Monday, October 31, 2011

‘HARAPAN’ DAN KEBANGKITAN ARAB

‘HARAPAN’ DAN KEBANGKITAN ARAB


Gaddafi telah dibunuh dengan cara yang dahsyat dan tidak disangka. Seorang yang sebelum ini digeruni dan ditakuti, telah diheret dan dihina bagaikan binatang yang hendak disembelih. Bahkan lebih buruk daripada itu. Siapa sangka? Seorang manusia yang sebelum ini tiada siapa dapat membantahnya dibunuh demikian rupa.


Gaddafi bukan tiada langsung jasa. Banyak juga pihak yang ditolongnya. Namun, kekejamannya melebihi jasanya. Saya masih terkenang ramai kawan-kawan dari Libya yang amat ketakutan terhadap regim Gaddafi sekalipun berada di luar Libya. Mereka kelihatan risau jika kita bertanya atau mengkritik Presiden mereka. Apa tidak, banyak siri pembunuhan rakyat Libya yang berada di luar negara yang dituduh membangkang kerajaan.


Sejak memerintah dari tahun 1969, ribuan rakyat telah dibunuh atas tuduhan ‘tidak setia’. Pada tahun 1973, Gaddafi mengisytiharkan hukuman mati kepada sesiapa yang menubuhkan parti politik. Sejak itu ramai tokoh-tokoh pemikir Libya yang dibunuh dalam dan luar negaranya. Ramai yang diseksa sehingga mati, termasuk aktivis-aktivis pelajar.

Pada tahun 1983, Gaddafi menggantung mati pelajar di hadapan khalayak ramai dalam College of Engineering, Tripoli. Dalam 1984, Gaddafi menggantung mati pelajar Sadiq Shwehdi dalam bulan Ramadan dan keluarga dipaksa menonton hukuman itu. Demikian Mustafa al-Nuwairy dihukum mati di hadapan pelajar dan pensyarah di Benghazi University. Hafed al-Madani menerima nasib yang sama di hadapan pensyarah dan rakan di College of Agriculture, Tripoli. Demikian juga nasib pelajar di College of Pharmacy, Tripoli.

Begitu ramai aktivis pelajar dan pemikir yang dihukum mati di khalayak ramai. Keluarga dan taulan dipaksa menonton kekejaman itu. Bahkan ada yang disiarkan melalui siaran TV Libya, kononnya sebagai pengajaran kepada rakyat yang tidak setia. Kesemuanya atas ‘jenayah’ dituduh tidak setia kepada Muammar Gaddafi.

Puluhan ribu nyawa rakyatnya yang dibunuh dan diseksa sepanjang lebih 42 tahun menjadi rejim negaranya. Hilang tanpa berita, sudah menjadi perkara biasa bagi rakyat Libya. Dibunuh, dirogol dan pelbagai lagi hanya kerana bercakap tentang hak bersuara. Anak-anaknya begitu bermaharaja lela dengan hasil minyak Libya, dan kejam dengan kuasa yang ada.



Mana Kemuliaan

Mungkin kita juga tidak suka cara rakyatnya membunuh beliau. Mereka pun barangkali sudah terikut-ikut dengan perangai bekas pemimpin mereka itu, lalu mereka menyeksa dan membunuhnya serta disebarkan untuk menjadi tontonan ramai. Alangkah baik, jika dia ditangkap dan diserahkan kepada pengadilan, kemudian dihukum. Dalam usaha mereka hendak menegakkan negara yang adil, mereka sepatutnya melakar sikap baru yang berperaturan dan meninggalkan budaya lama yang merosakkan.

Namun, Gaddafi mengingatkan kita bahawa Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Allah memuliakan siapa yang Dia kehendaki dan menghina siapa yang Dia kehendaki. Pada tanganNya kerajaan dan kekuasaan hakiki. Pernahkah Gaddafi, bahkan rakyat Libya sendiri bayangkan pada suatu hari pemimpin mereka yang begitu berkuasa dan megah akan dibunuh demikian rupa. Bukan di istananya, tetapi dalam lubang kotoran yang terpencil dalam negaranya yang porak peranda atas kekejamannya. Dia memanggil rakyatnya ‘tikus’ yang cuba menentangnya, akhirnya dialah yang bersembunyi dalam lubang tikus sebelum dibunuh oleh rakyatnya.


Akhbar UK melaporkan kematian Gaddafi dengan begitu hina.

Perasaan saya bercampur baur apabila membaca akhbar-akhbar di UK mengenai pembunuhan Gaddafi. Mereka bagaikan meraikan kematian Gaddafi, bahkan meraikan cara dia dibunuh. Sentiment Lockerbie mungkin menguasai mereka. Akhbar-akhbar menggelar Gaddafi sebagai ‘dead dog’, ‘mad dog’, ‘the rat’ dan pelbagai lagi.

Satu perasaan aneh menjelma apabila melihat seorang wartawan akhbar The Sun UK, yang berada di tepi mayat Gaddafi dengan penuh bangganya. Alangkah hinanya dunia Islam ini. Kita menjadi bahan sendaan orang lain. Di manakah ayat Allah (maksudnya):

“Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat wasata (adil dan contoh), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang kebenaran) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu”. (Surah al-Baqarah: 143).

Apakah keindahan politik di dunia umat Islam yang dapat dicontohi oleh orang lain?! Di manakah kita sebagai saksi kebenaran?!

Gaddafi ketika membunuh rakyatnya menggunakan nama Islam sebagai tiket yang menghalalkan tindakannya. Anaknya pun bernama Saif al-Islam (Pedang Islam). Mereka yang membunuhnya juga menggunakan nama Islam. Laungan takbir ‘Allahu Akbar’ dilaporkan oleh media Barat dan Timur mengiringi pembunuhan ke atas Gaddafi. Di manakah Islam yang sebenar? Orang Barat mungkin bertambah keliru. Tuduhan Islam agama darah bertambah kukuh dalam benak mereka yang gagal memahami hakikat agama ini.



Benaissa

Dalam dua minggu di sini, saya bersahabat baik dengan seorang yang berpengalaman. Mohammed Benaissa. Beliau bekas menteri luar, Morocco (1999-2007). Pernah berkhidmat dengan PBB selama 11 tahun. Mendapat pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk Aga Khan Award pada tahun 1989. Beliau turut menjadi fellow di OCIS, Oxford. Saya simpulkan beliau memang seorang yang ‘terbuka’ atau liberal.

Saya ramai kenalan arab, tetapi ramai yang stereotype saja. Beliau agak lain. Mungkin pengalamannya yang panjang menjadikan beliau mempunyai kesimpulan-kesimpulan yang menarik. Beliau ke sini untuk membahaskan tentang ‘Arab Spring’ ataupun kebangkitan Arab yang sedang berlaku. Sudah ada beberapa pembentang yang lain.


Penulis dan bekas Menteri Luar Morocco makan tengahari di sebuah restauran di Oxford.

Hari pertama saya jumpa beliau ketika sessi minum kopi di OCIS. Dalam diskusi tidak formal itu, beliau menegaskan kepada fellow yang lain tentang kepentingan memisahkan agama daripada politik. Baginya, agama telah mengelirukan keadaan politik. Sering dijadikan alat untuk menghalalkan pelbagai kehendak dan kerakusan. Ya, kerangka fikir ini, biasanya akan dicop oleh sesetengah sebagai sekularisma. Namun, saya cuba memahaminya dengan lebih mendalam. Saya anggap itu sebagai keluhan kecewa seorang insan arab yang gagal melihat peranan hakiki agama dalam penegakan keadilan dan kemajuan umat dalam politik.

Entah bagaimana, beliau kemudian, begitu baik dengan saya. Setiap kali waktu minum dan makan, beliau akan menelefon saya. Saya ambil peluang itu untuk berdiskusi dengan beliau. Banyak manfaat dari pengalamannya yang saya kutip. Beliau sekali menyatakan kepada saya bahawa ulama telah banyak mengelirukan rakyat Arab. Pelbagai fatwa untuk pelbagai kepentingan dikeluarkan.

Rakyat Arab dikhayalkan dengan pelbagai pandangan jumud agama yang gagal membawa mereka ke hadapan. Di kala rakyat susah dan miskin, golongan agama ada yang sibuk mengajak supaya orang Islam kembali memakai pakaian zaman Nabi s.a.w, menyingsing singkat kain dan menutup wajah. Kemiskinan dan kelaparan dihalalkan dengan nas-nas yang mengkhayalkan. Beliau seakan bersetuju dengan Karl Marx: “Religion is the sigh of oppressed creature…it is the opium of the people”.

Saya kata kepada beliau: “Itu agama palsu, atau yang disalahgunakan oleh golongan yang berkepentingan. Adapun Islam yang sebenar, yang diturunkan oleh Allah sebagai petunjuk untuk manusia, ia merentasi batasan kepentingan individu dan parti politik tertentu. Malangnya, Islam seperti itu jarang dizahirkan kerana manusia ramai yang berkepentingan”. Beliau jawab: “Ya, itu maksud saya”.

Dalam tempoh dua minggu bersahabat dengannya, ada perkara saya setuju dan ada yang saya kurang setuju. Namun saya hormati hak beliau dalam memberikan pandangan. Rabu baru ini beliau membentangkan kertasnya dalam seminar yang berkaitan dengan Arab Spring. Tajuk beliau The Economic and Political Causes of Change.

Ada beberapa perkara yang saya suka petik dari pembentangan itu. Antaranya beliau menyatakan bahawa Arab sedang menuju ke arah perubahan, namun memerlukan masa. Demokrasi dan kedamaian yang dinikmati oleh Eropah tidak datang dalam satu malam, sebaliknya setelah 200 tahun berperang antara satu sama lain, terhasillah keadaan sekarang. Arab juga barangkali memerlukan keadaan yang sama untuk menghasilkan kesimpulan yang terbaik.

Beliau menyentuh tentang kepentingan ‘hope’ atau harapan dalam jiwa rakyat tentang politik. Apabila hilangnya harapan atau impian rakyat maka segalanya mungkin berlaku. Perkara penting bagi sesebuah pemerintahan adalah menempatkan harapan dalam jiwa rakyat.



Harapan

Saya ingin mengembangkan nota ini. Ya, insan hidup dengan harapan atau cita-cita. Kecil atau besar tidak penting. Selagi ada harapan, insan akan cuba bangun dan meneruskan hidup. Jika putus asa mengambil tempat harapan, maka pelbagai perkara buruk akan dilakukan. Putus asa boleh membawa insan membunuh diri dan mengganas. Sanggup memusnahkan apa sahaja kerana segalanya sudah tidak bernilai lagi. Justeru, akidah Islam melarang putus asa terhadap Tuhan. Pintu harapan terhadap Tuhan sentiasa dibuka. Firman Allah (maksudnya):

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar:53).

Dalam politik, sesebuah kerajaan yang gagal memberikan harapan dan menimbulkan putus asa dalam jiwa rakyat -seperti di beberapa negara Arab sekarang- akan menyebabkan rakyatnya bangkit mengorbankan apa saja. Apabila harapan sudah tiada, kekecewaan menyelubungi hidup maka manusia akan bertindak dengan cara yang tidak dijangka. Mati dan hidup sudah tiada bezanya. Tiada siapa hendak mengadu, maka tindakan atas apa saja harga akan dilakukan. Inilah yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini.

Kembalinya sebahagian rakyat kepada agama dalam tempoh kekecewaan politik juga hendaklah dinilai dengen teliti; apakah kerana mereka benar-benar memahami ajaran agama, atau kerana mereka sudah hilang harapan melainkan mengadu kepada Tuhan. Apabila mereka kembali mempunyai harapan, jika mereka kekal atas agama, itu pengembalian yang tulen. Jika tidak, itu sebaliknya.

Dalam negara kita, bagi saya mana-mana parti politik yang paling boleh memberikan harapan impian dalam kerangka hari ini, akan mendapat tempat dalam jiwa rakyat terutama golongan muda yang mempunyai banyak harapan dan cita.

Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

No comments:

Post a Comment