Makna Aqeedah dan Iman
Ilmu aqidah adalah ilmu yang berkait dengan keyakinan hati. Sesuatu yang menjadi aqidah ialah yang telah diyakini oleh hati. Gandingan kepada aqidah ialah syari’at iaitu ilmu yang berkait dengan gerak-laku anggota (iaitu amalan, perbuatan dan pergerakan). Menurut ulamak, agama Islam terdiri dari dua cabang utama;
a) Aqidah
b) Syariah
(Lihat; buku “al-Islam, aqidatan wa syari’atan” karangan Syeikh Syaltut)
Perkataan Aqidah berasal dari kata kerja (‘aqada) dalam bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan. Melihat kepada bahasa, Aqidah ialah; “Kepercayaan dan keyakinan yang terikat dan tersimpul kukuh di dalam hati”. Bermakna apabila sesuatu itu telah menjadi aqidah di dalam diri seseorang, ia akan terus diyakini dan dipercayai oleh hatinya sampai bila-bila hingga ke akhir hayatnya. Adapun Iktiqad , ia bermakna menjadikan sesuatu sebagai ‘aqidah iaitu mengikat hati dan dhamir (perasaan) kepadanya dan membina kepatuhan kepada Allah melalui aqidah tersebut.
Dari sudut pengertian Syarak, menurut Syeikh Nuh ‘Ali Salman (dalam kitabnya Al-Mukhtasar al-Mufid Syarah Jauharah at-Tauhid); ‘Aqidah ialah; “Perkara yang wajib diyakini oleh setiap orang Islam dengan keyakinan yang jazam sama ada yang sabit dengan dalil yang qat’ie atau dzanni” (halaman 17). Keyakinan yang jazam bermaksud keyakinan yang bulat dan penuh tanpa ada sedikitpun keraguan atau kesangsian. Dalil yang qat’ie ialah al-Quran atau as-Sunnah yang mutawatir di mana sesiapa mengingkarinya maka ia kufur atau murtad dari agama. Adapun perkara yang sabit dengan dalil dzannie ialah yang sabit dengan hadis Ahad di mana orang yang mengingkarinya tidaklah kufur, tetapi berdosa.
Di dalam al-Quran dan Hadis, perkataan yang digunakan ialah al-Iman (iman). Gandingan kepada al-Iman ialah al-‘Amal as-Soleh (amal soleh). Antara contoh ayat di dalam al-Quran;
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ كَانَتۡ لَهُمۡ جَنَّـٰتُ ٱلۡفِرۡدَوۡسِ نُزُلاً (١٠٧) خَـٰلِدِينَ فِيہَا لَا يَبۡغُونَ عَنۡہَا حِوَلاً۬ (١٠٨)
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah). (107) Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya. (108) (al-Kahfi: 107-108)
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧)
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh mereka itu adalah sebaik-baik makhluk” (al-Bayyinah: 7).
Perkataan iman di dalam ayat di atas merujuk kepada aqidah iaitu keyakinan hati. Perkataan amal soleh pula merujuk kepada Syari’ah (amalan, gerak-laku anggota).
Iman dari segi bahasa bermakna at-tasdiq (membenarkan). Dari segi Syarak, Iman adalah at-tasdiq yang khusus kepada Nabi iaitu; “Membenarkan Nabi Muhammad s.a.w. dengan mempercayai dan meyakini segala yang dibawa oleh baginda dari ilmu dan ajaran agama”. Orang beriman ialah orang yang membenarkan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya, iaitu ia mempercayai dan meyakininya dengan penuh tanpa keraguan sedikitpun sebagaimana dalam makna aqidah tadi.
Tempat tasdiq ialah di hati, iaitu hati meyakini dan menerima sesuatu. Berkata Imam al-Ghazali; “At-Tasdiq secara khususnya bertempat di hati. Adapun lidah adalah penterjemahnya sahaja” (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumiddin, jil. 1, hlm. 116). Lebih tepat –menurut ulamak-; tasdiq ialah perkataan atau suara hati yang bersifat jazam (tetap dan teguh, tanpa ada syak atau ragu sedikitpun) seperti hati berkata pada dirinya; “Aku redha dan aku yakin dengan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.”.
Setakat pengertian di atas, aqidah dan iman adalah dua perkataan yang merujuk kepada makna yang sama iaitu keyakinan dan kepercayaan yang berhubung-kait dengan hati. Namun bukan dalam semua keadaan iman menyamai aqidah secara sepenuhnya. Iman ada ketikanya merangkumi juga amalan. Sebagai contohnya, firman Allah;
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُہُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتُهُ ۥ زَادَتۡہُمۡ إِيمَـٰنً۬ا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢) ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَـٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣) أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقًّ۬اۚ لَّهُمۡ دَرَجَـٰتٌ عِندَ رَبِّهِمۡ وَمَغۡفِرَةٌ۬ وَرِزۡقٌ۬ ڪَرِيمٌ۬ (٤) كَمَآ أَخۡرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيۡتِكَ بِٱلۡحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقً۬ا مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ لَكَـٰرِهُونَ (٥)
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal, (yaitu) orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa derajat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezki (ni`mat) yang mulia”. (al-Anfal: 2-5)
Di dalam ayat ini, Allah menyebutkan tentang mukmin yang sebenar. Antara cirinya ialah menunaikan solat dan menginfakkan harta (termasuk dalam pengertiannya mengeluarkan zakat). Ayat ini jelas mengaitkan iman dengan amalan.
Para ulamak menjelaskan; iman jika ia didatangkan di dalam al-Quran dengan digandingkan bersama amal soleh (sebagaimana ayat sebelum ini), maka ia merujuk kepada keyakinan dan kepercayaan hati sahaja. Adapun jika ia didatangkan secara tunggal (tanpa digandingkan dengan amal soleh) maka maknanya adalah lebih luas iaitu merangkumi keyakinan hati dan juga amalan sebagaimana contoh dalam ayat 2-5 dari surah al-Anfal di atas.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment