Doktrin Sufism Membahayakan Akidah
Fahaman, doktrin atau ideologi sufi/tasawuf adalah bala dan petaka yang menimpa ke atas mereka yang jahil tentang hukum-hukum syara. Kerana sufi/tasawuf merupakan ajaran songsang yang banyak menyesatkan umat Islam. Gerakan ini menjadi sindrom yang sedang mengancam akidah Ummah Islamiyah di seluruh pelusuk dunia Islam sejak ia tersebar sehinggalah kemasa ini. Aliran inilah antara punca utama berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam, mereka suka membentuk kelompok-kelompok yang radikal, fanatik, jumud dan ghalu terhadap fahamannya, kumpulannya dan pemimpin-pemimpin tertentu atau syeikh mereka terutama sekali yang sudah dianggap sebagai wali.
Setiap kelompok tarikat kesufian diketuai oleh syeikh-syeikh yang mengakui mempunyai keistimewaan luar biasa, dialah yang menerajui para pengikutnya mengikut telunjuknya. Setiap kelompok pula meyakini kebenaran hanya ada pada syeikh, amalan dan kumpulan mereka sahaja. Mereka lebih memperjuangkan keasabiahan jahiliyah yang berupa doktrin dan fanatik kepada firkah (kelompok), syeikh atau guru mursyid mereka sahaja.
Mereka beranggapan amalan wirid dan teori ibadah ciptaan syeikh-syeikh (guru mursyid) yang mereka anggotai sahaja yang betul, selainnya dianggap salah dan sesat. Mereka terlalu ghalu dan ta'asub buta terhadap jamaah dan kepimpinan mereka sehingga mempertahankan apa sahaja yang dicipta atau diada-adakan oleh syeikh mereka, termasuklah lebel atau nama jamaah yang telah dinamakan oleh syeikh mereka.
Berpunca dari perasaan ghalu kepada guru mursyid, syeikh dan asabiah kelompok di kalangan penganut sufi yang dianggotai oleh ramai masyarakat Islam, telah mengakibatkan berlakunya pecah-belah dan kekucar-kaciran dalam barisan Ummah Islamiyah. Di dalam kumpulan tarikat sufi/tasawuf sering berlaku penyembahan isme-isme batiniyah yang tidak disedari oleh penyembahnya, pendewaan terhadap perkara-perkara khurafat, tahaiyul dan syirik serta pemujaan terhadap pemimpin yang keterlaluan. Akhirnya lahir masyarakat Islam yang sentiasa saling berburuk sangka antara sesama sendiri sehingga terjadi perpecahan dan permusuhan yang berpanjangan.
Ternyata golongan sufi/tasawuf antara penyumbang dan punca bertambahnya perpecahan, permusuhan dan firkah-firkah yang begitu banyak di kalangan saf ummah Islamiyah yang sepatutnya bersatu-padu sebagai Ummah Wahidah di bawah seorang pemimpin.
Kini perpecahan ummah Islamiyah telah kronik. Sosio-politik dan budaya ummah Islamiyah amat menyedihkan, tidak terurus, hilang maruah dan tiada pendirian di berbagai segi. Lemah, perpecahan, terhina di mata dunia, tertindas dan yang menyedihkan mereka telah menjadi spesis percubaan kuasa-kuasa (pemerintahan) taghut.
Bermacam-macam ideologi, amalan serta berbagai-bagai nama (jenama) jamaah tarikat sufi/tasawuf yang baru bermunculan. Semuanya ini menambahkan lagi perpecahan di kalangan ummah Islamiyah sehingga sukar diperinci dengan tepat bilangan perpecahan sebenar yang sedang berlaku dan akan terus dalam saf Islamiyah jika penyebaran sufi tidak dibendung.
Telah banyak dibuktikan oleh para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh, bahawa sufisma boleh dikategorikan sebagai satu aliran tarikat subud, mistik atau suluk yang terbit dari ajaran-ajaran tarikat kebatinan yang diambil atau dipengaruhi oleh unsur-unsur agama Nasrani, Yahudi, kacukan (kelahiran) Hindu-Budha dan Neoplatonisme. Terutamanya dicedok dari ideologi Kabala atau sistem sihir (occult) dari doktrin ajaran Gnoticisme, kerana doktrin ini mempercayai serba-serbi tuhan yang diambil dari falsafah ideologi Hinduisme. Ajaran sesat ini telah diserapkan ke dalam ajaran sufi/tasawuf sebagai ideologi wahdatul wujud (hanya satu di dalam kewujudan) atau wujudiyah yang menjadi matlamat setiap sufi yang fanatik, ekstrim dan radikal.
Kemunculan khurafat ini di dalam pemikiran Islam telah menyebabkan kekacauan dan kerosakan akidah di kalangan ramai masyarakat Islam yang jahil tentang agamanya. Doktrin yang diambil dari falsafah metafizika jahiliyah ini telah mencemari akidah Islamiyah. Falsafah metafizika dan teori mantik sufisme telah memburukkan lagi ajaran Islam kerana doktrin kerohanian sufi sulit untuk difahami oleh orang kebiasaan, sedangkan Islam itu amat mudah difahami dan diamalkan. Buktinya, Islam diturunkan kepada masyarakat Arab yang kebanyakannya tidak tahu membaca dan menulis. Amat benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:
اِنَّ الدِّيْنَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّيْنَ اَحَدٌ اِلاَّ غَلَبَهُ
"Sesungguhnya agama itu mudah, tidaklah seseorang itu bersikap keterlaluan (dalam agamanya yang akhirnya) dia dikalahkan (tidak sanggup meneruskan)". (H/R Bukhari)
No comments:
Post a Comment