Kesalahan Dan Kebatilan Selawat Syifa' Yang boleh Membawa Syirik
Perkataan Selawat Syifa' sering kita dengar dan lihat dalam masyarakat kita. Selawat ini pada mulanya telah terbudaya di kalangan masyarakat Islam di Malaysia sebagai bacaan eksklusif dan peribadi, tetapi kelihatan menjadi semangkin popular sehingga ada yang menjadikannya zikir dan doa selepas solat fardhu atau sebagai pembuka ucapan secara kekal. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut: اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّد طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah." (Prof. Dr. Harun Din & Amran Kasimin, Rawatan Pesakit Menurut al-Quran dan al-Sunnah, hal. 32)
Terjemahan yang didasarkan kepada kedudukan i'rab ini seolah-olah telah menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat maha perawat, maha pengubat, maha penyihat maha penyembuh, maha peberi cahaya, dan maha pemancarnya. Persoalannya, apakah harus menyifatkan Nabi Muhammad saw dengan sifat demikian, sedangkan ia adalah sifat-sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh sebarang makhluk? Apakah alasan yang mewajarkan penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat-sifat tersebut?
Prinsip ilmu tauhid telah menetapkan bahawa Alah swt itu maha esa dan wajib diesakan pada sifat-sifatnya sebagaimana dia juga wajib diesakan pada rububiyyahnya dan uluhiyyahnya. (al-Uthaimin, Muhammad bin Soleh, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ter. Muhamad Yusuf Harun)
Nama-nama dan sifat-sifat yang khusus bagi Allah swt tidak boleh dikongsi dengan sebarang makhluk kerana perkongsian itu berakna mensyirikkan(menyekutukan) sifat makhluk dengan sifat al-Khaliq. (al-Qahtani: Sa'id Ibn 'Ali, Syarh Asma' al-Husna fi Dau' al-Kitab wa al-Sunnah, hal. 51)
Allah swt berfirman:
Maksudnya: "Tiada sesuatu yang sebanding dengan (Zat, Sifat-sifat dan pentadbiran)Nya, dan Dialah yang maha mendengar lagi maha melihat." (al-Syura: 11)
Allah swt juga berfirman:
Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Maka dialah (Allah swt) yang menyembuhkan penyakitku." (al-Syu'ara:80)
Dalam sebuah hadith baginda saw mengajar umatnya agar membaca doa berikut:
Maksudnya: "Ya Allah tuhan sekelian manusia, maha penghilang segala penyakit, sembuhkanlah! Engkaulah maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau dan tidak ada penyembuhan melainkan penyembuhan engkau. Sembuhkanlah dengan suatu sembuhan yang tidak meninggalkan penyakit sedikitpun." (Riwayat al-Bukhari)
Ungkapan: "Engkaulah yang maha penyembuh, tidak ada penyembuh melainkan engkau." jelas menunjukkan bahawa sifat penyembuh itu adalah sifat khusus bagi Allah swt yang tidak boleh dikongsi oleh makhluk. Struktur ayat yang mengandungi nafy (penafian) dan huruf nafy (La) dan diikuti ithbat (penetapan) dengan huruf istithna' (illa) memberi konsekuensi penafian dan penetapan yang kuat, sama seperti ungkapan kalimah Tauhid La Ilaha Illallah yang menfikan segala tuhan selain Allah dan menetapkan ketuhanan itu padanya semata-mata.
Dengan perkataan lain, doa yang diajarkan oleh Nabi saw ini menafikan sifat penyembuh bagi selain Allah swt dan menetapkan sifat itu padaNya semata-mata, sedangkan lafaz Selawat Syifa' itu pula menetapkan sifat penyembuh itu pada baginda saw jesteru, lafaz Selawat Syifa' itu dilihat mengandungi unsur-unsur syirik yang jelas bercanggah dengan prinsip Tauhid al-Asma wa al-Sifat.
Kekeliruan Pertama:
Ada yang berpendapat masih ada jalan untuk lari daripada maksud penyamaan sifat itu dengan cara metakdirkan (mengandaikan) wujudnya perkataan solat antara perkataan Muhammad dan perkataan Tibb. Mengikut andaian ini, maka lafaz selawat itu berubah menjadi seperti berikut:
اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَاةَََ طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ
Dalam lafaz ini, perkataan solat itu berada pada kedudukan maf'ul mutlak (kata kena buat mutlak) yang berfungsi sebagai penguat atau penentu bagi jenis kata kerja salli (selawatkanlah), disamping ia juga berada pada kedudukan mudhafi (yang disandarkan) kepada perkataan tibb. Berdasarkan kedudukan ini, maka lafaz selawat yang diandaikan itu difahami dengan maksud:
"Ya Allah! selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, dengan suatu selawat yang boleh menjadi rawatan bagi hati dan apa yang boleh menjadi ubat baginya (hati)... sehingga akhir."
Berdasarkan maksud ini, maka tidak berlaku lagi apa yang dikatakan sebagai penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana yang dilihat memberi khasiat perubatan bukan lagi zat nabi Muhammad saw, tetapi selawat yang diucapkan itu. Oleh kerana membaca selawat itu adalah sejenis amal soleh, maka ia termasuk dalam jenis tawasul dengan amal salih yang disyariatkan oleh syara' dengan maksud ini. Maka penyamaan sifat yang dipersoalkan itu tidak berlaku kerana memang tidak ada penyifatan Nabi Muhammad saw dengan sifat penyembuh.
Jawapan Kekeliruan Pertama
Pertama: Sayugia diingatkan bahawa sesuatu ungkapan yang mengelirukan itu hanya perlu kepada takdir lughawi (andaian Bahasa) bagi mengelakkan kekeliruan, sekiranya ia memang merupakan nas syara' yang sahih dari al-Quran ataupun al-Sunnah. Adapun ungkapan yang bukan dari nas al-Quran ataupun al-Sunnah (seperti lafaz Selawat Syifa'), maka ia tak perlu kepada takdir lughawi (andaian bahasa) kerana asal usulnya adalah lemah, dan kerana kelemahan itu maka tidak perlu bersusah payah difikirkan andaian bahasa untuknya.
Kedua: Jika diandaikan masih ada kewajaran untuk membuat takdir lughawi bagi lafaz selawat itu dengan alasan kerana ia dicipta dan diamalkan oleh sebahagian ulama, maka perlu ditegaskan bahawa sebarang andaian bahasa mesti disokong oleh kaedah bahasa yang mantap. Mengikut kaedah bahasa arab, jika perkataan maf'ul mutlak hendak dihazafkan (dibuang), maka perkataan yang menggantikan tempatnya mesti dibaca dengan fathah (baris atas). (al-Najjar: Muhamad 'Abd al-'Aziz, Diya' al-Salik Ila Audah al-Masalik li Ibn Hisyam, 2: 127-129)
Dalam hal ini, jika diandaikan berlaku penghazafan (pembuangan) perkataan solat, maka perkataan tibb yang berada pada kedudukan 'pengganti' bagi perkataan solat itu mesti di baca dengan fathah (baris atas). Oleh kerana perkataan tibb yang terdapat di dalam lafaz asal Selawat Syifa' (sebelum dibuat andaian) dibaca dengan kasrah (baris bawah), maka itu menunjukkan bahawa tidak berlaku sebarang penggantian antara perkataan tersebut dengan perkataan lain. Jesteru, andaian kononnya ada perkataan solat sebelum perkataan tibb tidak boleh diterima kerana ia jelas menyalahi kaedah bahasa.
Mungkin ada yang berkata bahawa perkongsian sesuatu sifat Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, kerana persamaan nama sifat tidak semestinya menggambarkan persamaan hakikat sifat berkenaan. Dengan perkataan lain jika berlaku perkongsian beberapa sifat seperti sifat hidup, mendengar, melihat dan sebagainya antara Allah dan makhluk maka ia mesti difahami dalam konteks yang berbeza, bersesuaian dengan zat masing-masing. Jika sifat maha hidup, maha mendengar, dan maha melihat Allah swt boleh difahami dalam konteks yang berbeza dengan sifat hidup, mendengar dan melihat makhluk, maka sifat maha penyembuhnya juga boleh difahami dalam konteks yang berbeza antara kedua-duanya.
Jawapan Kekeliruan Kedua:
Pertama: Memang diakui bahawa perkongsian sesuatu sifat antara Allah dan makhluk tidak semestinya membawa kepada penyamaan sifat tersebut, seperti yang berlaku pada sifat hidup, mendengar, melihat, bercakap, dan sebagainya. Tetapi persoalannya di sini, sifat 'penyembuh' yang diberikan kepada Nabi saw itu diungkap melalui gaya bahasa yang mengandungi unsur mubalaghah (bersangatan). Maka itu, bagaimanakah sifat maha penyembuh yang diberikan kepada Nabi saw itu boleh difahami dengan maksud yang tidak menimbulkan kesyirikan dengan sifat maha penyembuh Allah swt?
Kedua: Bagaimana hendak digambarkan bahawa Nabi Muhammad saw yang telah wafat boleh berfungsi sebagai maha perawat, maha pengubat, maha penyihat dan maha penyembuh kepada orang yang masih hidup?
Kekeliruan Ketiga:
Mungkin ada yang mengatakan bahawa orang yang mengamalkan selawat ini tidak bermaksud menyengutukan sifat nabi Muhammad saw dengan sifat Allah swt, kerana kebanyakan yang mengamalkannya tidak memahami maknanya, atau memahaminya dalam konteks yang tidak ada unsur tasybih.
Jawapan Kekeliruan Ketiga:
Pertama: Alangkah mujurnya jika keadaan si pengamal selawat itu benar-benar seperti yang diandaikan, tetapi adakah realiti mereka sedemikian? Ramai yang cuba berbaik sangka dengan semua amalan umat Islam, lalu mereka rasa tidak perlu untuk menjelaskan kekeliruan mereka. Di sini, perlu ada kesedaran bahawa perkara aqidah tidak boleh diambil mudah atau didiamkan begitu sahaja dan sikap berbaik sangka perlu ada had sempadannya. Jika dipakai alasan berbaik sangka dalam hal sebegini maka bermakna kita terpaksa biarkan semua ajaran sesat, khurafat dan bid'ah dengan alasan yang sama. Jika alasan berbaik sangka itu boleh diterima dalam persoalan akidah, maka kenapa perlu digezetkan ajaran wahdatul wujud, Martabat tujuh, Hakikat Nur Muhammad dan lain-lain sebagai sesat? (Kesesatan fahaman-fahaman seumpama ini telah dijelaskan oleh pihak berwajib. Lihat Mustafa Abdul Rahman, 2000, Mengenal Ajaran Sesat Di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur, hal: 3-7)
Kedua: Dalam kes akidah seumpama ini, bukankah wajar digunakan kaedah Saad al-Zarai' (menutup pintu-pintu kemudaratan) sebagai langkah berwaspada terhadap keselamatan akidah masyarakat Islam? Nabi saw bersabda (maksudnya):
"Jika kamu melampaui memuji ku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuji Isa bin Maryam as. Aku hanyalah seorang hamba Allah, maka katakanlah: seorang hamba dan pesuruh Allah." (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith ini, Baginda saw melarang para sahabat ra. memujanya sebagaimana golongan Nasrani memuja Nabi Isa as. Sebaliknya baginda menyuruh mereka berpada setakat menyatakan statusnya sebagai seorang hamba dan rasul sahaja. Larangan Nabi saw itu termasuk dalam kaedah Saad al-Zarai' kerana kita sedia maklum bahawa cara para sahabat ra. memuji baginda tidaklah sampai ke tahap menyamakan sifat baginda dengan sifat Allah swt, sebagaimana cara pemujaan kaum Nasrani terhadap Nabi Isa as. Tetapi baginda saw tetap melarangnya kerana bimbang sekiranya perbuatan itu akan membawa kepada kesyirikan dan kekufuran tanpa disedari, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Pendekatan Nabi saw melarang para sahabat r.a. daripada memujinya secara berlebihan adalah antara contoh paling tepat yang menunjukkan keperluan mengaplikasikan kaedah Sad al-Zarai' dalam menangani persoalan akidah.
* Artikel ini adalah ringkasan dari artikel 'Menilai Salawat Syifa' tulisan Dr Azwira Abdul Aziz, Pensyarah di Jabatan Pengajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
No comments:
Post a Comment