Wednesday, September 21, 2011

SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB ( ANTARA FAKTA DAN PALSU )

Sebuah buku bersaiz sederhana yang berjudul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab :

Antara Fakta dan Palsu yang merupakan himpunan kertas kerja Seminar Antarabangsa Mengenai Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang dihasilkan oleh enam orang pembentang iaitu Dr. Johari Mat, Dr. Abdul Halim Ahmad Saising, Syeikh Ihsan bin Muhammad bin ‘Ayish Al-‘Uthaibi, Dr. Sulaiman Al-Saloomi, Dr. H. Yunahar Ilyas dan Dr. Azzam Tamimi. Seminar Antarbangsa ini diadakan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada 16-17 Mac 2006.

Buku terbitan Karya Bestari yang mempunyai 147 halaman ini, hanya dijual dengan harga RM5. Kalau anda membelinya di kedai yang menawarkan diskaun 10 peratus, dapatlah dengan harga yang lebih murah – RM4.50 sahaja. Sangat berbaloi tentunya membeli sebuah buku yang penuh ilmu dengan harga semurah itu.

Di bawah tajuk Tuduhan Terhadap Syeikh, Dr. Abdul Halim Saising menukilkan begini;

“Syeikh dituduh dengan berbagai-bagai tuduhan. Antaranya:

Tuduhan “Wahhabi” sebagai satu mazhab baru yang lain daripada mazhab empat.
Tuduhan “Wahhabi” sebagai satu mazhab yang terkeluar daripada agama.

Sebenarnya dakwaan ini adalah tohmahan semata-mata dan langsung tidak ada bukti yang boleh menguatkan dakwaan tersebut. Syeikh adalah bersih daripada apa yang dituduh itu kerana buku-buku karangan dan manhaj dakwahnya adalah jelas sebagaimana yang dinyatakan se-belum ini.”

1. APAKAH ITU WAHABI?

Dalam kitab Fatwa al-Lajnah ad-Da’imah juz 2, hal 174 diterangkan:

“Wahabiah adalah sebuah lafaz yang dilontarkan oleh musuh-musuh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab disebabkan dakwah beliau di dalam memurnikan tauhid, membasmi syirik dan membendung seluruh tatacara ibadah yang tidak dicontohkan dari Nabi Muhammad s.a.w. Tujuan mereka dalam menggunakan lafaz ini ialah untuk menjauhkan manusia dari dakwah beliau dan menghalangi mereka agar tidak mahu mendengarkan perkataan beliau”.[1]

Wahabi sebenarnya adalah diambil daripada nama Muhammad bin Abdul Wahab. Tetapi dinisbahkan kepada nama ayahnya iaitu Abdul Wahab sebagai “wahabi”. Padahal ayahnya tidak ada sangkut paut dengan dakwah yang di bawa oleh anaknya iaitu syeikh Muhammad bin AbdulWahab.[rujuk Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-Story and Mission oleh Jalal Abualrub]

Beliau berdakwah membasmi segala bid’ah dan syirik yang meluas ketika itu di tanah arab. Syeikh Ali Tantawi menyebut banyak jenis bid’ah berkembang sebelum kelahiran Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab sehinggalah kelahiran beliau:

“Orang awam percaya mereka boleh mendapat kebaikan dan menjauhkan musibah dengan meminta kepada kubur-kubur Nabi dan orang-orang alim, termasuklah pokok-pokok, busut-busut serta patung-patung. Mereka menyeru kepada benda-benda ini dan mereka berkorban atas nama orang-orang tersebut. Memuji yang mati menjadi popular. Daerah yang paling banyak amalan jahiliah baru ini”. [Petikan dari Muhammad Ibn Abdul Wahab His Life-Story and Mission, hal 22][2]

Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab atau nama sebenar beliau ialah Muhammad bin Abdul Wahab bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Rasyid At-Tamimi al-Najdi. Beliau lahir pada tahun 1115H, dibandar al-U’yainah sebelah sebelah utara bandar Riyadh, Saudi pada waktu pemerintahan Bani Uthman (Uthmaniah) semasa sultan Ahmad ketiga yang memerintah antara tahun 1115H hingga 1144H. Wafatnya Syaikh Muhammad pada bulan dzulkaedah 1206H dalam usia 86 tahun rahimahullah.[3]

Demikian di atas pengenalan secara ringkas yang saya nukilkan daripada kertas kerja Seminar Antarabangsa mengenai Syeikh Muhammad Abdul Wahab pada 16 & 17 Mac 2006 di perlis.

[1] Dinukil daripada buku Hinpunan risalah dalam beberapa persoalan ummah buku 3 oleh Hafiz Firdaus Abdullah, hal 103

[2] Dinukil daripada terjemahan bukunya yang bertajuk Siapa Wahabi? Oleh Hamidun Abdullah, hal 8.

[3] Dinukil dari kertas kerja tajuk Penyebaran Ilmu Salafi Khususnya Penulisan Syeikh Muhammad Abdul Wahab oleh Dr. Abdul Halim Ahmad Saising.

No comments:

Post a Comment