MUKADIMAH
Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya: "Bertanyalah (wahai Muhammad): "Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?" Katakanlah: "ALLAH menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahyukan kepadaku al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan al-Quran itu. Adakah kamu sesungguhnya mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain bersama-sama ALLAH?" Katakanlah: "Aku tidak mengakuinya". Katakanlah lagi: "Hanyasanya DIA-lah sahaja TUHAN Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah berlepas diri apa yang kamu persekutukan (dengan ALLAH)" Surah al-An'am: 19
Takrif dan Makna Syahadah
1. Syahadah (شَهَادَةٌ) dalam bahasa Arab bermakna perkhabaran tentang apa yang telah dilihat dan pengakuan tentang perkara yang telah diketahui.
2. Dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab, perkataan syahadah juga boleh digunakan untuk sijil atau apa-apa sahaja surat yang mengandungi keterangan-keterangan dan akuan. Seperti surat pengakuan belajar dari mana-mana institusi pengajian disebut
(شَهَادَة قيْد) syahadah qaid atau surat pengesahan pemegang akaun bank disebut (شَهَادَة بنكية) syahadah bankiyyah dan banyak lagi contoh-contoh lain.
Akan tetapi makna syahadah merujuk kepada takrif yang pertama di atas bermaksud penyaksian iaitu pengetahuan tentang sesuatu perkara lalu menyampaikan, memberitahu dan menyatakannya. Seseorang yang bersyahadah bermakna dia menyatakan sesuatu yang diketahui serta diyakini olehnya dan menjadi saksi bagi perkara yang diucapkannya.
Perkataan 'Syahadah' juga mengandungi maksud: ikrar dan pengakuan serta keyakinan. Sesungguhnya seorang yang bersyahadah meyakini kebenaran perkara yang menjadi pengakuannya itu dan menyatakannya. Sesiapa yang membuat suatu pengakuan dan bersyahadah tetapi tidak mempercayai perkara yang disebutkannya, maka penyaksiannya adalah dusta dan bohong. Kerana perkara yang dinyatakan itu adalah tidak selari dengan keyakinannya sendiri dan itu adalah di antara sifat orang-orang munafik.
Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya:"Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau-sebenar-benarnya Rasulullah". Dan ALLAH sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-NYA, serta ALLAH menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta." –Surah al-Munafiqun: 1
Mereka adalah golongan yang berdusta kerana tidak mengakui dan mempercayai dengan sebenar-benarnya perkara yang disebutkan oleh lidah mereka sendiri.
'Syahadah' dizahirkan melalui ucapan dan perbuatan
Kita telah mengetahui bahawa seseorang itu boleh memberikan penyaksian atau syahadah melalui ucapan dan kata-kata. Selain daripada itu syahadah juga dapat dizahirkan melalui perbuatan sebagaimana ALLAH S.W.T mensifatkan orang-orang yang musyrik di dalam al-Quran:
Maksudnya: "Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan masjid-masjid ALLAH, sedang mereka menjadi saksi akan kekufuran diri mereka sendiri.." –Surah al-Taubah: 17
Syahadah di sini bermaksud penyaksian daripada mereka terhadap (kekufuran) diri mereka sendiri dengan apa yang mereka lakukan. Iaitu perbuatan-perbuatan mereka itu menjelaskan dan menzahirkan bahawa mereka itu kufur. Al-Hafiz Ibnu Katsir menyebut: "..mereka (kaum musyrikin) adalah orang-orang yang menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri dengan kekufuran. Iaitu dengan hal keadaan mereka dan kata-kata mereka".
Dari sini dapatlah kita memahami bahawa 'syahadah' adalah penyaksian atau pengakuan tentang sesuatu perkara yang menjadi keyakinan di dalam hati seseorang lalu dizahirkan melalui kata-kata atau perbuatan.
DUA KALIMAH SYAHADAH
Syahadah yang akan kita bincangkan di sini adalah penyaksian, pengakuan dan keyakinan pada Dua Kalimah Syahadah yang menjadi syarat untuk seseorang itu memeluk agama Islam. Ini dinyatakan secara jelas dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam hadis yang masyhur bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang Islam:
Mafhumnya: "Wahai! Muhammad, khabarkanlah kepadaku tentang Islam. Maka Rasulullah telah menjawab: Islam (adalah) engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Muhammad itu adalah pesuruh ALLAH..”
(Hadis riwayat Imam Muslim, kitab al-Iman, hadis no. 9)
Berdasarkan hadis ini, lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:
أَشْهَدُ أَن لاََّ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH.”
Sesiapa yang ingin memeluk agama Islam, terlebih dahulu dia perlu melafazkan Dua Kalimah Syahadah ini. Sekiranya tidak, maka pengakuannya sebagai seorang muslim adalah tidak sah menurut pendapat para ulama. Bagi orang yang tidak mampu untuk melafazkannya kerana bisu dan sebagainya, maka memadai dengan tulisan (kitabah) atau dengan cara isyarat yang menunjukkan dia menerima serta mengakui kebenaran Dua Kalimah Syahadah ini. Sebagaimana yang telah disebutkan, dari segi bahasa, 'syahadah' dapat dizahirkan melalui kata-kata atau perbuatan.
Ianya disebut sebagai 'Dua Kalimah Syahadah' kerana pada lafaznya terdapat dua pengakuan atau dua penyaksian. Iaitu penyaksian pertama:
أَشْهَدُ أَن لاََّ إِلَهَ إِلاَّ الله
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH
dan penyaksian kedua:
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ
"..dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH.”
Kedua-dua pengakuan dan penyaksian ini saling terikat di antara satu sama lain. Tidak sah syahadah seseorang muslim sekiranya dia hanya menerima penyaksian yang pertama (pengakuan bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH) lalu ia menafikan penyaksian yang kedua iaitu pengakuan bahawa Muhammad adalah Pesuruh ALLAH. Kerana Nabi Muhammad adalah rasul terakhir yang telah diutuskan ALLAH Azza wa Jalla untuk menyampaikan risalah tauhid supaya umat manusia seluruhnya menerima lalu menyatakan bahawa TUHAN yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya hanyalah ALLAH S.W.T. Firman ALLAH:
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh ALLAH kepada kamu semuanya, (diutus oleh ALLAH) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, Nabi yang Ummi (buta huruf) yang beriman kepada ALLAH dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". (Surah al-A'raf: 158)
Begitulah sebaliknya, tidak sah syahadah seseorang itu sekiranya dia hanya menerima penyaksian yang kedua tetapi tidak mengakui penyaksian yang pertama. Menafikan salah satu daripada keduanya bererti menolak kedua-duanya sekali.
Sekiranya kita menolak pengakuan yang pertama, bahawa tiada tuhan melainkan ALLAH lalu kita menyerupai penganut agama Kristian yang mengatakan tuhan itu tiga (trinity) atau penganut agama-agama lain yang mempercayai tuhan yang berbilang-bilang (polytheisme) atau golongan yang menolak kewujudan tuhan sama sekali (atheisme) . Manakala sekiranya kita hanya menerima ketuhanan ALLAH akan tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, maka seakan-akan kita menjadi seperti golongan Yahudi yang beriman kepada Tuhan Yang Satu –iaitu TUHAN kepada Nabi Musa a.s (yang disebut sebagai Eloah atau Elohim) akan tetapi yang mereka menolak kenabian Nabi Isa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w sekali gus. Firman ALLAH S.W.T:
Maksudnya: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari TUHAN-nya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada ALLAH, dan Malaikat-malaikat-NYA, dan Kitab-kitab-NYA, dan Rasul-rasul-NYA. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari kalangan Rasul-rasul-NYA". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat, (kami pohonkan) keampunan-MU wahai TUHAN kami, dan kepada-MU jualah tempat kembali". (Surah al-Baqarah: 285)
Kerana itu Dua Kalimah Syahadah adalah bergandingan dari segi makna dan tuntutannya. Kita akan menjelaskan makna dan pengertian kedua-dua lafaz kalimah syahadah ini satu persatu dalam terbitan AL-QALAM yang seterusnya. Insya-ALLAH.
Ini kerana ramai orang yang mengaku diri mereka sebagai muslim, akan tetapi mereka tidak memahami dengan sebenar-benarnya maksud dan tuntutan daripada pengakuan Dua Kalimah Syahadah ini. Mereka bukan sahaja tidak menunaikan kewajipan dan kefarduan dalam Islam, malah lebih malang lagi mereka mungkin melakukan suatu perbuatan atau mengucapkan suatu perkataan yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah itu lalu menjadi kafir. Maka itu, mereka hanyalah muslim pada nama sahaja akan tetapi dari segi hakikatnya mereka tidak jauh berbeza dengan orang yang tidak menerima pengakuan Dua Kalimah Syahadah ini.
http://permaya.org/yaman/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=338
No comments:
Post a Comment