HADIS MAUDHU’
Dari segi istilah di kalangan ahli usul, hadis maudhu’ ialah:
“Apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dalam bentuk pembohongan dan pendustaan berhubung dengan sesuatu yang baginda tidak pernah ucapkan, lakukan dan ikrarkan.”
Zaman Permulaan Hadis Maudhu’
Pernahkah kita terfikir sejauh mana ilmu agama yang kita miliki.
Adakah segala amal ibadah kita mencakupi sumber yang betul? Atau mungkin ia termasuk dalam sumber yang dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu).
Betapa naif pemikiran umat Islam pada hari ini, mereka mudah tertipu dengan sumber-sumber yang tidak sahih. Persepsi yang berbeza dalam menilai seseorang yang membawa ilmu agama bergantung kepada gelaran-gelaran yang hebat contohnya lebai, kiyai, ustaz atau ulama besar.
Pembohongan yang diada-adakan ini boleh membawa kepada amalan bidaah dan khurafat. Ketika pemerintahan Khalifah al-Rasyidin, umat Islam terbela dengan amalan-amalan yang bersumberkan dalil yang sahih.
Namun, ketegangan yang memecah-belahkan umat Islam berlaku pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiah bin Abi Sufian r.a. Bermula dari saat ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Yahudi, Nasrani dan orang munafik (Khawarij) demi menyesatkan umat Islam agar berpecah-belah dalam agama.
Rentetan itu, lahirlah pelbagai bentuk aliran dan fahaman politik. Antaranya golongan Rafidah (Syiah) dan Khawarij (anti khalifah). Masing-masing ingin mempertahankan pendapat dan pernahaman masing-masing dalam mentafsirkan al-Quran dan mentarjihkan hadis Rasulullah s.a.w.
Mereka juga telah melakukan pendustaan yang besar terhadap agama. Perbuatan ini bercanggah dengan apa yang dituntut oleh Islam. Hanya al-Quran dan sunnah dapat menetapkan sesuatu perkara dalam agama. Ijtihad yang sahih daripada salafussoleh dan para ulama amat digalakkan.
Sayangnya, anasir-anasir ini telah membawa umat Islam terpesong daripada ajaran yang benar. Mereka lebih mementingkan sesuatu yang tidak benar dengan mengadakan dakwaan-dakwaan dan hadis-hadis tentang pemimpin-pemimpin mereka.
Kemunculan hadis-hadis palsu belum mencapai kemuncak pada abad pertama dan kedua. Pemalsuan ini wujud untuk mengukuhkan kedudukan politik dan aliran masing-masing. Ketika itu, perkara bidaah dan khurafat tidak timbul kerana masih ada para ulama dan pemerintah yang mempertahankannya.
Tetapi, pemalsuan hadis dalam agama berlaku dengan meluas pada zaman tabi’in. Ini kerana, terdapat sebahagian individu yang kurang ilmu cuba mempertahankan fahaman dan aliran masing-masing. Mereka berani memalsukan hadis-hadis Rasulullah s.a.w tanpa kebenaran pemimpin mereka.
Perbuatan mereka membawa kesan yang mendalam kepada generasi umat Islam sekarang. Cuba perhatikan, betapa banyak perpecahan umat Islam yang bertopengkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawa umatnya akan berpecah kepada 73 golongan. Semuanya akan dihumban ke neraka kecuali satu golongan sahaja yang dimasukkan ke syurga.
Mereka juga berhujah dengan al-Quran dan sunnah. Antaranya, Rafidah, Khawarij, Mu’tazilah, Murjiah, Qadariyah, Ibadiyah, Jahmiyyah, Asya’irah, al-Maturidiyah, Ja’fariyah, Qadyaniyah, Naqsyabandiyah dan sebagainya. Tetapi mereka masih berlawanan dengan syariat. Semua hujah mereka tertolak akibat pemalsuan hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Melainkan satu golongan yang terdiri daripada mereka yang sentiasa menjunjung perintah ALLAH dan Rasulullah s.a.w dengan sumber yang sahih. Merekalah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beruntunglah golongan yang menerima petunjuk ALLAH dan Rasulullah s.a.w serta mengamalkan sesuatu yang sahih dan tepat demi mempertahankan agama serta mendapat keredhaan ALLAH.
Sebab-sebab Pemalsuan Hadis
1. Wujudnya golongan dan aliran politik.
Perpecahan umat Islam berlaku selepas peristiwa fitnah di zaman Ali bin Abi Talib dan Muawiyah bin Abi Sufian. Ketika itu, umat Islam terbahagi kepada dua golongan, iaitu Rafidah (Syiah) dan Khawarij.
Ibn Abu al-Hadid berkata:
“Hadis maudhu’ direka oleh puak syiah. Pemalsuan ini bertujuan untuk kepentingan dan menentang musuh. Pihak musuh juga terdorong untuk melakukan pemalsuan hadis Rasulullah s.a.w apabila mengetahui puak syiah menyebarkan hadis palsu untuk menentang mereka.” (Rujuk Syarh Nahjul Balaghah, jil. 3, ms. 26)
Ini amat menyedihkan. Musuh-musuh Islam menggunakan puak Syiah untuk merealisasikan matlamat mereka. Akhirnya, mengorbankan putera-putera Amirul Mukminin dan cucu-cucu baginda.
Ahli bait sebenarnya bebas daripada pemalsuan dan pendustaan. Tetapi sikap ekstremis musuh-musuh Islam dalam menggunakan nama ahli bait berjaya memalsukan hadis semata-mata untuk melaga-lagakan mereka.
Abu al-Faraj bin al-Jauzi r.h. berkata:
“Hadis-hadis sahih mengenai Ali terlalu banyak. Hanya kaum Rafidah yang kurang menemuinya sehingga mereka sanggup memalsukan hadis dengan merendah-rendahkan Ali bin Abu Talib r.a.” (Rujuk al-Muntaqa Mm Minhaj al-I’tidal, ms. 480)
Amir al-Sya’bi r.h. berkata:
“Tidak ada pendustaan paling besar terhadap orang lain dalam umat ini seperti yang dilakukan ke atas nama Ali bin Abu Talib ia.” (Rujuk Tazkirah aI-Huffaz,jil. 1, ms. 77)
Puak Syiah juga sering melaungkan wasiat Rasulullah s.a.w kepada Ali r.a. agar memegang tampuk pemerintahan selepas baginda dengan mereka-reka hadis palsu yang berbunyi:
“Aku wasiatkan kepada orang yang menjadi tumpuan hatiku, pengganti dalam keluargaku dan orang yang terbaik memegang khilafah selepasku adalah Ali.” (Rujuk al-Fawaaid al-Majmu’ah Ii al-Aliadith atMaudhu’ah, ms. 348)
Mereka juga sanggup membuat hadis maudhu’ tentang Ali dan para penyokong beliau demi mempertahankan aliran dan fahaman mereka seperti:
“Wahai Ali! ALLAH telah mengampunkanmu, zuriat-zuriatmu, kedua orang tuamu, keluargamu, pendukungmu dan golongan pencintamu yang akan datang” (Rujuk al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 348)
Di samping itu, mereka juga mereka-reka hadis-hadis palsu yang mencela dan memfitnah Abu Bakar, Umar, Uthman, Muawiyah dan selainnya. (Rujuk Syarh Nahjul Balaghah, ms.158 - 159, jil. 1)
Ibn Abu al-Hadid r.h. berkata:
“Pembohongan yang paling keji oleh puak Syiah ialah cerita mengenai pengiriman landak laut ke rumah Fatimah dan dicincang oleh Umar serta dijadikan tali di leher Ali. Hal itu langsung tidak ada sumber. Riwayat ini tidak ada pada mana-mana riwayat hadis melainkan hadis yang direka oleh Syiah.”
Manakala kelompok yang mengagungkan para sahabat pula membidas hadis tersebut yang mampu mengangkat martabat mereka.
Abdullah bin Abi Aufa r.a berkata:
“Saya melihat Nabi s.a.w bersandar pada Ali. Tiba-tiba Abu Bakar dan Umar datang menghadapnya lalu beliau bersabda: Wahai Abu al-Hasan (Ali)! Cintailah kedua-duanya kerana dengan mencintai mereka, kamu akan masuk syurga.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah, ms. 347, jil. 1 dan al-Fawaaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 338)
Dalam kenyataan lain:
“Di dalam syurga tidak ada pohon kecuali pada tiap-tiap lembaran daunnya tertulis: Tiada TUHAN melainkan ALLAH, Muhammad itu pesuruh ALLAH, Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Faruq dan Uthman Zulnurain.” (Rujuk al-Fawaaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, ms. 342)
Katanya lagi:
“Orang-orang yang dipercayai di sisi ALLAH ada tiga: Aku (Nabi), Jibril dan Muawiyah.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah aI-Marfu’ah, jil. 2, ms. 4 dan 6)
Malah di dalam kenyataan lain dia menegaskan:
“Abu Bakar adalah menteriku dan memegang urusan umat selepasku. Umar adalah kekasihku yang berbicara atas lidahku. Aku daripada Uthman dan Uthman daripadaku. Sedang Ali adalah saudara dan pembawa panjiku.” (Rujuk al-Fawa’id aI-Majmu’ala fi al-Ahadith al-Maudu’ah, ms. 386)
2. Pemerintahan Islam telah menawan Kisra (Raja Parsi) dan Qaisar (Raja Rom).
Pemerintahan kafir telah jatuh ke tangan umat Islam. Islam tersebar luas ke seluruh pelusuk tanah jajahan dan umat Islam hidup bersama-sama dengan orang kafir.
Mereka menjadi tawanan orang Islam dan hilang kedudukan dalam negeri sendiri. Oleh itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memesongkan akidah umat Islam. Selain itu, mereka telah menggambarkan Islam dengan gambaran yang buruk.
Antara hadis palsu yang direka oleh mereka supaya masyarakat menjauhkan diri dari Islam ialah:
“Sekumpulan Yahudi datang berjumpa Rasulullah s.a.w dan berkata: Siapakah yang menjunjung Arasy? Baginda menjawab:
Arasy dijunjung oleh singa dengan taring-taringnya. Air yang turun dari langit itu merupakan keringat peluhnya. Mereka berkata: Kami bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah s.a.w”
Abu al-Qasim al-Balkhi r.h. berkata:
“Demi ALLAH! Jelas ia palsu. Ini kerana, umat Islam telah sepakat bahawa para malaikat al-Muqarrabun (berada hampir dengan ALLAH) yang menjunjung Arasy.” ( Rujuk Qabul al-Akhbar, ms. 14)
Sebelum Abdul Karim bin Abu al-’Arja’ dipancung, dia telah mengaku sambil berkata:
“Demi ALLAH! Aku benar-benar telah memalsukan sebanyak 4000 hadis. Aku juga halalkan yang haram dan aku haramkan yang halal dalam hadis-hadis itu.” (Rujuk al-Laa’aliy al-Mashnu’ah, jil. 2, 248)
3. Perbezaan Kaum dan Imam Mazhab.
Sebahagian pemimpin Bani Umaiyah terlalu fanatik terhadap bangsa Arab. Bahkan, mereka memandang serong terhadap kaum yang bukan Arab. Sehinggakan kaum Mawali (bukan Arab) menganggap orang Arab adalah kaum yang sombong dan angkuh.
Faktor ini menyebabkan banyak hadis yang direka oleh mereka. Antaranya:
“Sesungguhnya perbualan mereka yang berada di sekitar Arasy adalah dalam bahasa Parsi.”
Jadi, kaum Mawali pula mula memalsukan hadis demi membidas dan mempertahankan kedudukan dan semangat ‘asobiyah (perkauman) antara mereka:
“Bahasa yang paling dibenci oleh ALLAH ialah bahasa Parsi. Manakala bahasa penghuni syurga adalah bahasa Arab.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, jil. 1, ms. 137)
Di samping itu, terdapat hadis-hadis maudhu’ bertujuan mengangkat martabat suku dan negara. Ini kerana, faktor perpindahan pusat pemerintahan Islam dan satu negara ke negara lain mendorong pemalsuan hadis tertumpu kepada sesebuah negara. Contohnya:
“Empat kota yang dikategorikan sebagai kota-kota syurga, iaitu Makkah, Madinah, Baitulmuqaddis dan Damsyik.” (Rujuk Tanzih alSyari’ah al-Marfu’ah,jil. 1, ms. 48)
Selain itu, fanatik dan taksub terhadap imam-imam mazhab muncul pada abad ketiga Hijrah. Ini kerana, para pengikut melanggar wasiat imam-imam mereka.
Contohnya:
“Terdapat di kalangan umatku seorang yang bernama Muhammad bin Idris (Syafie). Ia lebih berbahaya terhadap umatku berbanding Iblis dan terdapat di kalangan umatku seorang yang bernama Abu Hanifah. Dia adalah pelita bagi umatku.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, jil. 1, ms. 30)
4. Mereka-reka cerita untuk tatapan masyarakat.
Kehanyakan hadis maudu’ dihasilkan oleh tukang-tukang cerita. Golongan ini mereka-reka hadis palsu demi kepentingan diri sendiri untuk mendapatkan habuan daripada pendengar. Kadang-kala, mereka sekadar ingin menghiburkan hati para pendengar hingga sanggup mereka-reka sesuatu yang tiada sumber.
Oleh itu, para ulama hadis amat melarang munid-muridnya bermujalasah (duduk) dan mengikuti halaqah-halaqah tukang cenita.
Menurut sejarah, pada zaman Khulafa al-Rasyidin perkara ini masih belum berlaku. Jika ada pun, masih terkawal. Contohnya, Umar r.a melarang keras tukang cerita duduk di masjid. Oleh itu, tidak ada tukang cerita pada zaman mereka.
Manakala pada zaman tabi’in pula, terdapat banyak riwayat palsu yang direka oleh tukang cerita. Tetapi masih boleh dikawal. Salah satu contoh riwayat seperti hadis Abu Jaafar Muhammad al-Toyalisi, iaitu:
“Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in solat di masjid al-Rashafah. Kemudian ada seorang tukang cerita berdiri di hadapan jemaah. Dia berkata: Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in telah berkata, Abdul Razak meriwayatkan daripada Ma’mar daripada Qatadah melalui Anas, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang mengucap Lailahaillallah, ALLAH akan menghadiahkan untuknya seekor burung yang berparuh emas dan berbulu marjan (permata) daripada setiap kata-katanya.”
Setelah menghabiskan ceritanya, dia telah memperolehi 20 helai wang kertas. Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in menoleh sesama sendiri. Lalu Ahmad bertanya kepada Yahya: Adakah kamu meriwayatkan hadis ini? Demi ALLAH baru kali ini aku mendengarnya.
Setelah selesai bercerita, tukang cerita itu tadi duduk sambil menunggu yang lain. Lalu Yahya menariknya dan berkata: Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada kamu? Sedangkan akulah Yahya bin Ma’in dan ini temanku Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mendengar hadis itu daripada Rasulullah s.a.w Lalu si tukang cerita berkata:
Aku pernah mendengar orang berkata bahawa Yahya bin Ma’in adalah seorang yang bodoh! Sekarang aku dapat menyaksikan kebodohannya. Bukankah tidak mustahil ada Yahya bin Ma’in dan Ahmad bin Hanbal yang lain. Aku telah menulis sebanyak 17 orang Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Lalu Ahmad menutup baju ke mukanya dan berkata: Biarkan dia pergi. Dia (pemalsu hadis) seperti memandang rendah pada kedua-duanya.” (Rujuk al-Baa’ith al-Hadith, ms. 93-94 dan al-Jami’ li akhlaq al-Rawly wa Adab al-Sami’, ms. 149)
5. Perbezaan mazhab dan teologi.
Pemalsuan hadis ini juga dilakukan oleh pengikut mazhab fiqh dan teologi.
Contohnya:
“Sesiapa mengangkat tangan ketika rukuk, tidak ada solat baginya (terbatal).” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 181 dan Lisan al-Mizan, jil. 5, ms. 288-289)
Begitu juga kenyataan pengikut yang menyalahi pegangan Abli Sunnah Wal-Jamaah. Akidah mereka telah terpesong dengan mengatakan:
“Semua yang ada di langit, bumi dan antara kedua-duanya adalah rnakhluk kecuali al-Quran. Malah, akan muncul satu kaum daripada umatku yang akan berkata: Al-Quran itu ialah makhluk. Sesiapa yang mengatakan begitu, dia telah kafir kepada ALLAH yang Maha Agung dan isterinya tercerai saat itu juga.” (Rujuk Tanzih al-Syari’ah a!Marfu’ah,jil. 1, ms. 134)
6. Mencari pengaruh.
Pernah terjadi di zaman Khalifah Bani Umaiyah bahawa Abu Abdullah al-Hakim menyebut satu hadis daripada Harun bin Abu Ubay dan ayahnya berkata:
“Al-Mahdi berkata kepadaku: Tahukah kamu apa yang Maqatil katakan kepadaku? Maqatil telah mengatakan: Bila tuan ingin, aku akan membuat hadis palsu untuk tuan berkenaan dengan pembelaan Bani al-Abbas, namun aku menjawab: Aku sama sekali tidak memerlukannya.” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 187 dan al-Baa’ith al-Hadis, ms. 94)
Ghiyats bin Ibrahim pernah membohongi al-Mahdi mengenai hadis ketika beliau melihat al-Mahdi sedang bermain burung sambil berkata:
“Tidak ada perlumbaan kecuali memanah, bergurau, kuku kuda dan sayap burung.”
Setelah itu, beliau meninggalkan permainan itu dan memerintahkan agar burung itu disembelih setelah memberi 10,000 dirham kepadanya. Al-Mahdi berkata kepada Ghiyaths:
Aku bersaksi, leher kamu adalah leher pendusta pada Rasulullah s.a.w. (Rujuk al-Madkhal, ms. 20 - 21 dan Tadrib al-Rawi, ms. 187)
Antara hadis palsu yang lain seperti:
“Buah terung adalah ubat segala penyakit.” (Rujuk al-Manar karya Ibn al-Qayyim, ms. 19)
Dalam riwayat lain pula:
“Sesiapa yang memelihara ayam jantan putih, dia tidak akan didekati syaitan dan sihir” (Rujuk al-Manar karya Ibn al-Qayyim, ms. 21)
7. Zuhud yang Melampau.
Sebahagian orang soleh dan zuhud terhadap dunia sanggup membuat hadis palsu berkenaan targhib (hadis suruhan) dan tarhib (hadis larangan) berkenaan fadilat amalan tertentu (fadhail al-Amal) dengan harapan mendapat pahala daripada ALLAH. (Rujuk Qabuhil al-Akhbar, ms. 7-8 dan 15)
Meraka lakukan semua ini hanya ingin menggalakkan masyarakat untuk beramal soleh. Tetapi, mereka tidak tahu bahawa Rasulullah s.a.w melarang keras apa sahaja bentuk pembohongan terhadap baginda.
Apabila dibacakan sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang mendustakanku dengan sengaja, tempah lah tempat duduknya di dalam neraka. Lalu mereka menjawab: Kami tidak berniat mendustakan baginda. Tetapi, pendustaan demi (memenuhi kehendak) baginda.” (Rujuk Ikhtisar ‘Ulum al-Hadis, ms. 86)
Al-Hafiz Yahya bin Said al-Qattan r.h. berkata:
‘Aku tidak pernah melihat penipuan yang lebih dahsyat daripada penipuan yang dilakukan oleh orang-orang soleh dan zuhud. Antara penipuan yang dilakukan ialah hadis-hadis palsu berkenaan keutamaan surah-surah dalam al-Quran, masalah perubatan dan lain-lain. Apabila ditanya mengapa perkara ini perlu dilakukan, mereka menjawab: Saya memalsukan hadis ini sebagai galakan agar manusia lakukan kebaikan.” (Rujuk Tadrib al-Rawi, ms. 184 dan al-La’aliy al-Mashnu’ah, jil. 2, ms. 249)
Perlu diingat, tidak dinafikan memang wujud fadhilat beberapa surah di dalam al-Quran melalui hadis yang tsabit (sahih atau hasan) daripada Nabi s.a.w. Antaranya seperti membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat sebelum imam naik ke mimbar atau sebagainya. Namun, sebahagian ulama tidak benarkan mereka-reka fadilat surah tertentu dalam al-Quran.
Ini boleh diumpamakan dengan qiamullail yang mempunyai pelbagai fadhilat dan ganjaran. Melakukan solat tahajud pada satu pertiga malam lebih afdhal dan lebih besar ganjarannya berbanding pada awal malam. Namun, tidak bermakna seseorang hanya perlu bangun pada satu pertiga malam.
Dengan kata lain, sesiapa yang mampu membacanya pada waktu itu pasti ganjarannya lebih besar. Namun, membacanya pada selain waktu yang dilakukan oleh Nabi s.a.w juga mendapat pahala. Ini bermakna, kelebihan itu terletak pada waktu bukannya surah. Jika baginda menetapkan kelebihan pada surah sekalipun seperti surah al-Ikhlas menyamai satu pertiga al-Quran, bukan bermakna seseorang perlu membaca surah tersebut untuk mendapatkan pahala menyamai bacaan satu pertiga al-Quran. Tetapi, ia bermaksud sesiapa memahami apa yang tersirat di sebalik surah al-Ikhlas seolah-olah dia telah memahami satu pertiga daripada isi kandungan al-Quran.
Seluruh muslimin bersepakat bahawa haram memalsukan hadis secara mutlak.
Hukum Memalsukan Hadis
Ulama juga sepakat mengenai haram meriwayatkan hadis palsu tanpa menjelaskan kepalsuan riwayatnya. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun meriwayat walau satu hadis maudhu’ (palsu) berkenaan kisah, targhib (galakan), tarhib (tegahan), hukum-hakam ataupun selainnya.
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang meriwayatkan (menyebarkan) sebuah hadis daripadaku dan meyakini hadis itu palsu, sebenarnya dia juga termasuk salah seorang pendusta itu.” (Ditakhrij oleh Imam Muslim dan Samurab bin Junduab dari al-Mughirah bin Syu’bah. Rujuk Sahih Muslim, jil. 1, ms. 9)
Pada hari ini para syeikh, ustaz dan maulana begitu lantang meriwayatkan hadis dhaif atau palsu tanpa segan silu. Juga tanpa penelitian yang terperinci. Umat Islam hendaklah beramal dengan ilmu yang diyakini sahih. Buatlah penelitian dan kajian. Jangan terus mengamalkannya secara melulu.
Jauhkan diri daripada para ulama yang menyembunyikan ilmu ini. ALLAH melarang hamba-hamba-NYA menunaikan ibadah dalam keadaan ragu. Sebaliknya perlu disertai keyakinan. Namun, kebanyakan manusia memang suka menyanggahi perintah ALLAH.
(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. (an-Nuur: 15)
Barangsiapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempat duduknya di neraka. (Hadis Riwayat Ahmad)
Firman ALLAH S.WT:
“Sangkaan (ragu-ragu) itu sama sekali tidak akan mencapai kebenaran.” (Surah al-Najm: 28)
Sabda Nabi s.a.w:
“Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu yang diragui. Ini kerana, berkata sesuatu menurut sangkaan adalah percakapan paling dusta.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda Nabi s.a.w:
“Berhati-hatilah terhadap hadis yang berhubung kait dengan diriku kecuali apa yang telah kamu ketahui (jalan sanadrya).” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Abi Syaibah)
Cara Menyekat Pemalsuan Hadis
1 - Berpegang teguh serta meneliti sanad.
2 - Meningkatkan kaedah ilmiyah dan ketelitian dalam meriwayatkan hadis.
3 - Teliti dan cermat dalam menerima hadis.
4 - Mengetahui hal ehwal perawi ketika meriwayatkan sesuatu hadis.
5 - Mengetahui kaedah serta musthalah (istilah-istilah) hadis untuk mengetahui hadis maudhu’.
Cara Mengetahui Hadis Maudhu’
1. Pada Sanad
1.1 - Pengakuan perawi yang mereka-reka hadis maudhu’ itu seperti Abdul Karim al-Wadhdha’.
1.2 - Mengetahui sejarah hidup perawi.
1.3 - Perawi yang masyhur sebagai pendusta.
2. Pada Matan
2.1 - Kejanggalan riwayat atau matan hadis pada pandangan pakar bahasa.
2.2 - Makna matan yang tidak dapat diterima akal.
2.3 - Matan bertentangan dengan dalil daripada al-Quran dan hadis yang sahih.
2.4 - Lafaz matan yang tidak mungkin disembunyikan oleh para sahabat tetapi mereka langsung tidak pernah mendengarnya.
2.5 - Menyanggahi fakta sejarah.
Buku-Buku Mengenai Hadis Maudhu’
1. Tazkirah al-Maudhu’aat. (Abu al-Fadhi Muhammad bin Thahir al-Maqdisi (448-507H))
2. Al-Baa’its ‘ala al-Khalash Min Hawadith al-Qashshash. (Al-Hafiz Zainuddin Abdul Rahim al-‘Iraqi (725-806H))
3. Al-La’aliy al-Mashnu’ah Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah. (Al-Hafiz jalaluddin al-Sayuti (849-911H))
4. Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘an al-Akhbar al-Syani’ah al-Maudhu’ah. (Abu al-Hasan Ali bin Muhammad (Ibn ‘Iraqi) al-Kannani (w. 963H))
5. Al-Fawaaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadits al-Maudhu’ah. (Al-Qadhi Abu Abdillah Muhammad bin Ali al-Syaukani (1173-1255H))
6. Al-Maqasid al-Hasanah Fi Bayan Katsir Min al-Ahadits al-Musytaharah ‘ala al-Sinah (Al-Hafiz al-Muarrikh Muhammad bin Abdul Rahman al-Sakhawi (83 1- 902H))
Lihatlah, betapa buruknya perangai ulama yang berani mempermainkan agama ALLAH. Mereka sengaja memperdayakan umat Islam bersumberkan al-Quran dan sunnah.
Oleh itu, telitilah setiap sumber yang kita ambil dan berhati-hatilah terhadap segala amalan yang telah kita lakukan sama ada bertepatan atau menyanggahi sunnah Rasulullah s.a.w.
Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan bertepatan dengan nash sahih yang diyakini lebih baik dan diterima oleh ALLAH berbanding amalan yang masih diragui kesahihan sumbernya.
[Di-ambil/Dipetik daripada Wudhu' & Solat Menurut Mazhab Syafi'e, oleh Abu Ruwais al-Syubrawi]
No comments:
Post a Comment