Wednesday, August 24, 2011

PETUNJUK AL-QUR'AN YANG MENGIKTIRAF KEKHALIFAHAN ABU BAKAR, UMAR, USMAN DAN ‘ALI..

PETUNJUK AL-QUR'AN YANG MENGIKTIRAF KEKHALIFAHAN ABU BAKAR, UMAR, USMAN DAN ‘ALI..

Al-Qur’an al-Karim ialah kitab rujukan umat Islam yang lengkap lagi sempurna. Firman Allah ‘Azza wa Jalla:

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini. [al-An’aam 6 :38]

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. [al-‘Araaf 7 :52]

Walaubagaimanapun kelengkapan dan kesempurnaan al-Qur’an bukanlah bererti ia menerangkan semua perkara secara terperinci tetapi bererti ia menggariskan segala asas dan pokok persoalan umat. Hal ini sepertimana yang pernah penulis terangkan dalam sebuah buku yang lain:[1]

Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’an al-Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat. Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya.

Demikian juga, apabila dikatakan kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti al-Qur’an tidak leka atau lengah daripada menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.

Di dalam dialog sebelum ini, apabila Ja’far al-Shiddiq radhiallahu ‘anh ditanya sama ada kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman ada di dalam Al-Qur’an, beliau tidak membaca apa-apa ayat yang ada menyebut nama Abu Bakar atau ‘Ali bin Abi Thalib kerana sememangnya ayat sedemikian tidak wujud. Sebaliknya Ja’far menjawab dengan membaca 3 buah ayat yang membentuk asas dan pokok dalam persoalan khalifah. Tiga ayat tersebut adalah:

Pertama:

Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat. [al-An‘am 6:165]

Kedua:

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu khalifah bumi ? [al-Naml 27:62]

Ketiga:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa;

Dan Ia akan menguatkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka.

Dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).

Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. [al-Nur 24:55]

Penjelasannya adalah seperti berikut:

Dua ayat pertama yang dibacakan oleh Ja’far al-Shiddiq berperanan menetapkan konsep khalifah di dalam Islam. Di samping itu ayat yang pertama menerangkan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla meninggikan darjat sebahagian manusia di atas sebahagian yang lain. Mereka yang diangkat darjatnya oleh Allah, merekalah yang Allah jadikan khalifah di bumi ini sebagaimana ayat yang kedua.

Ayat yang ketiga memperincikan sifat-sifat yang wajib dimiliki oleh seorang Khalifah Allah, iaitu:

1 - Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu … Hendaklah mereka terdiri daripada orang yang beriman dan beramal salih. Orang bukan Islam tidak boleh menjadi khalifah Allah. Demikian juga, orang yang leka dengan permainan nafsu dan kehidupan dunia sehingga mengabaikan amal salih tidak boleh menjadi khalifah Allah.

2 - Menguatkan agama mereka… Khalifah-khalifah ini mengukuh dan menguatkan kedudukan umat Islam di muka bumi ini dengan melaksanakan kewajipan dakwah dan jihad. Pemimpin yang menyebabkan kelemahan umat Islam dengan meninggalkan kewajipan dakwah dan jihad terkeluar dari kategori Khalifah Allah.

3 - Menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan… Khalifah-khalifah ini menjamin keamanan umat Islam dari segala bahaya yang wujud dalam pelbagai bentuk. Pemimpin yang leka daripada kewajipan ini tidak tergolong dalam kategori Khalifah Allah.

4 - Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku… Khalifah-khalifah ini, dengan segala kejayaan yang telah mereka bawa kepada umat Islam, tidak menjadi leka atau som . Mereka tetap mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya.

Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhum menepati kesemua ciri-ciri khalifah yang ditetapkan oleh ketiga-tiga ayat di atas. Secara lebih terperinci:

Pertama: Allah meninggikan darjat mereka.

Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menerangkan keutamaan dan kemuliaan para sahabat, diikuti dengan beberapa hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengkhususkan kemuliaan beberapa sahabat seperti Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali.[2]

Kedua: Allah menjadikan mereka khalifah.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan mereka khalifah dengan memberi mereka:

1 - Kelengkapan ilmu, yakni dengan pengalaman hidup yang lama di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

2 - Kelengkapan sifat kepimpinan, seperti pengalaman memimpin beberapa ekspedisi jihad dan dakwah.

3 - Kemuliaan peribadi sehingga dihormati, disokong, diikuti dan ditaati oleh kaum muslimin.

Ketiga: Menguatkan agama.

Pada zaman pemerintahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, Islam berada dalam kedudukan yang amat kuat sehingga ditakuti oleh negara-negara yang lain. Malah kerajaan yang besar seperti Rom dan Parsi jatuh kepada kepimpinan Islam. Kekuatan Islam tetap bertahan pada zaman pemerintah ‘Ali. Sekalipun berlaku Perang Jamal dan Siffin pada zaman beliau, kedudukan umat Islam masih digeruni oleh negara bukan Islam.

Keempat: Menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan.

Pada zaman pimpinan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, musuh-musuh Islam seperti Kerajaan Rom, Parsi dan lain-lain bertekad untuk memerangi umat Islam. Akan tetapi ketiga-tiga khalifah ini berjaya menumpaskan kerajaan tersebut, menggantikan ketakutan kepada keamanan.[3]

Hal yang sama berlaku pada zaman pimpinan ‘Ali, hanya tumpuan adalah menjamin keamanan umat daripada musuh-musuh yang berselindung di kalangan umat. Ini berbeza dengan Abu Bakar, ‘Umar dan Utsman di mana tumpuan mereka adalah menjamin keamanan umat daripada musuh-musuh yang berada di luar kalangan umat.

Kelima: Terus beribadat tanpa menyekutukan Allah.

Di sebalik segala cabaran dan kejayaan yang mereka capai, Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali tidak menjadi leka atau som . Mereka tetap mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya sepenuhnya.

Demikianlah ciri-ciri Khalifah Allah yang semuanya dipenuhi oleh Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhum. Merekalah Khalifah Allah yang diiktiraf umat Islam. Sesiapa yang mengingkarinya, maka mereka dihukum oleh Allah sebagai “…orang-orang yang fasiq” sebagaimana firman-Nya di akhir ayat 55 surah al-Nur tersebut: Dan (ingatlah) sesiapa yang ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.[4]

Seandainya Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman bukan merupakan Khalifah Allah yang hak sebagaimana dakwa Syi‘ah, pasti mereka bertiga tidak akan menepati ciri-ciri yang digariskan oleh ketiga-tiga ayat di atas, khasnya ayat 55 surah al-Nur. Seandainya benar mereka bertiga menyalahi petunjuk wahyu dan wasiat Rasulullah dalam kekhalifahan, pasti mereka menjadi pemimpin yang tidak beriman lagi berbuat banyak kerosakan. Islam pada zaman mereka lemah manakala umat dizalimi musuh. Tidak ada keamanan kecuali ketakutan dan suasana porak peranda.

Namun yang benar semua di atas tidak berlaku. Di bawah pimpinan mereka bertiga yang bercirikan keimanan dan ketaqwaan, Islam menjadi kuat manakala umat aman di bawahnya. Hakikat ini tidak lain menunjukkan bahawa mereka bertiga adalah Khalifah Allah yang hak.

Timbul persoalan lain: Wujudkah petunjuk al-Qur’an yang mengiktiraf Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama bagi umat Islam setelah wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Jawapannya terdapat di dalam ayat-ayat berikut:[5]

Orang-orang "A'raab" yang ketinggalan (tidak turut serta) akan berkata kepadamu (wahai Muhammad): “Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami.” Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya.” [al-Fath 48:11]

Orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi mendapat harta rampasan (selepas berakhirnya peperangan): “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!” Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi.” [al-Fath 48:15]

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi: “Kamu akan diajak menentang satu kaum yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan akhirat), dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” [al-Fath 48:16]

Penjelasannya, ayat-ayat di atas berada di dalam surah al-Fath, surah yang menerangkan perihal kejayaan umat Islam mengambil alih semula Kota Mekah. Ayat 11 yang bermaksud: Orang-orang "A'raab" yang ketinggalan … merujuk kepada sekumpulan kaum Arab Badwi yang enggan turut serta di dalam Perjanjian Hudaibiyah dan ekspedisi peperangan Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah). Mereka memberi alasan kononnya … menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami. [ayat 11]

Akan tetapi apabila peperangan berakhir dan pasukan mujahidin Islam berjaya memperoleh harta rampasan perang, kumpulan Arab Badwi ini bertukar fikiran dengan berkata: “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!” [ayat 15]. Ini tidak diterima oleh Allah ‘Azza wa Jalla kerana keengganan mereka pada awalnya menyebabkan Allah menetapkan bahawa mereka tidak akan sekali-kali keluar dalam ekspedisi jihad bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Justeru Allah berfirman: Mereka hendak mengubah janji Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi.” [ayat 15].

Walaubagaimanapun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat dan kembali menyertai ekspedisi jihad. Hanya sahaja peluang ini tidak akan wujud bersama Rasulullah pada zaman Rasulullah kerana Allah telah menetapkan: “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami……(Rasulullah)” [ayat 15].

Peluang ini hanya akan wujud selepas kewafatan baginda. Allah membuka peluang ini dengan menggunakan kata kerja akan datang (future tense) sebagaimana firman-Nya: “Kamu akan diajak menentang satu kaum……” [ayat 16] Peluang yang dibuka itu ialah ekspedisi jihad menentang kaum yang amat gagah, iaitu Kerajaan Rom atau Parsi atau mana-mana kerajaan lain di luar Semenanjung Arab yang memusuhi Islam. Ini sebagaimana firman-Nya: “Kamu akan diajak menentang satu kaum yang sangat kuat gagah……” [ayat 16] Untuk merebut peluang ini, mereka akan diajak sebagaimana firman Allah: “Kamu akan diajak……” [ayat 16].

Di dalam Fiqh Jihad, ekspedisi jihad dan kewajipan umat untuk menyertainya hanya sah di bawah perintah seorang khalifah.[6] Maka siapakah khalifah umat Islam selepas kewafatan Rasulullah yang menggerakkan ekspedisi jihad dan mengajak umat Islam menyertainya bagi menentang kaum yang sangat kuat gagah tersebut?

Fakta sejarah mencatatkan bahawa Abu Bakar telah menggerakkan pelbagai ekspedisi jihad yang berjaya menumpaskan kerajaan-kerajaan lain yang kuat gagah, khasnya Kerajaan Rom yang berpusat di Syam. Selain itu usaha menumpaskan Kerajaan Parsi bermula sejak zaman beliau dan memperoleh kejayaan pada zaman pimpinan ‘Umar bin al-Khaththab. Yang mengajak umat Islam dalam ekspedisi-ekspedisi jihad ini ialah Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh.

Seandainya Abu Bakar bukan merupakan Khalifah Allah yang pertama yang berhak selepas kewafatan Rasulullah, pasti usaha … menentang satu kaum yang sangat kuat gagah … tidak berlaku pada zamannya. Beliau tidak akan menggerakkan apa-apa ekspedisi jihad dan tidak akan mengajak sesiapa menyertainya.

Seandainya Khalifah Allah yang pertama yang berhak selepas kewafatan Rasulullah ialah ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh, maka ekspedisi jihad dan ajakan kepada umat Islam menyertainya bagi menentang kaum yang sangat kuat gagah hanya akan berlaku pada zaman pimpinan ‘Ali. Hakikatnya hal ini tidak pernah terjadi. Bahkan kerana priority menyelesaikan perselisihan umat, sejarah tidak mencatatkan apa-apa ekspedisi jihad mahupun ajakan menentang mana-mana kerajaan bukan Islam yang digerakkan oleh ‘Ali bin Abi Thalib pada zaman pimpinannya.

Justeru ayat 11 hingga 16 surah al-Fath di atas membuktikan kebenaran jawatan Khalifah Allah yang pertama yang disandang oleh Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh sejurus selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Bibliografi:

[1]Iaitu buku 20 Hujah Anti Hadis dan Jawapannya (Jahabersa, Johor Bahru 2002), ms. 3.

[2]Terdapat banyak hadis tentang keutamaan dan kemuliaan para sahabat khasnya mereka berempat. Antara rujukan yang mudah diperolehi yang menghimpun hadis-hadis ini ialah kitab Misykat al-Mashabih (مشكاة المصابيح) susunan al-Khatib al-Tabrizi (737H) rahimahullah. Ia telah diterjemahkan ke dalam:

1. Bahasa Inggeris dengan judul al-Hadis (diterjemah beserta ulasan ringkas oleh Wali al-Din Abu ‘Abd Allah Mahmudi; Islamic Book Service, Delhi 1998). Lihat jld. 4, ms. 487 dan seterusnya.

2. Bahasa Indonesia dengan judul Piala Lampu-lampu Penerang (diterjemah oleh Yusuf ‘Ali; CV. Asy-Syifa’, Semarang 1993). Lihat jld. 6, ms 355 dan seterusnya.

Selain itu boleh juga dirujuk buku Mengenal Keutamaan Mutiara Zaman oleh Hamd bin ‘Abd Allah al-Humaidi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta 2002).

Perlu diingatkan bahawa Syi‘ah sering kali mengemukakan pelbagai hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum. Akan tetapi kebanyakan hadis ini adalah lemah (dha‘if) dan palsu (maudhu’). Pada waktu yang sama Syi‘ah sering kali menghina para sahabat yang lain. Untuk menjawab penghinaan ini, sila rujuk buku ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri
(التليري) yang berjudul Kitab Fadha’il al-Shahabah wa al-Difa’ ‘an Karamatihim wa Bayan Khatar Mubghadihim wa al-Tha‘inin Fihim (و بيان خطر مبغضيهم والطاعنين فيهم) (Dar Ibn Hazm, Beirut 1999).

Antara sahabat yang banyak dihina oleh Syi‘ah ialah Abu Hurairah semata-mata atas alasan beliau sangat sedikit meriwayatkan, malah didakwa menyembunyikan hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Untuk menjawab kritikan-kritikan Syi‘ah ini, sila rujuk buku ‘Abd al-Mun‘im Shalih al-‘Aliy – Difa’ ‘an Abi Hurairah (Dar al-Qalam, Beirut tp.thn.). Bagi sumber selain bahasa Arab, rujuk buku Muhammad Ajaj al-Khatib yang berjudul Hadits Nabi Sebelum Dibukukan (edisi terjemahan oleh Akrom Fahmi; Gema Insani, Jakarta 1999), ms. 444 dan seterusnya.

[3]Lebih lanjut berkenaan kejayaan-kejayaan para khalifah ini, sila rujuk buku Tarikh al-Khulafa’ oleh al-Suyuthi (edisi terjemahan oleh Samson Rahman; al-Kautsar, Jakarta 2001).

[4]Perlu diingatkan bahawa ketiga-tiga ayat di atas, khasnya ayat 55 surah al-Nur hanya menggariskan ciri-ciri seorang khalifah tanpa menamakan siapakah khalifah tersebut. Bererti mana-mana pemimpin umat yang menepati ciri-ciri tersebut, dialah Khalifah Allah dan umat Islam wajib memberi janji taat setia (bai‘ah) kepadanya.

[5]Asalnya dikemukakan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah di dalam Kitab al-Luma’ (Fasal ke 10). Rujukan penulis ialah edisi terjemahan oleh R.J. Mc Carthy atas judul The Theology of al-Ash‘ari (Imprimerie Catholique, Beirut 1953), ms. 112 dan seterusnya.

[6]Lebih lanjut lihat buku penulis: Apakah Jihad Di Jalan Allah ? Buku 2: Hukum dan Syarat-syarat Jihad (Jahabersa, Johor Bahru 2004), Bab 5.2 dan 6.4.

Iktikad Ahl al-Sunnah ke atas Ahl al-Bait Rasulullah.

Yang dimaksudkan dengan Iktikad.

Perkataan iktikad (I’tiqad: إعتقاد) berasal daripada perkataan ‘Aqad (عقد) yang bererti menyimpul atau mengikat, seperti menyimpul dan mengikat seutas tali.[1]

Contoh penggunaannya di dalam al-Qur’an adalah sepertimana ayat berikut:

Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (tali) [al-Falaq 113:04]

Dari sudut istilah, iktikad bermaksud segala sesuatu yang menjadi keyakinan selain daripada amalannya seperti keyakinan akan wujudnya Allah dan keyakinan tentang pengutusan para Rasul.[2] Ia adalah kepercayaan yang tersemat atau tersimpul kuat di dalam hatinya yang tidak dicemari oleh keraguan sedikitpun sehingga sukar untuk dileraikan.[3]

Kenapakah penting untuk diketahui iktikad Ahl al-Sunnah terhadap Ahl al-Bait?

Antara asas penting yang perlu diketahui dalam perbincangan antara Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah ialah iktikad Ahl al-Sunnah ke atas Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, radhiallahu ‘anhum. Paling kurang terdapat dua sebab:

1 - Iktikad Ahl al-Sunnah yang sebenar terhadap Ahl al-Bait perlu difahami supaya tidak wujud salah faham, seolah-olah Ahl al-Sunnah memusuhi, membenci dan merendah-rendahkan Ahl al-Bait, khasnya ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.

2 - Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa di kalangan Ahl al-Sunnah sendiri, sebahagian besar daripada mereka tidak mengetahui kenapa dan bagaimana berinteraksi dengan Ahl al-Bait Rasulullah. Apatah lagi untuk mengetahui iktikad yang diwajibkan ke atas mereka terhadap Ahl al-Bait Rasulullah.

Bagi menerangkan iktikad Ahl al-Sunnah ke atas Ahl al-Bait Rasulullah, penulis akan mengemukakan penjelasan Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) di dalam bukunya yang tersangat penting: al-‘Akidah al-Wasithiyyah.[4] Pemilihan ini dilakukan kerana dua sebab:

1 - Penerangan Ibn Taimiyyah di dalam bab ini adalah antara yang paling lengkap merangkumi iktikad Ahl al-Sunnah ke atas para sahabat, Ahl al-Bait dan para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, radhiallahu ‘anhum.

2 - Ibn Taimiyyah sendiri telah dikritik sebagai orang yang membenci dan merendah-rendahkan Ahl al-Bait Rasulullah kerana tindakan beliau yang menjawab hujah-hujah Syi‘ah, khasnya di dalam kitabnya Minhaj al-Sunnah. Maka dengan nukilan ini akan terhapuslah segala kritikan tersebut kecuali daripada orang-orang yang sememangnya memiliki penyakit di dalam hatinya.

Iktikad Ahl al-Sunnah terhadap para sahabat, khasnya Ahl al-Bait Rasulullah.[5]

i - Iktikad umum Ahl al-Sunnah terhadap para sahabat

Termasuk dalam prinsip Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah ialah menjaga hati mereka dan perkataan mereka terhadap para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang disifatkan kepada mereka (Ahl al-Sunnah) tentangnya (para sahabat) oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya:

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” [al-Hasyr 59:10]

Dan (prinsip menjaga hati dan perkataan termasuk) sebagai ketaatan kepada sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

Janganlah kalian mencaci sahabatku, Demi yang diriku berada di-Tangan-Nya, seandainya seorang dari kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud tidaklah ia mencapai satu mud (emas yang diinfakkan oleh) seorang dari mereka (sahabatku) dan tidak juga separuh (daripada)nya.[6]

ii - Sebahagian sahabat adalah lebih utama daripada sebahagian yang lain

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) menerima apa yang datang berkenaannya daripada al-Kitab (al-Qur’an) dan al-Sunnah dan Ijma’ berkenaan keutamaan dan tingkatan-tingkatan mereka. Maka mereka mengutamakan para sahabat yang berinfak dan berperang (jihad) sebelum peristiwa al-Fath (pembukaan Kota Mekah) – yakni peristiwa Perjanjian Hudaibiyah – di atas para sahabat yang berinfak dan berperang selepas itu.[7]

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) mendahulukan kaum al-Muhajirin di atas kaum al-Anshar. Dan mereka (Ahl al-Sunnah) beriman bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada Ahl al-Badr (mereka yang mengikuti Perang Badar) yang jumlah mereka 310 lebih orang:

Beramallah kalian sehendak kalian kerana sesungguhnya Aku (Allah) telah mengampuni (dosa-dosa) kalian.[8]

Dan juga sabda baginda:

Tidak akan masuk neraka seorang jua yang memberi janji taat setia (bai‘ah) di bawah pohon ini.[9]

Sebagaimana yang dikhabarkan tentangnya oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, bahkan sungguh Allah redha ke atas mereka dan mereka juga redha kepada Allah, dan mereka (berjumlah) lebih 1400 orang.

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) bersaksi bahawa (para sahabat akan memasuki) syurga, iaitu sesiapa yang dijamin baginya oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (akan masuk syurga) seperti 10 orang sahabat,[10] Tsabit bin Qays bin Syammasy[11] dan selain mereka daripada kalangan para sahabat.

iii - Iktikad Ahl al-Sunnah berkenaan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) menetapkan dengan apa yang diterima secara mutawatir daripada Amir al-Mukminin ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh[12] dan daripada selainnya[13] bahawa sebaik-baik manusia daripada kalangan umat ini sesudah Nabinya (shallallahu ‘alaihi wasallam) ialah Abu Bakar kemudian Umar, ketiga ‘Utsman dan keempat ‘Ali radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang ditunjukkan oleh riwayat dan sebagaimana yang disepakati oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum yang mendahulukan ‘Utsman dengan janji taat setia (bai‘ah).

iV – Iktikad Ahl al-Sunnah berkenaan kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali

Sesungguhnya sebahagian Ahl al-Sunnah, setelah mereka bersepakat dalam mendahulukan Abu Bakar dan ‘Umar, berselisih pendapat antara ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhuma – siapakah di antara keduanya yang lebih utama ? Maka sebahagian mereka telah mendahulukan ‘Utsman dan (kemudian) diam atau satu perempat (daripada mereka) mendahulukan ‘Ali dan (ada juga) sebahagian yang mendahulukan ‘Ali dan (ada juga) sebahagian berhenti (yakni menahan diri daripada berpendapat apa-apa).

Akan tetapi (akhirnya) Ahl al-Sunnah telah menetapkan untuk mendahulukan ‘Utsman. Namun masalah ini – yakni (masalah perselisihan antara mendahulukan) ‘Utsman dan ‘Ali – di sisi jumhur Ahl al-Sunnah bukanlah merupakan masalah prinsip yang menyesatkan orang yang berselisih tentangnya.

Akan tetapi masalah yang menyesatkan bagi orang yang berselisih tentangnya ialah masalah kekhalifahan. Yang demikian (kerana) sesungguhnya mereka (Ahl al-Sunnah) telah beriman bahawa khalifah (yang benar) sesudah Rasulullah ialah Abu Bakar kemudian ‘Umar kemudian ‘Utsman kemudian ‘Ali. Barangsiapa mencela kekhalifahan dan kepimpinan seorang jua daripada mereka maka dia lebih sesat daripada keldai peliharaannya.

V - Iktikad Ahl al-Sunnah berkenaan keutamaan Ahl al-Bait Rasulullah: ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) mengasihi Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, setia kepada mereka dan memelihara wasiat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan mereka yang baginda sampaikan pada Hari Ghadir Khum:

Aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku.[14] Dan baginda juga bersabda kepada al-‘Abbas, pakciknya, ketika beliau mengadu kepadanya bahawa sebahagian orang Quraish telah mengasingkan Bani Hasyim, lalu baginda bersabda:

Demi yang diriku berada di tangan-Nya, mereka tidak beriman sehingga mereka mencintai kalian kerana Allah dan kerana kalian adalah kerabat aku. [15]

Dan baginda juga bersabda:

Sesungguhnya Allah telah memilih Bani Ismail dan telah memilih daripada Bani Ismail (suku) Kinanah dan telah memilih daripada (Bani) Kinanah (suku) Quraisy dan telah memilih daripada (Bani) Quraisy – Bani Hasyim dan telah memilih aku daripada Bani Hasyim.[16]

Vi - Iktikad Ahl al-Sunnah berkenaan para isteri Rasulullah

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) setia kepada para isteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Ibu-ibu kaum Mukminin[17] kerana sesungguhnya mereka adalah isteri baginda (sehingga) ke Akhirat nanti, khasnya Khadijah radhiallahu ‘anha – ibu kepada kebanyakan anak-anak Rasulullah dan orang yang pertama beriman dengannya (kepada Islam) dan (yang pertama) mendukung urusannya. Baginya (Khadijah) kedudukan yang tinggi.

Dan al-Shiddiqah binti al-Shiddiq (‘A’isyah binti Abu Bakar) radhiallahu ‘anha yang pernah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda berkenaannya:

Keutamaan ‘A’isyah di atas seluruh wanita adalah umpama keutamaan al-Tsarid (sejenis makanan roti dan daging) di atas semua jenis makanan.[18]

Vii – Sikap Ahl al-Sunnah terhadap orang yang menyelisihi Ahl al-Bait dan para sahabat

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) berlepas diri dari jalan (manhaj dan sikap) al-Rafidhah, iaitu orang-orang yang membenci para sahabat dan mencela mereka. Dan (Ahl al-Sunnah berlepas diri) dari jalan (manhaj dan sikap) al-Nawashib, iaitu orang-orang yang menyakiti Ahl al-Bait dengan perkataan atau perbuatan.

Viii - Sikap Ahl al-Sunnah berkenaan sejarah pertelingkahan para sahabat

Dan mereka (Ahl al-Sunnah) berdiam diri (berkenaan sejarah) pertelingkahan para sahabat.[19] Dan mereka (Ahl al-Sunnah) berkata: Sesungguhnya kisah-kisah sejarah yang diriwayatkan berkenaan (pertelingkahan) mereka, di antaranya ada yang dusta, di antaranya ada yang ditokok tambah dan ada yang dikurangkan dan ada yang diubah daripada yang sebenar. Yang benar adalah mereka dimaafkan sama ada di dalam ijtihad mereka yang benar atau ijtihad mereka yang silap.

Yang sedemikian adalah kerana mereka (Ahl al-Sunnah) tidak memiliki iktikad bahawa setiap seorang daripada kalangan para sahabat maksum daripada dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil, bahkan mungkin sahaja mereka itu memiliki sejumlah dosa. Akan tetapi apa yang telah mendahului (daripada segala keimanan, ketaqwaan dan kebajikan mereka) dan keutamaan mereka mewajibkan keampunan akan apa yang muncul daripada mereka, seandainya hal tersebut benar-benar muncul.[20] Sehingga diampunkan bagi mereka kesilapan-kesilapan mereka apa yang tidak diberi pengampunan kepada orang sesudah mereka. Kerana sesungguhnya bagi mereka terdapat kebaikan-kebaikan yang menghapuskan kesilapan-kesilapan (dan kebaikan-kebaikan ini) tidak terdapat pada orang sesudah mereka.

Dan sungguh telah sabit daripada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (bahawa) sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah sebaik-baik orang pada kurunnya[21] dan sesungguhnya jika seorang daripada mereka (para sahabat) menyedekahkan satu mud – adalah ia lebih utama daripada seseorang selepas mereka yang menyedekahkan emas sebesar gunung Uhud.[22]

Justeru jika muncul daripada salah seorang daripada mereka (para sahabat – kesalahan yang menghasilkan) dosa, maka mungkin mereka (1) telah bertaubat daripadanya atau (2) membuat kebaikan-kebaikan yang menghapuskannya (dosa tersebut) atau (3) diampunkan baginya kerana keutamaan yang mendahului (daripada segala keimanan, ketaqwaan dan kebajikan mereka) atau (4) diberi syafaat oleh Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam di mana mereka adalah manusia yang paling berhak memperolehi syafaat baginda atau (5) diuji dengan kesukaran (bala’) di dunia yang dihapuskan dengannya (dosa-dosa)nya.[23]

Maka jika di atas adalah untuk (perbuatan) dosa yang hakiki (benar-benar berlaku) maka bagaimana pula dengan urusan yang merupakan ijtihad mereka (para sahabat – kerana) sesungguhnya jika mereka benar maka bagi mereka dua ganjaran dan jika mereka salah maka bagi mereka satu ganjaran dan kesalahan tersebut diampunkan bagi mereka ?

Kemudian kadar yang diingkari daripada perbuatan sebahagian mereka (para sahabat) adalah sangat sedikit – tambahan pula ia adalah sesuatu yang dapat diampuni – jika dibanding dengan keutamaan mereka dan segala kebaikan mereka daripada keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya, berjihad di jalan-Nya, hijrah (di jalan Allah), membantu (agama Allah), ilmu yang bermanfaat dan amal salih.

Dan sesiapa yang memperhatikan sejarah perjalanan hidup mereka (para sahabat) berdasarkan ilmu, mata hati yang ikhlas (bashirah) dan pengetahuan yang yakin akan apa yang dikurniakan Allah ke atas mereka daripada pelbagai keutamaan, (akan menyedari hakikat) bahawa mereka (para sahabat) adalah sebaik-baik makhluk sesudah para Nabi yang tidak ada semisalnya sebelum dan sesudahnya. Dan bahawasanya mereka adalah orang-orang terpilih daripada generasi umat ini yang merupakan sebaik-baik umat yang dimuliakan oleh Allah Ta‘ala.

Sekian Ibn Taimiyyah. Beberapa poin penting berkenaan iktikad Ahl al-Sunnah terhadap Ahl al-Bait Rasulullah:

1 - Hendaklah dipelihara wasiat Rasulullah berkenaan mereka sebagaimana pesan baginda dalam Khutbah Ghadir Khum: “Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang amat berharga, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an) … (yang kedua ialah) Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku…”

2 - Pemeliharaan tersebut ialah menjaga hak-hak mereka seperti (1) mencintai mereka, (2) memuliakan mereka, (3) menghormati mereka, (4) berselawat kepada mereka dan (5) membantu mereka jika di dalam kesulitan.

3 - Peringatan pula ialah tidak melakukan apa yang di sebaliknya seperti tidak membenci mereka, tidak menzalimi mereka dan sebagainya.

4 - Ahl al-Bait yang dimaksudkan umum meliputi semua kaum kerabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga ke hari ini tanpa terhad kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu ‘anhum.

Bibliografi:

[1]al-Qamus al-Muhith, ms. 300 (Bab al-Dal, Fasl al-‘Ain).

[2]al-Mu’jam al-Wasith , ms. 957.

[3]Abdullah Yasin – Manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jama‘ah (kertas kerja seminar).

[4]Kitab Akidah al-Wasithiyyah sebenarnya ialah jawapan Ibn Taimiyyah kepada pertanyaan seorang Qadi dari negeri Wasith tentang apakah itu akidah Salaf ? Jawapan ini termuat di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa akan tetapi telah juga dibukukan secara berasingan lengkap dengan syarahannya. Ia telahpun diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Inggeris lengkap dengan syarahnya, ada yang ringkas dan ada yang terperinci. Dianjurkan kepada para pembaca untuk memilikinya agar dapat dikenali apakah asas-asas yang membentuk akidah mereka sebagai seorang Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

[5]Majmu’ al-Fatawa, (Dar al-Wafa’, Kaherah 2002), jld. 3, ms. 152-156 (Rujukan jilid dan mukasurat adalah berdasarkan edisi standard 36 jld) dengan beberapa tambahan daripada penulis:

1 - Melakukan beberapa penjelasan tambahan, sama ada dalam bentuk kurungan dalam teks asal atau berasingan di bahagian notakaki.

2 - Mentakhrij hadis-hadis secara ringkas di bahagian notakaki.

[6]Rujuk hadis ini di dalam Shahih al-Bukhari – no: 3673 (Kitab Manaqib, Bab sabda Nabi…). Satu mud ialah ukuran yang memenuhi dua telapak tangan yang diletakkan bersama bersebelahan.

[7]Ini merujuk kepada ayat 10 surah al-Hadid sepertimana yang telah dikemukakan oleh Ja’far al-Shiddiq radhiallahu ‘anh dalam dialognya sebelum ini.

[8]Sebahagian daripada sebuah hadis yang panjang, lihat Shahih Muslim – no: 2494 (Kitab Keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan Ahli Badar…).

[9]Rujuk hadis ini di dalam Sunan Abu Daud – no: 4653 (Kitab Sunnah, Bab Berkenaan para khalifah). Ia merujuk kepada peristiwa sebelum Perjanjian Hudaibiyah yang disebut juga oleh al-Qur’an:

Demi sesungguhnya! Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. [al-Fath 48:18]

[10]Mereka ialah Abu Bakar, ‘Umar bin al-Khaththab, Utsman bin ‘Affan, ‘Ali bin Abi Thalib, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, al-Zubair bin Awwam, Sa‘ad bin Abi Waqqash, Sa‘id bin Za‘id, Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah dan Thalhah bin ‘Ubaidullah radhiallahu ‘anhum. Rujuk hadisnya di dalam al-Jami’ al-Shagheir – no: 73 daripada riwayat Ahmad, al-Dhiya’ dan al-Tirmizi.

[11]Rujuk hadisnya di dalam Shahih Muslim – no: 119 (Kitab Iman, Bab Kebimbangan orang mukmin bahawa amalannya akan hilang).

[12]Rujuk hadisnya di dalam Shahih al-Bukhari – no: 3671 (Kitab Manaqib, Bab sabda Nabi…). Ia berasal daripada Muhammad bin al-Hanafiyah, dia berkata:

Aku bertanya kepada ayahku (yakni ‘Ali bin Abi Thalib): Siapakah manusia terbaik selepas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ? ‘Ali menjawab: Abu Bakar. Aku bertanya: Kemudian siapa ? ‘Ali menjawab: Kemudian ‘Umar. Aku bimbang dia (‘Ali kemudiannya akan berkata) ‘Utsman, lalu aku berkata: Kemudian anda ? ‘Ali menjawab: Aku tidak lain adalah manusia biasa dari kalangan orang-orang Islam.

[13]Rujuk hadisnya di dalam Shahih al-Bukhari – no: 3655 (Kitab Manaqib, Bab Keutamaan Abu Bakar selepas Nabi). Ia berasal daripada Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma yang bermaksud: Kami membandingkan kebaikan manusia pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan kami mengutamakan Abu Bakar kemudian ‘Umar bin al-Khaththab kemudian ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu ‘anhum.

[14]Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahih Muslim – no: 2408 (Kitab Keutamaan-keutamaan para sahabat, Bab Keutamaan-keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib). Ia berasal daripada Zaid bin Arqam radhiallahu ‘anh dan bermaksud:

Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang amat berharga, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an) di mana di dalamnya terdapat hidayah dan (cahaya) nur, maka berpeganglah kepada Kitab Allah.

Berkata Zaid: Baginda (Nabi) sangat memberi penekanan dan kepentingan Kitab Allah. Kemudian Rasulullah menyambung: Dan Ahl al-Bait aku. Aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku.

Hadis ini juga dikenali sebagai Hadis Tsaqalain dan merupakan antara hujah Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah. Ia akan dibahas dalam siri akan datang nanti, insya-Allah.

[15]Hadis seumpama ini memiliki lafaz yang berbeza-beza tetapi maksud yang sama, dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah, Ahmad, al-Tirmizi al-Nasa’i, al-Hakim dan lain-lain. Rujuk kitab al-Suyuthi yang khas di dalam bab ini berjudul Ihya’ al-Mayyit fi Fada’il Ahl al-Bait, hadis no: 04.

[16]Hadis ini dengan lafaz yang sedikit berbeza tetapi dengan maksud yang sama boleh dirujuk di dalam Shahih Muslim – no: 2276 (Kitab Keutamaan, Bab Keutamaan nasab Nabi……).

[17]Ini merujuk kepada firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang beriman daripada diri mereka sendiri dan isteri-isterinya (Nabi) adalah ibu-ibu mereka. [al-Ahzab 33:06]

[18]Rujuk hadisnya di dalam Shahih al-Bukhari – no: 3769 (Kitab Manaqib, Bab Keutamaan ‘A’isyah).

[19]Maksudnya menahan diri daripada mendakwa pihak mana yang benar dan menuduh pihak mana yang salah di dalam peristiwa Peperangan Jamal dan Siffin. Bersikap diam tidaklah bererti meninggalkan kajian dan analisa kerana apa yang telah berlaku daripada sejarah pertelingkahan para sahabat sebenarnya adalah satu “model” pengajaran kepada umat seluruhnya untuk mengenal faktor-faktor yang boleh menyebabkan perselisihan dan pertelingkahan. Oleh itu “sejarah pertelingkahan” para sahabat ini tetap merupakan satu teladan kepada umat seluruhnya jika ia dipandang dari sudut yang positif.

[20]Yakni segala kebaikan dan kebajikan para sahabat akan menutupi apa-apa kesalahan yang mungkin timbul akibat daripada pertelingkahan mereka. Itupun jika dapat dikatakan pertelingkahan mereka adalah satu kesalahan kerana jika dikaji antara faktor-faktor penyebab pertelingkahan, ianya bermuara daripada keinginan setiap individu untuk mencari dan menegakkan kebenaran.

[21]Di sini Ibn Taimiyyah merujuk kepada hadis yang masyhur daripada Imran bin Husain radhiallahu ‘anh: Sebaik-baik kalian adalah pada kurun aku, kemudian pada kurun yang mengikutinya, kemudian pada kurun yang mengikutinya. Lihat Shahih al-Bukhari – no: 3650. (Kitab Fadhilat Sahabat).

[22]Di sini Ibn Taimiyyah merujuk kepada hadis yang telah beliau sampaikan di permulaan perbahasan.

[23]Ini merupakan salah satu iktikad Ahl al-Sunnah yang sangat penting, di mana mereka (Ahl al-Sunnah) tidak menghukum seseorang yang berbuat dosa, sekalipun dosa yang besar, sebagai kafir yang keluar dari Islam atau sebagai ahli neraka. Ini kerana manusia hanya mampu menilai dari sudut zahir perbuatan manakala Allah sebagai Yang satu-satunya berhak menghukum, akan menilai dari semua sudut. Justeru Ahl al-Sunnah tidak menghukum orang yang berbuat dosa sebagai kafir atau ahli neraka kerana mungkin sahaja dari sudut lain:

1 - Orang tersebut telah atau akan bertaubat.

2 - Orang tersebut meminta keampunan Allah dan Allah mengampunkannya.

3 - Orang tersebut melakukan banyak amal kebajikan yang menghapuskan dosanya tersebut.

4 - Doa sesama orang Islam yang antara lain meminta keampunan Allah kepada semua umat Islam, seperti ketika menunaikan Solat Jenazah. Ini mampu menghasilkan keampunan kepada orang tersebut

5 - Amal-amal kebajikan yang dilakukan oleh ahli warisnya, seperti ilmu yang dimanfaatkan, sedekah jariah dan doa si-anak, semua ini mampu menghapuskan dosanya.

6 - Orang tersebut memperoleh syafaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada hari Akhirat.

7 - Orang tersebut menerima beberapa ujian berupa kesukaran dalam kehidupan dunia yang semua ini juga merupakan sesuatu yang menghapuskan dosa.

8 - Orang tersebut menerima azab kubur yang dengan itu dihapuskan dosanya dan akhirnya terselamat daripada azab api neraka.

9 - Orang tersebut menerima kesukaran suasana Hari Kebangkitan, Padang Masyar dan sebagainya dan ini semua juga mampu menghapuskan dosa-dosanya dan menyelamatkannya daripada azab api neraka.

10 - Orang tersebut memperoleh Rahmat dan Keampunan daripada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

10 sudut ini telah dijelaskan oleh Ibn Taimiyyah lengkap dengan dalil-dalilnya di dalam Majmu’ al-Fatawa, jld. 7, ms. 487-501. Ringkasnya Ahl al-Sunnah hanya menghukum benar atau tidak perbuatan seseorang tetapi tidak menghukum akibat daripada perbuatan tersebut. Contohnya jika ada orang Islam yang minum arak, kita menghukum bahawa perbuatannya adalah salah dan menghalang orang tersebut daripada terus minum (Amr Ma’ruf Nahi mungkar) akan tetapi kita tidak menghukum dia sebagai orang kafir yang bakal menjadi ahli neraka. Demikian juga jika ada orang Islam yang tawaf di kubur si fulan, kita menghukum perbuatan tersebut sebagai bid‘ah dan menghalang orang tersebut daripada terus tawaf (Amr Ma’ruf Nahi mungkar) tetapi tidak menghukum dia sebagai ahli bid‘ah yang bakal masuk ke dalam neraka.

No comments:

Post a Comment