Wednesday, February 22, 2012

KESUCIAN AIR MUSTA'MAL

Dalam perbahasan fiqh tentang air untuk bersuci, terdapat perbahasan hukum air musta’mal. Padanya berlaku perbezaan pandangan yang banyak di kalangan ulama mazhab. Dalam mazhab asy-Syafi’i sendiri terdapat beberapa pandangan yang berbeza di antara satu ulama dengan ulama yang lainnya untuk soal air musta’mal ini.

Apa Itu Air Musta'mal?

Secara asalnya, air itu adalah suci lagi menyucikan dengan merujuk kepada air muthlaq. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan Kami turunkan air yang suci dari langit.” (Surah al-Furqon, 25: 48) Begitu juga dalil hadis tentang sucinya air laut sebagaimana kata Rasulullah apabila ditanya oleh para sahabat sama ada boleh berwudhu’ dengan air laut tidak, maka Rasulullah menjawab:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ

“Ianya suci dan bangkainya halal dimakan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 1/117, no. 64. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Kemudian terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan kesucian air yang telah disentuh oleh tangan, yang telah digunakan untuk menyucikan hadas, atau yang telah terkena najis. Perbahasan ini akan masuk ke dalam perbahasan seterusnya iaitu pembahagian jenis-jenis air. Dan salah satu jenisnya adalah air musta’mal.

Sebahagian pandangan menyatakan air musta’mal adalah air yang kuantitinya kurang dari dua qullah yang telah disentuh oleh anggota badan atau yang telah digunakan untuk menyucikan hadas, sama ada untuk wudhu’ atau mandi wajib. Sebahagian pandangan lagi mengemukakan air musta’mal adalah air yang kurang dari dua qullah yang telah digunakan untuk menyucikan hadas pada basuhan yang pertama.

Kuantiti ukuran dengan unit qullah ini juga turut diperselisihkan di kalangan para ulama. Secara umumnya, air yag kurang dari 2 qullah adalah air yang kurang dari isipadu 216 liter.

Hukum air musta’mal juga turut diperselisihkan, ada yang menyatakan bahawa air musta’mal ini suci tetapi tidak menyucikan. Ada yang mengemukakan bahawa air musta’mal ini tidak menyucikan hadas mahupun najis. Manakala sebahagian lagi mengemukakan air musta’mal ini suci lagi menyucikan. (lihat: Ibnu Qudamah, al-Mughni, 1/29-30)

Perincian perbahasan perbezaan pandangan tentang hukum air musta’mal ini boleh disemak dari banyak kitab-kitab fiqh muktabar yang antaranya seperti al-Umm oleh Imam asy-Syafi’i, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab oleh Imam an-Nawawi, al-Mughni oleh Ibnu Qudamah, Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani, ‘Aunul Ma’bud oleh al-Adzim Abadi, Subulus Salam oleh ash-Shan’ani, dan termasuk juga kitab-kitab fiqh kontemporari seperti Shahih Fiqhus Sunnah oleh Abu Malik Kamal.

Apa Dalil-dalilnya?

Setelah meneliti beberapa pandangan, penulis lebih cenderung terhadap pendapat yang menyatakan air musta’mal adalah suci dan menyucikan selagi mana sifat air tersebut tidak berubah dari konsteks rasa, warna, atau bau dan padanya tidak bercampur dengan najis.

Pendapat ini dikuatkan dengan dalil-dalil yang banyak sebagai pedoman. Antaranya adalah sebagaimana hadis berikut:

أَنَّ حُمْرَانَ مَوْلَى عُثْمَانَ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ رَأَى عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ

دَعَا بِإِنَاءٍ فَأَفْرَغَ عَلَى كَفَّيْهِ ثَلَاثَ مِرَارٍ فَغَسَلَهُمَا ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الْإِنَاءِ فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلَاثًا وَيَدَيْهِ إِلَى الْمِرْفَقَيْنِ ثَلَاثَ مِرَارٍ ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ ثَلَاثَ مِرَارٍ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ثُمَّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Bahawasanya Humran – bekas hamba kepada ‘Utsman (B. ‘Affan) mengkhabarkan - bahawa ia telah melihat ‘Utsman B. ‘Affan minta untuk diambilkan sebuah bekas (berisi air). Kemudian beliau menuangkan pada tapak tangannya tiga kali lalu membasuh keduanya. Kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas tersebut (mencedok air) lalu berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung, kemudian membasuh mukanya tiga kali, kemudian membasuh kedua tangannya sehingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepala, kemudian membasuh kedua kakinya tiga kali hingga ke kedua mata kakinya.

Setelah itu beliau berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian dia solat dua rakaat dan tidak berbicara di antara keduanya, maka dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/277, no. 155)

Abu Juhaifah radhiyallahu ‘anhu berkata:

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْهَاجِرَةِ فَأُتِيَ بِوَضُوءٍ فَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ النَّاسُ يَأْخُذُونَ مِنْ فَضْلِ وَضُوئِهِ فَيَتَمَسَّحُونَ بِهِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah keluar bersama-sama kami ketika waktu tengah hari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwudhu’, dan beliau pun berwudhu’ dengannya. Kemudian para sahabat mengambil sisa-sisa air wudhu’ beliau, lalu mengusapkan (berwudhu’) dengannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/319, no. 181)

Imam al-Bukhari rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab, “Menggunakan Sisa Wudhu’ Orang Lain.”

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H), “Dari hadis ini, dapat difahami bahawa air sisa wudhu’ tersebut adalah air yang mengalir dari anggota wudhu’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Kemudian beliau menyimpulkan, “Maka ini adalah dalil yang jelas bahawa air musta’mal adalah air yang suci (untuk mengangkat hadas).” (Fathul Bari, 1/295)

Dalam hadis yang lain:

عَبْدِ الله بْنِ زَيْدٍ سُئِلَ عَنْ وُضُوءِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، فَدَعَا بِتَوْرٍ مِنْ مَاءٍ، فَتَوَضَّأَ لَهُمْ وُضُوءَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، فَأَكْفَأَ عَلَى يَدِهِ مِنَ التَّوْرِ، فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثَلاَثًا، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِي التَّوْرِ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ، وَاسْتَنْثَرَ بِثَلاَثِ غَرَفَاتٍ، ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا

“‘Abdullah B. Zaid pernah ditanya tentang wudhu’nya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Lalu beliau minta diambilkan satu gayung air, beliau pun memperlihatkan kepada mereka cara wudhu’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau menuangkan air dari gayung ke telapak tangannya lalu mencucinya tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air, beliau berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali, kemudian memasukkan tangannya ke dalam bekas mengambil air lalu membasuh mukanya tiga kali dengan air yang sama... (sehingga selesai).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/317, no. 180)

Hadis ini menunjukkan dengan air yang sama boleh digunakan untuk tiga kali pengulangan penyucian bagi setiap anggota wudhu’. Dan bolehnya mencelupkan tangan ke dalam air di dalam bekas untuk berwudhu’.

Imam Ibnu al-Mundzir rahimahullah menyatakan:

وروى عن علي وابن عمر وأبي امامه وعطاء والحسن ومكحول والنخعي انهم قالوا فيمن نسى مسح رأسه فوجد في لحيته بللا يكفيه مسحه بذلك البلل: قال ابن المنذر وهذا يدل على أنهم يرون المستعمل مطهرا قال وبه أقول

Diriwayatkan daripada ‘Ali, Ibnu ‘Umar, Abu Umamah, ‘Atha’, al-Hasan, Makhul, dan an-Nakha’i, bahawasannya mereka berkata:

“Sesiapa yang lupa membasuh kepalanya (ketika berwudhu’) kemudian ia mendapati ada air yang membasahi janggutnya, maka cukuplah ia membasuh kepalanya dengan air tersebut.” Beliau (Ibnu al-Mundzir) berkata lagi:

“Ini menunjukkan bahawa mereka menetapkan air musta’mal itu adalah menyucikan. Dan dengan pendapat inilah aku berpegang.” (al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/153)

Hadis berikut juga menjadi dalil sucinya air musta’mal:

(Ketika berhenti dalam satu perjalanan) Abu Juhaifah menceritakan:

وَرَأَيْتُ بِلَالًا أَخْرَجَ وَضُوءًا فَرَأَيْتُ النَّاسَ يَبْتَدِرُونَ ذَلِكَ الْوَضُوءَ فَمَنْ أَصَابَ مِنْهُ شَيْئًا تَمَسَّحَ بِهِ وَمَنْ لَمْ يُصِبْ مِنْهُ أَخَذَ مِنْ بَلَلِ يَدِ صَاحِبِهِ

“Aku melihat Bilal mengeluarkan air wudhu’, lalu aku melihat orang-orang bersegera mendatangi air wudhu’ tersebut. Maka siapa yang mendapat sedikit darinya, ia pun berwudhu’ dengannya, dan sesiapa yang tidak mendapatnya maka mereka mengambil air tersebut dari basahan tangan sahabatnya yang lain.” (Hadis Riwayat Muslim, 3/68, no. 778)

Seterusnya, hadis daripada ar-Rubayyi’. Beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسَحَ بِرَأْسِهِ مِنْ فَضْلِ مَاءٍ كَانَ فِي يَدِهِ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengusap kepalanya dari sisa air wudhu’ yang di tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 1/162, no. 111. Bab: Sifat Wudhu’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa air sisa wudhu’ pada satu anggota boleh dimanfaatkan untuk menyucikan bahagian anggota wudhu’ yang lainnya pula.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) mengatakan, “Air musta’mal yang digunakan untuk menyucikan hadas tetap dianggap sebagai suci.” (Majmu’ al-Fatawa, 20/519)

Wallahu a’lam, dari sini menunjukkan bahawa air musta’mal itu adalah suci secara umumnya. Malah banyak lagi hadis-hadis lainnya yang menguatkan perkara ini.

Hadis Yang Diperselisihkan

Kemudian para ulama berselisih sama ada lelaki boleh bersuci menggunakan sisa air wanita atau pun tidak. Demikian juga sebaliknya sama ada wanita boleh bersuci menggunakan sisa air lelaki atau pun tidak. Di antara hadis yang diperselisihkan adalah sebagaimana dalam Riwayat Abu Daud:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تَغْتَسِلَ الْمَرْأَةُ بِفَضْلِ الرَّجُلِ أَوْ يَغْتَسِلَ الرَّجُلُ بِفَضْلِ الْمَرْأَةِ زَادَ مُسَدَّدٌ وَلْيَغْتَرِفَا جَمِيعًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang wanita mandi menggunakan sisa air seorang lelaki, atau seorang lelaki mandi menggunakan sisa air wanita.” Musaddad (perawi) menambah, “Masing-masing perlu mengambil (menyedok) air sendiri-sendiri secara bersama.” (Sunan Abi Daud, 1/115, no. 74. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Juga dalam Riwayat Abu Daud:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يَتَوَضَّأَ الرَّجُلُ بِفَضْلِ طَهُورِ الْمَرْأَةِ

“Bahawsanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang seorang lelaki berwudhu’ menggunakan air sisa seorang wanita.” (Sunan Abi Daud, 1/116, no. 75. Hadis ini diperselisihkan kesahihannya)

Hadis ini menimbulkan beberapa kesimpulan pandangan yang saling berbeza dari kalangan ulama sama ada dari kalangan sahabat, tabi’in, atau setelah mereka.

Dari itu, sebahagian ulama telah berusaha melakukan usaha menjama’kan (kompromi) di antara dalil-dalil tersebut. Dan hasilnya membuahkan beberapa kesimpulan pandangan.

Pandangan yang pertama mengatakan, “Boleh berwudhu’ dengan air sisa tersebut. Ini adalah pendapat majoriti ulama. Mereka beralasan dengan apa yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahihnya dari Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mandi dengan menggunakan air sisa mandian isterinya Maimunah. Manakala dalam kitab Sunan yang empat dari Ibnu ‘Abbas pula menjelaskan seorang wanita dari kalangan isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mandi kerana junub, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang dan berwudhu’ dengan air sisanya. Isteri beliau tersebut pun berkata, “Aku telah mandi dengan air tersebut.” Maka beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sebenarnya air tersebut tidak menjadi najis dengan sesuatu pun.” Dalam riwayat yang lain, “Air tersebut tidak berjunub.” (Aunul Ma’bud, 1/151- al-Maktabah as-Salafiyah)

Juga sebagaimana hadis daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ كِلَانَا جُنُبٌ

“Aku pernah mandi bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dari satu bekas, dan ketika itu kami sedang dalam keadaan junub.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 1/499, no. 290)

Pandangan kedua mengatakan, “Larangan tersebut merujuk kepada air yang jatuh atau menitik dari anggota wudhu’ atau mandi (ketika mengangkat hadas), manakala hadis-hadis yang membolehkan tersebut adalah merujuk kepada air yang masih tersisa di dalam bekas.” (lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 1/153. Fathul Bari, 1/300. ‘Aunul Ma’bud, 1/151. Shahih Fiqhus Sunnah, 1/107)

Manakala pandangan yang ketiga pula mengatakan, “Larangan dalam hadis tersebut hanya merujuk kepada hukum makruh (tanzih), dan wudhu’ atau mandinya adalah sah dengan air sisa tersebut.” (lihat: Fathul Bari, 1/300. Aunul Ma’bud, 1/151- al-Maktabah as-Salafiyah, Shahih Fiqhus Sunnah, 1/107)

Wallahu a’lam, padangan yang pertengahan adalah pandangan ketiga ini. Iaitu makruh bagi lelaki menggunakan sisa air wudhu' atau air mandi wanita. Demikian juga sebaliknya, makruh bagi seorang wanita menggunakan sisa air wudhu' atau air mandi lelaki.

Walau bagaimanapun, pilihlah mana-mana pendapat yang dirasakan memuaskan dan mententeramkan hati bagi kesempurnaan amalan ibadah kita asalkan padanya didirikan dengan hujah (dalil).

Wallahu a’lam.

http://fiqh-sunnah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment