlah pertalian penerimaan turun temurun itu sampai ke akhirnya."

Contoh hadith mutawatir itu ialah:

"Barangsiapa berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di dalam neraka." [Riwayat Jama'ah dari Abu Hurairah - hadith ini menurut kata Imam Nawawi diriwayatkan oleh 200 orang sahabat.]

2. HADITH MASYHUR ATAU MUSTAFIDH

Iaitu hadith yang diriwayatkan dari tiga sanad yang berlainan orang atau hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih kepada tiga orang atau lebih dan begitulah seterusnya hingga dapat sekurang-kurangnya tiga sanad yang berlainan.

Contohnya ialah:

"Orang-orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya) lidahnya dan tangannya."

Hadis ini diriwayatkan oleh tiga orang Imam hadith dari sanad yang berlainan. Pertama: Imam Bukhari. Kedua: Imam Muslim. Ketiga: Imam Tirmizi.

Sanad Imam Bukhari: ialah Bukhari dari Adam dari Syu'bah dari 'Abdullah B. Abu Safar, dari Al-Sya'bi, dari 'Abdullah Bin 'Amru dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Muslim: ialah Imam Muslim dari Sa'id, dan Yahya, dari Abu Burdah dari Abu Burdah, dari Abu Musa dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Sanad Imam Tirmizi: ialah Tirmizi dari Qatadah, dari Al-Laith dari Al-Qa'qa', dari Abu Saleh, dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alayhi wa sallam.

Cubalah perhatikan ketiga-tiga sanad tersebut. Di antaranya tidak seorangpun yang sama nama dan orangnya. Abu Burdah dalam sanad Imam Muslim ada dua tetapi orangnya berlainan. Abu Burdah yang pertama itu cucu dari Abu Burdah yang kedua, jadi dengan demikian tidaklah sama.

3. HADITH SAHIH

Iaitu hadith yang berhubung sanadnya dari permulaan hingga akhirnya dan orang yang menjadi riwayatnya semuanya mempunyai sifat-sifat ini:

a) Adil
b) Dabid
c) Sejahtera dari keganjilan
d) Sejahtera dari 'illat (kecederaan) yang memburukkan).

Penjelasan Sifat-sifat Perawi:

'Adil: Yang dimaksudkan dengan 'adil ialah: Orang Islam, baligh, ber'aqal, tidak mengerjakan dosa besar, tidak pula berkekalan melakukan dosa kecil dan tidak mengerjakan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah atau kehormatan diri.

Dabid: Yang dimaksudkan dengannya ialah: Orang yang cukup kuat ingatan untuk mengingat sesuatu yang didengarnya. Bila sahaja dikehendaki ia dapat mengeluarkannya (menyebutkannya) dari ingatannya dengan mudah. Termasuk kepada pengertian ini apabila ia menulis hadith yang telah didengarnya dan disimpannya serta diyakini benar-benar sahnya sehingga diriwayatkan orang daripadanya.

Sejahtera dari keganjilan: Yang dimaksudkan ialah: Sejahtera riwayatnya dari perbezaan dari riwayat orang-orang yang kepercayaan dengan bertambah atau berkurang pada sanadnya atau matannya.

Sejahtera dari 'illat (kecederaan yang memburukkan): Yang dimaksudkan ialah:

Sejahteranya dari sebab-sebab yang tersembunyi yang dapat memburukkan atau mencacatkan hadith, misalnya; didapati setelah dilakukan penelitian yang mendalam, bahawa di antara seorang perawi (yang meriwayatkan hadith) yang tadinya disangka kuat ingatan, tenyata seorang yang tidak kuat ingatannya.
Hadith sahih boleh dijadikan hujjah dalam hukum Islam misalnya ialah:

"Tidak ada sembahyang bagi orang yang tidak membaca Fatihah." (Riwayat Bukhari dari 'Ubadah bin Samit)

"Kalaulah tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

"Barangsiapa mengumpulkan (sesuatu barang untuk dijual dengan harga yang lebih mahal) maka ia adalah bersalah." (Riwayat Muslim, Abu Dawud dan Tirmizi)

4. HADITH HASAN

Iaitu hadith yang berhubung (bersambung) sanadnya dan diriwayatkan oleh orang-orang yang 'adil sama seperti hadith sahih, tetapi kurang dabidnya; iaitu kurang kekuatan ingatannya (hafaznya) lagi sejahtera dari keganjilan dan kecederaan.

Kekurangan satu syarat itu mengurangkan nilai dan martabat hadith, dan meletakkan tingkatan hadith hasan.

Hadith hasan boleh dijadikan hujjah dalam menetapkan sesuatu hukum. Misal hadith hasan ialah seperti misal hadith sahih yang lalu, iaitu hadith:

"Kalaulah tidak aku menyusahkan atas ummatku nescaya aku perintahkan mereka dengan bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang." (Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah)

Hadith ini adalah sahih menurut riwayat Bukhari dari jalan (sanad) A'raj dari Abu Hurairah. Dan hadith ini juga dikatakan hadith hasan menurut riwayat Tirmizi dari jalan (sanad) Muhammad bin 'Amru dari Abi Salamah dari Abu Hurairah.

Adapun sebab hadith ini menjadi hadith hasan kerana menurut riwayat Tirmizi bahawa Muhammad bin 'Amru salah seorang daripada sanadnya tidak mempunyai kekuatan ingatan yang diperlukan dalam syarat hadith sahih.
Lagi misal hadith hasan ialah:

"Sembelihan anak binatang dalam perut ibunya ialah sembelihan ibunya[*]."

[*] Maksudnya: cukuplah sembelihan ibunya sahaja.

Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa imam hadith. Dan kalau dilihat dari sanad imam Tirmizi, nyatalah bahawa di antara beberapa orang sanadnya ada seorang yang benama Mujalid. Ia seorang yang lemah. Begitu pula kalau dilihat dari sanad Imam Hakim (dalam kitabnya al-Mustadrak) maka teranglah bahawa di antara beberapa orang sanadnya ada seorang yang benama Abu Laili. Ia seorang ulama' fiqh dan qadi hadith tersebut dengan sendirinya telah menjadi hadith hasan.

ISTILAH YANG DIPAKAI UNTUK MARTABAT HADITH-HADITH SAHIH

Menurut yang diistilahkan dalam ilmu ini, bahawa apabila satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanad mereka masing-masing maka dinamakan hadith tersebut: (riwayat Bukhari dan Muslim). Dan apabila hadith yang satu itu diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dengan sanad yang satu yang bersamaan qaul dan matan dan sanadnya, maka hadith itu dinamakan: Hadith Muttafaqun 'Alaih, ertinya: yang disetujui keduanya atasnya.

Hadith seperti ini, iaitu (yang disetujui keduanya atasnya) adalah setinggi martabat hadith, yang diutamakan dan didahulukan waktu mengambil dalil satu-satu hukum daripada yang lainnya.

Ulama' hadith telah membahagikan hadith sahih kepada tujuh bahagian.

1. Hadith sahih yang disetujui keduanya (oleh Bukhari dan Muslim), iaitu keduanya meriwayatkan dengan sanad yang satu. Ini yang dinamakan muttafaqun 'alaih.

2. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari sendiri.

3. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim sendiri.

4. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith (selain keduanya) dengan sanad sepakat antara keduanya. Ini yang dinamakan yang dipersetujui oleh keduanya.

5. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh Ulama' hadith dengan sanad Bukhari menurut syarat-syarat yang dipakai Bukhari sendiri dalam kitabnya. Ini yang dinamakan menurut syarat Bukhari.

6. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith dengan sanad Muslim atau menurut syarat-syarat yang dipakai Musllm sendiri. Ini dinamakan menurut syarat Muslim.

7. Hadith sahih yang diriwayatkan oleh ulama' hadith selain Bukhari dan Muslim.
Dengan memerhatikan bahagian-bahagian ini tahulah kita bahawa hadith sahih itu bertingkat-tingkat martabatnya dan kedudukannya diutamakan dari yang lainnya dan apabila ditemui hadith lain yang bertentangan maksudnya dengan hadith sahih, maka hadith sahih inilah yang didahulukan dan diamalkan.

HADITH HASAN SAHIH

Dalam kitab-kitab hadith seperti kitab Sunan Tirmizi dan dalam kitab ini (Hadith Empat Puluh) ada didapati di akhir hadith perkataan "Hasan Sahih" ertinya hadith ini hasan lagi sahih. Dengan demikian bermakna hadith itu mempunyai dua martabat: pertama hasan dan kedua sahih.

Menurut keterangan ulama' hadith, bahawa hadith tersebut dikatakan hasan menurut perhitungan atau penilaian pada satu sanadnya. Dan dikatakan pula sahih padanya menurut perhitungan atau penilaian pada sanadnya yang lain. Ini jika pada hadith itu ada sanadnya (jalannya).

Jika pada hadith itu satu sanadnya, maka erti hasan padanya menurut pandangan segolongan ulama' hadith dan sahih menurut pandangan ulama' yang lain, yang tidak sama tinjauan terhadap sifat dan peribadi orang yang menjadi rawinya atau yang memindahkannya.

HADITH DA'IF

laitu hadith yang tidak mempunyai syarat hadith sahih dan tidak pula syarat hadith hasan, misalnya: rawinya (orang yang meriwayatkannya) bukan orang Islam, belum lagi baligh, tidak pula diketahui orangnya atau sifatnya, tidak bagus ingatannya kerana selalu lupa, tidak benar percakapannya, tetapi pernah berdusta, serta tidak menjauhi dari melakukan dosa dan perbuatan-perbuatan yang menjatuhkan maruah atau kehormatan peribadinya, ditambah lagi riwayatnya menyalahi riwayat orang yang lebih masyhur daripadanya.

Hadith da'if mempunyai martabat yang berlainan; ada yang terlampau lemah, dan ada yang lemah, menurut keadaan sanad dan matannya. Di antara hadith da'if ialah hadith munqati', mu'addal, syaz, muddarab.

Misal hadith da'if ialah:

"Barangsiapa berkata kepada orang miskin, bergembiralah engkau! Maka sesungguhnya wajiblah (tetaplah) syurga baginya." (Riwayat Ibn 'Adi)
Dalam riwayat hadith ini, ada seorang bernama 'Abdul Malik bin Harun yang dituduh pendusta. Kerana ini hadith tersebut dipandang da'if.

"Menuntut ilmu adalah fardu atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan wanita." (Riwayat al-Baihaqi Ahmad dari Anas)

Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini masyhur di antara manusia tetapi sanadnya lemah dan telah diriwayatkan menerusi jalan yang banyak yang kesemuanya lemah belaka.

Sementara itu Imam Nawawi telah pula berkata: Hadith itu da'if (lemah) sekalipun maknanya sahih (betul) dan telah diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dalam Masnadnya dengan sanadnya sekali dari Anas dan Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam. Dalam sanadnya itu terdapat seorang benama Hafsin bin Sulayman, ia orang yang lemah.

"Makhluq itu keluarga Allah, dan mereka yang lebih kasih kepada Allah ialah mereka yang lebih bermanfa'at kepada keluarganya."

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Ya'la al-Musalla dari riwayat Yusuf bin 'Atiyyah dari Thabit dari Anas dari Nabi Sallallahu 'alayhi wa sallam. Yusuf bin 'Atiyyah adalah orang yang lemah, kerana ini hadithnya adalah hadith yang lemah.

Hukum meriwayatkan hadith da'if dan mengamalkannya*

Sebahagian Ulama' membolehkan kita meriwayatkan hadith da'if dengan tidak menerangkan keda'ifannya dalam perkara yg berhubungan dengan kisah atau cerita, pengajaran atau nasihat dan yg bertalian dengan keutamaan ‘amal (Fadail al-‘amal) itu sahaja, dan tidak dalam perkara yg berhubungan dengan i'tiqad dan dengan hukum halal, haram, makhruh, sunat. Demikian menurut pendapat sebahagian Ulama'.

Seterusnya mereka sepakat menetapkan bahawa tidak boleh sama sekali kita mengamalkan hadith da'if untuk menetapkan sesuatu hukum halal, haram, hukum jual-beli, hukum perkahwinan, talaq dan lain-lain.

Imam Bukahri, Muslim dan Abu Bakar Ibn al-'Arabi menetapkan bahawa tidak boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk segenap pekerjaan, untuk segala keperluan walaupun untuk menerangkan keutamaan sesuatu ‘amal, supaya tidak ada orang yg mengatakan kepada Rasulullah saw perkataan yg tidak baginda katakan, dan supaya tidak ada orang yg meng'itiqadkan sunat sesuatu perkara yg tidak disunatkan.

Sementara itu Imam Nawawi berkata: "Bahawa Ulama' hadith, fiqh dan lain-lain telah menetapkan bahawa boleh kita mempergunakan hadith da'if untuk ‘amal-'amal utama (Fadail ‘amal) dan untuk pengajaran menggemarkan dan menakutkan, selama hadith itu belum sampai ke darjat maudu' (palsu).

1. Hadith Sahih Li Zaatihi:

Perkataan Sahih adalah lawan kpd perkataan sakit.
Dari sudut istilah:

Iaitu Hadis yg bersambung sanadnya melalui pembawakan org yg kuat hafalan dan adil serta meriwayatkan drpd org yg kuat hafalan dan adil sehinggalah ke akhirnya tanpa terdapat syuzuz iaitu keganjilan dan tanpa ada illat iaitu kecacatan.

2. Sahih Li Ghairihi atau dinamakan juga Hasan Li Zaatihi apabila ianya diriwayatkan melalui satu atau beberapa cara yg lain maka ianya dibantu oleh suatu kekuatan pada dua bentuk:

Pertama: Riwayatnya adalah melalui perawi-perawi yg masyhur dgn kebenaran dan penjagaan rahsia sekalipun berkurangan kekuatan hafalan mereka ataupun tidak mencapai taraf ahli Hafaz yg mahir dari kalangan perawi-perawi Hadis Sahih.

Kedua: Riwayatnya adalah melalui cara yg lain di mana dgn cara ini diperolehi satu kekuatan yg dapat menggantikan apa yg hilang pada kesempurnaan kekuatan hafalan dan dapat menaikkan taraf dari taraf Hasan kpd taraf Sahih, cuma ianya bukan Li Zaatihi, bahkan ianya dianggap Li Ghairihi. Hadith Sahih:
Hukumnya:

1- Hadis tersebut adalah sahih dan wajib membuat hukum dengannya apabila terdapat di dlm kedua-dua kitab sahih Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat yg dipilih oleh Ibnu Solah serta menetapkan kesahihannya.

2- Wajib beramal dgn setiap Hadis sekalipun tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim, sebagaimana pendapat Ibnu Hajar di dlm huraian kitab An-Nakhbah.

3- Hendaklah diterima kesahihannya sekalipun tiada yg beramal dengannya, sebagaimana pendapat Al-Qasimi di dlm kitab kaedah-kaedah meriwayatkan Hadis, iaitu Qawaid At-Tahdis.

4- Tidak terhalang utk beramal selepas menerima Hadis yg sahih jika diketahui tidak terdapat hukum yg membatalkan atau tiada perselisihan jumhur ulama atau tiada pertembungan, bahkan hendaklah beramal dengannya sehinggalah terdapat suatu ayat Al-Qur'an Atau Hadis yg melarang, maka hendaklah diperhatikan padanya terlebih dahulu.

5- Tidak akan mencacatkan kesahihan sesebuah Hadis walaupun hanya terdapat seorang sahaja dari kalangan sahabat yg meriwayatkannya. Ini adalah diambil drpd kata-kata Ibnu Al-Qayyim di dlm kitab (Ighathah Al-Lahfan).

6- Tidak semua Hadis yg sahih diceritakan kpd org awam. Dalilnya ialah: Hadis yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim drpd Muaz dan antaranya (Tidak ada seseorang yg mengucapkan kalimah syahadah bahawa tiada tuhan yg layak disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah akan memasuki neraka kerana Allah mengharamkan Neraka kepadanya). Sehubungan dgn itu Muaz berkata: Wahai Rasulullah! Apakah aku boleh menyampaikannya kpd org ramai agar mereka dapat bergembira? Rasulullah s.a.w bersabda: (Kalau begitu mereka akan hanya berserah tanpa berusaha). Tetapi Muaz menyampaikannya juga selepas kewafatan baginda.

Kedudukan Hadis Sahih mengikut karangan yg masyhur iaitu tujuh kedudukan:

1- Hadis yg telah disepakati kesahihannya oleh Syaikhan iaitu Imam Bukhari dan Imam Muslim (Muttafaqun 'alaihi).

2- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

3- Hadis yg hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

4- Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari dan Imam Muslim walaupun mereka berdua tidak meriwayatkan di dlm Sahih masing-masing. Imam Nawawi berkata: (Pendapat mereka bermaksud: Untuk memastikan Hadis Sahih kita mestilah berpandukan kpd syarat imam Bukhari dan Muslim secara mengenal pasti bahawa perawi-perawi Hadis tersebut terdapat di dlm kedua-dua kitab mereka (kitab sahih Imam Bukhari dan Imam Muslim) kerana mereka berdua tidak meletakkan syarat di dlm kitab masing-masing begitu juga di dalam kitab-kitab yg lain).

5- Hadis yg menepati syarat Imam Bukhari tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.

6- Hadis yg menepati syarat Imam Muslim tetapi beliau tidak meriwayatkannya di dlm kitab sahih.

7- Hadis yg dianggap sahih oleh ulama-ulama selain drpd keduanya tetapi tidak menepati syarat salah seorang drpd mereka.

Bahagian Dua

Abu Isa At-Tirmizi dianggap sebagai org pertama yg diketahui telah membahagikan Hadis kpd Sahih, Hasan dan Dhaif sebagaimana yg disebut oleh Ibnu Taimiyah di dlm kitab Majmuk Al-Fatawa tetapi pengertiannya terhadap Hadis Hasan, ialah Hadis Hasan Li Ghairihi. Beliau telah membuat pengertian di dlm bab kecacatan-kecacatan yg terdapat di dlm kitab Jami'nya, di mana katanya: (Setiap Hadis yg diriwayatkan kemudian tidak terdapat pada isnadnya perawi yg dituduh berbohong dan Hadis tersebut juga tidak ganjil serta diriwayatkan dgn bentuk lain yg seumpamanya, maka pada pendapat kami ianya adalah Hadis Hasan).

Perkataan berlawanan dgn kuat. Dhaif terdapat dlm bentuk fizikal (hissi) dan maknawi. Dhaif yg dikehendaki di sini ialah dari segi maknawi.
Dari sudut istilah:

Pengertian yg dibuat oleh Ibnu Solah ialah: Setiap Hadis yg tidak terkumpul padanya sifat2 Hadis Sahih dan Hadis Hasan.

Dhaif dapat dibahagikan apabila hilang syarat2 penerimaan kpd beberapa jenis dan secara ringkasnya adalah seperti berikut:

a - Hilang syarat sanad yg bersambung. Ianya dapat dibahagikan kpd lima bahagian iaitu:

1 - Muallak 2-Mungqati' 3-Muaddhal 4-Mursal 5-Mudlis

b - Hilang syarat adil. Ianya dapat dibahagikan kpd beberapa bahagian iaitu:

1 - Maudu' 2-Matruk 3-Mungkar 4-Matruh 5-Mudha'af 6-Mubham

c - Hilang syarat kuat hafalan. Ianya terbahagi kpd:

1 - Mudraj 2-Maqlub 3- Muddtarib 4-Musahhif dan Muharrif

d - Hilang syarat terpelihara drpd syuzuz (keganjilan). Ianya dapat dibahagikan kpd satu bahagian sahaja iaitu syaz.

e - Hilang syarat terpelihara drpd Illat (kecacatan). Ianya hanyalah satu bahagian sahaja iaitu Muallil.

Hukum meriwayat dan beramal dengannya (Hadis dhaif)

Hadis-hadis Dhaif yg tidak tetap dan tidak ditegaskan pembohongannya.

Ibnu Taimiyah menyebut di dlm kitab Majmuk Al-Fatawa: (Apabila diketahui ianya adalah batal dan Hadis yg diada-adakan, tidak harus cenderung kepadanya, kerana sesuatu pembohongan adalah sama sekali tidak berfaedah, tetapi apabila terdapat ketetapan bahawa ianya adalah Sahih, maka tetaplah hukumnya dan apabila berlaku keraguan pada keduanya maka ia boleh diriwayatkan kerana kemungkinan ianya benar dan tiada kemudaratan pada pembohongannya.

Imam Ahmad berkata: Apabila seseorang berkata: Jika terdapat suatu targhib (Dorongan mendekati kebaikan) dan tarhib (Dorongan menjauhi keburukan), maka kami mempermudahkan pada sanad-sanadnya. Maksudnya: Kami meriwayatkan Hadis, di dlm Hadis tersebut disertakan dgn sanad-sanad sekalipun perawinya tidak mempunyai kepercayaan yg boleh dibuat hujah.

Begitu juga ada yg berpendapat: Ianya boleh diamalkan dari sudut kelebihan-kelebihan amalan.

Dimana (beramal dengannya ialah beramal dgn amalan yg soleh seperti membaca Al-Qur'an dan berzikir). Begitu juga pendapat beliau: (Apabila Hadis-hadis bab kelebihan mempunyai kadar dan had tertentu seperti sembahyang dlm waktu tertentu dgn bacaan tertentu atau dgn cara tertentu, maka ianya tidak harus kerana galakan terhadap gambaran yg tertentu ini, tidak tetap dgn dalil syarak).

Kemudian beliau mengakhiri kata-katanya dgn berkata: Maka keputusannya dlm bab ini, dibolehkan meriwayat dan beramal dengannya dlm keadaan targhib dan tarhib, bukan dlm bab galakan. Kemudian pegangan terhadap perkara wajib, iaitu kadar pahala dan balasan bergantung pada dalil syarak).

Kesimpulan drpd kata-kata Ibnu Taimiyah yg lepas, iaitu syarat-syarat yg wajib diikuti ketika meriwayatkan Hadis Dhaif yg tidak tetap pembohongannya serta tidak ditegaskan kebenarannya.

Syarat-syarat tersebut ialah:

1- Hendaklah terkandung dlm asas amalan seperti membaca Al-Qur'an dan doa.

2- Bukan dari ketetapan syarak atau merupakan sifat bagi Allah iaitu drpd perkara-perkara yg berhubung dgn aqidah dan hukum, juga bukan galakan dan seumpamanya.

3- Ianya bukan perkara batil yg dibuat-buat. Jika diketahui kebatilan dan ianya perkara yg dibuat-buat, maka tidak harus diambil kira dan berhujah dengannya dlm semua perkara.

Hadith Maudhu’ (Palsu / Dusta)

Pengertiannya pada bahasa:

Kalimah maudhuk iaitu menjatuhkannya dan dinamakan sedemikian kerana tergugur kedudukannya.

Dari sudut istilah:

Berita yg dibuat-buat terhadap Rasulullah [s.a.w] sebagai pembohongan terhadap baginda.

Kedudukannya:

Ianya adalah seburuk-buruk jenis Dhaif, bahkan sesetengah ulama menjadikannya satu bahagian yg berasingan, tidak tergolong drpd Hadis-hadis Dhaif dan tidak digunakan padanya dgn lafaz Hadis melainkan dari sudut org yg memaudhukkannya.

Hukum meriwayatkannya:

Telah sepakat pengharaman meriwayatkan berita yg dibuat-buat Dan disandarkan kpd Rasulullah [s.a.w], melainkan jika diiringi dgn keterangan tentang Maudhuknya, ini ialah kerana Rasulullah [s.a.w] pernah bersabda:

Sesiapa yg membuat pembohongan terhadapku dgn sengaja maka disediakan tempatnya di dlm Neraka.
Sabda Baginda lagi:

Sesiapa yg memperkatakan sesuatu tentang aku dgn percakapan yg diketahui ianya adalah bohong maka dia adalah salah seorang pembohong.

Tanda-tanda Hadis Maudhuk:

Para ulama telah menggariskan kaedah-kaedah utk mengenali Hadis-hadis Maudhu’. Di antara kaedah-kaedah tersebut ialah:

1- Pengakuan drpd pembuat sendiri, seperti pengakuan Ibnu Abu Mariam yg mengaku membuat pembohongan terhadap Hadis-hadis Kelebihan Surah.

2- Terdapat bukti pada kedudukkan hubungan perawi, seperti meriwayatkan drpd syeikh yg terbukti beliau tidak menemuinya, hidup sezaman dgn nya, meninggal dunia sebelum kelahiran perawi atau beliau tidak memasuki tempat yg beliau mendakwa pernah mendengarnya spt Makmun bin Ahmad Al-Harawi yg mendakwa pernah mendengar drpd Hisyam bin Umar, maka Ibnu Hiban bertanya padanya: Bilakah kamu memasuki Syam? Beliau menjawab: Pada tahun 250 Hijrah. Ibnu Hiban berkata: Sesungguhnya Hisyam yg diriwayatkan oleh Makmun telah meninggal dunia pada tahun 245 Hijrah.

3- Terdapat bukti pada matan yg menunjukkan pembohongannya, seperti terdapat pada riwayat tersebut kesalahan pada tata bahasa atau terdapat kelemahan pada lafaz dan tergugur makna.

4- Bersalahan dgn akal, fizikal dan penyaksian: Spt riwayat drpd Ar-Rahman bin Zaid bin Aslam bahawa kapal Nabi Nuh a.s tawaf di Baitullah tujuh keliling dan sembahyang di belakang makam dua rakaat.

5- Bersalahan dgn keterangan Al-Qur'an dan sunnah yg sahih, yg tidak boleh ditakwil seperti: Aku adalah penutup para Nabi, tiada Nabi selepasku melainkan jika dikehendaki oleh Allah; maka ianya bersalahan dengan firman Allah s.w.t yg bermaksud: (Tetapi Muhamad adalah pesuruh Allah dan penutup para Nabi) dan seperti apa yg bersalahan terhadap kebenaran sunnah yg mutawatir (Akulah penyudah, tiada Nabi selepasku).

6- Bersalahan dgn data sejarah yg diketahui pada masa Nabi s.a.w seperti riwayat dikenakan Jizyah ke atas org Yahudi selepas perang Khaibar dan tidak dikenakan kerja tanpa upah terhadap mereka dgn disaksikan oleh Saad bin Muaz dan ditulis oleh Muawiah bin Abu Sufian. Sedangkan ketetapan sejarah mengatakan bahawa Jizyah belum lagi diperkenalkan dan belum disyariatkan pada tahun peperangan Khaibar kerana ayat tentang Jizyah diturunkan selepas tahun peperangan Tabuk. Sesungguhnya Saad bin Muaz meninggal dunia sebelum peristiwa tersebut iaitu dlm peperangan Khandak. Manakala Muawiah pula memeluk Islam pada tahun pembukaan Mekah.

7- Khabar tentang perkara yg penting berulang dakwaan pembawakannya seperti yg berlaku dgn disaksikan oleh semua sahabat tetapi tidak meriwayatkanya melainkan seorang sahaja dan yg lainnya menyembunyikannya, seperti diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah memegang tangan Ali bin Abu Talib ketika dihadiri oleh seluruh sahabat sewaktu kepulangan mereka dari mengerjakan Haji Widak, kemudian baginda bersabda selepas org ramai mengenalinya: (Kanak2 ini adalah, saudaraku dan akan menjadi khalifah selepasku, maka hendaklah kamu mendengar dan mentaatinya). Adakah seseorang Muslim boleh menerima berita yg menunjukkan semua sahabat telah sepakat utk menyembunyikannya ketika mereka memilih Abu Bakar sebagai Khalifah dan dgn dipersetujui oleh Abu Bakar dan mereka menyetujuinya sbg khalifah mereka?

8- Mengandungi balasan yg berat teradap dosa kecil atau pahala yg banyak terhadap amalan yg sedikit. Perkara ini masyhur terhadap balasan siksa dan balasan baik seperti kata mereka: (Sesiapa yang mengucapkan kalimah "Tiada illah melain Allah" maka Allah akan menciptakan utk nya seekor burung yg mempunyai tujuh puluh ribu lidah manakala setiap lidah mempunyai tujuh puluh ribu bahasa yg sentiasa meminta keampunan untuknya.

Hadith Qudsi

Pengertiannya pada bahasa:

Al-Qudsi dinisbahkan kpd perkataan Al-Qudus iaitu suci, manakala Hadis Qudsi pula ialah Hadis yg dinisbahkan kpd Zat Yg Maha Suci iaitu Allah s.w.t.
Dari sudut istilah:

Hadis yg diriwayatkan kpd kita drpd Nabi s.a.w. Sanad Hadis tersebut disandarkan oleh Nabi s.a.w kpd Allah s.w.t samada bersambung atau tidak dan ianya bukan Al-Qur'an.

Bentuk Riwayatnya:

Utk meriwayatkan Hadis Qudsi perawi boleh menggunakan dua bentuk riwayat iaitu:

1 - Sabda Rasulullah s.a.w tentang apa yg diriwayatkan atau (diceritakan) oleh Allah s.w.t.
2 - Firman Allah s.w.t sebagaimana yg diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w.
Hukumnya:
Terbahagi kpd Hadis yg diterima atau Hadis yg ditolak mengikut keadaan perawi.

Dalam meriwayatkan hadis dhaif, ulama' telah menggariskan kaedah2 tertentu. tidak boleh secara semborono.

Al-Imam al-Nawawi ada menyebutkan:

Para ulama dari kalangan ahli Hadis, ahli Feqh dan selainnya berkata: Dibenarkan dan disukai beramal dengan hadis Dhaif dalam hal2 fadha'il serta targhib dan tarhib, selama hadis itu tidak berstatus maudhu' (palsu). (Al-Azkar, hal. 5)

Fadha'il bermaksud hadis2 yang menyatakan kelebihan beramal. Targhib ialah hadis yang mengandung galakan untuk berbuat baik. Dan tarhib pula adalah yang mengandungi ancaman bagi mereka yang berbuat jahat dan maksiat.

Berdasarkan pendapat al-Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa beramal dengan hadis dha'if adalah dilarang kecuali:

1. Dalam hal2 fadha'il, targhib dan tarhib. Kebalikannya ialah, hadis dhaif tidak boleh digunakan sebagai hujah hukum.

2. Kedha'ifan hadis itu tidak sampai ke tahap maudhu'.

------------------------

Apabila al-Imam al-Nawawi mensyaratkan pengamalan hadis dha'if adalah yang tidak sampai ke taahap maudhu', maka kita tertanya2 apakah maksudnya? Apakah penafsirannya?

Catatan kaki di dalam al-Azkar ada menyebutkan:

"Perkataan al-Nawawi: (Selama hadis itu tidak berstatus maudhu'): Termasuk hadis yang terlalu dha'if. Maka tidak boleh beramal dengan hadis yg di dalamnya terdapat rawi yang pendusta atau tertuduh dusta. Dan, ada lagi dua syarat untuk beramal dengan hadis Dha'if, iaitu: Sesuatu amalan itu hendaklah mempunyai syahid yang lain (ada dasarnya dari nash lain yang sahih) seperti ia berada di bawah suatu nash yang umum atau di bawah satu kaedah umum. Ketika beramal dengan hadis ini hendaklah tidak di-Iktikadkan bahawa ia sabit (dari Rasulullah s.a.w.). Malah, hendaklah di-iktikadkan sebagai ihtiati (langkah berjaga2) sahaja." (ibid.)

Ini bermakna berdasarkan kepada kenyataan al-Imam al-Nawawi dan dari catatan kaki dalam kitab al-Azkar, bahawa untuk beramal dengan hadis Dhaif bukanlah secara mutlak boleh beramal. Asal sahaja ada hadis dhaif yang berbentuk fadha'il amal, maka kita boleh terus beramal dengannya. Bukan begitu. Mahu beramal dengan hadis dhai'if ada syarat-syaratnya. Sebagaimana yg dinyatakan ada 4 syarat:

1. Hadis itu untuk fadha'il a'mal, targhib dan tarhib.

2. Hadis itu tidak terlalu dha'if dan tidak maudhu'.

3. Amalannya mestilah mempunyai dasarnya dari nash sahih yang lain yang umum atau ia berada di bawah kaedah yang umum.

4. Semasa beramal, hadis itu tidak di-iktikad-kan sabit dari Rasulullah s.a.w.. Malah ia hendaklah ber-iktikad untuk ihtiyati sahaja.

Jadi, adalah suatu tanggapan yang salah apabila kita berhadapan dengan hadis dha'if lalu kita mengatakan: "Tidak mengapa, ini hanya untuk fadhilat amal sahaja.." Tanpa kita memperhatikan syarat2nya.

Antaranya, beliau menyebutkan:

"… Al-Hafiz Ibnu Hajar menetapkan tiga persyaratan untuk dapat diterimanya periwayatan yang lemah (dhaif) dalam hadis-hadis raqa'iq dan targhib. Ketiga syarat itu disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadribur Rawi sebagai berikut:

Pertama (syarat ini disepakati oleh para ahli): Kelemahan tersebut tidak keterlaluan. Kerana itu, harus ditolak periwayatan tunggal dari orang-orang yang memang dikenal sebagai pembohong, atau yang dicurigai sebagai pembohong, ataupun yang dikenal hafalannya sangat tidak akurat.

Kedua: Makna hadis tersebut masih dapat digolongkan dalam suatu tema dasar umum yang diakui. Maka harus ditolak setiap hadis yang hanya dikarang begitu sahaja, dan tidak ada asalnya sama sekali.

Ketiga: Pada saat penerapannya, hendaknya tidak dipercayai sebagai hadis yang tak diragukan asalnya dari Nabi s.a.w. Agar tidak terjadi penisbahan suatu ucapan kepada baginda, sedangkan baginda tidak mengucapkannya. Jadi, hendaknya hadis tersebut dipercayai dengan sikap ihtiyath (berhati-hati). (Kaifa Nata'amalu Ma'as Sunnah (edisi terjemahan: Bagaimana Memahami Hadis Nabi s.a.w.), hal. 71)

No comments:

Post a Comment