Monday, September 19, 2011

Mengapa Tarikat Kesufian Bertentangan Dengan Syara’?

Mengapa Tarikat Kesufian Bertentangan Dengan Syara’?

Konsep sufisma dan segala indoktrinisasinya ternyata bercampur-baur atau dipenuhi dengan berbagai-bagai unsur bid'ah, khurafat, tahaiyul dan syirik. Ajaran dan amalan sufi/tasawuf terkeluar dari millah-Islamiyah yang suci. Islam amat bersih dari segala karut-marut, khurafat dan bid'ah yang menyesatkan. Segala amalan yang membebankan seperti berlapar semasa mengasingkan diri (uzlah atau bertapa) yang bertujuan menyiksa jasmani di samping membaca beribu-ribu wirid yang diijazahkan oleh syeikh sufi/tasawuf adalah amalan bid'ah yang diharamkan oleh syara.

Kepercayaan mistik di dalam aliran tarikat sufi/tasawuf yang tidak dapat diselami oleh pemikiran manusia adalah membebankan dan amat bertentangan dengan hakikat syariat Islamiyah yang sebenar. Islam itu mudah dan memudahkan, Islam mengharamkan setiap bentuk penyiksaan rohani atau jasmani yang sengaja dicari-cari. Islam mengharamkan semuanya itu kerana Islam adalah agama rahmah untuk semua makhluk. Amal ibadah di dalam Islam tidaklah seberat dan sesukar yang diajarkan atau digambarkan oleh ajaran sufisma. Kenyataan ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran dan juga hadith-hadith sahih dari Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:


لاَيُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا اِلاَّ وُسْعَهَا.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (al-Baqarah, 2:286)


يُرِيْدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

"Dia menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mahu menyusahkan kamu". (al-Baqarah, 2:185)


وَمَنْ يَتَّقِ اللهَ يَجْعَلْ لَّهُ مِنْ اَمْرِهِ يُسْرًا

"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, akan dijadikan segala urusannya menjadi mudah". (at-Thalaq, 65:4)


وَنُيَسِّرُكَ لِلْيُسْرَى

"Dan Kami akan memudahkan bagi kamu jalan taufik yang (membawa kepada) kemudahan". (al-A’la 87:8)


وَلَقَدْ يَسَّرْنَا القُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِنْ مُدَّكِرٍ.

"Dan kami permudahkan al-Quran untuk menjadi pengajaran, apakah ada orang yang mengambil pengajaran (daripadanya)" (al-Qamar, 54:17)

Cara penghayatan Islam itu mudah dan ajarannya amat praktikal. Islam sentiasa membangun dan bersifat sederhana. Malangnya semua itu telah dicemari oleh pengaruh ajaran kesufian yang kontradiksi sejak kemunculannya dalam masyarakat Islam. Sufi/tasawuf dianggap bid'ah dan sesat kerana ajarannya bercampur-baur dengan pemikiran mistik yang bersifat teosofi kacukan Yunan (Majusi). Golongan sufi/tasawuf juga menggunakan kaedah penafsiran nas-nas al-Quran dan al-Hadith secara tahrif, takyif, tasybeh dan ta'til. Selain itu mereka menambah penafsiran nas-nas al-Quran kepada penafsiran batiniah yang menyeleweng dari maksud sebenar sebagaimana yang ditafsirkan oleh ulama Salaf as-Soleh. Mereka juga sering menambah asas-asas agama Islam dengan unsur-unsur bid'ah, tahaiyul, khurafat dan syirik.

Golongan sufi/tasawuf telah membawa ramai penganutnya ke alam fantasi, khayalan dan syatahat yang bertentangan dengan syara. Teori ajaran kesufian ini seolah-olah menginginkan agar agama Islam menjadi suatu metos yang seakan-akan serupa dengan hikayat seribu satu malam yang dipenuhi dengan lamunan yang tidak jejak di alam nyata. Mereka melakukan pemujaan secara ghulu terhadap syeikh-syeikh yang disangka mempunyai keramat dan dianggap wali, sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati. Mengkeramatkan kubur para syeikh mereka yang dianggap wali serta mencipta cerita-cerita keluar-biasaan para wali sufi sehingga semuanya itu hampir serupa dengan keajaiban dalam cerita dongeng dewa-dewa Buddha/Hindu yang tidak ada kena-mengena dengan agama Islam.

No comments:

Post a Comment