Monday, September 19, 2011

MENGENALI SIAPAKAH SYI’AH dan Siapakah Ahl As-Sunnah

MENGENALI SIAPAKAH SYI’AH

Siapakah Ahl As-Sunnah

Istilah Ahl al-Sunnah (أهل السنة) adalah sesuatu yang sudah dikenali ramai sehingga tidak perlu diperincikan lagi.[1] Ia adalah singkatan daripada istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, iaitu kumpulan umat Islam yang berjamaah dalam mengikuti al-Qur’an dan al-Sunnah secara keseluruhannya dan mendahulukan kedua-dua sumber tersebut di atas akal mereka. Mereka bukanlah Ahl al-Bid‘ah, iaitu kumpulan orang yang mendahulukan akal di atas nas al-Qur’an dan al-Sunnah sehingga menciptakan pelbagai bid‘ah sama ada yang berbentuk iktikad mahupun amalan yang bertentangan dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

Atas tujuan singkatan perkataan, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan disebut sebagai Ahl al-Sunnah sahaja di dalam risalah ini.

Pengenalan ringkas kepada sejarah kelahiran Ahl al-Sunnah.

Ahl al-Sunnah ialah kumpulan umat Islam yang telah wujud sejak zaman wahyu masih diturunkan. Merekalah umat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kumpulan umat Islam ini mula dikenali dengan nama Ahl al-Sunnah setelah timbulnya beberapa aliran baru (bid‘ah) beberapa dekad selepas wafatnya Rasulullah seperti aliran Khawarij, Syi‘ah al-Rafidhah, Murji‘ah dan sebagainya.[2]

Aliran-aliran yang baru ini memiliki hujah daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah untuk membenarkan iktikad mereka. Akan tetapi:

1. Penghujahan mereka hanya berdasarkan sebahagian nas dan tidak seluruhnya.

2. Mereka mendahulukan akal di atas wahyu sehingga mengalih (takwil) maksud sebahagian nas kepada maksud yang selari dengan teori mereka.

3. Aliran mereka juga bercampur aduk antara 2 ciri di atas dengan fahaman lain seperti Yunani, Parsi dan sebagainya yang berasal dari luar Islam.

Majoriti umat Islam yang masih berada di atas jalan yang benar membezakan diri mereka daripada aliran-aliran di atas. Mereka memiliki iktikad:

1 - Berhujah dengan seluruh nas al-Qur’an dan al-Sunnah, tidak sebahagian-sebahagian.

2 - Mendahulukan wahyu di atas akal, menjadikan akal sentiasa selari dengan tuntutan wahyu.

3 - Mereka berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam semua urusan agama sama ada yang ghaib atau nyata, teori atau praktikal, iktikad atau amalan, tafsiran atau penerapan dan lain-lain lagi.

Pegangan yang teguh ini menyebabkan mereka menamakan diri mereka sebagai Ahl al-Sunnah. Penamaan ini juga bertujuan membezakan diri mereka daripada aliran-aliran baru yang menyelisihi 3 ciri di atas. Perlu ditambah bahawa di dalam bab tertentu wujud perbezaan pendapat di kalangan Ahl al-Sunnah. Namun perbezaan ini tidak melibatkan perkara-perkara iktikad yang membentuk asas agama tetapi melibatkan perkara-perkara yang lain yang dibolehkan berijtihad di dalamnya.

Ahl al-Sunnah tidak diasaskan oleh para imam yang empat seperti Abu Hanifah (150H), Malik bin Anas (179H), al-Syafi‘i (204H) dan Ahmad bin Hanbal (241H) rahimahullah ‘alaihim ajma‘in. Mereka semua berada di dalam Mazhab Ahl al-Sunnah dan bukan pengasasnya. Perbezaan di antara mereka hanyalah berkaitan dengan persoalan hukum fiqh dan bukannya iktikad.[3] Ibn Taimiyyah (728H) rahimahullah menegaskan:[4]

“Mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah adalah mazhab lama yang sudah pun dikenal sebelum Allah mencipta Abu Hanifah, Malik, al-Syafi‘i dan Ahmad. Ia sesungguhnya adalah mazhab para sahabat yang mereka ambil secara terus dari Nabi mereka. Dan sesiapa yang menyalahi daripada yang demikian dialah pembuat bid'ah di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.”

Demikian juga, Mazhab Ahl al-Sunnah tidak diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari (324H) rahimahullah. Beliau berada di dalam Mazhab Ahl al-Sunnah dan berusaha membelanya daripada beberapa aliran baru yang wujud pada zamannya. al-Baihaqi (456H) rahimahullah menerangkan hakikat ini:[5]

Syaikh kami, Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah tidaklah mencipta di dalam agama Allah ini sesuatu yang baru dan tidaklah dia mendatangkan padanya sesuatu bid‘ah. Sebaliknya beliau mengambil doktrin para sahabat dan para tabi‘in dan daripada (orang-orang) sesudah mereka daripada kalangan para imam dalam prinsip agama. Kemudian beliau mempertahankannya dengan memberi syarahan tambahan dan penjelasan. Dan (beliau membuktikan) bahawa apa yang diperkatakan tentang persoalan prinsip (agama) dan apa yang datang tentangnya dari pembuat syari‘at (Allah) adalah benar di sisi akal yang sahih, berbeza dengan apa yang didakwa oleh para pengikut hawa nafsu bahawa sebahagian daripada prinsip tersebut tidak selari dengan pandangan akal.

Maka penjelasan beliau merupakan penguat kepada apa yang (sebelum itu) tidak dibuktikan ke atasnya oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah[6] dan pertahanan kepada doktrin para imam sebelumnya seperti Abu Hanifah dan Suyfan al-Tsauri daripada kalangan ahli Kufah, al-Auza‘i dan selainnya daripada kalangan ahli Syam, Malik dan al-Syafi‘i daripada kalangan ahli Haramain dan sebagainya daripada kalangan Semenanjung Arab dan baki yang seterusnya daripada lain-lain negeri, dan seperti Ahmad bin Hanbal dan selainnya daripada kalangan Ahl al-Hadits.

Tokoh-tokoh terkemudian seperti Ibn Taimiyyah (728H), Ibn Qayyim (751H), Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab (1206H) dan sebagainya juga berada di dalam Mazhab Ahl al-Sunnah dan berusaha membela keasliannya daripada pelbagai aliran baru yang wujud pada zaman mereka. Mazhab Ahl al-Sunnah yang mereka bela kelihatan “aneh” bukan kerana ia sesuatu yang baru tetapi kerana sudah lama ditenggelamkan oleh aliran-aliran lain yang muncul di sepanjang zaman.

Pada masa kini diketahui terdapat beberapa aliran yang semuanya mendakwa diri mereka sebagai Mazhab Ahl al-Sunnah. Ada juga yang berpendapat Mazhab Ahl al-Sunnah itu dengan sendirinya terdiri daripada beberapa aliran seperti al-Asya‘irah, al-Matudiriyyah dan sebagainya. Pendapat-pendapat ini adalah tidak benar kerana:

1 - Kriteria penentu bagi Mazhab Ahl al-Sunnah adalah iktikad yang telah berdiri di atasnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, para sahabatnya, para tabi‘in sehinggalah ke para imam mazhab yang empat, radiallahu ‘anhum. Merekalah generasi al-Salaf (terawal), sebaik-baik umat untuk kita jadikan teladan dan ukuran.

2 - Oleh itu “acuan” bagi kriteria Ahl al-Sunnah adalah apa yang dibentuk oleh generasi al-Salaf. Justeru “acuannya” hanya satu. Apa-apa aliran yang muncul selepas generasi al-Salaf hendaklah diukur iktikad mereka berdasarkan “acuan” yang telah dibentuk oleh generasi al-Salaf.

3 - Jika dikatakan aliran Ahl al-Sunnah itu terdiri daripada beberapa aliran, ia menyalahi tujuan asal penamaan Ahl al-Sunnah itu sendiri. Ini kerana Ahl al-Sunnah adalah nama yang digunakan untuk membezakan antara umat Islam yang berada di atas keaslian agama Allah dan Rasul-Nya dengan aliran-aliran lain yang wujud terkemudian yang bercampur aduk dengan teori akal dan fahaman lain.

4 - Justeru tidak boleh memasukkan aliran-aliran yang lain ke dalam aliran Ahl al-Sunnah kerana ia dengan sendirinya membatalkan tujuan asal penamaan Ahl al-Sunnah.

Oleh itu sekali lagi ditegaskan, Ahl al-Sunnah ialah kumpulan umat Islam yang wujud sejak zaman wahyu masih diturunkan. Ia hanya mula dikenali dengan nama Ahl al-Sunnah setelah timbulnya pelbagai aliran baru (bid‘ah) beberapa dekad selepas wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertujuan membezakan golongan yang yang berada di atas di atas keaslian agama Allah dan Rasul-Nya dengan aliran-aliran lain yang wujud terkemudian yang bercampur aduk dengan teori akal dan fahaman lain.

Bibliografi:

[1] Untuk perbahasan terperinci tentang istitah ini, rujuk kertas kerja Johari Mat: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah: Satu Pengenalan di dalam buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Ahli Sunnah wal Jamaah Golongan Tauladan (Jahabersa, Johor Bahru 2004).

[2] Lebih lanjut lihat kertas kerja Abdullah Yasin: Manhaj Akidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah di dalam buku Koleksi Kertas Kerja Seminar Ahli Sunnah wal Jamaah Golongan Tauladan.

[3] Lebih lanjut lihat buku penulis: Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam (Edisi Baru) (Jahabersa, Johor Bahru 2004).

[4] Minhaj al-Sunnah al-Nubuwwah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa al-Qadariyyah, jld. 2, ms. 601. Kitab ini tidak memiliki pembahagian bab yang berjudul. Rujukan mukasurat di atas ialah bagi edisi 9 jilid yang ditahqiq oleh M. Rasyad Salim. Bagi edisi lama tanpa tahqiq yang dicetak bersama Muawaqat Sorih al-Ma‘aqul li Shahih al-Manqul, lihat jld. 1, ms. 256. Rujukan kepada edisi tanpa tahqiq ini seterusnya akan dikemukakan dalam bentuk kurungan.

[5] Dikeluarkan oleh Ibn ‘Asakir (571H) di dalam Tabyin Kazb al-Muftari fi Ma Nusiba ila Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari, ms. 103 daripada edisi yang ditahqiq oleh Zahid al-Kauthari.

[6]Ini kerana pelbagai bid’ah yang timbul pada zaman Abu al-Hasan al-Asya‘ari belum wujud pada zaman sahabat dan tabi‘in sehingga memerlukan kepada metode perbahasan dan penyanggahan yang baru untuk membenarkan apa yang selama ini benar sejak awal di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Siapakah Syiah al-Rafidhah

Perkataan Syi‘ah dari sudut bahasa.

Dari sudut bahasa, Syi‘ah (شيعة) disebut sebagai Syi‘ah seseorang (شيعةالرجل), bererti pengikutnya (أتباعه), pendokongnya (أنصاره) dan puaknya sahaja (الفرقة على حدة). Ia diungkap untuk seorang atau dua orang atau ramai, lelaki dan wanita.[1]

Penggunaan istilah ini di dalam al-Qur’an antara lain boleh dirujuk dalam ayat 15 surah al-Qasas:

Dan masuklah ia (Musa) ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki sedang berkelahi, - seorang dari golongannya sendiri (Syi‘ah) dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya (Syi‘ah) meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (pada saat itu) Musa berkata: "Ini adalah dari kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya).” [al-Qasas 28:15]

Maksud Syi‘ah dari sudut istilah

Gelaran Syi‘ah lazimnya ditujukan kepada setiap orang yang setia (wala’) kepada ‘Ali bin Abi Thalib dan Ahl al-Baitnya radhiallahu ‘anhum, sehingga ia menjadi nama gelaran yang khusus bagi mereka.[2]

Pembahagian Syi‘ah kepada 3 golongan:

Mazhab Syi‘ah boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan berdasarkan beberapa kategori seperti akidah, politik, fiqh dan sebagainya.[3] Yang penting dalam perbahasan risalah ini ialah pendirian atau mazhab Syi‘ah apabila berinteraksi dengan kedudukan para sahabat dan persoalan khalifah (الإمامة), di mana ia dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan:

Pertama: al-Tasyaiyu’ (التشيع).

Kumpulan ini adalah mereka yang bersimpati lalu menyebelahi pasukan ‘Ali bin Abi Thalib dalam peristiwa peperangan antara pasukan ‘Ali dan Mu‘awiyyah, radhiallahu ‘anhuma. Mereka juga mengambil berat, merasa sedih dan simpati ke atas nasib yang menimpa ‘Ali dan keluarganya: Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum sebagaimana yang tercatit di dalam sejarah Islam.

Kedua: al-Mufadhdhilah (المفضلة)

Kumpulan ini adalah mereka yang berpendapat bahawa ‘Ali bin Abi Thalib dan keluarganya adalah lebih mulia, lebih utama dan lebih tinggi kedudukannya berbanding lain-lain sahabat.

Walaubagaimanapun kedua-dua kumpulan yang pertama ini mengiktiraf jawatan khalifah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta tidak mencela para sahabat yang lainnya. Pilihan mereka kepada apa yang mereka cenderungi tidak menyebabkan mereka berlaku tidak adil dan berlebih-lebihan (ghuluw) terhadap apa yang tidak mereka cenderungi.

Ketiga: al-Rafidhah (الرافضة)

al-Rafidhah bermaksud kumpulan yang menolak. Syi‘ah al-Rafidhah adalah mereka yang menolak kekhalifahan dan keutamaan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman. Mereka juga menolak para imam daripada keturunan Ahl al-Bait Rasulullah kerana mereka (para imam daripada keturunan Ahl al-Bait) juga mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman serta mengutamakan mereka bertiga di atas ‘Ali bin Abi Thalib.[4]

Bertitik tolak daripada penolakan di atas maka terbentuk 4 asas berikut yang menjadi iktikad Syi‘ah al-Rafidhah:

1 - Bahawa khalifah pertama yang hak selepas kewafatan Rasulullah ialah ‘Ali diikuti dengan Husain dan keturunannya.

2 - Bahawa para sahabat sehinggalah ke umat Islam masa kini dari kalangan Ahl al-Sunnah telah membelakangi nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang menetapkan jawatan khalifah mereka (‘Ali, Husain dan keturunannya).

3 - Bahawa kerana sikap Ahl al-Sunnah yang membelakangi al-Qur’an dan al-Sunnah sepertimana poin 2 di atas, maka mereka, sejak dari Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan para sahabat seluruhnya sehingga ke umat Islam hari ini berada di dalam kesesatan.

4 - Bahawa mazhab yang benar di dalam Islam ialah Mazhab Syi‘ah manakala Mazhab Ahl al-Sunnah adalah mazhab yang salah.

Risalah saya ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada membahas dan menjawab nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah serta kisah sejarah yang digunakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah untuk membentuk 4 asas di atas. Atas tujuan singkatan perkataan, Syi‘ah al-Rafidhah akan disebut sebagai “Syi‘ah” sahaja di dalam buku ini.

Pengenalan ringkas kepada sejarah kelahiran Syi‘ah.

Faktor yang masyhur disebut sebagai sebab kelahiran Syi‘ah ialah peranan ‘Abd Allah bin Saba’, seorang Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam tetapi sebenarnya memiliki tujuan ingin menghancurkan Islam dari dalam.[5]

Akan tetapi pada penelitian penulis, wujud faktor kedua atau sebuah lagi tenaga penggerak yang melahirkan Syi‘ah. Hal ini wajar kerana faktor yang memecahkan Islam kepada dua aliran besar: Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah perlu terdiri daripada sesuatu yang jauh lebih besar, lebih kuat, lebih berazam, lebih berpengaruh dan lebih efektif daripada ‘Abd Allah bin Saba’ seorang sahaja.

Malah keselesaan kita (Ahl al-Sunnah) memfokuskan faktor kelahiran Syi‘ah kepada peranan ‘Abd Allah bin Saba’ sahaja menyebabkan kita leka daripada faktor kedua yang masih memainkan peranan aktif mengembangluaskan Mazhab Syi‘ah sehingga ke hari ini. Lebih berat, kelekaan ini menyebabkan usaha memantau gerakan Syi‘ah menjadi tidak berkesan kerana sasaran yang dipantau (peranan Ibn Saba’) bukan lagi merupakan tenaga penggerak kepada dakwah Syi‘ah di hari ini.

Faktor kedua yang penulis maksudkan ialah peranan Bangsa Parsi. Peranan mereka dapat diringkaskan kepada peringkat-peringkat berikut ini:

- Sejak sejarah mula ditulis, telah wujud persaingan antara Bangsa Parsi dan Bangsa Arab dari sudut kebudayaan, tamadun, kepercayaan agama dan sebagainya. Persaingan ini sering kali bertukar menjadi peperangan dengan kemenangan selalunya berada di pihak Parsi.[6]

- Zaman kegemilangan Parsi berakhir apabila pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anh, negara Parsi telah diambil alih oleh pemerintahan Islam. Empayar Sasanid dan sistem Istana yang menjadi kaedah beragama turun temurun bangsa Parsi diruntuhkan.

- Ini merupakan satu tragedi yang amat buruk bagi bangsa Parsi. Sebahagian mereka ada yang memeluk Islam dengan ikhlas. Namun sebahagian lagi, khasnya mereka yang memiliki semangat kebangsaan yang amat kuat serta kesetiaan yang tinggi kepada dinasti kesultanan, pura-pura memeluk Islam dengan objektif ingin membalas dendam dari jalan dalam.[7]

- Kejayaan mereka yang pertama ialah menggerakkan operasi membunuh Umar bin al-Khaththab. Seterusnya mereka dengan kerja sama ‘Abd Allah bin Saba’ menggerakkan operasi menabur benih-benih kedengkian yang akhirnya berjaya menghasilkan pembunuhan ‘Utsman bin ‘Affan.

- Setelah terbunuhnya ‘Utsman, ‘Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah umat Islam. Ketika itu para sahabat berbeza pendapat untuk menghukum para pembunuh ‘Utsman. ‘Ali bin Abi Thalib mewakili kelompok pertama yang berpendapat yang utama ialah menyatukan semula umat Islam dan meredakan kekecohan yang wujud pada saat itu, kemudian barulah dijatuhkan hukuman kepada para pembunuh ‘Utsman. Kelompok kedua pula berpendapat yang utama ialah menjatuhkan hukuman kerana hanya ini akan dapat menyatukan semula umat Islam dan meredakan kekecohan.

- Perbezaan pendapat ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh bangsa Parsi dengan mencetuskan fitnah bahawa kelompok pertama dan kedua sedang bersiap sedia untuk saling memerangi antara satu sama lain. Akhirnya berlakulah Perang Jamal dan Perang Siffin di kalangan para sahabat.[8]

- Setelah berpuas hati dengan peristiwa Perang Jamal dan Perang Siffin, mereka beralih mengangkat ‘Ali bin Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah yang diiktiraf. Sebabnya, Husain bin ‘Ali telah berkahwin dengan Syahr Banu, puteri Raja Yazdajird bin Syah Rayar bin Kisra daripada Empayar Sasanid Parsi. Puteri Syahr Banu telah melahirkan ‘Ali bin Husain maka dengan itu mereka mengangkat beliau sebagai khalifah yang baru kerana memiliki darah kesultanan Parsi.[9]

- Kepimpinan yang baru ini mereka gelar “Imam” agar lebih sesuai dengan imej Islam. Akan tetapi diterapkan beberapa ciri yang tidak berasal daripada Islam seperti penetapan waris tahta (konsep dinasti), suci (sifat maksum – terpelihara dari dosa dan kesilapan) dan memiliki kekuasaan dalam penentuan syari‘at agama (dijadikan sumber syari‘at). Mengikut sebahagian pengkaji, 3 ciri ini adalah sesuatu yang berasal daripada tradisi Empayar Sasanid.[10]

- Demi membenarkan kedudukan “Imam” mereka yang baru ini, mereka mencipta teori bahawa al-Qur’an dan al-Sunnah telah menetap dan mewasiatkan jawatan khalifah kepada ‘Ali dan keturunannya, menetapkan kesucian mereka dan mengangkat mereka sebagai penentu syari‘at agama.

- Akan tetapi penetapan dan pewasiatan ini mereka hadkan hanya kepada keturunan ‘Ali bin Husain bin ‘Ali yang dilahirkan oleh Puteri Syahr Banu. ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain dimasukkan sama semata-mata untuk melengkapkan teori ini.[11] Keturunan-keturunan lain daripada para isteri Hasan dan Husain tidak mereka masukkan dalam “penetapan dan pewasiatan” ini kerana mereka tidak memiliki darah Parsi.[12]

- Untuk mengunggulkan teori ini, mereka menghukum dan mencela sesiapa yang tidak mengiktiraf kekhalifahan ‘Ali dan keturunannya.

- Berkat hidayah dan ilmu yang Allah kurniakan kepada ‘Ali bin Husain bin ‘Ali dan keturunannya, mereka semua menolak pengangkatan diri mereka sebagai “Imam”. Mereka beriktikad bahawa sistem khalifah bercirikan pewarisan, maksum dan penentu syari‘at agama tidak pernah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, bahawa Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman adalah 3 khalifah pertama umat Islam yang sah. Mereka bertiga memiliki keutamaan dan kemuliaan yang melebihi semua orang manakala mereka (‘Ali bin Husain dan keturunannya) hanyalah manusia biasa.[13]

- Mereka (bangsa Parsi) menolak iktikad ‘Ali bin Husain dan keturunannya. Akan tetapi demi menjaga kebenaran teori “penetapan dan pewasiatan” dan menjaga maruah bangsa, mereka meneruskan konsep “Imam” dengan mencipta pelbagai dusta ke atas ‘Ali bin Husain dan keturunannya dan menyembunyikan iktikad mereka yang sebenar.

- Keturunan ‘Ali bin Husain terhenti pada al-Hasan bin ‘Ali bin Muhammad bin Ja’far al-Askari (260H) rahimahullah kerana beliau tidak memiliki anak.[14] Untuk menyelesaikan masalah ini mereka mencipta teori baru, iaitu teori Imam pengganti yang ghaib. Imam pengganti ini mereka namakan Imam Mahdi, meminjam daripada iktikad Ahl al-Sunnah tentang kedatangan Imam Mahdi pada akhir zaman nanti sebagaimana yang dikhabarkan oleh hadis-hadis yang mutawatir sifatnya. Sejak tahun 260H sehingga ke hari ini, mereka meneruskan teori baru ini sebagai kesinambungan daripada teori pertama yang mereka dirikan sejak awal lagi.[15]

- Sehingga hari ini teori-teori di atas masih diperjuangkan oleh bangsa Parsi, pertama sebagai mempertahankan maruah bangsa dan kedua untuk menjauhkan umat Islam daripada agama mereka yang tulen sebagai balasan kepada tindakan umat Islam yang telah memusnahkan “Dinasti” mereka 1400 tahun yang lalu. Oleh itu bukanlah merupakan satu keasingan bahawa satu-satunya negara yang memainkan peranan aktif dalam mengembangkan dakwah Syi‘ah sehingga hari ini ialah negara asal bangsa Parsi, iaitu Iran.

- Aliran Syi‘ah di Iran dikenali sebagai al-Itsna ‘Asyariyyah, bermaksud “12 Imamah”, namun ciri-ciri aliran 12 Imamah ini tidak jauh daripada ciri-ciri Syi‘ah al-Rafidhah.[16] Negara Iran merupakan pusat sumber ilmu ajaran Syi‘ah, kebanyakan tokoh besar Syi‘ah semuanya berasal dari Iran manakala misi-misi dakwah dijalankan oleh wakil-wakil Iran seperti pihak kedutaan,[17] pertubuhan bebas, syarikat perindustrian yang datang melabur sehinggalah kepada para pensyarah yang mengajar di pusat pengajian tinggi negara-negara Ahl al-Sunnah.

Antara misi dakwah mereka ialah:

1 - Melantik dan melatih juru dakwah yang terdiri daripada bangsa negara itu sendiri.

2 - Menterjemah dan meluaskan penerbitan buku-buku pro-Syi‘ah yang asalnya dalam bahasa Parsi.

3 - Menjalankan projek kebajikan ke atas orang-orang miskin untuk “membeli” keyakinan mereka. Ini umpama strategi dakwah da‘i Kristian.

4 - Mendirikan laman-laman web dalam bahasa ibunda negara tersebut bagi meluaskan jangkauan dakwah tanpa pantauan daripada pihak berwajib.

Demikian ringkasan sejarah kelahiran Syi‘ah sehingga ke hari ini.[18] Sekalipun Mazhab Syi‘ah dalam bentuknya yang umum, yakni dengan pelbagai alirannya, tersebar di beberapa negara, akan tetapi satu-satunya negara yang memainkan peranan aktif menyebar luaskan secara khusus Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah ialah Iran. Ini jelas menunjukkan bahawa ia, Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah, adalah sesuatu yang berkaitan dengan bangsa Parsi.[19] Ini berbeza dengan Mazhab Ahl al-Sunnah yang disebar luaskan oleh semua negara Islam, menunjukkan ia bukan sesuatu yang terikat kerana bangsa. Hakikat ini perlu diperhatikan oleh semua pihak agar mereka dapat menyusun semula strategi memantau gerakan Syi‘ah di negara masing-masing.

Bibliografi:

[1]al-Fairuzabadi (817H) – al-Qamus al-Muhith, ms. 735 (Bab al-‘Ain, Fasal al-Syin).

[2]al-Fairuzabadi – al-Qamus al-Muhith, ms. 735.

[3]Atas hakikat ini penulis tidak setuju dengan tindakan beberapa pihak yang mengeneralisasikan Syi‘ah kepada satu kumpulan sahaja dan sekali gus menghukum seluruhnya sebagai tidak benar, sesat dan sebagainya. Yang benar Syi‘ah terbahagi kepada pelbagai kumpulan dan kategori. Kita perlu menelitinya satu persatu dan menghukumnya secara berasingan (case by case basis).

[4]Lebih lanjut tentang hakikat ini, sila rujuk:

1. Muhammad bin ‘Ali al-Syaukani (1252H) – Irsyad al-Ghabi ila Mazhab Ahl al-Bait fi Shabi al-Nabi (edisi terj. oleh A.M. Basalamah atas judul Sikap Ahlul Bait Terhadap Para Sahabat Nabi; Lembaga Penelitian & Pengkajian Islam (LPPI), Jakarta tp.thn.).
2. Ihsan Ilahi Dhahir – al-Syi‘ah wa Ahl al-Bait (edisi terj. oleh Mustafa Mahdamy atas judul Tikaman Syi‘ah Terhadap Para Sahabat Nabi; Pustaka Mantiq, Solo 1986).
3. Mamduh Farhan al-Buhairi – al-Syi‘ah Minhum ‘Alaihim, ms. 12 dan seterusnya.

[5]Syi‘ah berusaha keras untuk menafikan kewujudan ‘Abd Allah bin Saba’ mahupun peranannya. Akan tetapi seperti biasa, usaha mereka tidak terlepas daripada pendustaan dan penyelewengan ilmiah. Sebagai contoh, mereka cuba melemahkan sebahagian jalan periwayatan (sanad) tentang Ibn Saba’, namun pada waktu yang sama mendiamkan jalan-jalan periwayatan yang lain.

Malah mereka juga mendakwa bahawa kononnya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) menolak riwayat-riwayat berkenaan Ibn Saba’ sebagai “tidak bernilai.” M. Hashem di dalam bukunya ‘Abd Allah bin Saba’ Dalam Polemik (Penerbitan YAPI, Jakarta 1989), ms. 24 telah menukil kata-kata Ibn Hajar yang beliau terjemahkan sebagai:

Berita-berita tentang ‘Abdullah bin Saba’ dalam sejarah sangat terkenal tetapi tidak (satupun) bernilai riwayat. Dan segala puji bagi Allah…

Akan tetapi apabila dirujuk di dalam kitab Ibn Hajar - Lisan al-Mizan, jld. 4, ms. 24, biografi no: 4618 (‘Abd Allah bin Saba’), Ibn Hajar berkata:

وأخبار عبد الله بن سبأ شهيرة في التواريخ, وليست له رواية ولله الحمد...

Kata-kata Ibn Hajar yang ringkas ini sebenarnya memiliki 2 pecahan:

1. وأخبار عبد الله بن سبأ شهيرة في التواريخ bermaksud: “Khabar-khabar ‘Abd Allah bin Saba’ masyhur di dalam kitab-kitab sejarah.” Ini bererti Ibn Hajar mengiktiraf dan membenarkan kewujudan dan peranan Ibn Saba’ sebagaimana yang tercatit di dalam kitab-kitab sejarah.
2. وليست له رواية ولله الحمد bererti: “Namun bagi dia tidak satu pun riwayat, dan bagi Allah segala puji-pujian.” Maksud Ibn Hajar, Ibn Saba’ tidak meriwayatkan apa-apa hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sama ada dengan sanad yang sahih atau dha‘if atau maudhu’. Ringkasnya Ibn Saba’ bukan seorang perawi hadis. Ibn Hajar mengakhiri dengan memuji Allah sebagai tanda kesyukuran. Ini kerana jika Ibn Saba’ seorang perawi hadis, pasti akan wujud banyak hadis lemah dan palsu yang diriwayatkan olehnya sehingga mencemari ketulenan sumber al-Sunnah bagi umat Islam.

Kata-kata Ibn Hajar ini tidak sedikitpun bererti: “…tetapi tidak (satupun) bernilai riwayat…” sebagaimana yang diterjemahkan oleh M. Hashem. Inilah yang penulis maksudkan sebagai pendustaan dan penyelewengan ilmiah.

[6] Lebih lanjut rujuk: Syi‘ah, Imam Mahdi dan Duruz: Sejarah dan Fakta oleh ‘Abd al-Mun‘im al-Nimr (edisi terjemahan oleh ‘Ali Mustafa Ya’qub; Qisthi Press, Jakarta 2003), ms. 26 dan seterusnya.

[7]Syi‘ah, Imam Mahdi dan Duruz: Sejarah dan Fakta, ms. 31 dan seterusnya.

[8] Kisah-kisah sejarah dalam peristiwa-peristiwa di atas banyak yang tidak benar sekalipun yang tertulis dalam rujukan formal seperti silibus sejarah persekolahan dan buku-buku di pasaran. Kisah di atas sebenarnya patut diterima berdasarkan manhaj Ahl al-Hadis (metode kajian sanad) dan bukannya manhaj Ahl al-Tarikh (metode meriwayatkan semua cerita). Oleh itu disyorkan beberapa rujukan berikut sebagai sumber sahih dalam menilai peristiwa-peristiwa di atas:

1. Abu Bakar Ibn al-‘Arabi (543H) – al-‘Awasim min al-Qawasim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafat al-Nabi dengan tahqiq Muhib al-Din al-Khatib (1389H) (Dar al-Jail, Beirut 1994). Telahpun diterjemahkan dengan lengkap oleh Abu Mazaya & ‘Ali Mahfuz atas judul Benteng-Benteng Penahan Kehancuran: Satu Upaya dalam Membela Para Sahabat Nabi s.a.w. (Darul Iman, Sri Gombak 2002).
2. Muhammad bin Yahya al-Andalusi (741H) – al-Tamhid wa al-Bayan fi Maqatil al-Syahid ‘Utsman bin ‘Affan dengan tahqiq Karam Hilmi Farhat Ahmad (كرم حلمى فرحات أحمد) (Dar al-‘Arabiyyah, Kaherah 2002).
3. Muhammad Amahzun (محمد أمحزون) – Tahqiq Mawaqif al-Shahabah fi al-Fitnah min Riwayat al-Imam al-Tabari wa al-Muhadditsin (Dar al-Thayyibah, Riyadh 1999). Telah diterjemahkan secara ringkas oleh Rosihon Anwar atas judul Meluruskan Sejarah Islam – Studi Kritis Peristiwa Tahkim (Pustaka Setia, Bandung 1999).
4. Muhammad Asri Zainul Abidin - Pertelingkahan Para Sahabat Nabi (s.a.w): Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah (Edisi Kedua) (Pustaka Yamien, Gombak 2003).
5. Ibrahim ‘Ali Sya’wat – Kesalahan-Kesalahan Terhadap Fakta-Fakta Sejarah yang Perlu Diperbetulkan Semula (edisi terjemahan oleh Basri bin Ibrahim; Jahabersa, Johor Bahru 2003).

[9]Mamduh Farhan al-Buhairi – al-Syi‘ah Minhum ‘Alaihim, ms. 124. Perkahwinan ini diakui oleh sumber Syi‘ah sendiri, antaranya rujuk buku 14 Manusia Suci oleh Dewan Ulama Organisasi Dakwah Islam, Tehran (edisi terjemahan oleh Yudi Nur Rahman; Pustaka Hidayah, Bandung 2000), ms. 117.

[10] Sila rujuk:

1. Muhammad al-Bandadi – al-Tasyaiyu’ baina Mafhum al-Aimmah wa al-Mafhum al-Farisi (Dar ‘Ammar, Amman 1988).
2. Muhammad Amahzun – Tahqiq Mawaqif al-Shahabah fi al-Fitan, jld. 2, ms. 267. Bagi edisi terjemahan, lihat ms. 81-82.
3. Muhammad Abu Zahrah – Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah (Dar al-Fikir al-‘Arabi, Kaherah tp. thn.), ms. 35. Bahagian pertama buku ini telah diterjemahkan oleh Abd Rahman Dahlan & Ahmad Qarib atas judul Aliran Politik dan ‘Akidah dalam Islam (Logos, Jakarta 1996), lihat ms. 38-39.
4. Ehsan Yarshater (editor) – The Cambridge History of Iran (Cambridge Univ. Press 1983), jld 3: The Seleucid, Parthian and Sasanid Periods.

[11] Memasukkan nama ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain hanya atas tujuan melengkapkan teori mereka. Jika dikaji dalam riwayat-riwayat yang sahih, mereka berempat, radhiallahu ‘anhum, tidak pernah menuntut hak khalifah, tidak pernah mendakwa diri mereka sebagai yang telah diwasiatkan untuk menjawat kedudukan khalifah dan tidak pernah mencela lain-lain sahabat kerana tidak membai‘ah mereka. Malah mereka berempat sentiasa bergandingan bahu dengan lain-lain sahabat demi kebaikan Islam dan umatnya.

[12] Untuk mengetahui salasilah anak-anak ‘Ali bin Abi Thalib, Hasan dan Husain, lihat buku Ibnu Umar yang berjudul Hukum Ulamak Islam Terhadap Shiah: Dahulu dan Sekarang (Virtue Publications, Kuala Lumpur 1987), ms. 13.

Ringkasnya kita semua mengetahui bahawa terdapat ramai umat Islam masa kini yang memiliki salasilah keturunan yang berpangkal kepada Hasan dan Husain. Akan tetapi hanya satu daripada salasilah ini yang diambil oleh Syi‘ah untuk dinobatkan sebagai “Imam”, iaitu salasilah yang memiliki darah kesultanan Parsi sahaja.

[13]Rujukannya telah disebut dalam notakaki nombor 15.

[14]Walaubagaimanapun sebahagian tokoh Syi‘ah berpendapat beliau memiliki anak yang dilahirkan pada 256H dan dia masih hidup di kalangan manusia sehingga hari ini, hanya menunggu masa untuk menonjol keluar sebagai Imam Mahdi. Lihat buku Ibrahim Amini – al-Imam al-Mahdi: The Just Leader of Humanity (Ansariyan Publication, Tehran 1997).

Yang benar di atas hanyalah satu teori daripada pelbagai teori demi membela kebenaran teori sebelumnya. Sumber-sumber rujukan Syi‘ah menerangkan bahawa mereka sendiri, selepas kewafatan al-Hasan bin ‘Ali, telah berpecah antara 14 hingga 20 kumpulan. Lihat kajian Moojan Momen dalam bukunya – An Introduction to Shi‘i Islam (Yale Univ. Press, 1985), ms. 59.

[15] Lebih lanjut tentang teori “Imam” yang ghaib ini di sisi Syi‘ah, lihat buku Mamduh Farhan – al-Syi‘ah Minhum ‘Alaihim, ms. 128 dan seterusnya.

Bagi kajian ilmiah terhadap konsep Imam Mahdi antara Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah, lihat buku ‘Adab Mahmud al-Hamsy – al-Mahdi al-Muntazhor fi Riwayat Ahl al-Sunnah wa al-Syi‘ah al-Imamah: Dirasat Haditsiyyah Naqdiyyah (Dar al-Fath, Amman 2001).

Kisah Imam Mahdi ini sendiri kini menjadi satu cerita yang masyhur di kalangan para ustaz dan da‘i. Banyak hadis-hadis yang tertolak disampaikan bagi memberangsang dan menaikkan semangat para pembaca dan pendengar mereka. ‘Abd al-‘Alim ‘Abd al-‘Azhim al-Bastawi telah menulis dua buku yang khas dalam subjek ini:

1. al-Mahdi al-Muntazhor fi Dhaw’a al-Ahadits wa al-Atsar al-Shahihah (Dar Ibn Hazm, Beirut 1999).
2. al-Mausu‘ah fi Ahadits al-Mahdi al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah (Dar Ibn Hazm, Beirut 1999).

[16]Bahkan mengikut kajian Muhammad Asri Yusuf, Syi‘ah 12 Imamah dan al-Rafidhah adalah sama. Lihat buku beliau Syi‘ah Rafidhah: Di Antara Kecuaian ‘Ulama’ dan Kebingungan Ummah (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian 1992). Namun perlu dibezakan, Syi‘ah 12 Imamah ialah nama yang berkaitan dengan manhaj politik manakala Syi‘ah al-Rafidhah ialah nama yang berkaitan dengan manhaj terhadap para sahabat radhiallahu ‘anhum.

[17]Peranan Kedutaan Iran di negara-negara Ahl al-Sunnah dalam mendokong dan menyebarkan ajaran Syi‘ah secara aktif bukanlah sesuatu yang baru. Yang terdekat adalah di negara jiran kita, Indonesia. Ini sebagaimana jelas Hartono Ahmad Jaiz dalam bukunya Aliran dan Paham Sesat di Indonesia (Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2002), ms. 92 dan seterusnya.

[18]Syi‘ah pula memiliki teori yang berbeza. Mereka mendakwa Mazhab Syi‘ah telah wujud sejak zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Untuk membenarkan teori ini mereka telah mengemukakan sejumlah dalil daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan sejarah. Dalil-dalil ini tidak ada yang menepati dakwaan mereka. Ini kerana pada hakikatnya Mazhab Syi‘ah muncul beberapa dekad selepas dalil-dalil tersebut dan mereka hanya menarik serta memaksa kefahaman daripada dalil tersebut ke arah membenarkan teori mereka. Pendek kata Mazhab Syi‘ah wujud terlebih dahulu kemudian barulah dalil-dalilnya. Ini berbeza dengan Mazhab Ahl al-Sunnah, dalil-dalil wujud terlebih dahulu kemudian barulah “nama” Mazhab Ahl al-Sunnah. Dalil-dalil yang dikemukakan oleh Syi‘ah akan kita bahas dan jawab dalam siri seterusnya insya-Allah.

[19]Sekali lagi penulis tegaskan bahawa tidak semua bangsa Parsi bermazhab Syi‘ah al-Rafidhah. Sebahagian mereka ada yang mengkaji secara mendalam sehingga akhirnya berpegang teguh kepada Mazhab Ahl al-Sunnah. Oleh itu sekalipun penulis sebut secara umum “Bangsa Parsi” dalam penerangan di atas, ia sebenarnya hanya terbatas kepada mereka yang berpegang teguh kepada Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah.


http://bahaya-syirik.blogspot.com/2007/10/039-siapakah-ahl-as-sunnah-siapa-syiah.html

No comments:

Post a Comment