Adab-adab puasa yang disunnahkan:
1. Membaca doa
a. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda: «إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ »
Maksudnya: sesungguhnya doa orang yang berpuasa itu tidak tertolak ketika dia berbuka. (hadis riwayat Ibnu Majah, no 1753, sanadnya sahih. Lihat Sunan Ibn Majah bi tahqiq Muhamad Fuad Abdil Baqi, Dar al-Fikr, Beirut, jilid 1, halaman 557).
Kita diharuskan berdoa pada Allah s.w.t apa saja yang kita hajatkan tetapi doa yang dianjurkan ialah seperti yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis Ibnu Umar:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَفْطَرَ قَالَ: « ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ »
Maksudnya: Apabila berbuka Rasulullah saw berkata:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(telah hilanglah dahaga, telah basahlah urat-urat dan tetaplah pahala إِنْ شَاءَ اللَّهُ) (riwayat Ibnu Majah, no 1825, dan al-Hakim. Kata beliau hadis ini sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim. Al-Zahabi menyetujui kata-kata al-Hakim).
Dalam riwayat Ibnu Majah bahawa Ibnu Umar r.a ketika berbuka berdoa dengan doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَىْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِى
Maksudnya: Ya Allah aku memohon pada-Mu dengan rahmat-Mu yang luas untuk setiap sesuatu agar Engkau ampunkan dosaku. (riwayat al-Hakim no 1535, hadis sahih).
Oleh itu kita dibolehkan berdoa apa saja yang kita kehendaki namun adalah lebih baik doa yang diajar oleh baginda s.a.w kerana ia merupakan wahyu ilahi dan kita disuruh mengikut petunjuk baginda jika kita benar-benar mencintai Allah s.w.t.
b. Rasulullah صلى الله عله وسلام bersabda: “Apabila seseorang di antara kamu memakan makanan, hendaklah membaca:
بِسْمِ اللهِ
“Dengan nama Allah.”
Apabila seseorang itu terlupa untuk membacakan doa pada permulaannya ia makan, maka hendaklah ia membaca:
بِسْمِ اللهِ فِيْ أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ
“Dengan (menyebut) nama Allah dari awal dan di akhir (aku makan).”
(Hadis Riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi. Lihat juga kitab Shahih Sunan at-Tirmidzi, 2/167)
c. Doa Selepas Makan,
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنِيْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّيْ وَلاَ قُوَّةٍ
“Segala puji bagi Allah yang memberi makanan ini kepadaku dan yang memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan kekuatanku.” (Diriwayatkan oleh Ashhabus Sunan (penyusun kitab-kitab Sunan), kecuali an-Nasa’i. Lihat juga Shahih Sunan at-Tirmidzi, 3/159)
الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيْهِ، غَيْرَ [مُكْفِيٍّ وَلاَ] مُوَدَّعٍ، وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا
“Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh berkah, yang sentiasa dipanjatkan, diperlukan dan tidak boleh ditinggalkan, ya Tuhan kami.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, dan juga at-Tirmidzi dengan lafaz yang sama)
2. Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah SAW bersabda:
Ini berdasarkan hadis-hadis yang sahih seperti sabda baginda s.a.w:
إنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: « لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ »
Maksudnya: manusia itu sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa. (hadis riwayat Bukhari, no 1957, dan Muslim, no 1098).
Di samping hadis ini menerangkan pada kita tentang fadilat menyegerakan berbuka puasa, ia juga memberitahu kita bahawa punca kekalnya insan dalam kebaikan disebabkan mereka berpegag pada al-sunnah dan mengikut petunjuk agama serta memahami batasannya. Dalam hal di atas kekalnya manusia itu dalam kebaikan berpunca dari perbuatan menyegerakan berbuka puasa kerana ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w. (rujuk Nuzhah al-Muttaqin syarah Riyadh al-Salihin, Muhammad Amin Lutfy, Ali al-Syarbaji, Muhyiddin Misto, halaman 132).
Dalam sebuah hadis qudsi, sabda Rasulullah s.a.w:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: أَحَبُّ عِبَادِى إِلَىَّ أَعْجَلُهُمْ فِطْرًا »
Maksudnya: sabda Rasulullah s.a.w: Allah azza wa jalla berfirman: hamba yang paling Aku kasihi dikalangan hamba-hamba-Ku ialah mereka yang menyegerakan berbuka puasa. (hadis riwayat Tirmizi, hadis hasan).
- Dari Amru bin Maimun Al-Audi, telah berkata :
[ كان أصحاب محمد أسرع الناس إفطارا و أبطأهم سحورا ]
Maksudnya : ” Sesungguhnya sahabat Muhammad adalah orang yang paling cepat berbuka dan paling lambat bersuhur ” [HR Abdurrazzaq : 7591][1]
- Mengapakah perlu segera berbuka ?
a. Dapat menghasilkan kebaikan
- Dari Sahl bin Sa’d, Nabi r telah bersabda :
[ لا يزال الناس بخير ما ععجلوا الفطر ]
Maksudnya : ” Manusia tidak akan sunyi dari kebaikan selama mana menyegerakan
berbuka puasa ” [HR Al-Bukhari : 1856, Muslim : 1093]
b. Ia merupakan sunnah Rasulullah r :
- Dari Sahl bin Sa’d, Nabi r telah bersabda :
[ لا تزال أمتي على سنتي ما لم تنتظر بفطرها النجوم ]
Maksudnya : ” Umatku akan sentiasa dalam sunnahku selama mana mereka tidak
menunggu bintang untuk berbuka puasa “. [HR Ibnu Hibban : 891][2]
c. Mengelakkan dari menyerupai amalan yahudi dan nasrani
- Dari Abu Hurairah, Nabi r bersabda :
[ لا يزال الدين ظاهرا ما عجل الناس الفطر، لأن اليهود و النصارى يؤخرون ]
Maksudnya : ” Agama ini akan sentiasa menang selama mana manusia menyegerakan
berbuka, kerana yahudi dan nasrani mengakhirkannya “. [HR Abu Daud : 2353][3]
3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab (رُطَبٌ) ialah buah tamar yang telah masak dan basah yang mana ia lembut dan manis, manakala tamar (تَمَرٌ) adalah buah tamar yang kering. (lihat al-Mu’jam al-Wasit, Ibrahim Mustafa wa al-akharun, tahqiq majma’ al-lughah al-arabiyyah, jilid 1, halaman 730). Kedua-dua jenis kurma ini terdapat di pasaran dalam negara kita. Seperti yang diketahui rutab lebih mahal daripada tamar kering sesuai dengan kualitinya. Rasulullah s.a.w mengutamakan berbuka puasa dengan rutab. Sekiranya rutab tiada barulah baginda berbuka dengan tamar dan apabila tiada tamar baginda berbuka dengan air. Ini bersandarkan pada hadis di bawah:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتَمَرَاتٌ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ تَمَرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
Maksudnya: dari Anas r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat, jika tiada rutab baginda berbuka dengan tamar, dan sekiranya tamar tiada baginda akan berbuka dengan air. (hadis riwayat Abu Dawud, no 2357, dan Tirmizi, no 696. Kata Tirmizi ia hadis hasan).
Berbuka dengan turutan mengikut keutamaan dengan rutab, tamar dan air adalah sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk umat baginda. Kita diberi pahala apabila mengamalkannya kerana cinta kepada petunjuk nabawi. Adapun kelebihannya, kata al-Syawkani: disunnahkan berbuka puasa dengan rutab keranan ia manis dan yang manis itu menguatkan pandangan yang menjadi lemah disebabkan puasa. (rujuk Nail al-Awtar, Muhammad ’Ali al-Syawkani, cetakan Beirut, jilid 4, halaman 302). Namun yang lebih tepat ialah seperti yang Rasulullah s.a.w sendiri sebut iaitu kerana keberkatannya. Hadis di bawah menjelaskan perkara tersebut.
عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: « إذا أفطر أحدكم فليفطر على تمر فإنه بركة فإن لم يجد تمرا فالماء فإنه طهور »
Maksudnya: apabila seseorang dari kamu berbuka puasa hendaklah dia berbuka dengan tamar kerana ia barakah. Jika dia tidak mendapati tamar hendaklah dia berbuka dengan air kerana ia suci. (hadis riwayat Tirmizi, no 694. Kata al-Tirmizi: hadis sahih).
4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib jika makanan malam belum terhidang
Ini difahami dari hadis Anas yang telah disebutkan sebelum ini iaitu:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ…
Maksudnya: Rasulullah s.a.w berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum solat…
Dari hadis ini kita faham bahawa selepas berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau air, baginda s.a.w menunaikan solat Maghrib. Ini sekiranya makanan belum dihidang tapi jika sudah terhidang, adalah makruh kita meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam syarah hadis ini. Kata beliau: dalam hadis-hadis tersebut dapat difahami bahawa dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan kerana ia mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim bin Hajjaj, al-Nawawi, Muhyiddin Syaraf, jilid 2, halaman 321).
Hadis lain turut menyentuh hal ini seperti hadis di bawah:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم « إذا قدم العَشاء فابدؤوا به قبل أن تصلوا صلاة المغرب ولا تعجلوا عن عشائكم »
Maksudnya: apabila dihidangkan makanan maka mulailah dengannya (makanan itu) sebelum kamu solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh-gapah semasa makan. (hadis riwayat Bukhari, no 672 dan Muslim, no 557).
Dalam hadis yang lain yang juga riwayat Bukhari dan Muslim dari ‘Abdullah bin Mas’ud, baginda s.a.w menyebut:
« إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلَنَّ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ » وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ وَتُقَامُ الصَّلاَةُ فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى يَفْرُغَ ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ
Maknanya: “apabila diletakkan hidangan makanan seseorang dari kamu dan solat pun didirikan, mulailah dengan makanan itu dan jangan dia tergesa-gesa (ketika makan) hinggalah dia selesai darinya”. Adalah Ibnu Umar apabila dihidangkan padanya makanan dan solat didirikan, dia tidak tunaikan solat sehingga beliau selesai makan sedangkan dia mendengar bacaan imam. (hadis riwayat Bukhari, no 673 dan Muslim, no 559. Hadis ini dengan lafaz Bukhari).
Ini tidak bermakna kita diajar mementingkan makanan dari solat sebaliknya untuk menjaga kesempurnaan solat. Oleh itu al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut dalam Fath al-Bari bahawa Ibnu Jawzi berkata: ada orang menyangka bahawa mendahulukan makan sebelum solat adalah mendahulukan hak seorang hamba berbanding hak Allah, tetapi sebenarnya ia kerana hendak mengutamakan hak Allah agar insan menunaikan ibadah solat dengan hati yang khusyuk dan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan para sahabat adalah sedikit dan itu tidak melambatkan mereka terputus jamaah (solat). (rujuk: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-‘Asqalani, jilid 15, halaman 383).
Menurut Imam al-Nawawi : “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Hal ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam surah al-A’raf ayat 31:
﴿ وكُلُواْ وَاشْرَبُواْ وَلاَ تُسْرِفُواْ إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ ﴾
Maknanya: dan makan serta minumlah kalian dan jangan kalian berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka pada orang-orang yang berlebih-lebihan.
Baginda s.a.w juga menyebut dalam sabda baginda:
« ما مَلأ آدميٌّ وِعاءً شَرّاً مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابنِ آدمَ لُقَيْمَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فإنْ كَانَ لا مَحالَةَ، فَثُلُثٌ لِطعامِهِ، وثُلُثٌ لِشَرابِهِ، وثُلُثٌ لِنَفسه »
Maksudnya: tidaklah anak Adam itu mengisi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Sudah cukuplah bagi anak Adam itu dengan beberapa suap (makanan) yang dapat meluruskan tulang belakangnya (sekadar memberi tenaga), jika tidak boleh, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk pernafasan. (riwayat Ibnu Majah, no 3474 dan Tirmizi, no 2380. Kata al-Tirmizi: hadis hasan sahih).
6. Makan dan minum dengan tangan kanan.
Dalam persoalan ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyampaikan pesanannya kepada kita dengan sabdanya (maksudnya),
“Apabila seseorang dari kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanannya dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanannya. Ini kerana sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Asyrabah)
7. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah SWT :
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” – Surah al-Insan: 8-9.
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda SAW :
Nabi r bersabda :
[ من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا ]
Maksudnya : ” Barang sesiapa yang memberi makan untuk orang berbuka puasa, baginya pahala orang berpuasa tanpa dikurang sedikitpun dari pahalanya ” [HR At-Tirmidzi : 804, Ibnu majah : 1746]
8. Berdoa untuk orang yang menjamu kita berbuka puasa
Nabi s.a.w apabila dijemput ke rumah Sa’ad bin ’Ubadah r.a dan dihidangkan makanan, baginda mendoakan untuk Sa’ad r.a:
« أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ »
Maksudnya: orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisi kamu, orang-orang yang baik telah makan makanan kamu dan para malaikat telah berselawat ke atas kamu. (riwayat Abu Dawud, sanadnya sahih, no 3854. Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang sama apabila baginda s.a.w dijemput berbuka puasa di rumah sahabat-sahabat lain, no 1670).
Disunnah juga membaca doa seperti riwayat dibawah ini.
Dari Miqdad, Nabi saw bersabda :
[ اللهم أطعم من أطعمني، و اسق من سقاني ]
Maksudnya : ” Ya Allah ya Tuhan kami, berilah makan kepada orang yang memberi makan kepada kami, dan berilah minum kepada orang yang memberi minum kepada kami “. [HR Muslim : 2055].
Semoga adab-adab berbuka puasa yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w ini dapat kita amalkan sepanjang bulan yang mulia ini, disamping melipat gandakan dan berlumba-lumba melakukan amal salih yang lain yang disyariatkan oleh Allah s.w.t serta mengharap balasan syurga. Sabda baginda saw dalam hadis di bawah:
« إِنَّ فِى الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ »
Maksudnya: sesungguhnya terdapat satu pintu dalam syurga yang dipanggil al-Rayyan di mana ia akan dimasuki oleh mereka yang berpuasa. Tiada seorang pun yang tidak boleh memasukinya kecuali mereka. Terdapat suara bertanya: di manakah orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka pun bangun (dan memasuki pintu al-Rayyan), tiada seorang pun yang tidak berpuasa boleh memasukinya. Apabila mereka telah masuk, pintu itu ditutup tanpa seorang pun dapat memasukinya. (riwayat Bukhari,no 1896).
9. Diantara doa-doa yang populer tetapi berlandaskan hadis yang lemah ( tidak disunnahkan untuk membacanya ) adalah sebagai berikut :
a. Doa Makan Yang Tidak Shahih (Tidak Tsabit) Dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللهِ
“Ya Allah, berkatilah untuk kami dalam sesuatu yang telah Engkau kurniakan kepada kami, dan jagalah kami dari azab neraka. Dengan menyebut nama Allah.”
Penjelasan (oleh Syaikh Amir bin Ali Yasin) tentang hadis ini:
Hadis ini diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam ad-Du’a, no. 888, Ibnu as-Sunni, no. 457, dan Ibnu Adi, 6/2212 dari beberapa jalur, “dari Hisyam bin Amar, Muhammad bin Isa bin Sami’ menceritakan kepada kami”, “Muhammad bin Abi az-Zu’aiza’ah menceritakan kepada kami, dari Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya” dengan hadis tersebut.
Sanad ini adalah sanad yang bersangatan lemahnya (dhoif jiddan). Hisyam dan Ibnu Sami’, keduanya dipertikaikan, tetapi masalah yang sebenarnya terletak pada Ibnu Abi az-Zu’aiza’ah, kerana ia tertuduh dusta lagi matruk, dan hadisnya mungkar lagi sangat dhoif. Dengannya, hadisnya ini dinilai mungkar oleh Ibnu Adi, adz-Dzahabi, dan Ibnu Hajar al-Asqalani.
Sila lihat, komentar Syaikh Amir bin Ali Yasin dalam semakannya ke atas al-Azkar an-Nawawiyah, terbitan Dar Ibnu Khuzaimah, Riyadh, 1422H/2001M, Cet. 1, hadis no. 674.
b. Terdapat doa yang masyhur dikalangan masyarakat tetapi tidak sunnah dan berlandaskan hadis yang lemah ( sila rujuk kitab fiqhussanh sayyid sabiq ), seperti doa :
[ اللهم لك صمت، وعلى رزقك أفطرت ]
Maksudnya : ” Ya Allah, ya Tuhan kami, kerana-Mu kami berpuasa, dan atas rezeki-Mu kami berbuka”.[HR Abu Daud : 2358]
Hadis yang menyebut tentang doa ini, adalah dari riwayat Mu’az bin Zuhrah. Beliau bukan sahabat sebaliknya beliau adalah tabi’in (generasi selepas sahabat Nabi r). Tetapi beliau telah meriwayatkan hadis ini secara langsung dari Nabi r. Dalam ilmu mustolah, hadis ini dikenali sebagai hadis mursal, kerana tabi’in meriwayatkan dari Nabi r sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan Nabi r. Hadis mursal mengikut muhaddithin adalah hadis yang lemah dan tidak boleh dijadikan hujjah. Syeikh Salim ‘Eid Al-Hilali dalam Nailul Authar Bi Takhrij Ahadisil Azkar[7], menyebut : Sanad hadis ini lemah kerana 3 kecacatan :
1. Mu’az bin Zuhrah tidak dikenali (مجهول)
2. Hadis ini mursal, kerana Mu’az adalah tabi’i
3. Perawi dari Mu’az adalah seorang lelaki yang tidak diketahui namanya (مبهم)
Oleh itu, untuk menyandarkan doa ini kepada Nabi r adalah salah sama sekali!! Sebaliknya, jika seseorang itu ingin berdoa tanpa menyandarkannya kepada Nabi r, maka perkara itu dibolehkan. Tetapi alangkah baiknya, melafazkan kalimah yang dilafazkan oleh manusia yang paling mulia iaitu Rasulullah saw.
c. Hadis-hadis berkenaan puasa berikut mungkin biasa terdengar. Tapi tahukah kita statusnya?
1. "Bulan ramadan itu permulannya bulan rahmat, pertengahannya bulan maghrifah (ampunan) dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka"
Hadis ini berstatus hadis mungkar. Diriwayatkan oleh Al U'qaili dalam Adh Dhu'afa (172), Ibnu Adi (1/165), Al Khatib dalam Al Muwadhadhih (2/77), Ad Dailami (1/1/10-11), Ibnu 'Asakir (8/506/1), dari jalan Sallam Bin Siwar dari Maslamah b Ash Shalt dari Az Zuhri dari Abu SAlamah dari Abu Hurairah secara marfu'.
Al 'Uqaili berkata: "tidak ada asalnya dari Az Zuhri"
Ibn Adi berkata: "Dan Sallam (bin Sulaiman b Siwar) menurutku adalah seorang mungkarul hadis. Dan Masalamah tidak dikenali."
ibn Hatim berkata tentang Masalamah: "Dia itu martukul hadis" (Lihat Ad Dha'ifah, 4/70, no 1569)
2. Bulan Ramadan itu tergantung di antara langit dan bumi dan tidak akan diangkat kepada Allah kecualidengan zakat fitrah"
Hadis daif. Ibn Jauzi menyatakan ianya tidak sahih (Al 'llal Al Mutanahiyah (2/8/824). Di dalamnya terdapat Muhammad b Ubaid Al Bashari. Dia majhul (tidak dikenal).
No comments:
Post a Comment