Thursday, August 25, 2011

HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BERAMAI-RAMAI (BERJEMA’AH) DAN MENGIRIM PAHALA BACAAN

HUKUM MEMBACA AL-QUR’AN BERAMAI-RAMAI (BERJEMA’AH) DAN MENGIRIM PAHALA BACAAN (Bahagian Ke-Dua - Bab Tinjauan Terhadap Tahlilan)

Membaca al-Fatihah, Surah al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas,Yasin dan beberapa ayat lain secara beramai-ramai bertentangan dengan nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan athar para sahabat. Firman Allah: “Apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. (Al-A’raaf 7:204).

Al-Quran bukan untuk dibacakan kepada si Mati, kerana orang mati tidak mampu mendengar perintah al-Quran, firman Allah: “Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. (An-Naml: 27:80).

“Tdak sama orang yang hidup dan orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur mendengar”.

PERBUATAN BAIK ANAK YANG SOLEH

Apabila seseorang mati, terputus dengan dunia kecuali tiga perkara, sebagaimana hadis: "Apabila mati seseorang insan, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Ibn Abbar berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ya Rasulullah! Ibuku telah meninggal sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan belum dibayar, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku? Baginda menjawab: Andaikata ibumu menanggung hutang apakah engkau yang membayarnya? Beliau menjawab: Ya! Maka baginda bersabda: Hutang kepada Allah lebih patut dibayarnya”.

“Dari ‘Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat. Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: Ya!”.

Ibn Abbas berkata: Seorang perempuan Juhainah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ibuku nazar akan mengerjakan haji, tetapi dia meninggal sebelum menunaikan nazarnya, boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya, hajikan untuknya! Bagaimana sekiranya ibumu menanggung hutang, apakah engkau yang membayarnya? Bayarlah hak Allah, kepada Allah lebih layak orang membayarnya".

Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki menemui Nabi Muhammad s.a.w lalu bertanya: Ayahku telah meninggal dan belum mengerjakan haji, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Bagaimana jika ayahmu meninggalkan hutang, apakah kamu yang membayarnya? Jawabnya: Ya! Baginda bersabda: Maka hajikanlah untuk ayahmu".

Ibn Abbas berkata: Ibu Sa'ad bin 'Ubadah meninggal sedang Sa'ad tidak ada. Lalu Sa'ad berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal diwaktu aku tidak ada di rumah, apakah kiranya berguna baginya jika aku bersedekah? Baginda menjawab: Ya! Berkata Sa'ad: Saya persaksikan kepadamu bahawa kebun kurma yang berbuah itu sebagai sedekah untuknya".

Dari Ibn Abbas: Seorang wanita suku Khasy'am menemui Nabi Muhammad lalu bertanya: Ya Rasulullah! Kewajipan Allah atas hambaNya berhaji telah menimpakan ayahku yang sangat tua sehingga tidak dapat berkenderaan, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya boleh! Dan pertanyaan ini terjadi ketika haji al-Wada'.

Dari Abi Hurairah: Ada seorang lelaki menemui Nabi dan berkata: Ayahku telah meninggal, dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apa berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya!".

Al-Quran Untuk Yang Hidup, Bukan Untuk Si Mati

Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati, dihukum bid’ah, haram dan tidak sampai oleh para ulama besar as-Syafieyah. Mereka berdalilkan firman Allah: "Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup”. (Yasin: 36:69-70)

Kerana orang mati hanya bertanggungjawab di atas apa yang telah diamalkan oleh dirinya, kerana Allah berfirman: "Sesungguhnya seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan". (An-Najm: 53:38-39)

(10). Berkata Ibn Kathir rahimahullah yang bermazhab as-Syafie: "Melalui ayat ini, Imam Syafie dan para pengikutnya mengambil hukum bahawa pahala bacaan dan hadiah pahala tidak sampai kepada si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha meraka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya dan mendesak agar melakukan perkara tersebut".

Imam as-Syaukani menjelaskan: "Seseorang tidak mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan, ia tidak memberi manfaat kepada seseorang akan amalan orang lain."

Menurut Ibn Kathir ayat ini bermaksud: "Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain begitu juga ia tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan sendiri".

Ibn Kathir menegaskan: "Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk maka buruklah balasannya". Dan berkata lagi: "Tidak pernah disalin perkara (menghadiahkan bacaan kepada si Mati) walaupun seorang dari kalangan para sahabat radiallahu 'anhum. Jika sekiranya ia suatu yang baik pasti mereka telah mendahului kita melakukannya".

Imam Ibnu Jarir at-Tabari menafsirkan ayat ini: "Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan dari amalnya, melainkan apa yang telah dikerjakannya sendiri, sama ada itu baik atau buruk".

Imam Ibnu Jarir at-Tabari menjelaskan: "Tidak diseksa seseorang itu dengan sesuatu seksaan jika ia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidak diberi ganjaran di atas amal soleh untuk orang yang tidak mengerjakannya ".

(11). Fakhuruddin ar-Razy (Tafsir FakrurRazi) bermazhab Syafie menafsirkan: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak memberi manfaat kepada orang lain yang tidak melakukannya, sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan sebab kebaikan orang lain dan tidak seseorangpun akan menanggung dosanya".

(12). Imam Jalalain (Tafsir Jalalain) bermazhab as-Syafie menegaskan: "Maka seseorang tidak akan mendapat apa-apapun dari usaha orang lain".

Menurut jumhur ulama tafsir, terutamanya Ibn Abbas: “Telah berkata ‘Aisyah ketika mendengar hal tersebut: Cukuplah bagi kamu ayat al-Quran. Bahawa kamu tidak (dipertanggung-jawabkan) untuk memikul dosa orang yang lain". H/R Bukhari dan Muslim.

Ibn Kathir menjelaskan: "Seseorang jiwa hanya dibalas menurut amalannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan jika amalannya jahat maka jahatlah balasannya". Setiap insan hanya menuai apa yang disemainya, firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosa-dosanya) atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambaNya".(Fushilat 41: 46)

"Kamu tidak akan diberi balasan kecuali apa yang telah kamu kerjakan". (as-Saffat 37:39)

"Baginyalah apa yang dia kerjakan dan atasnyalah apa yang dia usahakan". (al-Baqarah: 2:286).

"Sesiapa yang kafir maka dia sendirilah yang menanggung kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh maka untuk diri mereka sendiri". (Ar-Rum: 30:44).

"Sesiapa yang melakukan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan". (Al-Mukmin 40:40).

"Sesiapa beramal secara yang bersesuaian dengan hidayah, sesungguhnya dia telah berbuat untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, kesesatan itu bagi dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain". (al-Isra’ 17:15)

"Sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah membersihkan dirinya sendiri". (Fatheer 35:18)

"Hendaklah kamu takut kepada satu hari yang tidak boleh seseorang melepaskan sesuatu apa pun dari seseorang yang lain". (Al-Baqarah 2: 123)

"Pada hari tidak seorang pun teraniaya sedikit juapun dan tidak dibalas pada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan". (Yasin 36: 54)

"Hai manusia! Hendaklah kamu takut kepada satu hari (di akhirat) yang (di dalamnya) tidak boleh seseorang bapa melepaskan (sesuatu apa pun) dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apa dari ayahnya". (Luqman 31: 33)

"Sesiapa yang bekerja keras (di dunia) maka tidak lain melainkan untuk dirinya sendiri". (al-Ankabut 29:6)

(13). Imam Fakhrurddin ar-Razi (bermazhab as-Syafie) memberi komentar tentang menghadiahkan pahala amalan kepada orang mati: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak boleh memberi manfaat kepada orang yang lain kerana sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak akan mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah sempurna dan jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan kebaikan orang lain dan tidak ada orang lain yang boleh menanggung segala dosanya".

Imam at-Tabari yang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqh as-Syafie menerangkan:

"Bahawasanya tidak akan dibalas seseorang yang beramal melainkan mengikut amalannya, jika baik dibalas baik dan jika buruk akan dibalas buruk". Kerana banyak nas-nas al-Quran yang menjelaskan perkara ini antaranya: "Tiap-tiap jiwa (seseorang) bergantung kepada apa yang telah ia usahakan (semasa hidupnya)". (at-Thuur 52:21)

"Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat melainkan apa yang telah diusahakan". (An-Najm 53:39)

"Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar debu pasti dia akan melihatnya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat debu pasti dia akan melihatnya". (al-Zalzalah 99: 7-8)

"Pada hari seseorang itu akan melihat apa yang telah diusahakan oleh kedua tangannya". (an-Naba’ 78:41)

Tahlilan, yasinan, menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati dan kenduri arwah sama sekali tidak ada dalilnya, tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah dan para sahabat atau para Salaf as-Soleh tidak pernah melakukannya, oleh yang demikian Imam as-Syafie menghukumnya bid’ah berdasarkan hadis: “Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. (Hadis Riwayat Muslim)

Jangan Berpegang Dengan Hadis Lemah Dan Batil

Ibnu Umar pernah berwasiat, apabila beliau wafat agar dibacakan di atas kuburnya al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah. Athar Ibn ‘Umar ini batil, bertentangan dengan amalan para sahabat, lemah dan syaaz, tidak boleh dijadikan hujjah: "Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat."

Hadis yang menyuruh dibacakan al-Quran kepada orang mati adalah hadis lemah. Di sanadnya terdapat Saad, dikenali sebagai Abu 'Uthman (majhul). Hadis yang dimaksudkan ialah: "Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". (Hadis Dhoif).

Menurut hadis sahih, perkara yang sunnah dilakukan kepada orang nazak ialah mengajarkan kalimah tauhid sebagaimana hadis: "Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah". (Rujuk: Ahkamul Janaiz, Sheikh Muhammad Nashiruddi al-Albani)

"Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah". H/R Muslim (1527), al-Janaiz Turmizi (18980). Al-Janaiz Abu Daud (2710), al-Janaiz Nasaii (1803). Al-Janaiz Ibn Majah (1430). Ahmad (10570P)

Antara hujjah mereka yang menghalalkan yasinan, tahlilan dan menghadiahkan pahala bacaan kepada si Mati: "Barangsiapa membaca Qulhuwallahu Ahad seribu kali, sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dari api neraka". (Hadis Palsu).

Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan kepada ayat-ayat di bawah ini: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami!" (al-Hasyr 59:10

"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)!" (Ibrahim 14:41)

“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman". (Muhammad 47: 19)

Mengkhususkan ibadah di malam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari tertentu adalah haram dan bid’ah, iaitu berdasarkan hadis dari Abi Hurairah: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain, kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh seseorang kamu."

Dari Abu Hurairah: Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu!? Rasulullah menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan". Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya: “Maka hendaklah diawasi oleh mereka yang menyalahi perintahnya (perintah Allah dan Rasul) bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa oleh seksa yang pedih". (an-Nuur 24: 63)

Rasulullah bersabda: "Aku telah tinggalkan pada kamu agama ini dalam keadaan putih bersih. Malamnya seperti siangnya yang tidak ada menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali akan ditimpakan kepadanya) kehancuran".

Imam Syafie berfatwa: “Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”. Fatwa Imam Syafie ini berdasarkan hadis: “Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. (Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)

FATWA ULAMA NUSANTARA

Ulama besar dan masyhur Nusantara telah mengharamkan tahlilan, yasinan dan kenduri arwah. Antara mereka:

(14). Syeikh Daud Al-Fatani rahimahullah, beliau menghukum makruh lagi bid’ah mengadakan kenduri dan menjemput orang untuk makan kenduri di rumah si Mati. Lihat kitab: “Bughyatul Tullab” (بغية الطلاب) hlm. 33-34)

(15). Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah. Seorang ulama Melayu bermazhab as-Syafie. Lihat dalam kitab “Sabilul Muhtadin” (سبيل المهتدين) jld. 2 hlm. 87. Beliau berkata: “Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya segala manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat”.

Seterusnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berfatwa:

“Dan demikian juga makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya memperkenankan seruannya, dan haram menyediakan makanan akan yang menangis dengan menyawak kerana yang demikian itu menolong atas berbuat maksiat”.

(16). Ibnu Muhammad al-Fatani. Beliau telah mengharamkan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan) sebagaimana dijelaskan oleh beliau dalam kitab Kasyaf al-Latham ‘an-Asilatil Anam. Juz. 1 hlm. 89.

Syeikh Zainul Abidin Bin Muhammad al-Fatani. Seorang ulama bermazhab as-Syafie. Beliau berkata di dalam kitab “Kashfu al-Litham” jld. 1 hlm. 85. Beliau menjelaskan:

“Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada memperusahakan makanan dan berhimpun manusia atasnya dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahshah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh dan empat puluh dan umpama yang demikian itu seperti yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syara kerana tegah pada syara”.

No comments:

Post a Comment