Thursday, August 18, 2011

TATA CARA SHOLAT HARI RAYA,

SOLAT HARI RAYA

a. Hukum solat hari raya

Ulama'-ulama' berselisih pendapat dalam menentukan hukum solat hari raya. Pendapat yang rajih, wallahu'alam adalah : Fardhu 'Ain. Ini berdasarkan beberapa hujjah :

1. Firman Allah :

﴿ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴾

Maksudnya : "Maka bersolatlah dan tumpahkanlah darah
(berkorban)". [Al-Kauthar : 2]

Jadi, perintah bersolat serta berkorban dalam ayat ini membawa makna wajib berdasar shigah amar (فصَلّ) . Soal pengecualian bagi sesiapa yang tidak mampu, tidak perlu diperbincangkan. Kaedah (المشقة تجلب التيسير) iaitu : "Kepayahan membawa kepada kemudahan", telah menjelas bahawa sesiapa yang tidak berkemampuan atau menghadapi sebarang kesusahan maka dikecualikan darinya.


2. Nabi saw serta para sahabat ra tidak pernah meninggalkan solat hari raya dan memerintah supaya semua manusia sehingga wanita-wanita turut diperintah keluar bersolat hari raya, sebagaimana diriwayatkan dari Ummu 'Athiyyah :

[ أمرنا أن نجرج العواتق و الحُيّض في العيدين يشهدن الخير و دعوة المسلمين، و يعتزل الحُيض المصلى ]

Maksudnya : "Kami telah diperintahkan untuk mengeluarkan remaja-remaja dan wanita-wanita yang baligh pada kedua hari raya untuk menyaksikan kebaikan serta dakwah kaum muslim, dan (diperintahkan) wanita-wanita yang haid menjauhkan diri dari tempat solat". [HR Al-Bukhari : 971, Muslim : 890]

3. Solat hari raya adalah merupakan salah satu dari syiar islam seperti solat jumaat, bahkan lebih lagi kerana pada solat jumaat, wanita-wanita tidak diperintahkan ke masjid, manakala solat hari raya, kesemua wanita-wanita diperintahkan keluar dari rumah dan menuju ke musholla (kecuali wanita haid, mereka dilarang dari menghampiri tempat solat tetapi tetap diperintah supaya keluar dari rumah) untuk menyaksikan kebaikan. Wallahu'alam.

b. Waktu solat hari raya

Tidak ditemui riwayat-riwayat yang shahih lagi shorih dari Nabi saw berkenaan dengan ketetapan khusus waktu solat hari raya. Cuma terdapat beberapa riwayat dari sahabat ra yang dapat difahami darinya waktu solat hari raya, antaranya :

Diriwayatkan dari Yazid bin Khumair Arribhi :

[ خرج عبدالله بن بسر  صاحب رسول الله  مع الناس في يوم عيد فطر أو أضحى فأنكر إبطاء الإمام ، فقال : إنا كنا قد فرغنا ساعتنا هذه وذلك حين التسبيح ]

Maksudnya : "Abdullah bin Busr yang merupakan sahabat Rasulullah  pernah keluar bersama manusia pada hari raya fithri atau adha, maka dia telah mengingkari akan kelewatan imam. Dia telah berkata : Sesungguhnya, kita telah kehilangan waktu kita ini. Dan demikian itu ketika tasbih ". [HR Abu Daud : 1135]

- Syeikh Ali Hasan Al-Halabi telah berkata : "Inilah riwayat yang paling shahih dalam bab ini, dan telah diriwayatkan juga dari selainnya, tetapi tidak thabit (shahih) dari sudut penilaian sanadnya".

- Ibnul Qayyim telah berkata : Sesungguhnya Rasullullah  telah melewatkan solat 'Idul Fithri dan mempercepat solat 'Idul Adha, dan Ibnu Umar - yang terkenal dengan sedaya upayanya mengikut sunnah Nabi -, tidak keluar dari rumahnya kecuali selepas naik matahari".

* Kesimpulan, yang dapat dibuat dari athar serta kalam Ibnul Qayyim adalah seperti berikut :

1. Bermulanya waktu solat kedua hari raya adalah setelah naik
matahari setinggi sebatang tombak . Iaitu ketika mana, telah
berlalu waktu yang diharamkan bersolat dan telah tiba waktu
yang dibolehkan bersolat.

2. Disunnahkan melewatkan solat 'Idul Fithri agar manusia dapat
mengeluarkan zakat fithri mereka.

3. Disunnahkan mengawalkan solat 'Idul Adha agar manusia dapat
menyegerakan ibadah korban.

4. Tamatnya tempoh yang dibolehkan padanya solat 'Id adalah
selepas tergelincir matahari iaitu apabila masuk solat zohor.

* Jika tidak diketahui hari raya melainkan setelah akhir waktu, maka solat 'Id dikerjakan pada keesokan harinya, berdasarkan dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umair bin Anas dari bapa-bapa saudaranya yang merupakan sahabat Nabi , mereka berkata :

[أن ركبا جاءوا إلى النبي  يشهدون أنهم رأوا الهلال بالأمس،فأمرهم أن يفطروا وإذا أصبحوا أن يغدوا إلى مصلاهم]

Maksudnya : "Sesungguhnya telah datang satu rombongan kepada Nabi  dan (memberitahu bahawa) mereka telah menyaksikan anak bulan kelmarin. Maka Nabi  memerintah manusia berbuka pada hari itu, dan memerintah manusia supaya keluar keesokan harinya menuju ke musholla mereka ". [HR Abu Daud : 1157]

c. Adakah disunatkan bersolat sebelum (qabliyah) atau selepas (ba'diyah) solat hari raya ?

Jawapannya, tidak disunatkan. Kecuali solat tahiyyatul masjid , sekiranya bersolat di masjid. Adapun sekiranya bersolat di musholla (tanah lapang) maka tidak perlu baginya melaksanakan apa-apa solat walaupun solat tahiyyatul masjid. Sebagaimana hadis :

Riwayat Ibnu Abbas ra :

[ أن النبي صلى يوم الفطر ركعتين، لم يُصلّ قبلها و لا بعدها...]

Maksudnya : "Sesungguhnya Nabi saw telah bersolat pada hari 'Idul Fithri dua rakaat, dan Baginda saw tidak bersolat sebelumnya dan selepasnya.." [HR Al-Bukhari : 989]

* Al-Hafiz Ibnu Hajar telah berkata : "Yang terhasil dari hadis ini adalah tidak thabit bagi solat 'Id, sunat qabliyah atau ba'diyah, bercanggah dengan orang yang mengqiaskannya dengan solat jumaat".

* Ibnul 'Arabi telah berkata : "Solat sunat di musholla (pada pagi hari raya, qabliyah atau ba'diyah), sekiranya dilakukan oleh Nabi saw, tentulah ia diriwayatkan, barang siapa yang membolehkan solat, maka dia telah berpendapat solat itu adalah solat sunat mutlak, dan barang siapa yang meninggalkannya, maka dia telah berpendapat bahawa Nabi saw tidak melakukannya, dan barang sesiapa yang mengikut Nabi saw, maka dia sudah tentu mendapat petunjuk".

d. Tiada azan dan iqamah bagi solat 'Id

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas dan Jabir radhiallahu 'anhuma :

[ لم يكن يؤَذَّن يوم الفطر و لا يوم الأضحى ]

Maksudnya : "Tidak pernah diazan pada hari raya fithri, juga hari raya adha". [HR Al- Bukhari : 960, Muslim : 886]

Diriwayat dari Jabir bin Samurah ra :

[ صليت مع رسول الله  العيدين غير مرة، و لا مرتين، بغير أذان و لا إقامة ]

Maksudnya : "Aku telah bersolat bersama Rasulullah saw solat kedua-dua hari raya, bukan hanya sekali dua, tanpa azan dan iqamah" [HR Muslim : 886]
* Ibnul Qayyim telah berkata : "Apabila Rasulullah saw telah sampai di musholla, Baginda saw terus bersolat 'Id tanpa sebarang azan dan iqamah, juga tanpa mengatakan : (الصلاة الجامعة) . Dan sunnah adalah tidak dilakukan perkara-perkara tersebut".

e. Tatacara solat 'Id

1. Solat 'Id adalah dua rakaat.

Diriwayatkan dari Umar ra :

[صلاة السفر ركعتان،وصلاة الأضحى ركعتان،وصلاة الفطر ركعتان،تمام غير قصر على لسان محمد  ]

Maksudnya : "Solat safar dua rakaat, solat adha dua rakaat, solat fithri dua rakaat, sempurna (iaitu dua rakaat), tanpa mengurangkan lagi, atas lisan Muhammad". [HR Ahmad : 257]

2. Bermulanya rakaat pertama seperti solat-solat yang lain iaitu dengan takbiratul ihram.

3. Kemudian bertakbir (الله أكبر) :

7 kali sebelum bacaan : rakaat pertama (tidak termasuk takbiratul ihram dan takbir intiqal. )

5 kali sebelum bacaan : rakaat kedua (tidak termasuk takbir intiqal.)

* Berdasarkan dalil-dalil berikut :

Hadis 'Aisyah radhiallahu 'anha :

[ أن رسول الله  كان يكبر في الفطر والضحى في الأولى سبع تكبيرات وفي الثانية خمسا سوى تكبيرتي
الركوع ]

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah saw bertakbir pada solat hari raya fithri dan hari raya adha, pada rakaat pertama 7 kali, dan rakaat kedua 5 kali, tidak termasuk dua takbir untuk ruku' " [HR Abu Daud : 1150]

Dari 'Amru bin Shuib,dari ayahnya,dari datuknya, telah berkata :

[ كبّر رسول الله  العيد : سبعا في الأولى، ثم قرأ، ثم كبّر فركعوا، ثم سجد، ثم قام فكبّر خمسا، ثم قرأ،
ثم كبّر فركع، ثم سجد ]

Maksudnya : "Telah bertakbir Rasulullah saw pada (solat) hari raya : 7 kali pada rakaat pertama, kemudian Baginda saw membaca (Al-Fatihah & surah), kemudian Baginda saw bertakbir dan terus ruku', kemudian sujud, kemudian Baginda saw bangun berdiri (untuk rakaat kedua) serta bertakbir 5 kali, kemudian Baginda saw membaca (Al-Fatihah & surah), kemudian Baginda saw bertakbir dan terus ruku', kemudian sujud". [HR Abu Daud : 1152] .

4. Tidak ada sebarang dalil yang shahih dari Nabi saw bahawa Baginda saw mengangkat kedua tangan Baginda saw setiap kali bertakbir dalam solat 'Id (iaitu takbir 7 kali pada rakaat pertama dan 5 kali ada rakaat kedua) kecuali bagi takbiratul ihram dan takbir intiqal. Tetapi telah thabit perbuatan ini dari Ibnu Umar. (Lihat perbahasan di bawah dengan teliti).

Ulama'-ulama' telah berselisih dalam masalah ini kepada 2 pendapat yang mashur :

1. Jumhur : Imam Abu Hanifah, Imam Assyafi'e, Imam Ahmad dan diriwayatkan dari Imam Malik, juga pilihan Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin. Berpendapat bahawa disunatkan mengangkat kedua tangan setiap kali bertakbir dalam solat 'Id. Mereka berhujjah dengan beberapa dalil antaranya :

Perbuatan ini dari Ibnu Umar, bahawa beliau mengangkat kedua tangannya setiap kali betakbir dalam solat 'Id. Kerana Ibnu Umar ra terkenal dengan sikapnya yang bersungguh-sungguh dalam mengikut sunnah Nabi saw. Riwayat ini shahih sepertimana yang dinilai oleh Ibnul Qayyim.

Riwayat dari Umar ra :

[ أنه كان يرفع يديه مع كل تكبيرة في الجنازة و العيد ]

Maksudnya : "Sesungguhnya beliau telah mengangkat kedua tangannya setiap kali bertakbir pada solat jenazah dan 'Id". Tetapi sanadnya dhaif kerana diriwayatkan sanadnya terputus sebagaimana yang disebut oleh Imam Al-Baihaqi (3/291).

Hadis Wail bin Hujr ra tentang tatacara solat Nabi saw (solat fardhu) : Iaitu Baginda saw mengangkat tangan setiap kali bertakbir. Mereka mengqiaskan perbuatan ini dengan solat 'Id.

2. Imam Asthauri, diriwayatkan dari Imam Malik, dan dipilih oleh Syeikh Al-Albani. Antara hujah mereka :

Tidak thabit dari perbuatan Nabi saw.

Riwayat Umar ra adalah hadis yang dhaif. (telah dijelaskan)
Riwayat Ibnu Umar ra dhaif ; Menurut Ashab pendapat ini. Sekiranya shahih, ia tetap tidak thabit dari Nabi saw. Jadi untuk mengatakannya sunnah adalah tidak benar. Wallahu'alam.

Imam Malik berkata : "Aku tidak mendengar sesuatu pun (hadis atau athar sahabat) berkenaan dengan mengangkat tangan ketika bertakbir dalam solat 'Id"

Syeikh Al-Albani berkata :

[ فمن كان يظن أنه –أي ابن عمر- لا يفعل ذلك إلا بتوقيف من النبي، فله أن يرفع ]

Maksudnya : "Barangsiapa yang menyangka Ibnu Umar ra, tidak akan melakukan perkara tersebut (iaitu mengangkat tangan ketika bertakbir dalam solat 'Id) kecuali dengan tauqif (thabit) dari Nabi saw, maka silalah melakukannya".

* Masalah ini merupakan masalah khilaf, yang perlu sama-sama kita berlapang dada, kerana kedua-dua pendapat memiliki hujah berdasarkan dalil-dalil. Cuma masalah yang berlaku adalah cara memahami dan menilai kedudukan nas-nas tersebut. Perlu diingatkan, sekiranya perselisihan yang berlaku antara dalil (Al-Quran dan As-sunnah As-Shohihah) dan akal serta dalil-dalil yang lemah, maka tidak perlu ragu-ragu untuk meninggalkan akal serta dalil-dalil yang lemah demi mendahulukan dalil Al-Quran dan Assunnah Asshohihah. Perhatikan !!

5. Tidak Shahih dari Nabisaw bahawa Baginda saw berzikir dengan zikir-zikir tertentu antara takbir dalam solat 'Id. Tetapi telah thabit dari Ibnu Mas'ud ra beiau berkata tentang solat 'Id :

[ بين كل تكبيرتين حمد لله عز و جل و ثناء على الله ]

Maksudnya : "Di antara setiap dua takbir, diucapkan pujian serta sanjungan kepada Allah" [HR Al-Baihaqi : 3/291]

* Adapun perbuatan manusia sekarang mengadakan zikir-zikir tertentu dengan kadar-kadar yang tertentu, tidak dapat dipastikan dalilnya. Perlu diingatkan, athar Ibnu Mas'ud ra adalah umum dan beliau sama sekali tidak mengkhususkan zikir-zikir tertentu dengan kadar-kadar yang tertentu, sebaliknya beliau ra menyatakan pujian dan sanjungan kepada Allah. Jadi, golongan yang mengkhususkan zikir-zikir ini sama sekali tidak boleh berhujah dengan athar Ibnu Mas'ud ra !!

* Kesimpulannya : Dalam masalah ini ada keluasan . Diharuskan kita untuk berdiam diri, dan diharuskan kita untuk berzikir dengan apa-apa zikir, tanpa mengkhususkan zikir-zikir tertentu dengan kadar-kadar yang tertentu.

6. Apabila selesai bertakbir (7 kali pada rakaat pertama & 2 kali pada rakaat kedua), maka mulakan bacaan Al-Fatihah dan surah.

* Telah datang dua riwayat yang shahih bahawa setelah membaca Al-Fatihah Nabi saw membaca surah berikut :

Riwayat pertama :

- Rakaat pertama : ﴿ ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ﴾ [Surah Qaf]
- Rakaat kedua: ﴿ اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ ﴾ [Surah Al-Qamar]

Riwayat kedua :

- Rakaat pertama : ﴿سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى ﴾ [Surah Al-'Ala]
- Rakaat kedua : ﴿هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ ﴾ [Surah Al-Gahsyiah]

* Hidupkanlah sunnah ini. Tanamkan kecintaan kepada petunjuk Rasulullah saw. Inilah mahabbah yang sebenarnya, bukan sekadar laungan kecintaan, tetapi amalan itulah bukti cinta sejati. Berkata Syeikh Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin : "Yang paling afdhal adalah beramal dengan keduanya. Terkadang kita membaca yang ini, dan terkadang kita membaca yang itu, berdasarkan masyaqqah". Wallahu'alam.

7. Setelah melakukan perkara-perkara di atas, maka teruskan bersolat seperti solat-solat biasa (seperti ruku', sujud dan lain-lain) tanpa khilaf.

8. Tidak perlu mengqadha bagi sesiapa yang terlepas solat jumaat kerana tiada dinaqalkan dari Assunnah Asshohihah jua dari para sahabat ra.Kecuali terdapat beberapa pendapat dari tabi'in seperti 'Atho bin Abi Rabah dan atba' tabi'in seperti Imam Malik.

Ulama' berselisih pendapat dalam perkara ini :

1. Disunatkan mengqadha semula : Atho bin Abi Rabah, Imam Malik , Imam Assyafi'e, Imam Al-Bukhari. Antara hujah-hujah mereka :

- Imam Al-Bukhari mengadakan satu bab (tajuk) di dalam shohihnya iaitu : ( باب إذا فاته العيد يصلي ركعتين ) maksudnya : Bab sekiranya terlepas seseorang itu akan solat 'Id, maka hendaklah ia solat dua rakaat.

*Ibnu Hajar telah menerangkan hukum yang dapat dikeluarkan dari tajuk ini :
- Disyariatkan bersolat 'Id bersendirian walaupun telah terlepas solat 'Id berjamaah.
- Bersolat sendirian 2 rakaat.

- Atho telah berkata : "Apabila telah terlepas akan seseorang itu solat 'Id, maka bersolatlah dua rakaat"

2. Tidak perlu mengqadha semula : Pendapat Imam Abu Hanifah, pilihan Ibnu Taimiyyah serta Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin. Antara hujjah mereka :

- Tidak dinaqalkan dari Assunnah asshohihah mahupun para sahabat ra akan perbuatan ini. Sedangkan perintah untuk keluar bersolat adalah untuk semua kecuali sesiapa yang tidak mampu samada dari segi kesihatan atau kerana perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan. Tetapi tidak pula diperintahkan bagi mereka-mereka yang tidak mampu keluar bersolat secara berjamaah, untuk mengqadha atau menunaikan solat 'Id secara bersendiran.

- Sekiranya diqiaskan dengan solat jumaat, maka ini sama sekali tidak benar. Kerana sekiranya kita terlepas solat jumaat secara berjamaah, maka kita perlu menunaikan solat zohor dengan empat rakaat, bukan solat jumaat dengan dua rakaat. Manakala, jika kita terlepas solat 'Id ; adakah ada pengganti baginya ? Maka tidak boleh diqiaskan dengan solat juamaat. Jika kita ingin mengatakan boleh untuk mengadha, maka datangkan dalil. Wallahu'alam.

Penilaian Penyusun :

Wallahu'alam, oleh kerana ketiadaan sebarang dalil yang shahih samada dari sunnah Nabi ra atau athar sahabat, maka penyusun lebih cenderung kepada pendapat kedua. Soal mustahil imam ini tidak tahu atau mustahil imam ini salah, tidak perlu ditimbulkan kerana tiada sesiapa yang ma'sum selain dari Muhammad ra. Kesilapan serta keterlupaan ulama'-ulama', kita jadikan sebagai titik tolak untuk mencari kebenaran. Inilah amanah yang telah diwariskan oleh kesemua ulama'-'ulama khususnya Fuqaha' Arba'ah, kepada penuntut-penuntut ilmu yang amanah dengan ilmunya.Perlu diingatkan, meninggalkan sesuatu pendapat, bukan beerti menghina orang yang menyebut pendapat tersebut. Perhatikan!! Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment