Tasawuf Menurut Pertimbangan Al-Kitab Dan as-Sunnah
(Berdasarkan Pengamalan Penulis Semasa Berada Di Dalam Sufi)
Penulis:
Muhammad bin Jamil Zainu
Diterjemahkan Oleh:
Ustaz Rasul Bin Dahri
Ajaran tasawuf telah menular ke seluruh negara Islam di dunia ini. Dalam menanggapi ajaran tasawuf manusia terbahagi menjadi dua kelompok (pro dan kontra).
Dengan demikian, bagaimanakah seorang muslim mengetahui yang hak, apakah ia harus bersama orang-orang yang mendukung ajaran tasawuf dan berjalan bersama mereka, ataukah ia harus bergabung dengan orang-orang yang menentang ajaran tersebut dan menjauhi mereka? Oleh itu mengembalikan perkara ini kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagai merealisasikan kenyataan firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:
فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِى شَيْئٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللهِ وَالرَّسُوْلِ
“Kemudian apabila kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya).” (an-Nisa’ 4: 59)
Di zaman Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta para sahabat dan para tabi’in, umat Islam tidak mengenal nama tasawuf (sufi), hanya setelah munculnya kelompok orang-orang zuhud yang memakai baju dari kain wool, berpunca darinya sebahagian ulama menasabkan nama ini kepada mereka. Sebahagiannya ada yang menyatakan bahawa kalimah “Sufiyah” diambil dari kalimah “Sufiyaa” (Bahasa Yunani Kuno yang ertinya bijaksana atau filsafat yang bermaksud al-Hikmah). Semuanya ini lahir setelah buku-buku Yunani diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Sebenarnya kalimah Sufiyah bukan diambil dari kalimah “as-Sofaa’u” sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian penganut sufi, kerana jika dinasabkan kepada kalimah “as-Sofa” akan menjadi “Sofaa’i” dan bukan “Sufi”.
Abu al-Hassan an-Nadwi di dalam kitabnya: “Rabbaniyah laa Ruhbaniyah” berkata: “Aduhai! Jika sekiranya mereka tidak menyatakan “Sufiyah” tetapi menyebutnya “Tazkiyah” sebagaimana firman Allah Ta’ala:
وُيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وُيُزَكِّيْهِمْ
“Dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan hikmah serta mensucikan mereka.” (al-Baqarah 2: 129)
Dengan ini jelaslah bahawa munculnya istilah tasawuf adalah nama baru yang menjadi penyebab pecah-belah jamaah kaum muslimin. Ternyata juga, bahawa antara ajaran tasawuf yang awal-awal (permulaan) dengan ajaran tasawuf yang sekarang ini terdapat perbezaan, kerana pada ajaran tasawuf yang sekarang ini dipenuhi dengan berbagai-bagai bid’ah yang telah menyebar-luas. Malah bid’ah dalam ajaran sufi/tasawuf sekarang lebih banyak daripada yang dipermulaannya.
Sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah memperingatkan kepada kita terhadap bahayanya perbuatan bid’ah sebagaimana sabdanya:
اِيَّاكُمْ وُمُحْدَثَاتِ اْلُمْوْرِ فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
“Jauhi oleh kamu perkara-perkara yang baru, kerana setiap yang baru (dalam agama) adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (H/R Turmizi)
Adapun sikap yang pertengahan dalam menghadapi sufi, hendaknya kita letakkan ajaran-ajaran tasawuf ini di atas pertimbangan Islam, supaya kita dapat mengetahui benar atau sesatnya ajaran tersebut dari neraca Islam:
1 - Doktrin tasawuf mempunyai banyak tariqat-tariqat (cara/jalan yang diprogremkan oleh Syeikh untuk para muridnya. Ia berupa kewajipan–kewajipan dan metod yang harus dipatuhi secara ketat). Contohnya tariqat at-Tijaniyah, al-Qadariyah, an-Naqsabandiyah, asy-Syazaliyah, ar-Rifa’iyah dan tariqat-tariqat yang lainnya, yang mana setiap tariqat mendakwa bahawa tariqatnya adalah yang paling benar sedangkan tariqat yang lain adalah batil. Islam melarang perpecahan seperti ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala :
وَلاَتَكُونُوْا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ مِنَ الَّذِيْنَ فَرَّقُوْا دِيْنَهُمْ وَكَانُوْا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُوْنَ.
“Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka menjadi beberapa golongan, tiap golongan bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (ar-Ruum 30: 31-32)
2 - Para penganut sufi, mereka berdoa (memohon/meminta) kepada selain Allah, seperti para Nabi dan wali, yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Mereka semasa berdoa mengatakan: “Wahai Jailani, wahai Rifa’i dan wahai Rasulullah! Tolonglah kami, selamatkanlah kami, (hanya) kepadamu tempat bersandar.”
Allah ‘Azza wa-Jalla melarang kita berdoa kepada selainNya dan Dia mengkategorikannya sebagai perbuatan syirik sebagaimana firmanNya:
وَلاَ تَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُكَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَاِنْ فَعَلْتَ فَاِنَّكَ اِذًا مِنَ الظَّالِمِيْنَ.
“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah, kerana jika kamu berbuat (yang demikian) maka sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim. (Yunus 10: 106)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
اَلدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ
“Doa adalah ibadah.”(H/R Turmizi)
Oleh kerana doa adalah ibadah seperti solat (sembahyang), maka tidak boleh ditujukan kepada selain Allah walaupun kepada Rasulullah atau wali kerana ia termasuk syirik akbar (syirik besar) yang membatalkan amal kebajikan dan mengekalkan pelakunya di dalam api neraka.
3 - Para penganut sufi mempercayai adanya badal-badal (pengganti), qutub-qutub dan wali-wali yang Allah memberikan kepada mereka kuasa untuk mengarahkan dan mengatur urusan-urusan Allah. Allah ‘Azza wa-Jalla menceritakan tentang jawapan orang musyrik ketika mereka ditanya:
وَمَنْ يُدَبِّرُاْلاَمْرَ فَسَيَقُوْلُوْنَ اللهُ
“Dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: “Allah”. (Yunus 10: 31)
4 - Para penganut sufi berlindung kepada selain Allah ketika ditimpa musibah sedangkan Allah telah berfirman:
وَاِنْ يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ اِلاَّ هُوَ وَاِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْىءٍ قَدِيْرٌ.
“Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu maka Dia Maha Kuasa atas tiap sesuatu.” AL-AN’AM 6:17
Allah mengkhabarkan hal keadaan orang-orang musyrikin di zaman jahiliyah ketika mereka ditimpa kesusahan:
اِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَاِلَيْهِ تَجْاَرُوْنَ
“Bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya kepada Allah kamu meminta pertolongan” (an-Nahl: 16: 53)
5 - Sebahagian penganut sufi menyakini adanya wahdatul wujud, iaitu bersatunya antara hamba dengan Allah (wahdatul wujud ialah ajaran Pantiesma yang pelopor utamanya ialah al-Halaj). Mereka tidak membezakan antara Khaliq (Pencipta) dengan makhluk, sehingga setiap makhluk adalah ilah (tuhan). Tokoh mereka Ibnu Arabi penulis kitab al-Awasyim Minal Qawasyim, beliau yang dimakamkan di Damaskus (Syiria) pernah berkata:
“Hamba adalah rabb (tuhan) dan rabb adalah hamba. Aduhai bagaimana ini! Siapa yang mukalaf (bertanggungjawab menjalani syariat)? Jika saya katakan hamba, maka hal itu adalah benar jika saya katakan rabb, bagaimana saya akan mukalaf?” (Lihat: Al-Futuh al-Makiyah. Ibn Arabi)
Tasawuf menyeru kepada kezuhudan dalam hidup, meninggalkan usaha dan jihad (fi-sabilillah). Allah Ta’ala berfirman:
وَابْتَغِ فِيْمَا آتَاكَ اللهُ الدَّارَ اْلآخِرَةَ وَلاَ تَنْسَ نَصِيْبَكَ مِنَ الدُّنْيَا.
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (al-Qashash 28: 17)
6 - Ajaran tasawuf memberikan kedudukan ihsan kepada syeikh-syeikh mereka dan meminta dari mereka supaya membayangkan wajah syeikh-syeikh mereka semasa mereka berzikir kepada Allah sehinggalah dalam mengerjakan solat mereka. Saya ada seorang kawan karib penganut sufi yang mana suatu ketika saya melihat ia meletakkan sebuah gambar syeikhnya di hadapan solatnya sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
اَلاِحْسَانُ اَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَاَنَّكَ تَرَاهُ فَاِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ.
“Al-Ihsan adalah apabila engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatNya, sekalipun engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Ia melihatmu.” (H/R Muslim)
7 - Para penganut sufi menyakini bahawa ibadah kepada Allah itu bukanlah kerana rasa takut kepada azab api neraka dan tidak pula kerana rasa tamak untuk mendapatkan syurga Allah. Kenyataan ini dapat dibuktikan dari ucapan Rabi’ah al-Adawiyah (menurut pendapat yang lain sebenarnya dia adalah wanita zuhud yang solehah. Namun sejarah hidupnya telah dimanipulasi oleh orang-orang sufi menjadi salah seorang tokoh wanita sufi):
“Ya Alalh! Apabila aku beribadah kepadaMu lantaran rasa takut dari api nerakaMu, maka bakarlah aku di dalamnya, dan apabila aku beribadah kepadaMu lantaran rasa tamak untuk mendapatkan syurgaMu maka haramkanlah syurga dariku.”
8 - Dan sungguh saya pernah mendengar mereka mendendangkan nasyid gubahan Abdul Ghani an-Nabulisi:
“Siapa yang beribadah kepada Allah lantaran rasa takut azab api nerakaNya, maka bererti ia telah beribadah kepada api neraka dan sesiapa yang beribadah kepada Allah lantaran rasa tamak untuk mendapatkan syurgaNya, maka bererti ia telah beribadah kepada berhala.”
Allah Azza wa-Jalla memuji para Nabi yang mana mereka berdoa kepadaNya kerana mengharap syurgaNya dan kerana takut dari azabNya sebagaimana firmanNya:
اِنَّهُمْ كَانُوْا يُسَارِعُوْنَ فِى الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُوْنَنَا رَغْبًا وَرَهْبًا.
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas.” (al-Anbiya’ 21: 90)
Maksudnya: (Orang-orang yang berharap mendapatkan syurga Allah adalah orang-orang yang takut dengan azabNya). Allah Ta’ala berfirman kepada RasulNya yang mulia:
قُلْ اِنِّيْ اَخَافُ اِنْ عَصَيْتُ رَبِّيْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيْمِ
“Katakanlah! Sesungguhnya aku takut akan azab hari yang besar (kiamat) jika aku mendurhakai Rabbku.” (al-An’am 6: 15)
Pendoktrinan tasawuf membolehkan tarian, duf (rebana/muzik) dan mengangkat suara dalam berzikir, sedangkan Allah Ta’ala berfirman:
اِنَّمَاالمُؤْمِنُوْنَ الَّذِيْنَ اِذَا ذُكِرَ اللهُ وَجِلَتْ قُلُوْبَهُمْ.
“Sesungguhnya orang-orang beriman, adalah apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka.” AL-ANFAL 8:2
Kemudian anda boleh melihat ketika mereka berzikir dengan lafaz (Allah) diakhirnya mereka melafazkan kalimah (Ah,aaa…..h)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
اَفْضَلُ الذِّكْرِ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ
“Seutama-utama zikir adalah kalimah laa ilaaha illallah (tiada ilah yang berhak disembah selain Allah). (H/R Turmizi)
Menguatkan suara dalam berzikir dan berdoa adalah terlarang berdasarkan firman Allah Ta’ala:
اُدْعُوْا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً اِنَّهُ لاَيُحِبُّ الْمُعْتَدِيْنَ
“Berdoalah kepada Rabbmu dengan rendah diri dan suara lembut. Sesunggunya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’raaf 7: 55)
Maksudnya: “Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas dalam berdoa, ucap-ucapan yang tidak terkawal dan mengangkat/menguatkan suara.” (Lihat: Tafsir Jalalain)
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah mendengar para sahabatnya menguatkan suaranya semasa berdoa, kemudian baginda bersabda:
اَيُّهَاالنَّاسُ ارْبَعُوْاعَلَىاَنْفُسِكُمْ فَاِنَّكُمْ لاَتَدْعُوْنَ اَصَمَّ وَلاَغَائِبًا اِنَّكُمْ تَدْعَوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا وَهُوَ مَعَكُمْ.
“Wahai manusia! Rendahkanlah suara kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada Zat yang tuli dan tidak pula ghaib, sesungguhnya kamu berdoa kepada Zat yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat dan Dialah Zat yang bersama kamu.” (Maksud kalimah: “Allah bersama-sama kamu” adalah pendengaran dan Ilmu Allah selalu menyertai kita), Dia mendengar kita dan melihat kita. (H/R Muslim)
9 - Para penganut sufi menyebut-nyebut nama khamar dan benda-benda yang memabukkan. Salah seorang penyair mereka Ibnu al-Faridh mendendangkan syairnya:
“Kami minum mudamah (minuman keras daripada anggur) sambil mengingat sang kekasih, kami mabuk dengannya sebelum anggur diciptakan.”
Saya pernah mendengar mereka di masjid bernasyid:
“Berilah (kami) segelas ar-Raah dan minumlah kami dengan al-Aqdah (gelas khamar yang besar)”.
Saya berkata: Para penganut sufi tidak mempunyai perasaan malu menyebut-nyebut jenis khamar di rumah Allah (masjid) yang didirikan untuk berzikir kepada Allah, bukan untuk menyebut jenis khamar yang haram. Allah Ta’ala berfirman:
يَااَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا اِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَاْلاَنْصَابُ وَاْلاَزْلاَمُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.
“Hai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak (khamar), berjudi, berkorban untuk berhala, bertenung nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan.” (al-Ma’idah 5: 90)
10 - Orang-orang sufi terbiasa mengucapkan perkataan-perkataan lucah di samping menyebut nama-nama wanita-wanita dan anak-anaknya di dalam majlis-majlis zikir, mereka sering berulang-ulang menyebut kalimah yang mengandungi erti cinta, berahi nafsu syahwat serta Laila dan Su’ad (nama yang mengisyaratkan kisah cinta seperti Romeo dan Juliet, Rama dan Sita dan lain-lain nama gadis idaman mereka).
Dalam keadaan ini, seolah-olah mereka berada di tempat yang penuh dengan keseronokan di dalamnya ada tarian, khamar-khamar yang diiringi dengan sorak-sorai dan tepuk tangan, sedangkan tepuk tangan adalah dari kebudayaan orang-orang musyrik dan merupakan ibadah dalam agama mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَا كَانَ صَلاَتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ اِلاَّ مُكَاءً وَتَصْدِيَةً.
“Sembahyang mereka di Baitullah tidak lain hanyalah siulan dan tepuk tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.” (al-Anfal 8: 35)
11 - Para sufi berzikir menggunakan rebana (duf) yang mereka namakan al-Mizhar, sedangkan rebana adalah seruling syaitan. Abu Bakar radhiallahu ‘anhu, pada suatu ketika pernah masuk ke rumah ‘Aisyah radhiallahu ‘anha beliau mendapati di sisi ‘Aisyah ada dua budak wanita sedang memukul rebana. Dengan sepontan beliau berkata: Seruling syaitan (2 kali). Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
دَعْهُمَا يَا اَبَابَكْرٍ فَاِنَّهُمَا فِى يَوْمِ عِيْدٍ.
“Wahai Abu Bakar! Biarkanlah mereka berdua kerana sesungguhnya mereka berdua sedang berhari raya.” (H/R Bukhari)
Rasulullah menegaskan kepada Abu Bakar radhiallahu ‘anhu bahawa rebana itu hanya diringankan bagi anak-anak perempuan pada hari raya. Tidak ada satu riwayatpun yang menetapkan bahawa para sahabat dan tabi’in menggunakan rebana semasa berzikir tetapi ini adalah salah satu bid’ah orang-orang sufi yang telah dilarang keras oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan sabdanya:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
“Barangsiapa beramal dengan suatu amalan yang tidak pernah kami perintahkan padanya maka amalannya tertolak.”(H/R Muslim)
12 - Terdapat juga orang-orang sufi yang memukul-mukul dirinya dengan besi panas sambil berkata: “Ya Jadaah!” Kemudian syaitan mendatanginya membantu perbuatannya kerana dia telah beristighasah (meminta pertolongan) kepada selain Allah. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
وَمَنْ يَعِشُ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِيْنٌ.
“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu m,enyertainya. (az-Zukhruf 43: 36)
Orang-orang jahil menyangka bahawa perbuatan ini adalah satu antara keramat walaupun pelakunya kadang-kadang seorang fasiq dan orang yang meninggalkan solat. Sedangkan bagaimana kita boleh mengkategorikannya sebagai keramat sedangkan pelakunya beristighasah kepada selain Allah dikala ia berkata : “Ya Jadaah!” Namun (sebaliknya) perbuatan ini adalah termasuk syirik dan sesat. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
وَمَنْ اَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُوْا مِنْ دُوْنِ اللهِ.
“Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang-orang yang menyembah sesembahan selain Allah”. Al-Ahqaf 46: 5)
Perkara seperti ini sebenarnya adalah kekuatan syaitan (istidraj) yang secara bertahap dapat menjerumuskan pelakunya ke jalan kesesatan setelah ia memilih jalan untuk dirinya sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
قُلْ مَنْ كَانَ فِى الضَّلاَلَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ الرَّحْمَنُ مُدًّا.
“Katakanlah! Sesiapa yang berada dalam kesesatan biarlah Ar-Rahman (Allah) memperpanjang tempoh baginya.” (Maryam 19: 75)
13 - Dalam kalangan sufi/tasawuf terdapat perpecahan (berbagai-bagai) tariqat-tariqat, seperti tariqat at-Tijaniyah, asy-Syazaliyah an-Naqsabandiyah dan tariqat-tariqat yang lainnya. Sedangkan Islam hanya mempunyai satu jalan saja. Dalilnya ialah hadis dari Ibn Mas’ud radhiallah‘anhu berkata:
Bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah membuat sebuah garis (yang diperlihatkan) kepada kami dengan tangannya, kemudian baginda bersabda: “Inilah jalan Allah yang lurus”, dan baginda juga menggaris di sebelah kanan dan kirinya beberapa garisan, kemudian baginda bersabda:“Pada jalan-jalan ini tidak ada satu jalanpun melainkan ada syaitannya yang menyeru kepadanya.”
Kemudian baginda membaca firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:
وَاَنَّ هَذَا صِرَاطِيْ مُّسْتَقِيْمًا فَاتَّبِعُوْهُ وَلاَ تَتَّبِعُوْا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيْلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ.
“Dan bahawa inilah jalanku yang lurus maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan lain kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” AL-AN’AM 6:153
13 - Para sufi mendakwa diri mereka dapat menyingkap dan mengetahui ilmu-ilmu ghaib. Al-Quran menyanggah (dakwaan mereka) sebagaimana terdapat dalam firmanNya:
قُلْ لاَّيَعْلَمُ مَنْ فِىالسَّمَوَاتِ وَالاَرْضِ الْغَيْبَ اِلاَّاللهُ.
“Katakanlah! Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah”. AN-NAML 27:65
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
لاَيَعْلَمُ الْغَيْبَ اِلاَّ اللهُ.
“Tiada seorangpun mengetahui hal yang ghaib kecuali Allah.” (H/R Tabrani (hasan))
15 - Para penganut sufi berpendapat bahawa Allah menciptakan Nabi Muhammad dari cahayaNya. Dari cahaya tersebut (Nur Muhammad) Allah menciptakan pula sesuatu (menurut mereka kononnya Allah menciptakan segala sesuatu dari Nur Muhammad). Al-Quran mendustakan tanggapan mereka sebagaimana terdapat dalam ayat yang berikut:
قُلْ اِنَّمَا اَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ
“Katakanlah! Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu yang diwahyukan kepadaku”. (al-Kahfi 18: 110)
Demikian pula firman Allah tentang penciptaan Nabi Adam ‘alaihis salam:
اِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ اِنِّيْ خَالَقٌ بَشَرًا مِّنْ طِيْنٍ.
“Ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat! Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah”. (Shad 38: 71)
Adapun tentang hadis yang berbunyi:
اَوَّلُ مَا خَلَقَ اللهُ نُوْرَ نَبِيِّكَ يَاجَابِرُ.
“Yang pertama kali Allah ciptakan adalah cahaya NabiMu, ya Jabir!” (Hadis ini adalah maudhu’(palsu) dan batil.
16 - Penganut sufi mempercayai bahawa Allah mencipta dunia ini kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Al-Quran mengingkari kepercayaan mereka sebagaimana firmanNya:
وَمَاخَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”. (az-Dzariyat 51: 56)
Al-Quran menjelaskan kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dengan firman Allah:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.
“Dan sembahlah Rabbmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal). (al-Hijr 15:59)
17 - Penganut sufi mendakwa bahawa Allah dapat dilihat di dunia ini. Al-Quran menolak dakwaan dengan firmanNya melalui lisan Nabi Musa ‘alaihis salam:
رَبِّ اَرِنِيْ اَنْظُرْ اِلَيْكَ قَالَ لَنْ تَرَانِيْ.
“Ya Tuhanku! Nampakkanlah (dirimu) kepadaku agar aku dapat melihat padaMu. Allah berfirman: “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihatKu”. (al-A’raaf 7: 143)
Al-Ghazali dalam kitabnya: ‘Ihya Ulumuddin (Bab Hikayatul Muhibbin wa Mukasyafaatihim) beliau menceritakan, pada suatu hari Abu Turob berkata: “Aduhai sekiranya aku dapat melihat Abu Yazid!”. Maka temannya menyampuk: “Sesungguhnya aku tidak mempunyai kesempatan menemuinya. Kerana aku telah melihat Allah Ta’ala, maka aku tidak berkeinginan lagi melihat Abu Yazid.” Abu Turob berkata: “Celaka kamu! Apakah kamu akan terpedaya dengan melihat Allah ‘Azza wa Jalla? Padahal sekiranya kamu melihat al-Bustami (Abu Yazid al-Bustami tokoh sufi zindik wafat tahun 261 H.) sekali sahaja, maka hal itu lebih bermanfaat bagimu daripada kamu melihat Allah sebanyak 70 kali.”
Kemudian al-Ghazali menerima contoh-contoh al-mukasyafaat (menyingkap tabir ghaib) seperti ini yang mengomentar seseorang mukmin yang tidak mengingkarinya.
Saya membantah pendapat al-Ghazali: Bahkan wajib bagi setiap mukmin mengingkarinya kerana hal itu adalah pembohongan yang bertentangan dengan al-Quran, Sunnah dan akal yang sihat.
18 - Para penganut sufi mendakwa bahawa mereka sekarang ini dapat melihat Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam keadaan berjaga. Al-Quran membatalkan anggapan mereka sebagaimana Allah berfirman:
وَمِنْ وَرَآئِهِمْ بَرْزَخٌ اِلَى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ.
“Dan di hadapan mereka ada dinding sampai hari mereka dibangkitkan.” (al-Mukminun 23: 100)
(Maksudnya: di hadapan mereka ada penutup yang menghalangi mereka untuk kembali lagi ke dunia sampai hari kiamat tiba).
Tidak terdapat walau sebuah riwayatpun yang sampai kepada kita bahawa ada salah seorang dari sahabat yang melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam setelah baginda wafat dalam keadaan berjaga, maka apakah mereka lebih mulia daripada sahabat? Maha Suci Engkau (Ya Allah!), ini merupakan pembohongan yang sangat besar.
19 - Para penganut sufi mengaku bahawa mereka mengambil ilmu dari Allah secara langsung tanpa melalui perantaraan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sehingga mereka mengatakan: “Telah menceritakan kepadaku hatiku dari rabbku.” Ibnu Arabi yang dikuburkan di Damaskus berkata di dalam bukunya al-Fusyush:
“Antara kami ada yang menjadi pengganti Rasul yang ia dapat mengambil hukum dari baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam atau dengan cara berijtihad yang juga berasal dari baginda pula, dan antara kami ada yang mengambil hukum dari Allah sehingga ia menjadi khalifah (pengganti) Allah.”
Saya berkata: Ucapan ini adalah batil dan bertentangan dengan al-Quran yang (menunjukkan) bahawa sesunguhnya Allah mengutus Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam supaya ia menyampaikan perintah-perintah Allah kepada umat manusia. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:
يَااَيُّهَا الرَّسُوْلُ بَلِّغْ مَآاُنْزِلَ اِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ.
“Hai Rasul! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu”. (al-Ma’idah 5: 67)
Dan tidak mungkin ada sesiapa yang secara langsung mengambil apapun ilmu dari al-Quran, apabila ada yang mengaku demikian maka dia adalah pembohong dan mengada-adakan. Kemudian tidak mungkin manusia menjadi pengganti Allah, kerana Allah tidak akan pernah hilang dari kita hingga ia mengganti manusia (dengan manusia yang lain). Maka Allahlah yang mengantikan kita (bagi keluarga kita di rumah) di saat-saat kita sedang berpergian. Terdapat di dalam sebuah hadis yang berbunyi:
“Ya Allah! Engkaulah teman dalam berpergian dan pengganti dalam keluarga.” (H/R Muslim)
20 - Para penganut sufi merayakan maulid Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan berkumpul-kumpul dalam suatu majlis yang mereka namakan “Majlis Selawat atas Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam.”, Namun mereka menyalahi ajaran-ajaran baginda, apalagi disaat mereka mengeraskan suaranya dalam berzikir, bernasyid dan dalam syair-syair mereka yang mana di dalamnya mengandungi kesyirikan yang nyata. Saya pernah mendengar mereka berkata tentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Tolonglah kami wahai yang memiliki kedudukan yang luas, wahai yang melimpahkan cahaya sehingga ada pertolongan!”
“Wahai Rasulullah! Lapangkanlah beban kami kerana tidak ada suatu beban/bencana yang melihatmu melainkan ia akan lari.”
Saya berkata: Islam mewajibkan kita beriktikad bahawa yang melimpahkan cahaya terhadap segala makhluk yang ada dan yang melapangkan dari bencana hanyalah Allah.
21 - Para penganut sufi sengaja menziarahi kuburan untuk bertabaruk (meminta berkah) kepada si mayat di dalam kubur, tawaf di sekelilingnya atau menyembelih binatang korban di sisinya. Para sufi biasanya menziarahi kuburan para wali. Amalan mereka berlawanan dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Tidak dibolehkan melakukan ziarah (secara khusus ke masjid-masjid) kecuali ketiga masjid: Masjidil-Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil-Aqsa.” (Hadis Mutafiq ‘alaihi)
22 - Para sufi terlalu fanatik (ghalu) kepada syeikh-syeikh atau ketua-ketua mereka walaupun bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sabda RasulNya:
يَا اَيُّهَاالَّذِيْنَ آمَنُوْا لاَ تُقَدِّمُوْا بَيْنَ يَدَيِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَاتَّقُوْا الله.
“Hai Orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah”. (al-Hujuraat 49: 1)
Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
لاَطَاعَةَ فِى مَعْصِيَةِ اللهِ اِنَّمَا الطَّاعَةُ فِى الْمَعْرُوْفِ.
“Tidak ada ketaatan kepada seorangpun dalam bermaksiat kepada Allah, kerana sesungguhnya ketaatan itu dalam hal yang makruf (kebaikan)”. (Mutafak ‘Alaihi)
23 - Para sufi memakai azimat-azimat, simbol-simbol huruf atau nombor-nombor untuk beristikharah (meminta keputusan pilihan antara dua perkara) serta memakai tangkal-tangkal dan lain-lainnya.
Saya berkata: Mengapa mereka bergantung kepada khurafat-khurafat tentang hitungan huruf-huruf dan mereka meninggalkan doa istikharah yang termaktub dalam kitab Sahih Bukhatri yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kepada para sahabatnya sebagaimana baginda mengajarkan sebuah surah dari al-Quran, baginda bersabda:
“Apabila salah seroang antara kamu mengalami kesusahan dalam suatu urusan, hendaknya ia solat sunnah dua rakaat, kemudian berdoa: Ya Allah! Sesugguhnuya aku mohon kepadaMu kekuatan dengan kekuasaanMu and aku mohon kurniaMu yang besar, kerana Engkaulah yang Maha Kuasa sedang aku tidak berkuasa, Engkaulah yang mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib” (H/R Bukhari)
24 - Dalam mengamalkan selawat, orang-orang sufi tidak membiasakan diri dengan selawat-selawat yang berasal dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam, tetapi mereka mencipta sendiri selawat-selawat bid’ah yang di dalamnya mengandungi kesyirikan yang nyata, dimana baginda tidak akan redha terhadap orang yang berselawat dengan selawat yang bid’ah. Saya telah membaca kitab Afdhalus Salawat karangan Syeikh Lubnani seorang sufi dimana dia berkata di dalam kitabnya:
“Ya Allah! Berilah selawat atas Nabi Muhammad sehinga Engkau jadikan dia sebagai Ahadiyah dan Qayumiyah.”
Saya berkata: Al-Ahadiyah (Yang Maha Tunggal/Esa) dan Qayumiyah (Yang Maha Berdiri Sendiri) adalah di antara sifat-sifat Allah dan Asma’ul Husna-Nya.
Di dalam kitab Dala ilul Khairat terdapat banyak selawat-selawat bid’ah yang tidak diredhai Allah mahupun RasulNya sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
25 - Wahai saudaraku sesama muslim! Sesungguhnya saya telah mengkaji bahawa ajaran tasawuf sangat jauh dari Islam. Setelah saya teliti dari segi akidah dan amal perbuatannya dalam timbangan dinul Islam dan akal yang sehat, pasti akan menolak bid’ah-bid’ah, kesesatan dan kemungkaran ini kerana akan menjerumuskan manusia ke dalam lembah kesyirikan dan kekafiran.
Ya Allah! Tujukkanlah kami yang benar itu benar dan anugerahkan kami agar mengikutinya serta jadikanlah kami mencintainya dan tunjukilah kami yang batil itu batil dan anugerahkan kepada kami untuk dapat menjauhinya serta jadikanlah kami membencinya.
Selawat dan salam semoga sentiasa tercurah kepada Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan keluarganya.
KEKALUTAN ORANG-ORANG SUFI
Banyak orang menyangka bahawa ajaran tasawuf itu dari Islam, dan banyak pula orang menyangka bahawa antara penganut sufi ada yang menjadi wali. Saya berharap kepada setiap muslim supaya mengkaji ucapan-ucapan mereka sehingga dapat mengetahui betapa jauhnya orang-orang sufi dari Islam dan ajaran al-Quran.
(1). Syeikh Muhayiddin Ibn Arabi yang dikuburkan di Damaskus (Syiria) adalah salah seorang tokoh besar sufi, dia berkata di dalam kitabnya Al-Futuhaat al-Makiyah:
“Berapa banyak hadis menjadi sahih dari jalan periwayatnya sampai kepada al-Makaasyif (orang yang menyingkap tabir ghaib) kerana sudah ditentukan tanda-tandanya. Lalu ia bertanya kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa-sallam tentang darjat hadis tersebut, maka baginda mengingkarinya lantas bersabda: Saya tidak pernah mengatakannya dan saya juga tidak pernah menghukumi dengannya”.
Kononnya dengan mukaasyafat tersebut, cukuplah diketahui bahawa hadis tersebut “lemah” dan ia kemudian tidak mengamalkan yang kononnya berdasarkan penjelasan dari RabbNya, walaupun para ahli hadis mengamalkannya kerana jalan persyaratanya sahih padahal duduk persoalannya bukanlah sebegitu. Contoh-contoh (ucapan) kitab hadis masyhur karangan al-Ajluny dan ucapan semacam ini sangat merbahaya sekali dan menghina hadis nabi serta merendahkan ulama-ulama hadis seperti Imam Bukhari, Muslim dan lain-lainnya.
(2). Ibn Arabi telah berkata tentang kesatuan antara agama-agama (وَحْدَةُ اْلاَدْيَان) seperti agama Yahudi, Nasrani dan Majusi dan Islam:
“Dahulu saya membantah temanku kerana agamku tidak menjadi agamanya. Kemudian hatiku boleh menerima atas semua keadaan itu, kini hatiku jadi padang gembalaan orang-orang kesamaran, menjadi kuil para pendita, rumah untuk penyembah patung, Ka’bah untuk orang tawaf, papan untuk menulis Taurat dan Mushaf menulis ayat al-Quran”.
Al-Quran mengingkari perkataan Ibn Arabi ini dengan firman:
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الاِسْلاَمِ دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِيْنِ.
“Barangsiapa mencari agama selain Islam maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya dan ia di akhirat termasuk orang-orang yang merugi”. (Ali Imran 3: 85)
(3). Ibn Arabi beriktikad bahawa Allah adalah makhluk dan makhluk adalah Allah. Sehingga antara yang satu dengan yang lain saling mengibadahi. Ia memperkatakan tentang hal ini dengan ucapannya:
“Dia (Allah) memujiku dan akupun memujiNya, Dia beribadah kepadaku dan akupun beribadah kepadaNya”.
(4). Ibn Arabi dalam kitabnya al-Fusyush berkata: “Sesungguhnya apabila seseorang suami menyetubuhi isterinya, maka sesungguhnya dia sedang menyetubuhi Allah”.
(5). An-Nablisi menjelaskan maksud ungkapan Ibnu Arabi di atas:
“Sesungguhnya ia sedang menikahi al-haq (Allah).”
(6). Abu Yazid al-Bustami mendakwa berbicara secara langsung kepada Allah:
“Dan hiasilah aku dengan ke EsaanMu, ikut sertakanlah aku ke dalam rabbaniyah (sifat ketuhanan)Mu, sehingga apabila hamba-hambaMu melihatku mereka akan berkata: Kami melihatMu”. Sehingga ia berkata kepada dirinya sendiri:
“Maha suci aku, maha suci aku, alangkah agungnya kedudukanku, al-Jannah (syurga) hanyalah permainan anak-anak kecil.”
(7). Jalalluddin ar-Rumi berkata:
“Saya adalah seorang muslim tapi juga Nasrani, saya seorang Brahmana juga Zorodisty. Aku tidak mempunyai tempat ibadah kecuali satu masjid, gereja dan rumah berhala.”
(8). Ibnu al-Faridh berkata:
“Sesungguhnya Allah menampakkan diri kepada Qais dalam bentuk Laila. Ia menampakkan diri kepada Kutsair dalam bentuk Azah dan ia menampakkan diri kepada Jumail dalam bentuk Busainah”.
Apa yang tersebut dalam syair at-Taubah yang terkenal adalah bukti bahawa dia mengakui penampakan-penampakan Allah. (Ibnu al-Faridh yang sufi tersebut memiliki kesamaan iktiqad dengan agama Hindu (reinkarnasi).
(9). Rabiah al-Adawiyah pernah ditanya: Apakah kamu membenci syaitan? Dia menjawab:
“Kecintaanku hanya untuk Allah, maka tidak pernah tersisa dalam hatiku kebencian kepada seorangpun (walaupun terhadap syaitan)”.
Dia (Rabiah al-Adawiyah kononnya) pernah berbual dengan Allah Ta’ala:
“Jika aku beribadah kepadaMu lantaran rasa takut dari api nerakaMu, maka bakarlah diriku dengannya (api neraka itu).”
Padahal Allah Ta’ala telah kerkali-kali mengingatkan supaya kita berwaspada dari api neraka sebagaimana firmanNya:
يَااَيُّهَاالَّذِيْنَ آمَنُوْاقُوْااَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا.
“Hai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka”. (at-Tahrim 66: 6)
Ramai manusia yang berkata tentang (keperibadian) Rabiah:
“Sesungguhnya dia adalah seorang wanita penyanyi (artis) atau penari. Lalu bagaimana kita boleh mengambil ucapan-ucapan yang bertentangan dengan al-Quran?
(10). As-Syeikh Usman al-Burhani, seorang sufi kontemporer dari Sudan, dia menulis sebuah buku berjudul “Intisaru Aulia’ir-Rahman ‘Ala Aulia’isy-Syaitan” yang ia maksudkan adalah orang-orang Wahabi dan Ikhwanul Muslimin.
KARAMAH-KARAMAH TASAWUF
Para penganut sufi mendakwa bahawa tokoh-tokoh dan kalangan wali-wali mereka mempunyai karamah. Saya akan sebutkan kepada para pembaca yang budiman di antara karamah-karamah mereka yang bersumber dari para wali mereka supaya para pembaca dapat melihat bahawa sesungguhnya karamah-karamah mereka sebenarnya hanyalah khurafat-khurafat, kesesatan dan kekufuran.
Asy-Sya’rani menjelaskan di dalam bukunya “Ath-Thabaqatul Kubra”, ia menyebutkan (di dalamnya) beraneka ragam bentuk karamah-karamah para wali sufi:
Maka adalah (al-Wahisi) ia memakai baju yang berjalur-jalur seperti serbannya orang Nasrani. Di warungnya terdapat banyak kotoran-kotoran kerana dipenuhi oleh anjing-anjing yang telah menjadi bangkai, atau kerana kambing kibas yang dibawanya kemudian dimasukkan ke dalam warungnya sehingga tidak seorangpun yang dapat duduk di sisinya.
Ketika ia ke masjid, ia menemui sebuah tempat minum anjing-anjing , lalu ia bersuci (wuduk) di dalamnya dan kemudian (tempat minum anjing itu) diletakkannya di tempat kencing keldai.
2. Ali Wahisi apabila melihat seorang perempuan atau lelaki muda ia merayunya dan ia meraba-raba pantatnya. Sama saja apakah yang digodanya itu anak seorang amir (pemimpin) atau anak menteri meskipun bapanya atau orang lain ada di sisinya, namun ia tidak memperdulikannya.
Asy-Sya’rani bercerita tentang tuannya (Ali Wahisi). Apabila ia melihat seorang pembesar negara atau orang lain maka diturunkannya orang itu dari atas keldainya sambil berkata:
“Pegang kepala keldai itu agar saya dapat menggaulinya.” Jika pembesar negara itu enggan maka ia akan terpaku di tanah sehingga tidak boleh lagi melangkah untuk berjalan”.
Asy-Sya’rani bercerita tentang tuannya Muhammad al-Khadhri:
“Telah memaklumkan kepadaku Syeikh Abu al-Fadhl as-Sarisi pada hari Jumaat orang-orang mendatanginya dan mereka meminta supaya ia berkhutbah. Kemudian ia naik mimbar lalu bertahmid dan memuji Allah semata kemudian ia berkata:
“Dan aku bersaksi bahawa tiada Ilah (Tuhan) yang berhak diibadahi bagi kalian kecuali Iblis ‘alaihi sallam, maka serentak para hadirin solat Jumaat berkata: kafir…! Kemudian ia menghunus pedangnya lalu turun dari mimbar maka (dengan sepontan) para hadirin solat Jumaat semuanya lari kucar-kacir dari masjid jamik tersebut. Kemudian ia duduk kembali di atas mimbar sampai azan solat asar (dikumandangkan) dan tidak ada seorangpun yang berani memasuki masjid jamik tersebut”.
Selanjutnya beberapa orang penduduk dari negara tetangga datang menemuinya. Kemudian ia memaklumkan kepada seluruh penduduk negeri setempat bahawa Syeikh tersebut tetap berkhutbah dan solat bersama mereka di negerinya. Bahkan Syeikh tersebut sempat berkhutbah sebanyak tiga puluh kali (30) kali dan kami melihat ia di tengah-tengah kami. Syeikh tersebut berkhutbah di dua tempat dalam satu waktu yang sama.
JIHAD MENURUT AJARAN TASAWUF
Menurut doktrin sufi bahawa jihad yang benar menurut mereka amat sedikit sekali, mereka sibuk berjihad memerangi hawa nafsu, kerana menurut anggapan mereka yang berhujjahkan sebuah hadis sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah iaitu hadis yang berbunyi:
“Kita telah pulang dari jihad kecil menuju jihad besar, iaitu jihad hawa nafsu.”
Bahawa ucpan tersebut adalah tidak ada seorangpun dari ahli makrifah atauahli hadis yang meriwayatkan sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bahkan sangat bertentangan dengan al-Quran mahupun as-Sunnah bahawa jihad memerangi orang-orang kafir adalah seutama-utama cara mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Seterusnya inilah antara pendapat-pendapat aneh orang-orang sufi tentang jihad:
1. As-Sya’rani berkata: “Kami telah sepakat menyuruh teman-teman kami supaya beredar bersama waktu dan ahlinya bagaimanapun waktu itu berjalan tanpa memperdulikan siapapun orang yang Allah angkat sebagai penguasa meskipun dalam hal urusan dunia dan pemerintahannya”.
2. Ibnu Arabi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah menimpakan kepada suatu kaum seorang pemimpin yang zalim maka kaum tersebut tidak wajib melawannya kerana hal itu merupakan hukuman dari Allah atas kaum tersebut.”
3. Ibnu Arabi dan Ibnu al-Faridh, kedua-duanya adalah tokoh besar sufi dan keduanya juga hidup pada masa perang salib, namun kita tidak pernah mendengar salah seorang dari kedua tokoh ini ikut serta bergabung dalam perang dan menyeru untuk berperang atau menulis syair atau prosanya berupa rintihan atas bahaya yang menimpa kaum muslimin, tetapi keduanya malah mengulang-ulangkan ucapannya untuk (menghibur/melekakan) manusia:
“Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala sesuatu maka hendaknya kaum muslimin membiarkan tindakan orang-orang Salib kerana mereka itu (Kaum salib) tidak lain hanyalah zat Allah yang bentuknya saja seperti itu.”
4. Al-Ghazali menyebutkan dalam kitabnya “Al-Munkid Minazh-Zhalal”: Ketika membahas tentang tariqat tasawuf padahal dia berada di celah-celah kesibukan Perang Salib, namun ia menyibukkan diri berkhalwat (menyendiri), ada kalanya di gua Damaskus dan kadang-kadang di padang pasir Baitul Maqdis, ia menutup pintu gua tersebut selama lebih dari 2 (dua) tahun.
Ketika Baitul Maqdis jatuh ke tangan tentera salib (keristian) pada tahun 492H Al-Ghazali tetap tidak bergerak dari tempatnya dan tidak pula menyerukan jihad untuk mengembalikan Baitul Maqdis ke tangan Muslimin, meskipun ia hidup selama 12 tahun setelah jatuhnya Baitul Maqdis.
Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin karangan al-Ghazali, ia tidak menyebutkan sesuatupun tentang jihad selama-lamanya namun yang ia sebutkan di dalamnya hanyalah karamah-karamah khurafat dan kufur. Hal ini terdapat dalam (kitabnya) juz 4 halaman 456.
5. Pengarang kitab Tarikh al-Arab al-Hadis wal Mu’ashir menyebutkan bahawa penganut tariqat-tariqat tasawuf menyebarkan khurafat-khurafat dan bid’ah, mereka juga menebarkan rasa-pesimis dan penilaian negetif terhadap peperangan (melawan musuhnya) sehingga para penjajah memperalat mereka. Contohnya adalah Jawasis.
6. Dalam kitab Fi Tasawuf karangan Muhamad Fahr as-Syaqfah as-Suury halaman 217 ia berkata:
“Kami berpendapat bahawa antara kewajipan kami adalah menjadi pelayan kebenaran dan fakta sejarah. Kami akan sebutkan bahawa sesungguhnya pemerintah Perancis pada zaman penjajahannya atas Syiria, mereka mencuba menyebarkan tariqat ini (at-Tijaniah) sehingga mereka menyewa beberapa syeikh untuk merealisasikan perkara yang sangat penting ini. Mereka menyediakan harta-benda dan rumah bagi syeikh tersebut untuk mengasuh generasi muda agar condong kepada pemerintah Perancis.
Namun para mujahidin Moroko mereka dapat menyedarkan orang-orang-orang yang ikhlas dari penduduk negeri itu terhadap bahayanya ajaran tariqat at-Tijaniah. Kerana negara Perancis adalah penjajah yang ditentang oleh agama Islam, maka dalam suatu demonstrasi besar-besaran pemerintah Perancis telah melepaskan kota Damaskus dari daerah kekuasaan mereka.
DEFINISI WALI MENURUT PEMAHAMAN UMUM
Pemahaman tentang wali menurut kebanyakan manusia adalah apabila di atas kuburannya didirikan kubah yang besar atau orang yang dikuburkan di masjid kemudian penjaga kuburan tersebut menisbahkan beberapa karamah-karamah kepada wali tersebut. Kadang-kadang karamah-karamah tersebut tidak benar kerana tujuan mereka sebenarnya adalah supaya mereka dapat mengambil harta benda manusia dan memakannya dengan cara yang batil.
Adapun tentang kubah-kubah di atas kuburan atau membangun bangunan berserta tulisan, maka tidak diragukan lagi bahawa ia adalah perbuatan bid’ah yang diada-adakan. Mereka sebagai pembuat bid’ah yang dikenali sebagai al-Fathimiyun oleh firqah Druz (salah satu cabang Syiah) supaya mereka dapat memalingkan manusia dari masjid. Kebanyakan yang mereka ada-adakan semuanya itu tidak ada dasarnya sama ada dari al-Quran atau as-Sunnah, termasuklah antaranya kuburan Husein radhiallahu ‘anhu di Mesir padahal beliau syahid di Iraq.
Menanam atau mengkebumikan mayat di dalam masjid adalah antara perbuatan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagaimana Rasulullah menjelaskan dengan sabdanya:
لَعَنَ اللهُ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوْا قُبُوْرَ اَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ.
“Allah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka menjadikan kuburan para Nabi mereka sebagai masjid.” (Muttafaq ‘alaihi)
Sebahagian manusia menyangka bahawa baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam dimakamkan di masjidnya, ini adalah sangkaan yang salah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebenarnya dimakamkan di rumahnya sendiri. Keadaan kuburan beliau tetap di rumahnya sehinggalah para khalifah Bani Umaiyah setelah 80 tahun, mereka memperluas ruangan masjid dan mereka memasukkan rumah (kubur) baginda menjadi sebahagian dari masjid. Sesungguhnya ramai antara umat Islam yang mengkuburkan orang-orang mati di dalam masjid-masjid, terutama jika yang meninggal dunia itu seorang Tok guru/kiyai. Kemudian didirikan kubah di atasnya dan ada yang bertawaf di sekelilingnya. Mereka meminta (berdoa) kepadanya selain dari Allah sehingga mereka terjerumus ke dalam lembah kesyirikan. Allah Subhanaahu wa-Ta’ala berfirman:
وَاَنَّ الْمَسَاجِدَ للهِ فَلاَ تَدْعُوْا مَعَ اللهِ اَحَدًا.
“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah maka janganlah kamu menyembah seorangpun di dalamnya di samping menyembah Allah.” AL-JIN 72:18
Maka masjid-masjid dalam agama Islam buakanlah tempat untuk mengkubur mayat-mayat, namun ia adalah tempat untuk solat dan beribadah kepada Allah semata. Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda:
لاَتُصَلُّوْا اِلَى الْقُبُوْرِ وَلاَ تَجْلِسُوْا عَلَيْهَا
“Jangnalah kamu solat menghadap kubur dan janganlah kamu duduk di atasnya”. (H/R Muslim)
Maka tidak sah (tidak diterima) solat di sebuah masjid (atau surau/musalla) yang di dalamnya ada kuburan.
PARA WALI ALLAH
1). Allah Ta’ala berfirman:
اَلاَ اِنَّ اَوْلِيَاءَ اللهِ لاَخَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَهُمْ يَحْزَنُوْنَ ، اَلَّذِيْنَ آمَنُوْا وَكَانُوْا يَتَّقُوْنَ.
“Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhwatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa”. (Yunus 10: 62-63).
2). Allah Ta’ala berfirman:
اِنْ اَوْلِيَاؤُهُ اِلاَّ الْمُتَّقُوْنَ وَلَكِنَّ اَكْثَرَهُمْ لاَيَعْلَمُوْنَ.
“Orang-orang yang berhak menguasai adalah orang yang bertaqwa, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”. AL-ANFAL 8:34.
3). Wali menurut al-Quran adalah muslim yang bertaqwa kepada Allah, tidak bermaksiat kepadanya, berdoa kepadaNya dan tidak menyekutukanNya. Dia adalah orang yang telah Allah peringatkan agar jangan diremehkan, diperangai dan dimakan hartanya. Allah berfirman dalam sebuah hadis kudsi:
مَنْ عَادَى لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ.
“Sesiapa memerangi waliKu, maka sesungguhnya Aku telah memaklumkan perang kepadanya”. (H/R Bukhari)
Ada kalanya karamah yang Allah berikan kepada seorang wali yang beragama Islam, bertauhid dan taat muncul ketika ia sangat memerlukannya. Oleh itu masalah wali dan karamah hanya ditetapkan oleh al-Qurannul Karim. Antara dalilnya ialah kisah Maryam Ibunda Nabi Isa alaihis salam ketika ia memperolehi rezeki dan makanan di rumahnya sendiri yang mana Allah berfirman membenarkannya:
كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَامَرْيَمُ اَنَّىلَكِ هَذَاقَالَتْ هُوَ مِنْ عَنْدِاللهِ.
“Setiap Zakaria masuk untuk menemui Maryam di mihrab, ia dapati makanan di sisinya. Zakaria berkata: Hai Maryam! Dari mana kamu memperolehi makanan ini? Maryam menjawab: Makanan itu dari Allah”. ALI IMRAN 3:37.
Perkara wali dan karamah adalah suatu hakikat, tetapi ia tidak akan berlaku kecuali kepada orang beriman yang taat, bertauhid dan karamah tidak akan terjadi kepada orang fasik yang meninggalkan solat atau orang yang sering berbuat dosa. Bukanlah menjadi syarat bahawa seorang wali semestinya memperolehi karamah, kerana al-Quran tidak pernah mensyaratkan seperti itu, tetapi ia hanya mensyaratakan beriman dan bertaqwa sahaja.
PARA WALI SYAITAN
Karamah tidak akan berlaku kepada orang-orang fasiq yang jelas berbuat maksiat atau beristigasah (meminta perlindungan) kepada selain Allah, kerana perbuatan tersebut adalah antara perbuatan orang-orang musyrik, maka bagaimana mungkin ia boleh dianggap sebagai wali Allah yang mulia?
Karamah tidak akan diperolehi melalui warisan nenek moyang. Namun karamah akan terjadi lantaran beriman dan beramal soleh. Adapun kejadian-kejadian yang berlaku pada ahli bid’ah yang memancung dengan pedang pada dirinya sendiri atau memakan api, maka perkara seperti itu adalah antara perbuatan wali syaitan, orang Majusi, serta ia adalah istidraj (memperdayakan) bagi manusia supaya tetap berjalan dalam kesesatan. Allah berfirman:
وَمَنْ يَعِشْ عَنْ ذِكْرِ الرَّحْمَنِ نُقَيِّضُ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِيْنٌ
“Sesiapa yang barpaling dari ajaran Rab Yang Maha Pemurah (Al-Quran). Kami adakan baginya syaitan, itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya”. (az-Zukhruf 43: 36)
Perbuatan yang dicontohkan ini, tidak ada dalam Islam, kerana Rasulullah dan para sahabat sesudah baginda tidak pernah mengajarkannya. Maka ia adalah antara bid’ah-bid’ah yang diada-adakan. Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam bersabda:
اِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الاُمُوْرِ ، فَاِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بَدْعَةٌ وُكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ.
“Jauhilah oleh kamu perkara-perkara yang baru (dalam agama) kerana setiap perkara yang baru itu bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat”. (Hadis Hasan riwayat Turmizi)
Orang-orang kafir di India ternyata boleh melakukan perbuatan-perbuatan yang lebih hebat dari itu sebagaimana yang telah dinukil oleh Ibn Batutah dalam perantauannya dan telah diceritakan juga oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyah dalam kitab-kitab beliau. Maka bolehkah kita katakan bahawa mereka itu wali-wali yang memiliki keramat? Namun ia adalah antara perbuatan syaitan-syaitan dan merupakan istidraj bagi pelakunya supaya ia bertambah sesat sebagaimana firman Allah Ta’ala:
قُلْ مَنْ كَانَ فِى الضَّلاَلَةِ فَلْيَمْدُدْ لَهُ الرَّحْمَنُ مَدًّا.
“Katakanlah! Sesiapa yang berada di dalam kesesatan maka biarkanlah Rabb Yang Maha Pemurah memperpanjang tempoh baginya”. (Maryam 19: 75).
TAKUT DAN BERHARAP
Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:
وَادْعُوْهُ خَوْفًا وَطَمَعًا
“Berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan dengan penuh pengharapan (akan dikabulkan)”.(al-A’raaf 7: 56)
Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada sekalian hambaNya supaya mereka berdoa hanya kepada Yang Maha Menciptakan dan Yang diIbadahi oleh mereka lantaran rasa takutkan api neraka dan azabNya. Serta mengharap untuk memperolehi syurgaNya dan kenikmatanNya sebagaimana firmanNya:
نَبِّئْ عِبَادِيْ اِنِّيْ اَنَا الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمِ وَانَّ عَذَابِيْ هُوَ الْعَذَابُ الآلِيْمُ.
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa sesungguhnya Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan bahawa sesungguhnya azabKu adalah azab yang sangat pedih”. (al-Hijr 15: 49-50)
Hanya dengan rasa takut kepada Allah menyebabkan seseorang hamba menjauhi perbuatan-perbuatan maksiat kepada Allah dan setiap yang dilarang. Sedangkan rasa tamak untuk memperolehi syurgaNya akan mendorong seseorang itu untuk beramal soleh dan mengerjakan setiap apa yang diredhaiNya. Kesimpulan dari apa yang dijelaskan oleh ayat di atas:
Sewajarnya seorang hamba itu berdoa hanya kepada RabNya yang telah menjadikannya, kerana Dialah Yang Maha Mendengar dan Mengabulkan doanya.
Pengharaman dari berdoa kepada selain Allah walaupun kepada nabi, wali atau malaikat. Kerana doa itu adalah ibadah, contohnya seperti solat, maka tidak boleh ditujukan kepada sesuatu apapun kecuali hanya kepada Allah semata.
Sewajarnya seorang hamba itu berdoa kepada Rabnya dengan rasa takut dari api nerakaNya dan kerana ingin untuk memperolehi syurgaNya
Ayat di atas merupakan bantahan kepada orang-orang sufi yang mengatakan bahawa mereka tidak beribadah kepada Allah kerana rasa takut kepadaNya, atau mengharapkan untuk mendapatkan apa yang ada di sisiNya kerana rasa takut dan harap adalah antara jenis-jenis ibadah. Dan sesungguhnya Allah telah memuji para nabi dan merekalah manusia-manusia pilihan sebagaimana firmanNya:
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَ وَاَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ اِنَّهُمْ كَانُوْا يُسَارِعُوْنَ فىِ الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُوْنَنَا رَغَبًا وَكَانُوْا لَنَا خَاشِيْعِيْنَ
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harapan cemas dan mereka adalah orang-orang yang khusuk kepada Kami” AL-ANBIA 21:90.
Ayat di atas merupakan bantahan terhadap kitab (al-Arba’in an-Nawawiyah) ketika Imam Nawawi mensyarahkan hadis:
“Sesungguhnya semua amal itu tergantung pada niatnya” di mana beliau mensyarahkan: Dan apabila seseorang beramal kemudian diiringi dengan niat maka ada tiga keadaan baginya:
Dia melakukan amal tersebut kerana rasa takut kepada Allah Ta’ala. Perbuatan ini disebut sebagai ibadahnya seorang budak.
Dia mengerjakan sesuatu amal kerana mencari syurga dan pahala. Ini disebut sebagai ibadahnya pedagang.
Dia mengerjakan sesuatu amal kerana rasa malu kepada Allah dan untuk melaksanakan hak-hak ubudiyah serta sebagai rasa bersyukur. Hal ini disebut sebagai ibadahnya seorang yang merdeka.
As-Syaid Muhammad Rasyid Ridha, menyentuh pendapat ini di dalam kitabnya (Majmu’atul Hadis an-Najdiyah) kemudian beliau menegaskan:
“Pembahagian seperti ini menyerupai pendapat para penganut sufi dengan pendapat para fukaha hadis. Pendapat yang betul ialah bahawa kesempurnaan ibadah apabila dicantumkan antara rasa takut (yang beliau sebut dengan ibadahnya budak kerana kita semua adalah hamba-hamba Allah) dengan rasa harapan untuk mendapatkan pahala dan kurnia Allah (yang beliau sebut dengan ibadahnya pedagang)”.
Saya berkata: Syeikh Mutawally asy-Sya’rawy menghidupkan akidah ini dalam kitab-kitabnya sebaliknya bertambah jauh penyimpangannya, kerana beliau menafsirkan hal ini dengan contoh T.V (mungkin yang dimaksudkan Syeikh Mutawally adalah orang yang terlalu menaruh harapan kepada T.V termasuk syirik). Wallahu ‘alam. Firman Allah:
وَلاَ يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ اَحَدًا
“Dan janganlah ia menyekutukan seseorangpun dalam beribadah kepada Rabbnya”. (al-Kahfi 18: 110)
Kemudian ia menegaskan: Syurga adalah satu (yang ia maksudkan adalah: Sesiapa yang beribadah kepada Allah kerana ingin mendapatkah syurga adalah syirik).
TAHUKAH ANDA APA ITU QASYIDAH AL-BURDAH?
Qasidah (syair al-Burdah) ditulis oleh penyair al-Bushoiry yang sangat popular di tengah-tengah masyarakat, terutama di kalangan orang-orang sufi. Namun, jika kita menghayati maksudnya, maka kita akan dapati isinya sangat bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah Rasul sallallahu ‘alaihi wa-sallam, berikut ini huraian syair-syair tersebut:
1). “Wahai orang yang paling mulia! Aku tidak mempunyai pelindung selain engkau ketika datang bencana yang merata”.
Si penyair beristighfar (meminta pengampunan) kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sambil berkata:
“Aku tidak menemui seorang yang dapat melindungiku ketika datang bencana yang menyeluruh kecuali engkau.”
Ini termasuk syirik akbar (syrik besar) yang mengekalkan pelakunya di dalam api neraka jika tidak bertaubat dari syirik tersebut. Sebagaimana firman Allah Ta’ala:
وَلاَ تَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ مَا لاَ يَنْفَعُقَ وَلاَ يَضُرُّكَ فَاِنْ فَعَلْتَ فَاِنَّكَ اِذًا مِنَ الظَّالِمِيْنَ.
“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula memberi mudharat kepadamu selain Allah, sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim.” YUNUS 10:106
(Maksud zalim ialah: Orang-orang musyrik, kerana syirik itu merupakan kezaliman yang sangat besar). Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
مَنْ مَاتَ وَهُوَ يَدْعُ مِنْ دُوْنِ اللهِ نِدًّا دَخَلَ النَّار.
“Barangsiapa mati dan ia menyeru (berdoa) kepada selain Allah sebagai tandingan-Nya, maka ia pasti masuk neraka.”( H/R Bukhari)
2). “Sesungguhnya antara kedermawananmu adalah engkau berikan dunia dan akhirat. Dan di antara ilmu-ilmumu adalah ilmu Lauhul Mahfudz dan Al-Qalam (pena).”
Ini adalah pendustaan terhadap al-Quran yang mana Allah Ta’ala telah berfirman:
وَاِنَّ لَنَالَلآخِرَةَ وَالاُوْلَى
“Dan sesungguhnya kepunyaan Kami-lah akhirat dan dunia”. (al-Lail 92: 13)
Maka dunia dan akhirat kedua-duanya adalah kepunyaan Allah dan termasuk ciptaan-Nya (makhluk-Nya), dan ia dicipta bukan kerana kedermawanan Rasulullah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak mengetahui apa yang ada di dalam Lauhul Mahfudz, kerana tidak seorangpun yang mengetahui apa yang ada di dalamnya kecuali Allah semata.
Hal seperti ini samalah seperti pensucian dan berlebih-lebihan dalam memuji Rasulullah, sehingga (penyair menganggap) dunia dan akhirat dicipta kerana kedermawanan Rasulullah. Ia menganggap bahawa baginda mengetaui hal-hal ghaib yang ada di Lauhul Mahfudz, bahkan ia menganggap apa yang ada di Lauhul Mahfudz dari ilmu baginda.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam melarang dari mensucikan baginda sebagaimana sabdanya:
لاَتَطْرُوْنِيْ كَمَا اَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ ، فَاِنَّمَا اَنَا عَبْدُهُ فَقُوْلُوْا عَبْدَ اللهِ وَرَسُوْلَهُ.
“Janganlah kamu mensucikanku sebagaimana orang-orang Nasrani mensucikan Nabi Isa putera Maryam, kerana sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba Allah) dan Rasul-Nya.” (H/R Bukhari)
3). “Tidaklah sesuatu yang buruk menimpaku kemudian aku minta perlindungan darinya. Kecuali aku akan mendapatkan pertolongan dari sisinya.”
Penyair juga mengatakan: “Tidaklah aku tertimpa sakit atau kesusahan kemudian aku meminta kesembuhan atau penyelesaian dari kesusahan itu kepada baginda (Rasulullah) kecuali ia akan menyembuhkanku dan melapangkan kesusahanku.”
Al-Quran mengisahkan tentang ucapan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam kepada Allah Azza wa Jalla:
وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ
“Dan apabila aku sakit, Dia-lah yang menyembuhkan aku.”. (ays-Syua’ara 26” 80)
وَاِنْ يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ اِلاَّ هُوَ.
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri.”. AL-AN’AM 6:17.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَااسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ.
“Apabila kamu meminta (sesuatu), maka mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan maka mnitalah pertolongan kepada Allah” . (H/R Turmizi (hadis hasan))
4). “Sesungguhnya aku mempunyai jaminan darinya kerana namaku Muhammad dan dia adalah orang yang paling menepati janji.”
Penyair berkata: “Sesunggunya aku mempunyai perjanjian dengan Rasulullah supaya ia memasukkan aku ke dalam syurga kerana namaku Muhammad.”
Dari mana (dalil) dia mempunyai perjanjian ini? Padahal kita menyedari bahawa ramai dari kaum muslimin yang fasik dan komunis namanya Muhammad, maka apakah dengan memberi nama Muhammad akan menjamin mereka masuk syurga? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah bersabda kepada puteri baginda Fatimah radiallahu ‘anha:
سَلِيْنِيْ مَاشِئْتِ مِنْ مَالِيْ لاَاُغْنِيْ عَنْكِ مِنَ اللهِ شَيْئًا
“Mintalah kepadaku dari hartaku sehendakmu, (namun) aku tidak dapat (menjaminmu) di sisi Allah sedikitpun”. (H/R Bukhari)
5). “Semoga rahmat Rabku ketika Ia memberinya, diberikan sesuai dengan tingkat kemaksiatannya.”
Perkara ini tidak benar kerana sekiranya rahmat Allah diberikan berdasarkan tingkat kemaksiatan seseorang sebagaimana yang dikatakan oleh penyair di atas, tentulah setiap muslim akan menambah kemaksiatannya sehingga ia memperolehi rahmat yang lebih banyak lagi. Tetapi hal seperti ini tidak mungkin diucapkan oleh seorang muslim dan orang yang berakal kerana bertentangan dengan firman Allah Ta’ala:
اِنَّ رَحْمَتَ اللهِ قَرِيْبٌ مِنَ الْمُحْسِنِيْنَ.
“Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik”. (al-A’raaf 7: 56)
وَرَحْمَتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْىءٍ فَسَاَكْتُبُهَا لِلَّذِيْنَ يَتَّقُوْنَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكَاةَ وَالَّذِيْنَ هُمْ بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُوْنَ.
“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, maka akan Aku tetapkan rahmatKu untuk orang yang bertaqwa, yang menunaikan zakat dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami”. (al-A’raf 7: 156)
6). “Untuk apa kamu terlalu meminta dunia padahal kalau bukan kerana Nur Muhammad nescaya dunia ini tidak akan dicipta”.
Penyair berkata: “Sekiranya tidak kerana Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam maka dunia ini tidak akan diciptakan.” Allah Ta’ala mengingkari pembohongan ini sebagaimana firman-Nya:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepadaKu”. (az-Dazriyat 51: 56))
Malah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam sendiri dicptakan untuk beribadah dan menyeru manusia supaya beribadah kepada Allah sebagaimana firmanNya:
وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّى يَاْتِيَكَ الْيَقِيْنُ.
“Dan sembahlah Tuhanmu hingga sampai kepadamu yang diyakini (ajal/mati)” (al-Hijr 15: 99))
7). “Aku bersumpah dengan bulan yang terbelah, jika kepunyaannya dari hatinya, maka petanda terkabulnya sumpah tersebut.”
Penyair bersumpah dengan bulan sedangkan Rasulullah bersabda:
مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللهِ فَقَدْ اَشْرَكَ.
“Barangsiapa bersumpah atas nama selain Allah, maka ia telah berbuat syirik.”( H/R Ahmad (hadis sahih))
Kemudian penyair berkata tentang Rasulullah dengan kata-kata:
“Sekiranya mukjizat Rasul itu benar, nescaya ketika disebut nama Rasul pasti bangkitlah tulang-tulang yang telah binasa.”
Maksudnya: Sekiranya mukjizat Rasul itu berkuasa atas tulang-belulang, pasti mayat yang telah hancur itu akan hidup dan bangkit kembali dengan menyebut nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Namun, kenyataan semuanya itu tidak terjadi, maka seolah-olah Allah belum memberi mukjizat yang memang sebagai hak Rasul kepada rasulNya. Ucapan penyair ini seakan-akan penentangan terhadap Allah kerana belum memberi mukjizat yang menjadi haknya Rasulullah. Ini adalah pembohongan dan pendustaan atas nama Allah, kerana Allah Ta’ala telah memberikan kepada setiap NabiNya mukjizat-mukjizat yang sesuai baginya.
Contohnya: Dia telah memberikan kepada Nabi Isa ‘alaihis salam mukjizat yang ia dapat menyembuhkan mata orang buta, penyakit kusta, menghidupkan kembali orang yang sudah mati, Allah Ta’ala juga telah memberikan mukjizat kepada junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam berupa Al-Quran, dapat memperbanyak air serta makanan, dapat membelah bulan dan lain-lain.
Lebih menghairankan lagi, Qasyidah ini dinamakan Burdah atau Bur’ah (ertinya pakaian atau penyembuhan) kerana penulis sebagaimana pengakuannya pernah sakit, kemudian ia melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian baginda memberikan jubah kepadanya, setelah ia memakainya ia terus sembuh dari peyakitnya. Ini sebenarnya dusta dan bohong sehingga mereka mengagung-agungkan Qasyidah ini. Sedarlah! Bagaimana Rasulullah akan redha terhadap ucapan seperti ini yang menyalahi al-Quran dan petunjuk Rasulullah kerana di dalam qasidah ini mengandungi kesyirikan yang nyata.
Ketahuilah bahawa pernah seorang lelaki yang datang menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sambil berkata: “Atas kehendak Allah dan kehendakmu”, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda kepadanya: “Apakah kamu akan menjadikan aku tandingan bagi Allah? Tetapi katakanlah!: Atas kehendak Allah semata”( H/R Nasai (dengan sanda yang hasan))
Wahai saudaraku muslim! Waspadalah olehmu terhadap Qasyidah (syair) ini dan syair-syair yang semisalnya. Ia bertentangan dengan al-Quran dan petunjuknya Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Yang menghairankan lagi, ada di beberapa negara Islam yang mengucapkan penghormatan terakhir kepada mayat yang sedang diusung ke perkuburan dengan syair ini, maka mereka menambahkan kesesatan ini dengan bid’ah-bid’ah yang lain. Sedangkan Rasulullah telah menyuruh kita supaya diam ketika ada jenazah yang sedang diusung. Sesungguhnya tiada daya kekuatan kecuali hanya bagi Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.
TAHUKAH ANDA TENTANG KITAB DALA ILUL KHAIRAT?
Amma ba’du, Sesungguhnya kitab Dala ilul Khairat tulisan Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli telah tersebar di dunia Islam. Terutama dalam masjid-masjid sehingga ramai kaum muslimin yang membacanya. Malah besar kemungkinan mereka lebih mengutamakan kitab ini daripada al-Quran, khususnya di hari Jumaat. Tidak hairanlah jika penerbit berlumba-lumba mencetaknya. Pastinya kerana keuntungan kebendaan dan dunia semata tanpa memperhatikan kerugian akhirat yang akan dialami oleh penerbitan tersebut lantaran buku yang berada padanya itu akan ditulis di punggungnya. (Lihat: Al-Haramain Lith Thab’ah wa at-Tauzi’. Singapore-Jeddah)
Jika seseorang muslim yang berakal dan kritis terhadap hukum-hukum agamanya mengkaji kitab tersebut, maka pasti ia akan menemukan di dalamnya banyak sekali kesesatan (penyimpangan) terhadap syariat Islam. Adapun yang paling ketara ialah:
1. Penulis telah menjelaskan di dalam mukaddimahnya di halaman 12:
“Dengan bersandarkan kepada Yang Maha Tinggi (Nabi Muhammad)”.
Sebenarnya yang dimaksudkan oleh penulis dalam tulisannya ini ialah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam.
Saya berkata: Perkataan ini menyalahi al-Quran al-Karim, yang mana al-Quran tidak memperbolehkan kita meminta pertolongan kecuali hanya dari Allah semata sebagaimana firmanNya:
بَلَى اِن تَصْبِرُوْا وَتَتَّقُوْا وَيَاْتُوْكُمْ مِنْ فَوْرِكُمْ هَذَا يُمْدِدْكُمْ رَبُّكُمْ بِخَمْسَةِ آلاَفٍ مِّنَ الْمَلاَئِكَةِ مُسَوِّمِيْنَ.
“Ya (cukup)! Jika kamu bersabar dan bertaqwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda”. (Ali Imran 3: 125))
Sedangkan ucapan Dala ilul Khairat menyalahi sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
اِذَا سَاَلْتَ فَاسْاَلِ اللهَ وَاِذَااسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ
“Apabila kamu meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan maka mohonlah pertolongan kepada Allah”. H/R Turmizi, Hasan Sahih.
2. Kemudian dia berkata di dalam Hizbun Nasr karangan Abu al-Hasan asy-Syadzali (Kitab untuk berwirid pegangan tarikat Syadzaliyah) halaman 7:
“Ya Huwa, Ya Huwa, Ya Huwa! Yang ertinya: Wahai Dia (Allah)! Wahai Dia, Wahai Dia, Wahai Dia! Wahai Zat yang mempunyai kurnia! Kami mohon kepada Mu kurnia dengan segera”.
Saya berkata: Sesungguhnya kalimah “Huwa” (dia) bukan termasuk nama-nama Allah yang al-Husna, tetapi ia adalah dhamir (gantinama) yang kembali kepada kata sebelumnya. Oleh itu, tidak boleh memasukkan kata wahai kepada huwa (هو/dia) seperti yang dilakukan oleh penganut sufi/tasawuf dan ia adalah antara perbuatan bid’ah mereka dengan menambah-nambah Asma al-Husna yang tidak termasuk nama Allah Azza wa-Jalla.
3. Penulis menyebutkan nama-nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian membelakangkannya, memberi sifat kepada baginda dengan nama-nama dan sifat yang tidak selayaknya digunakan kecuali hanya kepada Allah Azza wa-Jalla. Ketahuilah bahawa nama-nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tercantum dalam sabdanya:
“Sesungguhnya aku mempunyai beberapa nama: Aku adalah Muhammad, Ahmad, al-Maahi (yang menghapus) dimana Allah menghapuskan kekufuran dengan (perantara) aku, al-Hasyir (yang mengumpulkan) dimana manusia akan berkumpul di bawah kedua telapak kakiku dimana tidak ada seorangpun (Nabi) sesudahku dan Allah telah memberi nama Raufur-Rahim (yang pengasih lagi penyayang)”. (H/R Muslim)
Dari Abu Musa al-Asyari, beliau berkata: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyebut kepada kami nama-nama baginda sendiri dan bersabda:
“Saya adalah Muhammad, Ahmad, al-Muqaffy (pemberi tauladan), al-Hasyir (yang mengumpulkan), Nabiyut-Taubah (Nabi pembawa taubat) dan Nabiyur-Rahman (Nabi pembawa rahmat)”. (H/R Muslim)
4. Nama-nama Rasulullah yang disebutkan dalam kitab Dala ilul Khairat dimulai dari halaman 37-38:
“Muhyi (yang menghidupkan), Munji (yang menyelamatkan), Nashir (yang menolong), Ghauts dan Ghiyats (yang menyelamatkan dari bencana), Sahibul Faraj (yang melapangkan), Kasyiful-Kurb (yang menyingkap bencana) dan Syaafin (yang menyembuhkan)”. (Halaman 38, 40, 43).
Saya berkata: Semua nama-nama dan sifat-sifat ini tidak layak disandang oleh sesiapapun kecuali oleh Allah. Kerana Yang Menghidupkan, Yang menyelamatkan, Yang Menolong, Yang Menghindarkan dari bencana, Yang Menyembuhkan, Yang Menyingkap bencana dan Yang Melapangkan Dialah Allah Azza wa-Jalla. Al-Quran telah menjelaskan tentang ini, maka Nabi Ibrahim ‘alaihis salam berkata:
اَلَّذِيْ خَلَقَنِيْ فَهُوَ يَهْدِيْنِ وَالَّذِيْ يُطْعِمُنِ وَيَسْقِيْنِيْ وَاِذَا مَرِضْتُ وَهُوَ يَشْفِيْنِ وَالَّذِيْ يُمِيْتُنِى ثُمَّ يُحْيِيْنِ
“Iaitu Rab yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjukkan aku, Dia yang memberi makan dan minum kepadaku, dan apabila aku sakit Dialah yang menyembuhkan aku dan yang akan mematikan aku kemudian akan menghidupkanku (kembali).” (asy-Syu’ara 26: 78-81)
Allah Subhanahu wa Ta’ala Telah mengarahkan kepada Nabi-Nya supaya mengatakan kepada umat manusia:
قُلْ اِنِّيْ لآ اَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلاَ رَشَدًا
“Katakanlah! Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudharatanpun kepadamu dan tidak pula suatu kemanfaatan.” AL-JIN 72:21.
قُلْ اِنَّمَآ اَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوْحَى اِلَيَّ اِنَّمَآ اِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ.
“Katakanlah! Sesungguhnya aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu yang diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya Rab (Tuhan) kamu itu adalah Rab Yang Esa.” (al-Kahfi 18: 110)
Saya berkata: Sesungguhnya pengarang kitab Dala ilul Khairat menentang al-Quran dan mensetarakan antara Allah dan RasulNya dalam nama dan sifat-sifatNya. Sedangkan hal ini di antara apa-apa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam berlepas diri darinya dan sekiranay baginda mendengarnya pasti baginda akan menghukumi orang yang mengatakannya dengan syirik akbar (syirik besar).
Pernah ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sambil berkata:
“Atas kehendak Allah dan kehendakmu, maka baginda bersabda kepadanya: Apakah kamu akan menjadikan aku sebagai tandingan bagi Allah? Tetapi katanlah: Atas kehendak Allah semata.” (H/R Nasaii dengan sanad hasan)
An-Niddu (Tandingan): Yang serupa dan setara. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda:
“Janganlah kamu menyanjung aku sebagaimana orang-orang Nasrani menyanjung Nabi Isa putera Maryam kerana sesungguhnya aku adalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba Allah) dan RasulNya.” (H/R al-Bukhari)
Al-Ithra’ (penyanjungan) adalah: Berlebih-lebihan dan menambah-nambah dalam memberi pujian. Namun demikian kita masih boleh memuji dengan puji-pujian sebagaimana yang tercantum dalam al-Quran maupun sunnah.
5. Setelah itu penulis menyebutkan beberapa nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: “Muhaimin (yang maha memelihara), Jabbar (yang maha kuasa) dan Rukhul Qudus.” (Halaman 41-42).
Al-Quran menafikan (meniadakan) sifat-sifat ini dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagaimana firmanNya:
لَّسْتَ عَلَيْهِمْ بِمُصَيْطِرٍ.
“Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.” AL-GHAASYIYAH 88:22
وَمَا اَنْتَ عَلَيْهِمْ بِجَبَّارٍ.
“Dan kamu sekali-kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka.” QAAF 50:45
Adapun Ruhul Qudus (روح القدس) ia adalah malaikat Jibril ‘alaihis salam sebagaimana firmanNya:
قُلْ نَزَّلَهُ رُوْحُ الْقُدُسِ مِنْ رَبِّكَ بِالْحَقِّ.
“Katakanlah! Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Quran itu dari Rabbmu dengan benar.” (an-Nahl 16: 102)
6. Kemudian penulis kitab tersebut menyebut sifat-sifat yang tidak layak disandang oleh seorang muslim apalagi Rasulullah padahal baginda adalah seutama-utama manusia. Penulis mengatakan tentang Rasulullah: “Amubia (binatang bersel satu), Buruh dan Bakteria.” (halaman 37-110).
Pada awal-awal tulisannya penulis mengagung-agungkan Rasulullah sehingga ke darjat Ilah (tuhan) ketika ia berkata kepada baginda:
“Yang Maha Menghidupkan, Yang Maha Menolong, Yang Maha Menyembuhkan, Yang Maha Menyelamatkan” dan sifat-sifat yang lain sebagaimana yang telah disebutkan. Kemudian penulis merendahkan pula darjat Rasulullah hingga ke darjat “Bakteria dan Buruh” padahal sifat-sifat seperti ini boleh menjadikan badan tersiksa dan hati rosak. Ia adalah sesuatu yang membahayakan dan perlu ditentang, kerana ia seperti bakteria yang menyerang paru-paru.
Oleh kerana itu, maka baginda sallallahu ‘alaihi wa-sallam terlepas dari sifat-sifat tersebut. Kerana baginda adalah insan yang telah menyampaikan risalahnya dan telah menyelamatkan umat manusia dari kezaliman syirik dan perpecahan melalui ajaran-ajarannya. Baginda membawa manusia menuju keadilan dan tauhid (mengEsakan Allah). Jika yang dikehendaki oleh penulis dengan bakteria yang sebenarnya maka itu adalah batil.
7. Setelah mengucapkan kata-kata batil, penulis terus mensifati Rasulullah dengan sifat-sifat dusta yang di dalamnya mengandungi kesyirikan dimana boleh menghapus kebaikan. Seperti perkataannya pada hal. 90:
“Ya Allah! Berilah selawat kepada yang telah memekarkan bunga dari cahayanya dan yang telah memekarkan bunga dari cahayanya dan yang telah menghijaukan pepohon dari sisa air wuduknya.”
Sebenarnya Allahlah yang telah menciptakan pepohon itu dan Dialah yang telah memberikan warna hijau padanya.
8. Kemudian penulis mengatakan tentang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Dan dia (Rasulullah) adalah penyebab adanya segala sesuatu.”
Jika yang dimaksudkan semua yang dicipta oleh Allah kerana Nabi Muhammad, maka ini adalah pembohongan dan kesesatan kerana Allah Ta’ala telah berfirman:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah/beribadah kepadaKu.” (az-Dzariyat 51: 56)
9. Seterusnya penulis menyatakn pada halaman 198:
“Ya Allah! Berilah selawat atas Nabi Muhammad selagi burung-burung masih berkicau, peredaran-peredaran masih berputar dengan pantas, binatang-binatang ternak masih ke tempat gembalaan dan selama Tamimah (tangkal/azimat) masih mendatangkan manfaat.”
Ucapan ini bertentangan dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dimana baginda telah melarang penggunaan azimat, baginda bersabda:
“Barangsiapa yang menggantung (memakai) azimat maka ia telah berbuat syirik”. (H/R Ahmad)
(Tamimah/azimat) ialah: Termasuk benang, tali, kuku kaki binatang atau yang selainnya. Ia diikat (dileher/pinggang) anak-anak, kereta atau rumah untuk menolak bala (perkara yang tidak diingini berlaku) dan semuanya ini adalah termasuk perbuatan syirik. Perkataan penulis (tentang azimat) bertentangan dengan alQuran kerana yang dapat memberi kemanfaatan dan kemudaratan adalah dari Allah sebagaimana firmanNya:
وَاِنْ يَمْسَسْكَ اللهُ بِضُرٍّ فَلاَ كَاشِفَ لَهُ اِلاَّ هُوَ وَاِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
“Dan jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia Sendiri. Dan jika Dia mendatangkan ke baikan kepadamu maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (al-An’am 6: 17)
10. Kemudian al-Jazuli berkata: “Ya Allah! Berilah selawat atas Nabi Muhammad sehingga tidak tersisa selawat lain sedikit pun, rahmatilah baginda sehingga tidak tersisa rahmat lain sedikitpun, berkahilah baginda sehingga tidak tersisa berkah lain sedikitpun dan berilah baginda salam (kesejahteraan) sehingga tidak tersisa salam lain sedikitpun.” (Halaman 64)
Ucapan seperti ini adalah batil dan menyalahi al-Quran, kerana sesungguhnya selawat Allah adalah rahmat, berkah dan salamNya sentiasa tidak akan pernah habis dan hilang. Allah Ta’ala berfirman:
قُلْ لَوْكَانَ الْبَحْرُ مِدَادً لِّكَلِمَاتِ رَبِّيْ لَنَفِذَ الْبَحْرُ قَبْلَ اَنْ تَنْفَدَ كَلِمَاتُ رَبِّيْ وَلَوْجِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَادً.
“Katakanlah! Kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Rab, sesungguhnya habislah laut itu sebelum habis ditulis kalimat Rabmu, walaupun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula”. AL KAHFI 18:109.
11. Penulis menyebutkan di akhir bukunya (selawat masyisyiah) halaman 259-260 yang dicatit pada nota kaki naskah berikut:
“Ya Allah! Berilah selawat atas orang yang dari sisinya semua rahsia tersingkap, cahaya-cahaya terbit dan yang di dalamnya hakikat-hakikat berkembang. Tidaklah ada sesuatupun kecuali ia akan melekat kepadanya. Kalau sekiaranya tidak kerana wasilah, maka pasti akan hilang yang diwasilahkan”.
Saya berkata: Ucapan ini semuanya batil. Kemudian ia berkata lagi dalam menyempurnakan doa ini (halaman 26).
“Dan menyelamlah denganku di samudera ke-Esaan, angkatlah aku dari al-Auhal (kotoran/najis) tauhid dan tengelamkanlah aku ke dalam lautan wihdatul wujud, sehingga aku tidak boleh lagi melihat, mendengar dan merasa kecuali dengannya”.
Perhatikanlah wahai saudaraku muslim! Sesungguhnya dalam doa tersebut terdapat dua ucapan yang membahayakan akidah:
Ucapan: “Angkatlah aku dari al-Auhal tauhid”.
Al-Auhal adalah kotoran-kotoran, maka apakah tauhid itu kotoran/najis?
Sesungguhnya mentauhidkan Allah dalam beribadah dan doa adalah suci/murni yang tidak ada di dalamnya najis maupun kotoran-kotoran sebagaimana yang didakwa Ibn Masyisy. Sesungguhnya al-Auhal dan kotoran-kotoran itu adalah dalam berdoa kepada selain Allah sama ada kepada para Nabi maupun wali dan ia termasuk syirik akbar (syirik besar) yang dapat menghapuskan amal dan mengekalkan pelakunya di dalam neraka.
Dan ucapan: “Menyelamlah denganku di samudrera keEsaan dan tenggelamkanlah aku ke dalam satu lautan”.
Saya berkata: Ini adalah wahdatul wujud menurut sebahagian orang-orang sufi sebagaimana yang telah diungkapkan oleh Ibn Araby yang dikuburkan di Damaskus (Syuria) dimana ia berkata di dalam kitabnya (Al-Futuhat al-Makkiyah):
“Hamba adalah Rab (Tuhan) dan Rab adalah hamba. Aduhai! Bagaimana hal ini lalu siapa yang mukallaf? Jika saya katakan hamba, maka hal itu adalah benar. Namun jika aku katakan Rab, bagaimana mungkin saya mukallaf?”
Lihatlah bagaimana ia menjadikan seseorang hamba itu sebagai Rab dan menjadikan Rab itu hamba. Maka keduanya menurut Ibn Araby dan Ibn Masyisy sebagaimana yang disebutkannya dalam kitab (Dala ilul Khairat) keduanya adalah sama sahaja.
12. Kemudian penulis menyebut lagi (dihalaman 83): “Ya Allah! Berilah selawat kepada orang yang menghilangkan mendung, penerang kegelapan, pemilik nikmat dan pemberi rahmat”.
13. Ali Ibnu Sultan Muhammad al-Qary mengatakan dalam wiridnya yang ia beri nama (al-Hizbul A’dhom yang tercantum pada nota kaki Kitab Dala ilul Khairat):
“Ya Allah! Berilah selawat kepada junjungan kami Nabi Muhammad yang cahayanya mendahului penciptanya”
Saya berkata: Ini adalah ucapan batil dan sama seperti menolak hadis sahih yang berbunyi:
“Sesungguhnya yang pertama kali diciptakan Allah adalah al-Quran (pena).” (H/R Turmizi (disahihkan oleh al-Albani))
Adapun hadis yang berbunyi:
“Yang pertama kali diciptakan oleh Allah adalah cahaya NabiMu, wahai Jabir!” Hadis ini menurut para Ahli Hadis adalah maudhu’ (palsu), dhaif (lemah) dan batil.
Terdapat di dalam naskah kitab (Dala-ilul Kairaat) dan di akhir syair (al-Burdah) yang menyebutkan:
“Wahai Abu Halil Syeikh kami! Pelindung kami dan pengatur waktu, dia bernama Muhammad.”
Dia berkata: Sesungguhnya syeikhnya yang bernama Muhammad berlindung kepadanya (Abu Khalil) ketika ia tertimpa kecelakaan. Ini adalah perbuatan syirik kerana seorang muslim tidak boleh berlindung kecuali hanya kepada Allah sebab Allah adalah Tuhan Yang Maha Hidup lagi Maha Kuasa, sedangkan saudaranya telah mati, lemah dan tidak boleh memberi manfaat atau mudharat (bahaya).
Dia meyakini bahawa syeikhnya adalah pengatur (atau penentu) waktu. Ini adalah terbukti kepercayaan orang-orang sufi yang mengatakan:
“Sesungguhnya di alam ini ada pengatur-pengatur waktu”. Orang sufi menyakini adanya wali Quthb (seorang wali yang bertugas mengatur alam dan waktu) yang mengarahkan segala urusan alam, dimana mereka menjadikannya sebagai sekutu-sekutu bagi Allah dalam mengatur segala urusan, meskipun orang-orang musyrik dahulu (tetap) mempercayai bahawa yang mengatur alam semesta adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala semata sebagaimana firmanNya:
قُلْ مَنْ يَرْزُقُكُمْ مِّنَ السَّمَآءِ وَالاَرْضِ اَمَّنْ يَمْلِكُ السَّمْعَ وَالاَبْصَارَ وَمَنْ يُخْرِجُ الْحَيَّ مِّنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَمَنْ يُدَبِّرُ الاَمْرَ فَسَيَقُوْلُوْنَ اللهَ فَقُلْ اَفَلاَتَتَّقُوْنَ.
“Katakanlah! Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab Allah. Maka katakanlah mengapa kamu tidak bertakwa (kepadaNya)” YUNUS 10: 31
Dalam kitab (Dala ilul Khairaat) tercantum doa-doa sahih. Namun malapetaka yang besar seperti yang telah disebutkan ada di dalamnya sehingga boleh merosak akidah kepada sesiapa yang meyakininya. Oleh kerana itu doa-doa sahih tersebut tidak lagi dianggap bermanfaat baginya apalagi dalam kitab tersebut banyak sekali terdapat kesalahan.
Maka sesiapa yang ingin memperluas (pengetahuannya tentang ajaran sufi/tasawuf) hendaknya ia merujuk kepada kitab (kitab-kitab yang sebenarnya bukan termasuk kitab-kitab Islam) yang ditulis oleh Ustaz Mahdi al-Istanbuli dimana telah membahas tentang hal tersebut dan juga kitab Qasyidah al-Burdah, Maulid al-‘Arus, Thabaqaatul-Auliya’ karangan asy-Sya’rani, Taaiyah Ibnu al-Faridh, al-Anwar al-Qudsiyah, at-Tanwir Fie Isqaatit-Tadfbir, Mi’raj Ibnu Abbas, al Hikam karangan Ibnu ‘Athaa-illah al-Iskandari dan kitab-kitab selainnya yang mana penulis kitab ini (Muhammad Bin Jamil Zainu) meminta supaya kitab-kitab tersebut dibakar kerana di dalamnya mengandungi bahaya bagi akidah kaum muslimin.
Wahai kaum muslimin! Berjaga-jagalah apabila membaca kitab-kitab ini, hendaknya membaca kitab (Fadhlus-Syalah ‘Alaa an-Nabi sallallahu ‘alaihi sallam) yang ditulis oleh Ismail al-Qadhy yang telah ditahkik (diteliti) oleh ahli hadis al-Albani.
Dan terdapat sebuah kitab baik berjudul “Dala ilul Khairat” tulisan Khairuddin Wanili. Di dalam kitab ini terkumpul selawat dan doa-doa yang sahih sehingga tidak lagi memerlukan kitab Dala-ilul Khairat kerana ia menjerumuskan kamu ke lembah kesyirikan dan perbuatan dosa.
Ya Allah! Tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan anugerahkanlah kepada kami sehingga dapat mengikuti serta jadikanlah kami mencintainya dan jadikanlah yang batil itu batil dan anugerahkanlah kepada kami untuk dapat menjauhinya serta jadikanlah kami membencinya. Selawat dan salam semoga sentiasa tercurah kepada Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam dan keluarganya.
No comments:
Post a Comment