Thursday, August 18, 2011

TAKBIR HARI RAYA ( Lafaz, waktu pelaksanaan dan tata caranya )

TAKBIR HARI RAYA

a. Anjuran bertakbir di kedua hari raya

'Idul Fithri

Allah berfirman :

﴿ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴾

Maksudnya : "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya. Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur". [Al-Baqarah : 185]

'Idul Adha

Allah berfirman :

﴿ وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ ﴾

Maksudnya : "Dan berzikirlah dengan menyebut nama Allah pada beberapa hari yang berbilang (hari-hari tashriq).." [Al-Baqarah : 203]

b. Bilakah bermula dan berakhirnya takbir pada kedua hari raya ?

'Idul Fithri

Dari Azzuhri, beliau meriwayatkan :

[ أن رسول الله  كان يخرج يوم الفطر فيكبر حتى ياتي المصلى وحتى يقضي الصلاة فإذا قضى الصلاة قطع التكبير ]

Maksudnya : "Sesungguhnya Rasulullah  apabila keluar pada hari raya Fithri, Baginda  bertakbir sehingga tiba di musholla (tanah lapang) dan sehingga menunaikan solat. Apabila telah selesai bersolat, Baginda  menghentikan takbir". [HR Ibnu Abi Syaibah : 5621]

* Hadis di atas menunjukkan bahawa :

-Bermulanya takbir 'Idul Fithri ketika keluar dari rumah di pagi raya dalam perjalanan ke musholla. (waktu yang afdhal). Fuqaha telah bersepakat akan pensyariatan bertakbir ketika keluar untuk bersolat 'Id.

-Berhenti takbir setelah selesai menunaikan solat 'Idul Fithri (khusus untuk 'Idul Fithri).

'Idul Adha

Diriwayatkan dari Muhammad bin Abi Bakr Asthaqafi :

[ سألت أنسا ونحن غاديان من منى إلى عرفات عن التلبية : كيف كنتم تصنعون مع النبي  ؟ قال : كان يلبي الملبي لا ينكر عليه ويكبر المكبر فلا ينكر عليه ]

Maksudnya : "Aku telah bertanya Anas ketika mana kami sedang berangkat dari Mina menuju ke Arafah dalam keadaan bertalbiah : Bagaimana kamu telah melakukannya bersama Nabi  ? Beliau (Anas) telah berkata : "Telah bertalbiah orang yang bertalbiah, sedang Nabi  tidak mengingkarinya, dan telah bertakbir orang yang bertakbir, sedang Nabi  tidak mengingkarinya". [HR Al-Bukhari : 927]

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib  :

[ أنه كان يكبر بعد صلاة الفجر يوم عرفة إلى صلاة العصر من آخر أيام التشريق ويكبر بعد العصر ]

Maksudnya : "Sesungguhnya beliau (Ali bin Ai Talib) telah bertakbir setelah solat fajar pada hari 'Arafah hingga solat asar pada hari terakhir tashriq, dan beliau bertakbir selepas solat asar." [HR Ibnu Abi Syaibah : 5631]

Telah thabit juga perbuatan ini dari Ibnu Abbas  dengan sanad yang shahih , begitu juga Ibnu Mas'ud  .

* Hadis dan athar-athar di atas menunjukkan bahawa :

-Bermulanya takbir 'Idul Adha adalah pada hari Arafah ; iaitu selepas solat subuh hari ke-9 Dzulhijjah.

-Berhenti takbir sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Dzulhijjah.

* Apakah disunatkan bertakbir (bagi 'Idul Adha) hanya setiap kali selepas solat fardhu ?

Al-Syafi'iyyah dan Al-Hanabilah mengatakan : Disunatkan bertakbir pada bila-bila masa tanpa mengkhususkan setiap kali selepas solat fardhu. Inilah pendapat yang rajih, wallahu'alam, kerana tiada sebarang dalil dari Assunnah Asshohihah, jua athar yang shohih, menunjukkan pengkhususan takbir setiap kali selepas solat fardhu. Antara hujah-hujah adalah seperti berikut :

- Imam Al-Bukhari telah menulis satu tajuk di dalam Shohihnya , iaitu ; [ Bab Takbir Pada Hari-Hari Mina, Dan Pada Keesokannya Menuju Ke Arafah ] / (باب التكبير أيام منى، و إذا غدا إلى عرفة) . Ini menunjukkan keumuman waktu bertakbir pada 'Idul Adha. Imam Al-Bukhari telah mendatangkan beberapa athar yang shohih lagi thabit dari sahabat yang kesemuanya menunjukkan keumuman waktu bertakbir tanpa mengkhususkan hanya pada selepas solat fardhu. Antaranya :

Diriwayatkan dari Umar Al-Khattab  :

[ كان يكبر في قبته بمنى، فيسمعه أهل المسجد، فيكبرون، و يكبر أهل الأسواق حتى ترتج منى تكبيرا ]

Maksudnya : "Beliau telah bertakir di kubahnya di Mina, dan telah mendengar ahli masjid akan takbir beliau, maka mereka bertakbir. Dan telah bertakbir juga orang-orang yang berada di pasar, sehingga bergemuruh Mina dengan laungan takbir".

Diriwayatkan dari Ibnu Umar  :

[ وكان ابن عمر يكبر بمنى تلك الأيام، وخلف الصلوات وعلى فراشه وفي فسطاطه ومجلسه وممشاه تلك
الأيام جميعا ]
Maksudnya : "Ibnu Umar  telah bertakbir di Mina, pada hari-hari itu, setiap kali selepas solat, di tempat tidurnya, di khemahnya, pada majlisnya dan di mana sahaja beliau pergi pada hari-hari itu"

Diriwayatkan dari Maimunah radhiallahu 'anha :

[ وكانت ميمونة تكبر يوم النحر، وكان النساء يكبرن خلف أبان بن عثمان وعمر بن عبد العزيز ليالي التشريق مع الرجال في المسجد ]

Maksudnya : "Maimunah telah bertakbir pada hari korban dan para wanita bertakbir di belakang Aban bin Uthman dan Umar bin Abdul 'Aziz pada malam-malam hari tashriq bersama-sama para lelaki di masjid"

* Kesimpulannya : Disunnahkan bertakbir sempena 'Idul Adha pada bila-bila masa bermula dari selepas solat subuh hari arafah (iaitu hari ke-9 Dzulhijjah) sehingga terbenam matahari pada hari ke-13 Dzulhijjah, tanpa mengkhususkan waktu bertakbir hanya pada selepas selesai solat fardhu. Wallahu'alam.

c. Anjuran menguatkan suara ketika bertakbir

Diriwayatkan dari Umar Al-Khattab  :

[ كان يكبر في قبته بمنى، فيسمعه أهل المسجد، فيكبرون، و يكبر أهل الأسواق حتى ترتج منى تكبيرا ]

Maksudnya : "Beliau telah bertakbir di kubahnya di Mina, dan telah mendengar ahli masjid akan takbir beliau, maka mereka bertakbir. Dan telah bertakbir juga orang-orang yang berada di pasar, sehingga bergemuruh Mina dengan laungan takbir".

Diriwayatkan dari Ibnu Umar  :

[ أن ابن عمر كان إذا غدا يوم الفطر ويوم الأضحى، يجهر بالتكبير حتى يأتي المصلى ثم يكبر حتى يأتي الإمام ]

Maksudnya : "Sesungguhnya Ibnu Umar apabila keluar (menuju musholla) di hari 'Idul Fithri dan 'Idul Adha, menguatkan suara beliau ketika bertakbir sehingga tiba di musholla, kemudian beliau meneruskan takbir sehingga tiba imam". [HR Addaruquthni : 2/45]

* Kedua hadis di atas menunjukkan :

- Disyariatkan menguatkan suara ketika bertakbir.
- Bertakbir sambil berjalan ke musholla di pagi kedua hari raya
sangat dianjurkan.
- Kesungguhan para sahabat dalam melaungkan kebesaran Allah
patut dicontohi.

d. Lafaz takbir

Telah berkata Syeikh Ali Hasan : "Sepanjang pengetahuanku, tidak ada hadis yang shahih menerangkan tentang tatacara Nabi  melafazkan takbir, sebaliknya, yang ada hanyalah riwayat dari sebahagian sahabat Nabi ".

Terdapat 3 riwayat yang shahih dari para sahabat Nabi  tentang lafaz-lafaz takbir :

Diriwayat dari Ibnu Mas'ud , beliau melafazkan takbir :

[ الله أكبر، الله أكبر، لا إله إلا الله، و الله أكبر، الله أكبر و لله الحمد ]

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas , beliau melafazkan takbir :

[ الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر و لله الحمد، الله أكبر و أجَلّ، الله أكبر على ما هَدانا ]

Diriwayatkan dari Salman Al-Khair , beliau melafazkan takbir :

[ كَبِّرُوا الله : الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر كبيراً ]

* Inilah lafaz-lafaz takbir yang thabit lagi shahih dari para sahabat, tetapi ramai dikalangan manusia yang menyelisihi dan membelakangi lafaz -lafaz takbir di atas dengan lafaz-lafaz ciptaan mereka, serta ditambah dengan zikir-zikir tertentu yang tiada sandaran shahih. Sebagaimana yang disebut oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani : "Pada zaman ini, telah diada-adakan penambahan padanya (lafaz-lafaz takbir ini) yang tiada asal baginya".

Ingatlah para sahabat  merupakan golongan termulia selepas Nabi , sebagaimana sabda Baginda  :
[ خير أمتي القرن الذين يلوني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ]

Maksudnya : "Sebaik-baik umatku adalah kurun (generasi) selepasku, kemudian (generasi) yang datang selepas mereka, kemudian (generasi) yang datang selepas mereka". [HR Muslim : 2533]

Oleh itu, marilah sama-sama kita jadikan generasi para sahabat  sebagai contoh dan teladan. Usahlah kita membelakangi generasi ini. Siapakah yang lebih hampir dengan Rasulullah  ? Jawabnya : Mereka. Siapakah lebih mengenali Baginda  ? Jawabnya : Mereka. Siapakah yang lebih memahami kalam Baginda  ? Jawabnya : Mereka. Jadi, apakah alasan kita untuk tidak meneladani mereka ? Perhatikan !!

e. Kesimpulan perbezaan antara takbir kedua hari raya

1. Bermulanya takbir
- 'Idul Fithri : Ketika keluar ke musholla (tanah lapang) pada pagi hari raya.
- 'Idul Adha : Selepas solat subuh pada hari Arafah (hari ke-9 Dzulhijjah)

2. Berakhirnya takbir
- 'Idul Fithri : Setelah selesai solat 'Idul Fithri.
- 'Idul Adha : Sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Dzulhijjah.

Di hari 'Idul Adha juga dianjurkan bertakbir sambil menuju ke musholla.
Tidak dikhususkan pada waktu-waktu tertentu seperti selepas solat, sebaliknya pada bila-bila masa dalam waktu yang ditetapkan.

Peringatan :

Takbir tidak perlu dipimpin sebagaimana kebiasaan sebagian masyarakat hari ini, yaitu dengan diawali imam yang bertakbir sendirian dengan menggunakan mikrofon sementara jamaah berdiam, dan setelah selesai imam bertakbir selanjutnya para jamaah mulai bertakbir dan begitu seterusnya.

Takbir hari raya sepatutnya dilafazkan dengan bersama-sama antara imam dan jama'ah, hanya imam boleh menggunakan mikrofon sebagai kemudahan untuk memperdengarkan lafaz takbir kepada jama'ah, untuk pengajaran kemungkinan ada diantara jama'ah tidak mengetahui lafaz takbir tersebut.







No comments:

Post a Comment