Hakikat Kesesatan Fahaman Sufi/Tasawuf
-------
Jika dilakukan analisis terhadap kebanyakan bahan-bahan kajian yang berkaitan dengan semua isu-isu ajaran (doktrin) dan ideologi tarikat sufi/tasawuf yang sudah lama berkembang luas di Tanah Melayu, maka hasilnya akan membuktikan bahawa kebanyakan kajian yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang ada sekarang terlalu terhad. Ini berpunca kerana kajian tersebut amat terbatas dan lebih tertumpu atau berkisar dalam memperkatakan tentang ilmu-ilmu mistik*, suluk atau tarikat sufi/tasawuf semata.
* Mistik (mystic) atau mysticism bererti tasawuf. Lihat: Kamus Inggris Indonesia. Edisi Populer, hlm. 109. Prof. Drs. S.Wojowasito, W.J.S Poerwadarmints. S.A.M. Penerbit Hasta, Jakarta, 1071
Asal usul kewujudan, kemasukan atau dari mana punca-punca timbulnya amalan dan sumber ilmu kebatinan, suluk, tarikat atau sufi/tasawuf ini tidak dipertikaikan dan kurang diberi perhatian yang serius. Sufi/tasawuf kurang dikaji secara ilmiyah dan kurang dipaparkan kepada masyarakat dengan jelas. Akibatnya tarikat sufi/tasawuf telah menjadi suatu aliran suluk dan kebatinan yang tidak diragukan untuk dijadikan ikutan, amalan atau anutan masyarakat awam.
Sebenarnya tarikat sufi/tasawuf bukanlah dari ajaran Islam tulin yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, sama ada di segi akidah atau ibadahnya. Sufi/Tasawuf tercipta dari hasil pemikiran (ideologi) orang-orang kafir terutamanya Majusi yang dipengaruhi oleh falsafah metafizika. Sama ada dari pemikiran falsafah ciptaan para pendita Yahudi, Nasrani atau Majusi (terutama Qibti, Yunani dan Parsi) yang diserapkan ke dalam Islam oleh musuh-musuh Islam untuk menghancurkan ibadah dan akidah Islamiyah dari dalam. Tujuannya semata-mata untuk mengkucar-kacirkan ummah dan memecah-belah kesatuan (Jamaah Islamiyah) yang matlamatnya untuk melemahkan masyarakat Islam dan menjatuhkan Daulah Islamiyah. Inilah antara hakikat sebenar yang akan dibuktikan di dalam tulisan ini.
Mengakui sebagai seorang mukmin sahaja tidak memadai sebelum seseorang individu itu memeriksa kesahihan akidah dan amal ibadahnya. Malah seseorang itu perlu bertanya pada dirinya sendiri, apakah akidah dan amal ibadahnya sudah mengikut landasan wahyu Ilahi atau masih di dalam kongkongan bid'ah dan jahiliyah? Seseorang itu tidak boleh dianggap sebagai mukmin yang sempurna akidahnya (imannya) sekalipun kelihatan betul amal-ibadahnya yang lahir, kerana jika akidahnya masih bercampur-baur dengan amalan bid'ah seperti berpegang kepada aliran ideologi sesat lagi menyesatkan yang dikenali sebagai aliran tarikat, suluk, kebatinan atau sufi/tasawuf yang menyeleweng, maka ia akan mengakibatkan terbatalnya amal dan akidahnya.
Seseorang yang telah berpegang atau menganut aliran tarikat sufi/tasawuf, terlebih dahulu perlu mengetahui apa itu sufi/tasawuf yang telah diceburi atau dianutinya sebelum meneruskan pegangan tarikat kesufiannya. Perlu mengetahui dari mana asal usul ajaran ini dan ke arah mana pula mereka akan dibawa Semuanya ini perlu diketahui dan diselidiki supaya seseorang yang telah menganut tarikat kesufian tidak terjebak ke dalam amalan jahiliyah atau kesesatan bid'ah, tahaiyul dan khurafat yang akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Na'uzubillah. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:
كُلُّ بِدْعَة ضَلاَلَةٌ وُكُلُّ ضَلاَلَة فِىْ النَّارِ.
"Setiap bid'ah itu sesat dan setiap kesesatan di dalam neraka". (H/R Muslim, (1435), al-Jumah. An-Nasaii, (1560), Salatul 'idaini. Ibn Majah, (44). Ahmad (13815))
Sebenarnya semua bentuk doktrin sufi/tasawuf terutama sufi falsafi ternyata boleh memberi kesan kerosakan kepada ibadah dan akidah seseorang muslim. Sufi/tasawuf telah menyumbang bid'ah dan membuka pintu perpecahan di kalangan masyarakat Islam, malah sufi/tasawuf telah menjadi punca kesesatan yang terbesar ke dalam akidah dan amalan seseorang yang sudah menganut tarikat sufi/tasawuf. Sememangnya ideologi ini telah banyak memporak-perandakan akidah masyarakat Islam terutama terhadap mereka yang kurang memahami ajaran Islam dan tidak mengenali hakikat kesesatan dan kepalsuan ajaran tarikat sufi/tasawuf ini.
Kepalsuan dan kesesatan ideologi sufi/tasawuf perlu dikaji, didedahkan dan diketahui oleh setiap individu muslim yang mahu menjaga kemurnian akidahnya. Penulis merasa bertanggungjawab untuk memaparkan penyelewengan akidah, ibadah atau amalan yang dibawa oleh golongan tarikat sufi/tasawuf ini walaupun terpaksa menghadapi beberapa tentangan, fitnah dan kesulitan dalam meneliti, mengkaji asal-usul dan selok-belok amalan tarikat sufi/tasawuf serta teori falsafahnya yang bercelaru, simpang-siur, dipenuhi khurafat, tahaiyul dan kebatilan.
Penulis juga merasa berkewajipan untuk menyiapkan tulisan siri pertama ini dan siri seterusnya (insya-Allah) walaupun dengan ringkas supaya ia dapat mendedahkan setiap penyelewengan dalam ajaran yang dibawa oleh syeikh-syeikh dan kumpulan tarikat kesufian ini. Tujuan utama ialah agar usaha ini dapat mencurahkan sumbang-bakti yang termampu dalam memerangi kesesatan ideologi kesufian yang kini telah dianuti oleh jutaan masyarakat Islam.
Akidah sufi/tasawuf ini menjadi laris dan diminati untuk dianut oleh masyarakat Islam yang awam sejak sekian lama. Ia terus tersebar dengan suburnya kerana ditaja oleh musuh Islam dari kalangan Yahudi. Kemudian berjaya dikembangkan oleh syeikh-syeikh sufi setelah dihidupkan oleh Abu Bakar Mohammad Muhayiddin bin Arabi (1165 - 1240 M).
Abdullah bin Saba' seorang Yahudi adalah pencetus tarikat kebatinan mistik atau sufi/tasawuf. Beliau memulakan doktrin tarikat kebatinan sufi/tasawuf dengan melahirkan teori fahaman Syiah. Sufi ternyata lahir dari ajaran Syiah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Amin:
ذَلِكَ اَنَّ الصُّوْفِيَّةَ اتَّصَلَتْ بِالتَّشَيُّعِ اتَّصَالاً وَثِيْقًا ، وَاَخَذَتْ فِيْمَا اَخَذَتْ عَنْهُ فِكْرَةً الْمَهْدِيِّ ، وَصَاغَتْهَا صِيَاغَةً جَدِيْدَةً وَسَمَّتْهُ "قُطْبًا" وَكُوِّنَتْ مَمْلَكَةً مِنَ اْلاَرْوَاحِ.... هُوَ الَّذِيْ يُدَبِّرُ اْلاَمْرَ فِى كُلِّ عَصْرٍ وَهُوَ عَمَادُ السَّمَآءِ وَلَوْلاَهُ لَوَقَعَتْ عَلَى اْلاَرْضِ.
"Bahawa sesungguhnya tasawuf berhubung-kait yang erat dengan Syiah dan mengambil apa sahaja yang diambil oleh Syiah, tentang fikrah ke Mahdiah (imam Mahdi), hanya sufi membentuknya dengan bentuk yang baru yang dinamakan "Qutb" yang dijadikan sebagai penguasa dari alam ruh..... Dialah (al-Mahdi) yang merancang segala perkara disetiap zaman, dialah tiang langit, sekiranya tanpa dia maka jatulah langit ke bumi". (Lihat; ضُحَى اْلاِسْلاَم jld. 3 hlm. 245. Ahmad Amin. Cetakan kesepuluh. Daar al-Kitab al-Arabi. Beirut, Lebnon)
-------
Asal Kemunculan & Kemasukan Tarikat Sufi/Tasawuf Ke Dalam Islam
-------
Menurut kajian dan penyelidikan Dr Qassim Ganny, yang tercatit di dalam bukunya "Tarikh at Tasawuf fil Islam": Ada beberapa faktor dan fakta-takta positif dari para ahli sejarah, yang membuktikan asal-usul kemasukan ideologi tarikat sufi/tasawuf ini ke dalam pemikiran Islam, akidahnya dan amalan masyarakatnya. Antara faktor-faktor tersebut ialah:
1 - Pertama: Beberapa kalangan pengkaji tarikat menegaskan bahawa sufi atau tasawuf bukanlah dari syariat Islam, tetapi ia telah diresapkan ke dalam ajaran Islam oleh musuh-musuh Islam terutama di dalam bab akidahnya pada zaman di mana Agama Islam telah meluas dan orang-orang Islam telah berjaya membuka (menawan) Negara Rom dan Iran (Parsi).
2 - Kedua: Terdapat banyak persamaan dikebanyakan doktrin dalam ideologi tarikat sufi/tasawuf dengan doktrin kepercayaan mistik agama Hindu-Buddha. Ini menguatkan lagi bukti bahawa tarikat sufi/tasawuf berasal dari Agama Majusi. Ia menyusup masuk ke dalam Islam dari pengaruh beberapa Agama Majusi atau Mistik Majusi tersebut terutamanya setelah ramai penganut dan para pendita Agama Hindu dan Buddha memeluk agama Islam.
3 - Ketiga: Sebilangan para pengkaji berpendapat, sufi (tarikat tasawuf) tumbuh dari kesan pemikiran (fikrah) falsafah, tidak terkecuali falsafah Neoplatonisme. Dalil-dalil untuk membuktikan sahihnya pendapat yang sedemikian adalah dengan adanya persamaan antara teori falsafah tarikat ini dengan teori falsafah dari Barat. Ditambah pula dengan pembuktian sejarah bahawa falsafah Greek (Yunani) sudah meluas di Asia Barat sesudah dan sebelum kedatangan Islam.
4 - Keempat: Sebahagian pengkaji menegaskan, bahawa sufi (tasawuf) diambil (terpengaruh) dari ajaran Masihi, Yahudi dan pendita-pendita (dari kedua agama tersebut) yang membawa masuk seterusnya menghidupkan ideologi tersebut di dalam ajaran Islam setelah mereka memeluk agama Islam, sama ada dengan kesedaran (keikhlasan) atau secara nifak yang bertujuan jahat.
5 - Kelima: Sebahagian besar ahli sejarah pula menyatakan bahawa sufi (tasawuf) pada kenyataannya, diambil dan terpengaruh dari teori falsafah orang-orang kafir, terutama dari Agama Hindu-Buddha (Dr. Mustafa Helmi "Ibn Taimiyah wa at Tasawuf". Hlm. 40) yang tujuan asalnya menggunakan falsafah tersebut untuk menentang kaum filosof yang menyerang Islam melalui falsafah.
6 - Keenam: Tarikat sufi (tasawuf) dan segala tarikat kebatinan yang terdapat dalam kepercayaan masyarakat Islam yang telah menjadi amalan dan pegangan mereka, pada asalnya adalah ciptaan yang dipelopori oleh Yahudi dan diresapkan ke dalam akidah Islamiyah. Gerakan ini diketuai oleh seorang pendita Yahudi, iaitu Abdullah bin Saba (berasal dari Yaman). Gerakan konspirasi jahat ini diprogramkan semata-mata untuk merosakkan akidah, ibadah, memecah-belah perpaduan Islam, mengkucar-kacirkan barisan ummah serta untuk melemahkan kekuatan dan keutuhan Daulah Islamiyah.
Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah:
"Unsur-unsur agama asing (agama-agama kafir/jahiliyah pent.) telah meresap dan mempengaruhi ajaran (ilmu) Islam dipermulaan tahun kedua dalam pemerintahan 'Abbasiyah. Ditambah pula adanya dorongan dan usaha-usaha yang gigih melalui kegiatan penterjemahan buku-buku Parsi, Rom, Yunani dan Hindu/Budha ke dalam Bahasa Arab. Keadaan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada kemasukan ideologi sufi/tasawuf ini ke dalam saf (barisan) masyarakat Islam sehingga (sufi/tasawuf) tersebar luas dan akhirnya terus tidak dapat dibendung lagi". (Dr. Mustafa Helmi "Ibn Taimiyah wa at Tasawuf". Hlm. 40)
Menurut Ibnu Nadim rahimahullah:
"Berpunca dari kegiatan penterjemahan berbagai-bagai buku falsafah Ajnabi (bangsa dan bahasa asing) ke dalam Bahasa Arab, timbullah tiga aliran pemikiran dalam masyarakat Islam":
(1) - Aliran yang mendewa-dewakan teori pemikiran falsafah metafizika.
(2) - Aliran/penganut firqah (pemuja) ilmu kalam (falsafah/mantik/logika).
(3) - Aliran tarikat tasawuf (sufi), atau aliran kebatinan (Ibn An Nadim. "Al Fehrasat"..) (yang dipengaruhi juga oleh kedua-dua aliran di atas iaitu metafizika dan mantik - pent.).
Kegiatan Khalifah al-Makmon (218H) yang telah menggalakkan para penulis Islam menterjemahkan berbagai-bagai kitab falsafah, terutamanya dari Bahasa Greek (Yunan), Parsi dan Mesir (Qibty) ke dalam Bahasa Arab telah menjadi punca dan penyumbang utama kemasukan pengaruh falsafah sufisma (tasawuf) jahiliyah ke dalam pemikiran, doktrin, ibadah dan akidah Islamiyah.
-------
Tiada Sufi/Tasawuf Di Zaman Nabi
-------
Sebenarnya di zaman Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para sahabat, sama sekali tidak terdapat kalimah atau kata-kata sufi/tasawuf ini. Tidak seorangpun dari kalangan sahabat yang mengamal atau menganut apa pun jenis fahaman yang berkaitan dengan tarikat kebatinan, termasuklah tarikat yang dikenali sebagai sufi/tasawuf yang ada sekarang. Pada kenyataannya, kemunculan tarikat sufi/tasawuf ke dalam Islam dan pemikiran masyarakatnya, hanya disedari selepas atau pada penghujung kurun ketiga Hijrah, iaitu sesudah berlalunya zaman sahabat, at-tabiin dan tabiut tabiin. (Ibn Taimiyah "Bughyatu al Murtad, hlm. 111)
Dengan melakukan kajian, penelitian fakta dan menyemak semula semua tarikh serta fenomena sufi/tasawuf, pasti akan ditemui bukti-bukti konkrit yang dapat menjelaskan bahawa tarikat sufi/tasawuf ini sebenarnya bukanlah dari doktrin Agama Islam (bukan ajaran yang diambil dari al-Quran, as-Sunnah atau amalan para sahabat), kerana nama dan kalimah sufi/tasawuf itu sendiri bukan berasal dari Bahasa Arab dan tidak terdapat pula di dalam al-Quran dan as-Sunnah kalimah yang disebut "sufi" atau "tasawuf". Malah etika amalan tarikat sufi/tasawuf yang berlebih-lebihan dalam beramal dan mementingkan unsur rohani dan kebatinan tidak pernah diamalkan oleh para salaf as-soleh.
Sufi/tasawuf mula muncul jauh selepas zaman sahabat. Sufi/tawawuf wujud dalam masyarakat berpunca dari usaha-usaha Yahudi memasukkannya ke dalam Islam dan dihidup- suburkan oleh golongan penghidup dan penggemar bid'ah yang suka mentakwilkan nas-nas al-Quran, as-Sunnah dan sirah Islamiyah kepada makna atau maksud secara batiniyah (kebatinan) atau kerohanian.
Mereka mentakwilkan nas secara batiniyah untuk disesuaikan dengan hawa nafsu mereka dan untuk dipadankan dengan teori amalan tarikat kesufian atau kebatinan yang berunsur falsafah yang mereka amalkan, hidupkan dan perjuangkan dengan gigih. Peyelewengan berlaku kerana mereka berpegang kepada dua teori yang mereka cipta sendiri iaitu al-Quran mempunyai dua sifat dan dua cara penafsiran:
Pertama: Al-Quran bersifat lahir dan penafsiran yang hanya secara lahir (lahiriyah). Penafsiran ini menurut anggapan mereka hanyalah amalan orang biasa (ulama lahir yang tidak menganut tarikat sufi/tasawuf). Kaum sufi/tasawuf tidak dapat menerima tafsiran ini sebagai tafsir yang lengkap, sempurna dan betul.
Kedua: Al-Quran bersifat batin. Penafsiran secara kebatinan (batiniyah) yang mereka dakwa hanya diketahui oleh para ketua (syeikh-syeikh) sufi/tasawuf yang memperolehinya melalui ilmu laduni (ilmu ilham tanpa belajar).
Penafsiran secara batin ialah suatu penafsiran yang dilakukan menerusi ilham, dari pengalaman dan mimpi. Semuanya itu kononnya diperolehi melalui ilmu laduni yang dihasilkan dari amal-amal mujahadah seperti banyak berzikir dan uzlah. Menurut mereka penafsiran secara batin lebih sempurna dan mulia di sisi Allah daripada penafsiran secara lahir. Contohnya mereka menterjemahkan (menukar) kalimah "akhlak" di dalam al-Quran dan as-Sunnah melalui penafsiran batin yang diertikan kepada makna "tasawuf". Sedangkan kalimah "akhlak" adalah kalimah al-Quran yang berupa wahyu, tidak sepatutnya bagi mereka menggantikan atau menafsirkan (mentakwil) kalimah ini secara batiniyah sehingga memberi makna, maksud dan pengertian yang lain dari yang dikehendaki oleh syara.
Menurut syara, tidak ada penafsir untuk menafsir atau menterjemahkan kalimah yang terdapat di dalam al-Quran dengan tepat dan sempurna kecuali al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri. Kalimah "Akhlak" yang terdapat di dalam al-Quran bukan bermakna "sufi/tasawuf", tidak terdapat walaupun seorang dari kalangan sahabat seperti Ibn Abbas atau Ibn Masoud yang telah menafsirkan “akhlak” kepada sufi/tasawuf, kerana "akhlak" perkataan yang berupa wahyu dari Allah. Kalimah "sufi/tasawuf" pula adalah kalimah asing. Ianya bukan Bahasa Arab dan tidak terdapat di dalam al-Quran atau al-Hadith. Ia diambil atau dipinjam dari kalimah asing (falsafah Yunan) yang dimasukkan ke dalam Bahasa Arab oleh para filosof dan ahli sufi.
Semua konsep, teori dan pelaksanaan dalam amalan tarikat sufi/tasawuf, tidak pernah dicontohkan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alihi wa-sallam dan para sahabat. Pada zaman Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam belum ada istilah tawasuf. Memang banyak ahli tasawuf beranggapan bahawa ajarannya berdasarkan atas tuntutan dari Nabi Muhammad (Lihat: Analisa Kritis Terhadap Tasawuf. Hlm. 4, Samsudi Abdullah. Pustaka Nasional PTE Singapore. Cetakan pertama. l987). Sebenarnya hanya mereka yang menganut sufi/tasawuf itu sahaja yang mengandaikan bahawa akhlak Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam itu adalah merupakan hakikat amalan sufi/tasawuf. Pada kenyataannya apa yang dilakukan oleh Nabi adalah akhlak al-Quran yang tidak ada kena-mengena dengan unsur-unsur kesufian kerana sufi/tasawuf adalah hasil ciptaan manusia, sedangkan apa yang terdapat di dalam al-Quran adalah wahyu. Allah telah berfirman tentang akhlak Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:
وَاِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيْمٍ
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang mulia". AL QALAM, 68:4.
اِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ صَالِحَ مَكَارِمَ اْلاَخْلاُق.
"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak ". (H/R Ahmad, (8595).)
Menurut jumhur ulama fikah, ulama tafsir dan ulama hadith:
"Setiap amal-ibadah dan akhlak mulia yang tidak mengambil contohnya dari Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam atau para sahabat terutama Khulafa ar-Rasyidin radiallahu 'anhum, maka amal ibadah tersebut dihukum bid'ah yang menyesatkan".
Di bawah ini dibawakan hadith riwayat Bukhari yang menceritakan akhlak dan ibadah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam:
حَدِيثُ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : عَنْ زُرَارَةَ أَنَّ سَعْدَ بْنَ هِشَامَ بْنِ عَامِرٍ اَرَادَ أَنْ يَغْزُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ، فَلَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ لَقِيَ أُنَاسًا مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ فَنَهَوْهُ عَنْ ذَلِكَ وَأَخْبَرُوهُ أَنَّ رَهْطًا سِتَّةً اَرَادُوا ذَلِكَ فِي حَيَاةِ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَهَاهُمْ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ : أَلَيْسَ لَكُمْ فِيَّ أُسْوَةٌ فَلَمَّا حَدَّثُوهُ بِذَلِكَ رَاجَعَ امْرَأَتَهُ وَقَدْ كَانَ طَلَّقَهَا وَأَشْهَدَ عَلَى رَجْعَتِهَا فَأَتَى ابْنَ عَبَّاسٍ فَسَأَلَهُ عَنْ وِتْرِ رَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ : اَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى أَعْلَمِ أَهْلِ اْلاَرْضِ بِوِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَالَ عَائِشَةُ فَأْتِهَافَاسْأَلْهَا ثُمَّ ائْتِنِي فَأَخْبِرْنِي بِرَدِّهَا عَلَيْكَ فَانْطَلَقْتُ إِلَيْهَا فَأَتَيْتُ عَلَى حَكِيمِ بْنِ أَفْلَحَ فَاسْتَلْحَقْتُهُ إِلَيْهَا فَقَالَ مَا أَنَا بِقَارِبِهَا لاَنِّي نَهَيْتُهَا أَنْ تَقُولَ فِي هَاتَيْنِ الشِّيعَتَيْنِ شَيْئًا فَأَبَتْ فِيهِمَا إِلاَمُضِيًّا قَالَ فَأَقْسَمْتُ عَلَيْهِ فَجَاءَ فَانْطَلَقْنَا إِلَى عَائِشَةَ فَاسْتَأْذَنَّا عَلَيْهَا فَأَذِنَتْ لَنَا فَدَخَلْنَا عَلَيْهَا فَقَالَتْ أَحَكِيمٌ فَعَرَفَتْهُ فَقَالَ نَعَمْ فَقَالَتْ مَنْ مَعَكَ قَالَ سَعْدُ بْنُ هِشَامٍ قَالَتْ مَنْ هِشَامٌ قَالَ ابْنُ عَامِرٍ فَتَرَحَّمَتْ عَلَيْهِ وَقَالَتْ خَيْرًا قَالَ قَتَادَةُ وَكَانَ أُصِيبَ يَوْمَ أُحُدٍ فَقُلْتُ يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَنْبِئِينِي عَنْ خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ قَالَتْ أَلَسْتَ تَقْرَأُ الْقُرْآنَ قُلْتُ بَلَى قَالَتْ فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلِيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ الْقُرْآنَ قَالَ فَهَمَمْتُ أَنْ أَقُومَ وَلاَ أَسْأَلَ أَحَدًا عَنْ شَيْءٍ حَتَّى أَمُوتَ ثُمَّ بَدَا لِي فَقُلْتُ أَنْبِئِينِي عَنْ قِيَامِ رَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ : أَلَسْتَ تَقْرَأُ يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُلْتُ بَلَى قَالَتْ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ افْتَرَضَ قِيَامَ اللَّيْلِ فِي أَوَّلِ هَذِهِ السُّورَةِ فَقَامَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابُهُ حَوْلاً وَأَمْسَكَ اللَّهُ خَاتِمَتَهَا اثْنَيْ عَشَرَ شَهْرًا فِي السَّمَاءِ حَتَّى أَنْزَلَ اللَّهُ فِي آخِرِ هَذِهِ السُّورَةِ التَّخْفِيفَ فَصَارَ قِيَامُ اللَّيْلِ تَطَوُّعًا بَعْدَ فَرِيضَةٍ قَالَ : قُلْتُ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ أَنْبِئِينِي عَنْ وِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ : كُنَّا نُعِدُّ لَهُ سِوَاكَهُ وَطَهُورَهُ فَيَبْعَثُهُ اللَّهُ مَا شَاءَ أَنْ يَبْعَثَهُ مِنَ اللَّيْلِ فَيَتَسَوَّكُ وَيَتَوَضَّأُ وَيُصَلِّي تِسْعَ رَكَعَاتٍ لاَ يَجْلِسُ فِيهَا إِلاَّ فِي الثَّامِنَةِ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يَنْهَضُ وَلاَ يُسَلِّمُ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّ التَّاسِعَةَ ثُمَّ يَقْعُدُ فَيَذْكُرُ اللَّهَ وَيَحْمَدُهُ وَيَدْعُوهُ ثُمَّ يُسَلِّمُ تَسْلِيمًا يُسْمِعُنَا ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ مَا يُسَلِّمُ وَهُوَقَاعِدٌ وَتِلْكَ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يَا بُنَيَّ فَلَمَّا سَنَّ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَخَذَهُ اللَّحْمُ أَوْتَرَ بِسَبْعٍ وَصَنَعَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ مِثْلَ صَنِيعِهِ الاَوَّلِ فَتِلْكَ تِسْعٌ يَا بُنَيَّ وَكَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَحَبَّ أَنْ يُدَاوِمَ عَلَيْهَا وَكَانَ إِذَا غَلَبَهُ نَوْمٌ أَوْ وَجَعٌ عَنْ قِيَامِ اللَّيْلِ صَلَّى مِنَ النَّهَارِ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً وَلاَ أَعْلَمُ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَاَ الْقُرْآنَ كُلَّهُ فِي لَيْلَةٍ وَلاَ صَلَّى لَيْلَةً إِلَى الصُّبْحِ وَلاَ صَامَ شَهْرًا كَامِلاً غَيْرَ رَمَضَانَ قَالَ فَانْطَلَقْتُ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ فَحَدَّثْتُهُ بِحَدِيثِهَا فَقَالَ صَدَقَتْ لَوْ كُنْتُ أَقْرَبُهَا أَوْ أَدْخُلُ عَلَيْهَا لاَتَيْتُهَا حَتَّى تُشَافِهَنِي بِهِ قَالَ قُلْتُ لَوْ عَلِمْتُ أَنَّكَ لاَ تَدْخُلُ عَلَيْهَا مَا حَدَّثْتُكَ حَدِيثَهَا
"Hadith Aisyah radiallahu 'anha: Diriwayatkan daripada Zurarah katanya: Saad bin Hisyam bin Amir ingin berperang di jalan Allah. Ketika datang ke Madinah beliau menemui beberapa orang dari penduduk Madinah, lalu mereka menahan niat tersebut dan memberitahunya bahawa enam orang yang lengkap dengan peralatan perang seperti pedang dan kuda juga mempunyai niat yang sama pada zaman Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam, tetapi Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam telah menahan mereka dengan pertanyaan: Bukankah aku ini merupakan contoh tauladan bagi kamu?
Apabila Nabi berkata demikian lalu beliau merujuk isterinya yang telah diceraikan sebelum ini. Aku bersaksi bahawa aku telah merujuk isteriku.
Kemudian aku menemui Ibnu Abbas lalu aku bertanya kepadanya mengenai sembahyang witir Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam Ibnu Abbas menjawab: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu orang di atas muka bumi ini yang paling tahu berkenaan dengan witir Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam Saad bertanya: Siapa? Beliau menjawab: Aisyah, pergilah kamu menemuinya dan tanyalah kepadanya kemudian kamu datang kepadaku dan beritahulah apakah jawapannya nanti.
Lalu aku bercadang untuk menemui Aisyah, dalam pada itu aku pergi menemui Hakim bin Aflah, lalu aku meminta supaya beliau bertanya Aisyah mengenai perkara tersebut. Beliau berkata: Aku bukanlah orang yang rapat dengannya kerana aku melarangnya dari memperkatakan tentang kedua-dua pihak tersebut (iaitu semasa pertelingkahan antara Aisyah dengan Ali) dan aku enggan menyokong mana-mana pihak kecuali setelah beberapa lama. Beliau berkata: Setelah aku meyakinkannya, beliau bersetuju untuk pergi bersamaku.
Lalu kami berdua pergi mendapatkan Aisyah dan kami meminta izin untuk menemuinya, kemudian beliau mengizinkan kami menemuinya, lalu kami masuk menemuinya seraya Aisyah bertanya: Adakah kamu ini seorang hakim? Hakim memperkenalkan dirinya seraya menjawab: Benar! Aisyah bertanya lagi: Siapakah yang bersama kamu? Hakim menjawab: Saad bin Hisham! Aisyah bertanya lagi: Siapa Hisham? Hakim menjawab: Ibnu Amir! Lalu Aisyah mendoakan agar aku dirahmati Allah dengan kata-kata: Kebaikan (iaitu kebaikan untukku). Qatadah berkata: Sesungguhnya aku cedera semasa peperangan Uhud, lalu aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Ceritakanlah kepadaku mengenai akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-saallam Aisyah menjawab: Bukankah kamu membaca al-Quran? Aku menjawab: Benar! Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya akhlak Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam ialah al-Quran. Qatadah berkata: Fahamlah aku apakah yang perlu aku lakukan dan aku tidak akan bertanya sesiapa pun mengenai sesuatu sehingga aku mati.
Kemudian aku ingin tahu mengenai sesuatu, lalu aku bertanya: Ceritakanlah kepada aku mengenai sembahyang malam Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam Aisyah berkata: Bukankah kamu pernah membaca ayat al-Quran:
يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ
"Yang bermaksud: Wahai orang yang berselimut!"
Aku berkata: Benar! Aku pernah membacanya. Aisyah berkata lagi: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa-Ta'ala (Yang Maha Mulia lagi Maha Agung) telah mewajibkan sembahyang malam pada awal surah tersebut. Maka Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam dan para Sahabatnya telah mendirikannya selama setahun.
Allah tidak menurunkan penutup bagi ayat tersebut dan menahannya selama dua belas bulan di langit sehinggalah diturunkan beberapa ayat pada penghujung surah tersebut sebagai satu keringanan, maka jadilah sembahyang malam itu sebagai satu perkara yang sunat selepas ianya diwajibkan. Aku berkata: Wahai Ummul Mukminin! Terangkan kepadaku mengenai sembahyang witir Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam Aisyah menjawab: Kami menyediakan kayu sugi dan air untuk wuduk baginda.
Allah akan membangkitkan baginda pada bila-bila masa yang baginda kehendaki, apabila baginda bangun, baginda bersugi dan mengambil wuduk dan baginda sembahyang sembilan rakaat tanpa duduk melainkan pada rakaat yang kelapan, baginda berzikir, bertahmid (memuji) dan berdoa kepada Allah, kemudian baginda bangkit tanpa memberi salam.
Seterusnya baginda berdiri, lalu meneruskan rakaat yang kesembilan, kemudian baginda duduk lagi seraya berzikir, bertahmid, berdoa kepada Allah, lalu memberi salam, salam yang dapat didengari oleh kami semua. Selepas itu baginda sembahyang dua rakaat selepas memberi salam dalam keadaan duduk.
Semua rakaat sembahyang Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam berjumlah sebelas rakaat. Wahai anakku! Ketika umur Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam meningkat tua dan semakin berisi, baginda hanya melakukan sunat witir sebanyak tujuh rakaat sahaja, di samping baginda melakukan dua rakaat sebagaimana dua rakaat yang baginda lakukan dahulu, jadi semuanya berjumlah sembilan rakaat. Wahai anakku! Sesungguhnya Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam apabila sembahyang baginda suka sembahyang berterusan.
Apabila baginda tertidur atau tidak sedar pada waktu malam baginda akan melakukannya pada waktu siang sebanyak dua belas rakaat. Aku tidak pernah melihat Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam membaca al-Quran seluruhnya dalam satu malam dan aku juga tidak pernah melihat Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam melakukan sembahyang hingga ke waktu Subuh atau berpuasa selama sebulan berturut-turut selain dari bulan Ramadhan.
Saad berkata: Setelah aku mendengar jawapan dari Aisyah tersebut, aku lantas menemui Ibnu Abbas dan menceritakan kembali kepadanya. Ibnu Abbas berkata: Benarlah Aisyah. Seandainya aku berada berhampiran dengannya atau boleh menemuinya, nescaya aku sendiri akan menemuinya sehingga aku dapat bercakap secara langsung dengannya. Saad berkata: Aku menyebut: Sekiranya aku tahu bahawa kamu tidak dapat menemuinya nescaya aku tidak akan menceritakan Hadith tersebut". (H/R Bukhari)
Jika diklasifikasikan, sufisma dan segala bentuk indoktrinisasinya adalah satu era etika sosial baru yang direkacipta oleh fikiran atau otak manusia kemudian diserapkan ke dalam budaya, ajaran dan pemikiran masyarakat Islam. Ia diambil dari falsafah dan agama kafir.
Sebenarnya tarikat sufi/tasawuf tidak akan serasi dengan akidah Islamiyah dan syariatnya yang lengkap dengan hukum-ahkam yang merangkumi bidang ekonominya, politiknya, sosialnya dan perundangannya. Kerana konsep pendoktrinan golongan tarikat kesufian/tasawuf menghasut penganutnya supaya mengikis segala sifat kebendaan (materialistik) walaupun yang sah dan halal di sisi syara. Aliran ini mengajak pengikutnya supaya melepaskan diri mereka daripada ikatan semua jenis jihad dan segala aspeknya. Sufi/tasawuf menghasut penganutnya supaya meninggalkan hal-ehwal serta urusan keduniaan (world-denying).
Sumber Pengambilan & Penemuan Kalimah Sufi/Tasawuf
Terdapat banyak pendapat dan andaian dari para penganut sufi/tasawuf tentang kata asal dan sumber pengambilan kalimah tasawuf atau sufi ini. Antara beberapa pendapat mereka yang masyhur dalam perkara ini ialah:
1 - Pertama: Sufi atau tasawuf diambil atau dinasabkan kepada jenis pakaian yang dibuat dari bulu binatang (kambing) atau soof (صُوْفٌ). Ini dikaitkan kepada pengamal tarikat tasawuf (sufi) yang memilih pakaian yang diperbuat dari bulu binatang (kambing) yang kasar sebagai lambang kesederhanaan mereka.
Menurut kaedah penggunaan tata Bahasa Arab, kalimah soof tidak boleh diidhafkan (dikaitkan/dinasabkan) kepada kalimah sufi, atau dari kata soof kepada sifat sufi. Maka pengambilan kalimah soof kepada sufi adalah jelas salah jika mengikut kaedah Bahasa Arab. Dengan ini kalimah sufi bukanlah kalimah Arab dan tidak boleh diArabkan. Menurut sejarah pula, pakaian yang diperbuat dari bulu binatang "soof" bukanlah adat, tradisi atau kebiasaan pakaian orang-orang Arab, tetapi pakaian para filosof atau pendita Agama Majusi (Yunan). Agama Islam pula melarang meniru pakaian pendita Agama Majusi, Yahudi atau Nasrani. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad:
اِيَّاكُمْ وَلُبُوْس الرُّهْبَانِ فَاِنَّهُ مَنْ تَزَيَّابِهِمْ اَوْ تَشَبَّهَ بِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّىْ.
"Jauhilah kamu (dari memakai) pakaian pendita (Yahudi, Nasrani atau Majusi), kerana sesungguhnya sesiapa yang memakainya bukanlah dia daripada kalangan kami". (H/R Tabrani)
2 - Kedua: Ada yang berpendapat bahawa kalimah sufi atau tasawuf, (disangka) diambil dari sempena nama sebuah balai di pinggir masjid an-Nabawi yang dinamakan Balai Suffa (الصفة). Ada yang mengatakan bahawa kehidupan sufi/tasawuf dalam kesederhanaan mereka berasal dari kehidupan Ahli Suffah, andaian ini tidak benar, sebab kalau benar sufi/tasawuf bersumber dari nama balai ini, tentunya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam atau para sahabat telah menamakan dan menggelar para penghuni Balai Suffa dengan gelaran orang-orang sufi, atau diistilahkan sebagai para sahabat dari kalangan sufi sebagaimana para sahabat yang berhijrah dari Mekah ke Madinah telah digelar Muhajirin, para sahabat yang menolong Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari kalangan penduduk Madinah digelar kaum Ansar, serta para sahabat yang berjihad bersama Nabi digelar Mujahidin.
Perlu diketahui bahawa Ahli Suffah tinggal di Balai Suffah kerana darurat. Setelah Allah memberi kemenangan kepada kaum muslimin, mereka tidak memerlukan lagi hidup sedemikian dan mereka keluar dari Balai Suffah.
Tercatit dalam sejarah bahawa penghuni Balai Suffa hanya digelar Ahlus-Suffah, tidak pernah ada walau sebuah hadith atau kata-kata sahabat yang menggelarkan mereka sebagai sufi atau ahli tasawuf. Sedangkan yang pernah tinggal di balai ini ialah Abu Hurairah, Abu Darda' dan Abu Dzarr.
Jelasnya mengapa pula penghuni Balai Suffa tidak pernah digelar sufi oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam atau oleh para sahabat? Malah para penghuni balai tersebut tidak pernah menamakan diri mereka sebagai orang-orang sufi. Hakikatnya, tiada kedapatan bukti yang menunjukkan penghuni balai tersebut digelar sufi oleh para sahabat. Tambahan pula, dalam penggunaan kaedah Bahasa Arab, dari kata suffa tidak boleh ditukar kepada sufi, malah kalimah sufi tidak boleh dinasabkan kepada suffah.
3 - Ketiga: Kalangan penganut sufi/tasawuf juga mengatakan bahawa kalimah sufi diambil dari perkataan saafi atau as-safa (الصفا) atau (الصَفْوُ) yang bererti murni, bersih atau jernih yang mana tujuan hidup kaum sufi adalah kebersihan lahir dan batin menuju mangfirah. Idea pengambilan atau penggunaan kalimah ini dirasakan sesuai oleh mereka kerana menurut orang-orang sufi, golongan mereka lebih mengutamakan kebersihan hati.
Jika dakwaan orang-orang sufi itu benar, apakah orang-orang sufi lupa bahawa para sahabat Nabi kesemua mereka mempunyai hati yang paling murni, bersih, jernih, hening dan mulia, tetapi Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam atau para sahabat itu sendiri tidak pernah menggunakan gelaran sufi pada diri mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa para sahabat merupakan para insan yang paling bersih hatinya, terlalu cinta kepada setiap unsur kebersihan, kesempurnaan dan keikhlasan yang sejati, tetapi gelaran sufi tidak pernah diberikan kepada mereka. Kalimah as-safa ini juga tidak boleh diubah, dinasab dan diidhafkan kepada istilah sufi, kerana tidak ada kaedah atau tata cara Bahasa Arab yang membolehkan penggunaan istilah dari perkataan saafi kepada sufi. Ini bermakna kata (kalimah) sufi bukan dari Bahasa Arab.
4 - Keempat: Ada juga kalangan orang-orang sufi yang mendakwa bahawa perkataan sufi bersumber dari kalimah saf (صف), bermaksud barisan pertama (terhadapan) di dalam sembahyang berjamaah. Mereka memaksudkan barisan (saf) sembahyang yang terhadapan kerana menurut penganut sufi bahawa orang-orang sufi sentiasa merebut saf paling hadapan apabila menunaikan sembahyang berjamaah.
Sebenarnya, perlaksanaan sembahyang bukanlah ciptaan atau peraturan yang boleh disusun, dicipta atau ditentukan oleh para penganut tarikat sufi/tasawuf. Sembahyang adalah contoh yang wajib diambil dari apa yang telah diajar, dicontohkan dan dikerjakan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam setelah mendapat suruhan dari Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Persoalannya, apakah para sahabat yang bersembahyang bersama Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam yang paling hadapan safnya (barisan hadapan) pernah digelar sufi atau golongan tasawuf oleh Nabi?
Ternyata gelaran sufi seperti ini hanyalah bid'ah dan rekaan orang-orang yang menganut tarikat kesufian itu sendiri sahaja, ianya tidak ada dalilnya dari syara (al-Quran dan as-Sunnah). Menurut kaedah nahu atau penggunaan Bahasa Arab, kalimah saf ini tetap tidak boleh bertukar dari kalimah saf kepada kalimah sufi atau tasawuf. Malah kalimah sufi tidak boleh dinasabkan saf.
5 - Kelima: Diambil dari kalimah Saufaanah (صَوْفَنَةٌ) iaitu sebangsa buah kecil berbulu-bulu, sedang kaum sufi kerana kesederhanaan mereka juga memakai pakaian yang berbulu-bulu seperti buah ini. Kalimah sufi ini juga tidak boleh dinasabkan kepada saufaanah menurut tata Bahasa Arab.
6 - Keenam: Kalimah sufi/tasawuf menurut sebahagian para penganut ajaran ini, diambil dari kalimah Greek (Yunan) sufia (صوفيا) bererti ilmu, hikmah atau kebijaksanaan. Perkataan lengkap dari kalimah "Sufia" adalah "Falsafah" atau "Filosofi" yang bermaksud: "Cintakan ilmu, hikmah dan kebijaksanaan".
Kalimah kelahiran asli Yunan inilah yang sebenarnya dijadikan dasar pengambilan untuk istilah sufi yang digunakan sekarang. Kerana kononnya orang-orang sufi/tasawuf selain suka meniru cara berpakaian ahli-ahli filosof Yunani yang suka memakai pakaian dari kain yang diperbuat dari bulu kambing (woolen), mereka juga meniru perwatakan, sikap dan cara para filosof Yunani mencintai ilmu dan hikmah (falsafah).
Dengan keterangan ini, jelaslah bahawa hanya kalimah "Sufia" yang merupakan perkataan asli Yunan ini sahaja yang boleh diidhafkan dan bertukar kepada kalimah "sufi". Dan pada kenyataan kalimah sufi dinasabkan kepada falsafah, filosof atau sufia. Amat jelas, kalimah sufia inilah yang menerbitkan kalimah sufi. Ini bermakna kalimah "sufi" bukanlah berasal dari Bahasa Arab, bukan dari Bahasa al-Quran atau as-Sunnah an-Nabawiyah tetapi kalimah yang asing dan yang diada-adakan dalam agama.
Kalaulah andaian bahawa huraian kalimah sufi diambil dari kalimah "sufia" ini benar (tetapi pada hakikatnya memang benar), amat jelas sekali asal-usul kalimah sufi/tasawuf ini telah diambil dari kalimah bukan Bahasa Arab dan bukan pula dari istilah al-Quran dan as-Sunnah, termasuklah di segi ideologinya, unsur-unsur, amalannya dan pakaiannya.
Dengan penjelasan ini, perlu disedari tarikat sufi/tasawuf adalah bid'ah dari semua aspek, sama ada di segi bahasa, teori, amalan, keyakinan (akidah) dan meliputi pada istilah serta pada nama yang mereka gunakan. Dengan ini dapat diertikan bahawa sufi/tasawuf adalah bid'ah lahir dan batin.
Sebaiknya para pengamal atau penganut tarikat sufi/tasawuf wajib meninggalkan tarikat atau ideologi jahiliyah ini, kemudian bertaubat dengan cara kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah Nabawiyah yang dipegang oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berjalan di atas manhaj Salaf as-Soleh. Mereka tidak perlu lagi tercari-cari cara, gelaran dan nama yang mereka fikirkan sesuai untuk mempertahankan ideologi falsafah warisan dari nenek moyang filosof Yunani ini, kerana ternyata sufi/tasawuf adalah ajaran bid'ah yang sesat serta terkeluar dari landasan akidah Islam atau Syariah Islamiyah yang sahihah.
Tidak syak lagi istilah yang terdapat dalam fahaman tarikat sufi/tasawuf ini, tidak lain hanyalah nama-nama yang dicipta dan diberikan oleh bapa-bapa (Syeikh-Syeikh) mereka yang dahulu kala. Cerita seperti ini telah dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala di dalam firmanNya:
اِنْ هِيَ اِلاَّ اَسْمَآءٌ سَمَّيْتُمُوْهَآ اَتْنُمْ وَآبْآؤُكُمْ مَّآ اَنْزَلَ اللهُ بِهَا مِنْ سُلْطَانٍ اِنْ يَتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَمَا تَهْوَى اْلاَنْفُسُ وَلَقَدْ جَآءَهُمْ مِّنْ رَّبَِهِمُ الْهُدَى.
"Itu tidaklah lain hanya nama-nama yang kamu dan bapa-bapamu rekakannya (mengada-adakan), Allah tidak menurunkan suatu keterangan padanya. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka, dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka, sedangkan telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhannya". (an-Najm 53: 23)
اَتُجَادِلُوْنَنِيْ فِى اَسْمَآءٍ سَمَّيْتُمْوْهَآ اَنْتُمْ وَآبَآؤُكُمْ مَّا نَزَّلَ اللهُ بَهَا مِنْ سُلْطَانٍ.
"Apakah kamu sekalian hendak berbantah dengan aku tentang nama-nama yang kamu dan nenek moyang kamu namakannya, pada hal Allah sekali-kali tidak menurunkan hujah untuk itu". (al-A’raff 7: 27)
Malah mereka bertaqlid kepada nenek moyang mereka sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh al-Quran:
وَاِذَا قِيْلَ لَهُمْ اتَّبِعُوْا مَآاَنْزَلَ اللهُ ، قَالُوْا بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَ نَآ اَوْلَوْكَانَ الشَّيْطَانُ يَدْعُوْهُمْ اِلَى عَذَابِ السَّعِيْرِ.
"Dan apabila dikatakan kepada mereka ikutilah apa yang diturunkan Allah. Mereka menjawab: (Tidak)! Tapi kami (hanya) mengikuti apa yang kami dapati bapak-bapak kami mengerjakannya. Dan apakah mereka (akan mengikuti bapak-bapak mereka) walaupun syaitan itu menyeru mereka ke dalam siksa api yang menyala-yala (neraka?)".
Begitulah hakikat fahaman, akidah atau kepercayaan para sufi/tasawuf terhadap apa yang telah disampaikan oleh bapak-bapak atau para syeikh sufi kepada mereka. Mereka tidak akan meninggalkan amalan tarikat sufi/tasawuf yang telah diamalkan oleh bapak-bapak dan para syeikh mereka.
No comments:
Post a Comment