Uthman El-Muhamady MENGHINA IMAM AS-SYAFIE, MENIPU UMMAH & TIDAK AMANAH
Daripada Blog:
http://bahaya-syirik.blogspot.com
Uthman El-Muhammady sangat mempertahankan, memperjuangkan dan membela yasinan dan tahlilan (termasuk kenduri arwah mengirim pahala untuk si Mati) yang dinasabkan kepada mazhab Syafieyah, kenyataan ini tidak dapat dinafikan kerana terpampang di muka akhbar Mingguan keluaran Ahad 27 November 2005.
Dalam hal yang dinyatakan oleh Uthman El-Muhammady, sebenarnya beliau bukan memerangi Wahhabi kerana dia tidak tahu siapa Wahhabi, tetapi sebenarnya beliau telah menghina dan menolak fatwa Imam Syafie kerana dia juga tidak kenal siapa Imam Syafie. Akibatnya dia menipu ummah, kerana jika dia mampu menyelidiki kitab-kitab besar para ulama ulung as-Syafieyah, pasti dia akan temui banyak fatwa-fatwa Imam Syafie dan para ulama besar Syafieyah mengharamkan dan membid’ahkan kenduri arwah, tahlilan, yasinan, mengirim pahala bacaan al-Quran kepada si Mati. Termasuklah jamuan di rumah si Mati pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu.
Rujuklah ke dalam kitab I’anatu at-Talibin juz 2. hlm. 146, tercatit: Imam Syafie berfatwa:
ويكره اتخاذ الطعام فى اليوم الأول والثالث وبعد الأسبوع ونقل الطعام الى القبر فى المواسم.
“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.
Menurutnya lagi:
Haram mengadakan kenduri arwah, menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram.
Di dalam kitab I’anatu at-Talibin jld. 2. hlm. 146 dan di halaman 147: Imam Syafie berfatwa:
وقال ايضا : ويكره الضيافة من الطعام من أهل الميت لأنه شرع فىاسرور وهي بدعة.
“Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.
Dan fatwanya lagi:
ومن البدع المنكرة المكرو فعلها ما يفعلها الناس من الوحشة والجمع والأربعين بل كل ذلك حرام
“Antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.
Para Ulama Besar As-Syafieyah Semuanya Mengharamkan Tahlilan, Yasinan & Kenduri Arwah
Berkumpul-kumpul di rumah si Mati, sama ada kerana kenduri arwah, tahlilan dan yasinan, sama ada dihari pertama kematian, dihari ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan dihari-hari seterusnya adalah perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie dan para ulama besar Syafieyah. Akan diutarakan satu persatu nama-nama ulama besar yang bermazhab as-Syafie di dalam tulisan ini yang mengharamkan perbuatan tersebut yang dianggap sebagai bid’ah yang mungkar. Antara para ulama tersebut ialah:
(1). Imam Asy-Syairaziy As-Syafie, beliau berkata: “Dibenci berkumpul (di rumah si Mati) dengan alasan untuk takziyah, kerana itu adalah mengada-adakan yang baru, sedangkan mengada-adakan yang baru itu adalah bid’ah”. Lihat: Al-Majmu Syarah Muhazzab, hlm. 305-306.
(2). Al-Allamah Ahmad Zaini bin Dahlan menukil: “Tidak diragukan lagi bahawa mencegah manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi untuk menghidupkan sunnah dan mematikan bid’ah, membuka banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan, (jika dibiarkan bid’ah) setiap akan terdedah kepada kemungkaran sehingga memaksa diri mereka melakukan perkara yang haram”. Lihat: I’anatu at-Talibin juz 2. hlm. 145-146
Kenduri arwah, tahlilan dan yasinan bukan sahaja diharamkan di rumah-rumah, masjid-masjid, surau-surau atau dimanapun sehinggalah di perkuburan, termasuk hari khaul adalah diharam dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie:
Berkata Imam Syafie: “Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga si Mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. Lihat: I’anatu at-Talibin juz 2 hlm. 145.
Di dalam kitab fikh Hasiyahtul Qulyubi juz. 1 hlm. 353 atau di kitab Hasiyatani Qulyubi –Umairah. juz. 1 hlm. 414:
(3). Imam ar-Ramli rahimahullah (ulama besar bermazhab Syafie) berfatwa: “Antara perbuatan bid’ah yang mungkar dikerjakan ialah sebagaimana dijelaskan di dalam “Ar-Raudah” 2/145, iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah”, menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati, sama ada sebelum atau sesudah kematian, termasuklah bid’ah yang mungkar penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram terutama sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang atau seumpamanya”.
Di dalam kitab Al-Fiqh ‘Alal Mazhabil ‘Arb’ah jld.1 hlm. 539 dijelaskan tentang haramnya kenduri arwah: “Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah. Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.
(4). Imam Nawawi, , Imam Ibn Kathir, Imam ar-Ramli mereka menukil fatwa Imam as-Syafie: "Dan aku telah memakruhkan (mengharamkan) makan, iaitu berkumpul di rumah (si Mati) walaupun bukan untuk tangisan (ratapan)".
(5). Imam Ibn Hajar al-Asqalani: "Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si Mati dan berkumpul beramai-ramai di rumah (si Mati) tersebut maka itu adalah bid'ah bukan sunnah". Dan lagi "Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia menjemput orang dan menyediakan hidangan makanan oleh keluarga si Mati adalah bid’ah yang dibenci, termasuklah dalam hal ini berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si Mati kerana terdapat hadis sahih dari Jarir bin Abdullah berkata: Kami menganggap berkumpul beramai-ramai (berkenduri arwah) di rumah si Mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan". H/R Ahmad 2/204 dan Ibn Majah 1612 dengan sanad yang sahih dari jalan Ismail bin Abi Khalid dari Qais bin Abi Hazim. Lihat: I’anatu at-Talibin juz. 2 hlm. 146
Dalam hadis di atas ada kalimah “Kami menganggap/memandang”, ini menunjukkan ijmaknya para sahabat, maka ijmak sahabat adalah hujjah qati’ah (pemutus) yang tidak boleh ditolak. Maka bagaimana Uthman Muhammdy mengatakan amalan kenduri arwah berkumpul di rumah si Mati itu sunnah? Sedangkan nyata ia adalah bid’ah.
Uthman El-Muhammady mempertahankan amalan berkumpul di rumah si Mati atau dimana sahaja untuk yasinan, tahlilan dan kenduri arwah (dengan niat menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati) kerana beralasan dengan hadis yang mungkar, iaitu hadis: “Barangsiapa yang menziarahi kubur orang tuanya atau salah seorang dari keduanya pada hari Jumaat, kemudian membacakan surah Yasin, maka akan diampunkan dosanya". Hadis ini batil, palsu dan tidak ada asal usulnya. Dalam sanadnya ada si 'Amar pemalsu hadis, banyak meriwayatkan hadis batil. Daraqutni berkata: "Amar adalah seorang pemalsu hadis". Lihat: Kitab Al-Maudu’at, Juz 3 hlm. 239. Lihat: I’anatu at-Talibin. Juz 2. Hlm. 146.
(6). Imam Muzani yang sezaman dengan Imam Syafie mengharamkan menghadiahkan pahala bacaan kepada si Mati (sama ada cara yasinan, tahlilan atau kenduri arwah), beliau berkata: "Rasulullah s.a.w telah memberi tahu sebagaimana Allah memberi tahu: Bahawa dosa tiap-tiap orang adalah buat kecelakaan dirinya sendiri sebagaimana amalannya itu buat kebaikan dirinya sendiri bukan untuk kecelakaan orang lain".
Di jelaskan oleh Ibn Taimiyah: “Bukan menjadi suatu kebiasaan bagi para Salaf as-Soleh apabila mereka mengerjakan solat-solat sunnah, berpuasa, haji dan membaca al-Quran lalu pahalanya dihadiahkan kepada si Mati” Lihat kitab Ali Abdul al-Kafi as-Subki “Takmilatul Majmu”. Syarah Muhazzab jld. 10 hlm. 417. Imam an-Nawawi juga berkata: “Adapun bacaan al-Quran, yang masyhur dikalangan mazhab Syafie tidak sampai pahala bacaan yang dikirim kepada si Mati”. Lihat: Al-Khazin al-Jaml. juz. 4 hlm. 236 dan “Syarah Muslim” juz 1 hlm. 90.
(7). As-Subki ulama besar Syafieyah berfatwa: “Pembacaan al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si Mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam Syafie dan jumhur ulama Syafie adalah tidak sampai kepada si Mati. Penjelasan seperti ini telah diulang-ulang (oleh Imam an-Nawawi) dalam kitab syarah Muslim”. Dan lihat: Takmilatul al-Majmu’ – Syarah al-Muhazzab di dalam kitab juz 10 hlm. 426
(8). Al-Haitami menjelaskan: “Mayat tidak boleh dibacakan al-Quran sebagaimana keterangan yang ditetapkan oleh orang-orang terdahulu, bacaan al-Quran pahalanya tidak sampai kepada si Mati, lantaran pahala bacaan hanya untuk si Pembaca. Pahala amalan tidak boleh dipindah-pindahkan dari si Pembuat berdasarkan firman Allah Ta’ala: Dan manusia tidak memperolehi pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri”. Lihat: Al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah (dalam penjelasan perkara ini)
(9). Imam Syaukani (ulama tafsir) berkata: Seseorang tidak akan mendapat melainkan atas usahanya sendiri. Lafaz dalam ayat ini termasuk umum yang mukhasas, oleh itu tidak tepat kalau ada yang berkata bahawa ayat ini telah dimansuhkan dalam urusan ini, kerana yang khas tidak boleh memansuhkan lafaz umum, tetapi hanya sebagai takhsisnya sahaja. Maka apabila ada dalil lain yang boleh menentukan bahawa seseorang memperolehi manfaat dari amal orang lain, maka dalil itu sebagai takhsisnya bukan sebagai nasikh serperti ayat yang terdapat di surah ath-Thur: (Kami akan hubungkan dengan mereka itu anak cucu mereka)”.
Membaca al-Fatihah, Surah al- Ikhlas, al-Falaq, an-Nas,Yasin dan beberapa ayat lain secara beramai-ramai bertentangan dengan nas al-Quran, hadis-hadis sahih dan athar para sahabat. Firman Allah: “Apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat”. AL-A’RAF, 7:204.
Al-Quran bukan untuk dibacakan kepada si Mati, kerana orang mati tidak mampu mendengar perintah al-Quran, firman Allah: “Sesungguhnya kamu tidak dapat menjadikan orang-orang mati itu mendengar”. AN-NAML, 27:80.
“Tdak sama orang yang hidup dan orang yang mati, sesungguhnya Allah memberikan pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya dan kamu sekali-kali tiada sanggup menjadikan orang yang dalam kubur mendengar”.
Apabila seseorang mati, terputus dengan dunia kecuali tiga perkara, sebagaimana hadis: "Apabila mati seseorang insan, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya." H/R Muslim.
Ibn Abbar berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ya Rasulullah! Ibuku telah meninggal sedangkan dia masih berhutang puasa sebulan belum dibayar, apakah boleh aku membayarnya untuk ibuku? Baginda menjawab: Andaikata ibumu menanggung hutang apakah engkau yang membayarnya? Beliau menjawab: Ya! Maka baginda bersabda: Hutang kepada Allah lebih patut dibayarnya”.
“Dari ‘Aisyah berkata: Bahawasanya seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku telah mati mendadak, sehingga dia tidak berkesempatan untuk berwasiat dan saya rasa andaikan ia mendapat kesempatan berkata tentu dia berwasiat. Adakah ia mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Baginda menjawab: Ya!”.
Ibn Abbas berkata: Seorang perempuan Juhainah datang kepada Nabi s.a.w bertanya: Ibuku nazar akan mengerjakan haji, tetapi dia meninggal sebelum menunaikan nazarnya, boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya, hajikan untuknya! Bagaimana sekiranya ibumu menanggung hutang, apakah engkau yang membayarnya? Bayarlah hak Allah, kepada Allah lebih layak orang membayarnya".
Ibnu Abbas berkata: Seorang lelaki menemui Nabi Muhammad s.a.w lalu bertanya: Ayahku telah meninggal dan belum mengerjakan haji, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Bagaimana jika ayahmu meninggalkan hutang, apakah kamu yang membayarnya? Jawabnya: Ya! Baginda bersabda: Maka hajikanlah untuk ayahmu".
Ibn Abbas berkata: Ibu Sa'ad bin 'Ubadah meninggal sedang Sa'ad tidak ada. Lalu Sa'ad berkata: Wahai Rasulullah! Ibuku meninggal diwaktu aku tidak ada di rumah, apakah kiranya berguna baginya jika aku bersedekah? Baginda menjawab: Ya!. Berkata Sa'ad: Saya persaksikan kepadamu bahawa kebun kurma yang berbuah itu sebagai sedekah untuknya".
Dari Ibn Abbas: Seorang wanita suku Khasy'am menemui Nabi Muhammad lalu bertanya: Ya Rasulullah! Kewajipan Allah atas hambaNya berhaji telah menimpakan ayahku yang sangat tua sehingga tidak dapat berkenderaan, apakah boleh aku menghajikannya? Baginda menjawab: Ya boleh! Dan pertanyaan ini terjadi ketika haji al-Wada'.
Dari Abi Hurairah: Ada seorang lelaki menemui Nabi dan berkata: Ayahku telah meninggal, dia meninggalkan harta dan tidak berwasiat, maka apa berguna baginya jika aku bersedekah untuk dia? Jawab baginda: Ya!".
Al-Quran Untuk Yang Hidup. Bukan Untuk Si Mati
Menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si Mati, dihukum bid’ah, haram dan tidak sampai oleh para ulama besar as-Syafieyah. Mereka berdalilkan firman Allah: "Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan supaya dia memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup”. YASIN, 36:69-70.
Kerana orang mati hanya bertanggungjawab di atas apa yang telah diamalkan oleh dirinya, kerana Allah berfirman: "Sesungguhnya seseorang itu tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain dan bahawasanya manusia tidak akan memperolehi ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan". AN NAJM, 53:38-39.
(10). Berkata Ibn Kathir bermazhab as-Syafie: "Melalui ayat ini, Imam Syafie dan para pengikutnya mengambil hukum bahawa pahala bacaan dan hadiah pahala tidak sampai kepada si Mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha meraka. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w tidak pernah mensyariatkan umatnya dan mendesak agar melakukan perkara tersebut".
Imam as-Syaukani menjelaskan: "Seseorang tidak mendapat melainkan balasan atas usahanya dan ganjaran amalan, ia tidak memberi manfaat kepada seseorang akan amalan orang lain."
Menurut Ibn Kathir ayat ini bermaksud: "Sebagaimana tidak dipikulkan dosa orang lain begitu juga ia tidak mendapat ganjaran melainkan apa yang telah ia kerjakan sendiri".
Ibn Kathir menegaskan: "Sesungguhnya manusia itu hanya menerima balasan menurut amalnya, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk maka buruklah balasannya". Dan berkata lagi: "Tidak pernah disalin perkara (menghadiahkan bacaan kepada si Mati) walaupun seorang dari kalangan para sahabat radiallahu 'anhum. Jika sekiranya ia suatu yang baik pasti mereka telah mendahului kita melakukannya".
Imam at-Tabari menafsirkan ayat ini: "Bahawasanya seseorang itu tidak menerima balasan dari amalnya, melainkan apa yang telah dikerjakannya sendiri, sama ada itu baik atau buruk".
Imam at-Tabari menjelaskan: "Tidak diseksa seseorang itu dengan sesuatu seksaan jika ia tidak mengerjakan dosa tersebut, dan tidak diberi ganjaran di atas amal soleh untuk orang yang tidak mengerjakannya ".
(11). Fakhuruddin ar-Razy bermazhab Syafie menafsirkan: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak memberi manfaat kepada orang lain yang tidak melakukannya, sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan sebab kebaikan orang lain dan tidak seseorangpun akan menanggung dosanya".
(12). Imam Jalalain bermazhab as-Syafie menegaskan: "Maka seseorang tidak akan mendapat apa-apapun dari usaha orang lain".
Menurut jumhur ulama tafsir, terutamanya Ibn Abbas: “Telah berkata ‘Aisyah ketika mendengar hal tersebut: Cukuplah bagi kamu ayat al-Quran. Bahawa kamu tidak (dipertanggung-jawabkan) untuk memikul dosa orang yang lain". H/R Bukhari dan Muslim.
Ibn Kathir menjelaskan: "Seseorang jiwa hanya dibalas menurut amalannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan jika amalannya jahat maka jahatlah balasannya". Setiap insan hanya menuai apa yang disemainya, firman Allah: "Sesiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka untuk dirinya sendiri dan sesiapa berbuat kejahatan maka (dosa-dosanya) atas dirinya sendiri dan tidaklah Tuhanmu menganiaya hambaNya". FUSHILAT, 41:46
"Kamu tidak akan diberi balasan kecuali apa yang telah kamu kerjakan". AS SAFAAT, 37:39.
"Baginyalah apa yang dia kerjakan dan atasnyalah apa yang dia usahakan". AL BAQARAH, 2:286.
"Sesiapa yang kafir maka dia sendirilah yang menanggung kekafirannya dan sesiapa yang beramal soleh maka untuk diri mereka sendiri". AR RUM, 30:44.
"Sesiapa yang melakukan kejahatan maka dia tidak akan dibalas melainkan sebanding dengan kejahatan". AL MU'MIN, 40:40.
"Sesiapa beramal secara yang bersesuaian dengan hidayah, sesungguhnya dia telah berbuat untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, kesesatan itu bagi dirinya sendiri. Seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain". AL ISRA', 17:15.
"Sesiapa yang membersihkan dirinya maka dia telah membersihkan dirinya sendiri". FATIR, 35:18.
"Hendaklah kamu takut kepada satu hari yang tidak boleh seseorang melepaskan sesuatu apa pun dari seseorang yang lain". AL-BAQARAH, 2:123.
"Pada hari tidak seorang pun teraniaya sedikit juapun dan tidak dibalas pada kamu melainkan apa yang kamu telah kerjakan". YASIN, 36:54.
"Hai manusia! Hendaklah kamu takut kepada satu hari (di akhirat) yang (di dalamnya) tidak boleh seseorang bapa melepaskan (sesuatu apa pun) dari anaknya dan tidak pula anaknya boleh melepaskan sesuatu apa dari ayahnya". LUQMAN, 31:33.
"Sesiapa yang bekerja keras (di dunia) maka tidak lain melainkan untuk dirinya sendiri". AL-ANKABUT, 29:6.
(13). Imam Fakhrurddin ar-Razi bermazhab as-Syafie memberi komentar tentang menghadiahkan pahala amalan kepada orang mati: "Sesungguhnya kebaikan orang lain tidak boleh memberi manfaat kepada orang yang lain kerana sesiapa yang tidak beramal soleh ia tidak akan mendapat kebaikannya. Maka cukuplah dengan ayat ini sudah sempurna dan jelas bahawa orang yang berdosa tidak boleh mendapat ganjaran dengan kebaikan orang lain dan tidak ada orang lain yang boleh menanggung segala dosanya".
Imam at-Tabari yang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqh as-Syafie menerangkan: "Bahawasanya tidak akan dibalas seseorang yang beramal melainkan mengikut amalannya, jika baik dibalas baik dan jika buruk akan dibalas buruk". Kerana banyak nas-nas al-Quran yang menjelaskan perkara ini antaranya: "Tiap-tiap jiwa (seseorang) bergantung kepada apa yang telah ia usahakan (semasa hidupnya)". AT-THUR, 52:21.
"Dan sesungguhnya manusia itu tidak akan mendapat melainkan apa yang telah diusahakan". AN-NAJM, 53:39.
"Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar debu pasti dia akan melihatnya dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat debu pasti dia akan melihatnya".AZ-ZILZAL, 99:7-8.
"Pada hari seseorang itu akan melihat apa yang telah diusahakan oleh kedua tangannya".AN-NABA', 78:41.
Tahlilan, yasinan, menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati dan kenduri arwah sama sekali tidak ada dalilnya, tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah dan para sahabat atau para Salaf as-Soleh tidak pernah melakukannya, oleh yang demikian Imam as-Syafie menghukumnya bid’ah berdasrkan hadis: “Sesiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang bukan dari suruhan kami maka ia tertolak (sia-sia dan bid’ah)”. H/R Ibn Majah.
Jangan Berpegang Dengan Hadis Lemah Dan Batil
Ibnu Umar pernah berwasiat, apabila beliau wafat agar dibacakan di atas kuburnya al-Fatihah dan beberapa ayat terakhir dari surah al-Baqarah. Athar Ibn ‘Umar ini batil, bertentangan dengan amalan para sahabat, lemah dan syaaz, tidak boleh dijadikan hujjah: "Dan apa yang telah diriwayatkan dari Ibn 'Umar bahawasanya beliau mewasiatkan agar dibacakan al-Fatihah dan ayat-ayat terakhir dari surah al-Baqarah di atas kuburnya, maka itu adalah athar yang syaaz (tidak sahih) dan tidak sahih pula sanadnya. Dan tidak pernah dipersetujui (diterima) walaupun oleh seorang sahabat."
Hadis yang menyuruh dibacakan al-Quran kepada orang mati adalah hadis lemah. Di sanadnya terdapat Saad, dikenali sebagai Abu 'Uthman (majhul). Hadis yang dimaksudkan ialah: "Bacakanlah oleh kamu (surah Yasin) ke atas orang yang hampir mati dari kalangan kamu". Hadis lemah.
Menurut hadis sahih, perkara yang sunnah dilakukan kepada orang nazak ialah mengajarkan kalimah tauhid sebagaimana hadis: "Ajarkanlah oleh kamu orang-orang yang nazak di kalangan kamu dengan kalimah: La ilaha illallah".
Antara hujjah mereka yang menghalalkan yasinan, tahlilan dan menghadiahkan pahala bacaan kepada si Mati: "Barangsiapa membaca Qulhuwallahu Ahad seribu kali, sesungguhnya ia telah membebaskan dirinya dari api neraka". (Hadis Palsu).
Mendoakan si Mati adalah sunnah hukumnya bersandarkan kepada ayat-ayat di bawah ini: "Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami!" AL HASYR, 59:10.
"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)!" IBRAHIM, 14:41.
“Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman". MUHAMMAD, 47:19.
Mengkhususkan ibadah dimalam-malam tertentu atau berpuasa dihari-hari tertentu adalah haram dan bid’ah, iaitu berdasarkan hadis dari Abi Hurairah: Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk melakukan ibadah antara malam-malam yang lain dan janganlah kamu menentukan Hari Jumaat sahaja untuk berpuasa antara hari-hari yang lain, kecuali memang singgah puasa (tidak secara langsung) yang dikerjakan oleh seseorang kamu."
Dari Abu Hurairah: Setiap umatku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu!? Rasulullah menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan sesiapa yang durhaka kepadaku maka sesungguhnya dia telah enggan". Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi peringatan dengan firman-Nya: “Maka hendaklah diawasi oleh mereka yang menyalahi perintahnya (perintah Allah dan Rasul) bahawa mereka akan ditimpa fitnah atau ditimpa oleh seksa yang pedih". AN NUR, 24:63.
Rasulullah bersabda: "Aku telah tinggalkan pada kamu agama ini dalam keadaan putih bersih. Malamnya seperti siangnya yang tidak ada menyimpang daripadanya setelah (kewafatanku kecuali akan ditimpakan kepadanya) kehancuran".
Imam Syafie berfatwa: “Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”. Fatwa Imam Syafie ini berdasarkan hadis: “Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”. Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.
Tahukah Uthman El-Muhammady?
Ulama besar dan masyhur Nusantara telah mengharamkan tahlilan, yasinan dan kenduri arwah. Antara mereka:
(14). Syeikh Daud Fatani, Menurut beliau kenduri arwah seperti yasinan, tahlilan dan menghadiahkan palaha kepada orang mati adalah perbuatan yang diharamkan dan dicela, beliau berkata: “Adalah yang tersebut itu makruh yang dicela ditegah oleh syara”. Lihat: Furu’ Al-Masail. Hlm. 182-183. Beliau berkata lagi: “ Makruh lagi bid’ah bagi orang yang kematian memperbuat makanan menyerukan sekalian manusia di hari pertama……”. Lihat: Bugyatu at-Tulllab. Juz 2. Hlm. 33-34.
(15). Muhammad Arsyad al-Banjari telah mengharamkan kenduri arwah (seperti yasinan dan tahlilan). Beliau berkata: “Makroh lagi bid’ah bagi yang kematian membuat makanan yang diserukan (diundang) manusia atau memakannya…….” Ibid.
(16). Ibnu Muhammad al-Fatani. Beliau telah mengharamkan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan) sebagaimana dijelaskan oleh beliau dalam kitab Kasyaf al-Latham ‘an-Asilatil Anam. Juz. 1 hlm. 89.
Uthman El-Muhammady Beranggapan Baik
Oleh kerana yasinan, tahlilan dan kenduri arwah (menghadiahkan pahala bacaan kepada orang mati) tidak terdapat dalilnya dalam syara, maka Uthman El-Muhammady beristihsan (menganggap/bersangka baik) terhadap perbuatan tersebut. Inilah sangkaan yang dianggap mungkar oleh Imam Syafie rahimahullah kerana Imam Syafie berkata: "Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik satu-satu amalannya yang direka), bererti dia telah membuat satu syariat (dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir)". Lihat: "ar-Risalah"
Jika Uthman El-Muhammady jujur mengajak umat Islam di Malaysia kembali kepada mazhab as-Syafie untuk membolehkan yasinan, tahlilan, kenduri arwah dan membaca al-Quran untuk orang mati, buktikan apakah Wahhbi atau as-Syafie yang mengharamkannya. Diharap beliau mampu membawakan fatwa Imam as-Syafie disamping menunjukkan dalil dari al-Quran dan hadis sahih.
Kebimbangan Uthman Muhammady Tentang Pergeseran Adat Dan Ibadat Yang Di Amalkan Di Negara Ini (Mingguan Malaysia, 27 Nov 2005)
“Ahli Sunnah Wal-Jamaah Mengikut Imam Syafie (Mingguan 27 Nov 2005)
Menurut Uthman Muhammady Fahaman Wahhabi mengambil pendekatan keras,semata-mata memberi penekanan kepada Allah dengan menolak sunnah Rasulullah, tawasul, syafat dan lain-lain. Mingguan 27 Nov 2005.
Sehubungan itu katanya, adalah lebih wajar fahaman ini ditolak kerana ia bertentangan dengan Sunnah Waljamaah yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara ini. (Mingguan 27 Nov 2005)
Artikel Asal Oleh:
Ustaz Abu Farouq Rasul Bin Dahri
No comments:
Post a Comment