Wednesday, September 21, 2011

Hakikat Sufi Yang Perlu Diketahui, Dan Wahabi bukanlah Sufi

Hakikat Sufi Yang Perlu Diketahui, Dan Wahabi bukanlah Sufi


Kalimah tasawwuf (sufi) sangat terkenal dimata masyarakat pada hari ini. Ada yang mengetahui hakikat sebenar kalimah tersebut dan ada yang masih tidak tahu apakah disebaliknya kalimah tersebut.

Asal perkataan sufi adalah daripada perkataan Greek, iaitu 'sofea' bermaksud hikmah atau bijaksana. Sebahagian berpendapat bahawa ia merujuk kepada pemakaian kain bulu, iaitu suf yang merupakan pemakaian kelompok orang yang zuhud. (Rujuk: Al-Sufiah fii Mizan al-Kitab wa al-Sunnah, Muhammad Jamil Zainu)

Muhammad bin Sirin (seorang tabi'in) pernah ditanya tentang terdapat orang yang meniru pemakaian Nabi Isa bin Maryam a.s. maka Ibn Sirin menjawab:

"Terdapat segolongan manusia yang memilih untuk memakai pakaian atau kain yang diperbuat daripada bulu (suf). Menurut mereka seolah-olah mereka meniru perbuatan Nabi Isa bin Maryam a.s. Tetapi, jalan yang diikuti oleh Nabi s.a.w. lebih dicintai oleh kami. Sedangkan rasulullah s.a.w. memakai pakaian yang diperbuat daripada kapas dan berbagai-bagai jenis pakaian." (Rujuk: Majmuk al-Fatawa, 11/7)

Dr. Qassim Ganny telah mengemukakan fakta-fakta positif dari ahli sejarah yang membuktikan asal usul kemasukan ideologi tarekat sufi ini ke dalam pemikiran Islam. Antara factor-faktor tersebut ialah:

1. Beberapa kalangan pengkaji tarekat menegaskan bahawa sufi bukanlah dari syariat Islam, tetapi diresapkan ke dalam ajaran Islam oleh musuh-musuh Islam terutama di dalam bab akidahnya pada zaman di mana agama Islam telah meluas dan orang-orang Islam telah berjaya menawan Rom dan Parsi.

2. Terdapat banyak persamaan dikebanyakan doktrin dalam ideologi tarekat sufi dengan doktrin kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Ini menguatkan lagi bukti bahawa tarekat sufi berasal dari agama Majusi. Ia menyusup ke dalam Islam dari pengaruh beberapa agama Majusi tersebut terutamanya agama Majusi dan Buddha.

3. Sebilangan para pengkajian berpendapat, sufi tumbuh dari kesan pemikiran falsafah, tidak terkecuali falsafah Neoplatonisme. Dalil-dalil untuk membuktikan sahihnya pendapat tersebut adalah dengan adanya persamaan teori falsafah tarekat ini dengan teori falsafah dari Barat. Ditambah pula dengan pembuktian sejarah bahawa falsafah Greek sudah meluas di Asia Barat sesudah dan sebelum kedatangan Islam.

4. Sebahagian pengkaji menegaskan, bahawa sufi diambil dari ajaran Masihi, Yahudi dan pendita-pendita dari kedua agama tersebut yang membawa masuk seterusnya menghidupkan ideologi tersebut di dalam ajaran Islam setelah mereka memeluk Islam.

5. Sebahagian besar ahli sejarah pula menyatakan bahawa sufi pada kenyataannya diambil dari teori falsafah orang-orang kafir, terutamanya dari agama Hindu dan Buddha.

6. Tarekat sufi dan segala tarekat kebatinan yang terdapat dalam kepercayaan masyarakat Islam yang telah menjadi amalan dan pegangan mereka, pada asalnya adalah ciptaan yang dipelopori oleh Yahudi dan diresapkan ke dalam aqidah Islam. (Rujuk: Tarikh al-Tasawwuf fi al-Islam, Dr. Qassim Ganny)

Ibn Taimiyyah berkata:

"Unsur-unsur agama asing telah meresap dan mempengaruhi ajaran Islam di permulaan tahun kedua dalam pemerintahan 'Abbasiah. Ditambah pula adanya dorongan dan usaha-usaha yang gigih melalui kegiatan penterjemahan buku-buku Parsi, Rom, Yunani dan Hindu ke dalam bahasa Arab. Keadaan ini telah memberi sumbangan yang besar kepada kemasukan ideologi sufi ini ke dalam barisan kaum muslimin sehingga tersebar luas dan akhirnya terus tida dapat dibendung lagi." (Rujuk: Ibn Taimiyyah wa al-Tasawwuf, Dr. Mustafa Hilmi, ms. 40)

Tokoh Sufi Ibn 'Arabi

Antara tokoh-tokoh sufi iaitu Ibn 'Arabi, Al-Hallaj, Al-Jiili, Ibn Ajibah, Hasan Ridhwan, Ibn Basyish, Al-Dimardash, Ibn Al-Naabalusi, Abu Yazid al-Bustami, Jalaluddin Rumi, Ibn Faridh, Rabi'ah al-Adawiyah, dan Syeikh Mahmud Muhammad Thaha dan lain-lain lagi. Tokoh yang paling terkenal ialah Syeikh Muhyiddin Ibn 'Arabi al-Hatimi al-Taa'i (638 H). Antara fahaman beliau adalah "Wahdatul Wujud".

Ini dibuktikan sendiri dengan perkataan beliau sebagaimana berikut:

العبد رب والرب عبد،

يا ليت شعري من المكلف،

إن قلت عبد فذاك حق،

أو قلت رب أني يكلف

"Hamba ialah Tuhan dan Tuhan ialah Hamba. Aku berharap agar aku mengetahui yang mana satukah perlu aku jalankan tanggungjawabku. Jika aku katakan hamba itu hamba atau jika aku katakan hamba itu adalah Tuhan, jadi bagaimanakah bentuk tugasan yang perlu aku jalankan bagi-Nya." (Rujuk: al-Futuhat al-Makiyyah, Ibn 'Arabi, ms. 43)

Ibn 'Arabi juga berkata:

إن الذين عبدوا العجل ما عبدوا غير الله

"Sesungguhnya yang menyembah anak lembu (sebenarnya) dia tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah." (Rujuk: al-Futuhat al-Makiyyah, ms. 43 dan Tanbih al-Ghabi, al-Baqa'ie, ms. 124-127)

Syeikh Burhanuddin al-Baqa'i telah menerangkan hakikat iktiqad Ibn 'Arabi dalam muqaddimah kitabnya "Tanbih al-Ghabi Ila Takfir Ibn 'Arabi":

"Pertama perlu diketahui ucapannya, iaitu ucapan Ibn 'Arabi yang berkisar tentang kesatuan segala kewujudan (Wahdatul Wujud) ialah tidak ada perkara lain di dunia ini melainkan kesemuanya bersatu. Oleh itu, Tuhan adalah semua benda yang wujud dalam kesatuan dan tidak ada yang wujud kecuali ia termasuk Zat Allah."

Perhatikanlah ucapan Ibn 'Arabi tentang makna Allah Maha Tinggi. Dia berkata:

(العلي) على من؟ وما ثم إلا هو!! فهو العلي لذاته أو عن ماذا؟ وما هو إلا هو، فعلوّه لنفسه وهو من حيث الوجود عين الموجودات

"Yang Maha Tinggi. Di atas siapa? Tidak ada sesuatu apa pun di sana melainkan-Nya. Jadi, ketinggian-Nya ialah berkenaan Zat-Nya. Sedangkan, kewujudan Dia sudah pasti Zat bagi setiap perkara yang wujud."

Seterusnya dia berkata lagi:

فهو عين ما ظهر وهو عين ما بطن في حال ظهوره وما ثم من يراه غيره وما ثم من يبطن عنه فهو ظاهر لنفسه باطن عنه، وهو المسمى أبا سعيد الخراز وغير ذلك من أسماء المحدثات

"Daripada Allah, Dialah yang jelas dizahirkan dan segala apa yang tersembunyi adalah adalah zahir-Nya. Oleh itu, tiada sesiapa di sana untuk melihat-Nya melainkan diri-Nya, bersembunyi daripada-Nya dan Dia itu adalah Abu Said al-Kharraz (seorang tokoh sufi di Baghdad). Begitu juga dia nisbahkan kepada nama benda-benda lain yang diada-adakannya." (Rujuk: Fusus al-Hikam, Ibn 'Arabi, ms. 76-77, Tanbih al-Ghabi, ms. 63-64)

Imam Zainuddin al-'Iraqi r.h. menjelaskan daripada kata-kata Ibn 'Arabi di atas:

"Sesungguhnya ini adalah kata-kata beracun tentang penyatuan tiada batasan termasuk idea semua ciptaan yang wujud adalah Tuhan (Wahdatul Wujud). Termasuk kategori ideologi ini apa yang dinyatakan secara jelas bahawa Tuhan ialah Abu Said al-Kharraz dan juga perkara lain seumpama itu. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan hal ini dan mempercayainya maka menurut ijmak ulama dia telah kufur." (Rujuk: Tanbih al-Ghabi, ms. 66)

Ibn 'Arabi juga percaya bahawa animisme berada di atas kebenaran, sebagaimana katanya:

والعارف المكمل من رأى كل معبود مجلى للحق يعبد فيه ولذلك سموه كلهم إلها مع اسمه الخاص بحجر أو شجر أو حيوان أو إنسان أو كوكب أو ملك

"Setiap manusia yang mempunyai kefahaman yang penuh pasti melihat segala objek yang disembahnya sebagai manifestasi kebenaran yang terkandung dalamnya atau dasar ia disembah. Oleh itu, mereka memanggilnya Tuhan tidak kiralah sama ada batu, pokok, haiwan, manusia, binatang atau malaikat." (Rujuk: Fusus al-Hikam, 1/95, Hazihi Hiya al-Sufuyyah, Abdul Rahman al-Wakil, ms. 38)

Ibn 'Arabi memberi amaran kepada pengikutnya dalam kitab yang sama al-Fusus:

"Berhati-hatilah kamu dalam menghadkan dirimu kepada satu anutan dan tidak mempercayai anutan lain. Sesungguhnya, dengan cara itu banyak kebaikan akan terlepas daripada hidupmu. Selain itu, tahap pengetahuan kamu akan cetek apabila tidak mengikuti apa yang orang lain ikuti. Oleh itu, bersedialah untuk menerima segala macam kepercayaan. Ini kerana, Allah itu Maha Tinggi dan Maha Hebat untuk difahami. Tidak memadai hanya dengan satu kepercayaan dan menolak anutan lain. Malah, semua agama benar dan setiap yang benar akan memperolehi pahala. Sesiapa yang memperolehi ganjaran pahala, dia bernasib baik dan mereka yang bernasib baik akan bersama dengan Allah, Tuhan yang dicintainya." (Rujuk: Hazihi Hiya al-Sufiyyah, Abdul Rahman al-Wakil)

Jadi, sungguh peliklah apabila pengikut-pengikut sufi hari ini sering menuduh "Wahabi" menyamakan agama Islam dengan agama Yahudi (padahal ini tidak mempunyai bukti) sedangkan tokoh yang mereka sanjung iaitu Ibn 'Arabi terang-terang menyamakan semua agama sehingga yang menyembah pokok juga dikatakan benar dan mendapat pahala. Subhanallah!!! Ini jelas-jelas perkataan yang kufur.

Jangan Mudah Melatah

Setelah dijelaskan tentang Ibn 'Arabi yang sebenar pasti ada yang tidak puas hati dengan penulisan ini. Pasti akan ada yang berkata " begitu ramai ulama hari ini mengikuti aliran sufi ini, kenapa kita mesti menolaknya?" Jawapan yang tepat adalah firman Allah:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلاَّ الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلاَّ يَخْرُصونَ

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. (Surah al-An'aam: 116)

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلاَّ ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلونَ

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan. (Surah Yunus: 36)

Sebab itulah, pengukur kebenaran bukanlah disebabkan ramainya pengikutnya, tetapi ukuran yang dinilai adalah sejauh mana mereka menepati al-Quran dan al-Sunnah menurut manhaj al-Salaf al-Soleh dalam amalan dan iktiqad. Firman Allah:

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisaa': 59)

Syeikh Muhammad bin Rabi' bin Hadi al-Madkhali berpesan:

"Sudah menjadi kewajipan setiap muslim terutama ilmuan dan para pendakwah menentang habis-habisan mereka yang menentang syari'at Islam tidak kira sama ada golongan komunis, sufi, atheis, penyembah qubur (quburiyun) dan lain-lain lagi. Saya melihat ramai para pendakwah yang sudah menjalankan tugas itu tetapi mengabaikan tentang golongan sufi. Hanya beberapa orang sahaja yang benar-benar menentang golongan sufi yang melanggar syariat dan berada dalam kesesatan." (Realiti Gerakan Sufisme, Ridhuan Abdullah, ms. 68-69)

Oleh sebab itu, menjadi kewajiban bagi mereka yang mengetahui realiti fahaman sufi untuk menjelaskan hal keadaan sebenar sufi serta tipu daya mereka terhadap kekeramatan, ilmu ladunni, kasyaf yang disalah fahami dan sebagainya serta wali-wali yang diangungkan seperti Ibn 'Arabi.

Amalan-amalan mereka juga tidak kurang kelihatan mencacatkan agama yang suci ini. Lihatlah video mereka yang sudah tersebar di internet, tatacara berzikir yang dilakukan secara melampau, sambil menepuk tangan, sambil menggoyang-goyangkan kepala, terkadang sehingga menari melonjat-lonjat (seperti kumpulan rock menyanyikan lagu), berputar-putaran dan berbagai-bagai lagi tatacara mengikut kaedah tarekat mereka. Ini jelas bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. yang sahih.

Ketika mana Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dicabar oleh beberapa pengikut aliran sufi, yang mana mereka berasa bangga bahawa mereka boleh berjalan di atas api, padahal mereka dapat berjalan di atas api disebabkan mereka telah melumurkan badan mereka dengan lemak katak, jus limau dan bedak. Lalu Ibn Taimiyyah meletakkan syarat sebelum berjalan di atas api hendaklah membasuh badan dengan cuka dan air panas, lantas mereka ketakutan dan menolak syarat tersebut.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. berkata:

"Mungkin apa yang terjadi hanyalah disebabkan pertolongan syaitan memandangkan mereka amat rapat dengan syaitan. Seolah-olah syaitan bersiul-siul serta bertepuk tangan, apa yang berlaku selepas itu ialah mereka mengungkapkan perkataan yang tidak dapat difahami. Mereka ketika itu bagaikan dirasul syaitan. Sebenarnya, syaitan yang telah berkata-kata melalui lidah mereka disebabkan mereka berada di dalam keadaan fana' (hilang akal) dan tidak sedarkan diri.

Kemudian, jika terdapat orang yang terkena rasukan syaitan maka mereka akan menyalakan api, menyembunyikan gendang dan alat-alat muzik lain. Mereka akan meletakkan besi di dalam api dan mencacakkan lembing daripada besi tadi. Salah seorang daripada mereka akan memanjat besi-besi tajam di hadapan orang ramai. Mata lembing yang panas tadi akan diserahkan kepadanya dan dia akan memegangnya.

Selain itu, orang ramai juga akan dapat melihat batu-batu berterbangan tanpa melihat sesiapa pun yang membalingnya. Ini adalah kerja syaitan. Merekalah yang mempunyai hubungan secara dengan syaitan. Sedangkan, mereka tidak merasai apa-apa kesakitan apabila dipukul kerana yang dipukul adalah syaitan.

Sesetengah keadaan golongan yang terlibat dengan syaitan di mana rupa mereka hampir-hampir menyamai syaitan. Oleh itu, menjadi-jadilah lakonan mereka. Kejadian ini berlaku apabila ada yang memuja dan memanggil syaitan ini dengan muzik dan juga seruling. Perkara ini tidak berlaku kepada mereka ketika solat, berzikir, berdoa atau apabila al-Quran dibacakan kepada mereka.

Pengalaman seperti ini tidak ada apa-apa faedah kepada agama atau pun hal keduniaan. Mereka berada dalam keadaan khayalan. Disebabkan kejahilan, mereka tidak mendapat keberkatan dan rahmat. Apa yang bertambah bagi mereka ialah apa yang amat ditakuti oleh kita, iaitu menginginkan kemewahan orang yang melakukan kejahatan. Sekiranya kekayaan telah diperolehi oleh mereka, amar makruf dan nahi mungkar akan ditinggalkan. Begitu juga perintah berjihad di jalan Allah." (Rujuk: Majmuk al-Fatawa, 11/495-496)

Taubatnya seorang sufi

Seorang sufi telah bertaubat dari tarekat sufi telah menulis kitab "Kaifa Ihtadaitu Ila al-Tauhid wa al-Sirat al-Mustaqim" (bagaimana saya telah mendapat hidayah kepada tauhid dan jalan yang lurus) menceritakan pengalamannya bersama berbagai-bagai tarekat antaranya Tarekat Naqsyabandiyah, Tarekat Syaziliyyah, Tarekat Qadariyyah dan Tarekat Maulawiyyah. Beliau adalah Muhammad Jamil Zainu yang merupakan kelahiran kota Halb di Siria dan beliau pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Beliau (Muhammad Jamil Zainu) menceritakan:

"Suatu hari ketika saya mengikuti pengajian tarekat sufi, datanglah seorang lelaki yang tinggal berhampiran dengan masjid. Setelah mengikuti majlis kami, lelaki tersebut menceritakan apa yang dia dengar dari salah seorang syeikh tarekat. Ia mengatakan syeikh tarekat ini pernah diminta tolong oleh salah seorang anak muridnya yang mempunyai isteri yang mengalami kepayahan dalam melahirkan anak. Kemudian syeikh tersebut beristigasah kepada syeikh kecil (dirinya sendiri) dan isteri muridnya sehingga ahkirnya dapat melahirkan anak.

Syeikh tempat kami berkata: "Ada apa dengan cerita tersebut?" Lelaki yang bertanya tersebut menjawab: "Inikan syirik." Lalu syeikh berkata: "Diam! Apa yang kamu tahu tentang syirik, kamu ini orang yang keras (hati). Kami merupakan guru kepada kamu yang lebih mengetahui daripada kamu."

Setelahitu syeikh tersebut berdiri lalu masuk ke biliknya dan keluar bersama membawa sebuah kitab yang berjudul Al-Azkar Imam Nawawi. Kemudian membacakan kisah Ibn Umar yang ketika kakinya sakit berkata: "Wahai Muhammad, sembuhkanlah kakiku." Kemudian syeikh tersebut berkata: "Apakah yang dilakukan Ibn Umar ini perbuatan syirik?"

Lelaki tersebut menjawab: "Kisah ini lemah." Syeikh tersebut marah dan berkata: "Kamu tidak tahu mana yang sahih dan dhaif, kami ini ulama yang mengetahui perkara tersebut." Kemudian kami pun keluar dari masjid.

Setelah kejadian tersebut, saya dikirimi kitab Al-Azkar yang ditahqiq Syeikh Abdul Qadir Al-Arnauth oleh seseorang yang melawat anak saya. Dalam kitab tersebut saya temui kisah Ibn Umar tadi adalah dhaif. Esoknya, anak saya membawa kitab tersebut dan menunjukkan kepada syeikh tersebut. Tetapi syeikh tersebut tidak menerimanya kesalahannya, lantas berkata: "Ini bahagian daripada fadhail a'mal dan hadis dhaif boleh diguna dalam urusan ini (meminta tolong dengan nabi).

Yang benar menurutku, kisah tersebut bukan fadhail a'mal seperti yang disangkakan oleh syeikh, tetapi ini masalah akidah yang tidak boleh diambil dari hadis dhaif. Dan bagi masalah fadhail a'mal sendiri para ulama di antaranya Imam Muslim tidak membenarkan mengambil hadis dhaif." (Al-Sufiah fi al-Mizan al-Kitab wa al-Sunnah, Muhammad Jamil Zainu)

Syeikh Jamil Zainu berkata ketika mendapat hidayah:

"Saya pun mencari jemaah (yang dituduh wahabi kerana menolak amalan sufi) dan mendapat tahu bahawa mereka mempunyai sebuah tempat untuk berkumpul setiap petang khamis untuk menyampaikan pengajian tafsir, hadis dan fiqh. Saya pun pergi ke sana bersama anak-anak saya dan beberapa pemuda yang memiliki wawasan luas. Kami memasuki sebuah dewan besar lalu duduk menunggu pengajian tersebut bermula. Tidak lama kemudian masuklah seorang syeikh yang sudah berumur. Dia memberi salam kepada kami dan berjabat tangan dengan kami semua dari kanan lalu duduk di sebuah kerusi. Tidak ada seorang pun yang berdiri memberi hormat (sebagaimana kebiasaannya pada majlis sufi). Saya berkata dalam hati, syeikh ini sangat tawadduk, tidak menyukai orang lain berdiri memberi hormat kepadanya...

Di akhir pengajian syeikh tersebut berkata: "Segala puji bagi Allah bahawa kita adalah orang-orang Islam yang bermanhaj salaf (orang-orang yang mengikuti Rasulullah serta sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in), sebahagian orang menggelarkan kita sebagai Wahabi dan ini merupakan suatu gelaran yang buruk dan Allah telah melarang kita tentang perkara ini dalam firmannya:

"Dan janganlah kamu memanggil-manggil dengan gelaran yang buruk." (Surah Al-Hujurat: 11)

Dulu Imam Syafi'i dituduh sebagai Rafidhah (penganut syi'ah Rafidhah) lalu beliau membantah mereka dengan berkata:

Jika mencintai keluarga Rasulullah itu dipanggil Rafidhah, Maka saksikanlah (wahai jin dan manusia) bahawa aku seorang Rafidhah.

Kita pun membantah orang-orang yang menuduh kita Wahabi dengan mengatakan:

Jika yang mengikuti Muhammad adalah Wahabi, maka aku berikrar bahawa aku seorang Wahabi.

Setelah kuliah selesai kami pun keluar sambil terkagum dengan keilmuannya serta kerendahan hatinya. Dan saya mendengar seorang dari mereka berkata: "Inilah yang layak dikatakan sebagai seorang syeikh." (Rujuk: Kaifa Ihtadaitu ila al-Tauhid wa al-Sirat al-Mustaqim)

http://wahabiah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment