Monday, September 19, 2011

Islam Mengakui Wujudnya Keramat (Karamah)

Islam Mengakui Wujudnya Keramat (Karamah)

Islam memang tidak menolak adanya karamah atau kekeramatan para wali Allah kerana terdapat hujah dari syara menjelaskan yang demikian, tetapi tidaklah keterlaluan sebagaimana yang digambarkan oleh para penganut sufi/tasawuf terhadap wali-wali mereka sehingga timbul kontradiksi dengan syariah Islamiah serta akal fikiran yang rasional.

Kaum sufi/tasawuf amat mudah memberi gelaran "wali" kepada syeikh-syeikh mereka. Ini disebabkan mereka mengertikan wali tidak sebagaimana pengertian (istilah) yang dikehendaki oleh syara. Mereka mempunyai istilah tersendiri yang ternyata masih abstrak (niskala) dan tidak menepati definisi wali walaupun yang dikehendaki oleh tata Bahasa Arab, kerana mereka mendakwa kewalian hanya boleh dicapai oleh mereka yang menganut sufi/tasawuf, terutama ketua atau syeikh-syeikh mereka yang dibuktikan melalui perbuatan atau kejadian yang luar biasa, ajaib dan menakjubkan mereka. Sebenarnya Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menjelaskan pengertian wali di dalam al-Quran sebagaimana firmanNya:



اَلآاِنَّ اَوْلِيَآءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُوْنَ . اَلَّذِيْنَ آمَنُوْا وَكَانُوْا يَتَّقُوْنَ.

"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran (merasa takut) terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati (berduka-cita). (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertakwa". (Yunus 10:62-63)

Para wali Allah yang paling mulia ialah para nabi. Para nabi yang paling mulia ialah para rasul. Para rasul yang termulia ialah Ulul 'Azmi (اولو العزم): Noh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. Ulul 'Azmi yang paling mulia ialah Nabi kita Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam. (Lihat: قطر الولى على حديث الولى, As-Syaukani. hlm. 238) Para wali yang selain dari kalangan nabi dan rasul dimuliakan dengan karamah (keramat). Mereka tidak maksum sebagaimana nabi dan rasul.

Sesiapa yang mendakwa mencintai Allah dan sebagai seorang wali Allah tetapi tidak mengikuti sunnah RasulNya malah sebaliknya iaitu melakukan pekerjaan yang bertentangan dengan sunnah, maka pada hakikatnya dia bukanlah wali Allah tetapi wali syaitan. (Lihat: الفرقان بين اولياء الرحمن واولياء الشيطان, Ibn Taimiyah, hlm. 9)

Keramat adalah sesuatu yang luar biasa dan tidak seharusnya seorang wali itu merasakan setiap kejadian atau apabila tersingkapnya sesuatu keanehan yang berlaku kepada dirinya dianggap sebagai karamah, kerana ada kalanya kejadian tersebut jelmaan syaitan atau tipu helah dari syaitan. (Lihat: الفرقان بين اولياء الرحمن واولياء الشيطان, Ibn Taimiyah, hlm. 9)

Bukti kebenaran seseorang wali yang dianggap sampai ke makam wali yang tinggi ialah apabila (setiap amal ibadahnya pent.) ia mencontohi al-Kitab (al-Quran) dan al-Sunnah. Perbuatan dan perkataannya menurut neraca syariat yang suci, berdiri di atas batas yang telah digariskan oleh syara dan tidak melencong darinya walau dalam setiap perkara yang berupa urusan agama. Sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallhu ‘alaihi wa sallam (As-Syaukani, (قطر الولى على حديثالولى), hlm. 250):



كُلُّ اَمْرٍ لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرِنَا فَهُوَ رَدُّ.

"Setiap perkara yang tidak menurut suruhan kami, maka ia tertolak". (As-Syaukani, (قطر الولى على حديث الولى) , hlm. 250)

Definisi Wali Dan Kewalian

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah mendefinisikan wali iaitu:

"Bahawa yang dimaksudkan dengan wali ialah waliullah, iaitu orang yang alim dengan (keilmuannya tentang) Allah, memenuhi segala ketaatan kepadaNya dan ikhlas dalam segala pengibadatannya terhadapNya". (As-Syaukani, (قطر الولى على حديث الولى), hlm.70)

Ibnu Jarir at-Tabari telah mendefinisikan maksud wali melalui tafsiran ayat di surah Yunus, 10:62-63, bahawa:

"Para wali adalah para penolong Allah". (As-Syaukani, (فتح القدير), jld. 3, hlm. 436)

Istilah wali menurut kamus Bahasa Arab pula bererti:

"Hampir, cinta, percaya, pertolongan atau kemenangan". (As-Syaukani, (قطر الولى على حديث الولى), hlm 72)

Menurut Imam as-Syaukani rahimahullah:

"Wali lawannya musuh, dan dalam bahasa wali bererti juga dekat".

Apa yang dimaksudkan wali (dalam al-Quran) ialah wali Allah. Ringkasnya, setiap mukminin yang mendekatkan diri kepada Allah dianggap wali walaupun tidak menunjukkan kekeramatannya kerana menurut syara, wali ialah setiap mukmin yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan ketaatan, iaitu melaksanakan suruhan (amal soleh) dan meninggalkan maksiat. (Tafsir at-Tabari, jld. 5, hlm. 18)

Walaupun antara makna wali diertikan "dekat (hampir)", tetapi bukanlah bermakna dekat (berdekatan) zatnya atau kedudukannya dengan zat dan kedudukan Allah di suatu tempat atau ruang. Maksud sebenar kalimah ini ialah dekat (hampir) melalui pengetahuan, ilmu (makrifatullah), amal soleh, beriman dengan apa yang telah diturunkan kepada Rasulnya serta mengembalikan segala pujian hanya kepadaNya dan memberi segala ketaatan kepadaNya. (As-Syaukani, (قطر الولى على حديث الولى), hlm.73)

Menurut al 'Allamah Abu Soud:

"Maksud dekat yang ditekankan dalam kalimah wali, ialah pendekatan rohani, sebagaimana yang telah diketahui bahawa kalimah tersebut mengandungi maksud Iman dan Takwa kerana adanya pengikat pada kedua-dua kalimah ini dalam satu perkataan (iaitu perkataan wali)". (As-Syaukani, (قطر الولى على حديث الولى), hlm.73)

Imam as-Syaukani rahimahullah menjelaskan:

"Seseorang yang berusaha untuk menjadi wali Allah, mestilah berpegang teguh dengan kitab Allah dan sunnah RasulNya, mestilah berpandukan kepada kitabNya dan segala perilakunya dirujukkan kepada piawaian al-Kitab. Persoalan ini berdalilkan dari contoh perbuatan Umar radiallahu 'anhu, kerana beliau termasuk salah seorang dari kalangan wali-wali yang terbilang. Beliau adalah seorang sahabat Rasul sallallahu ‘alaihi wa sallam dan merupakan seorang mahdiyiin yang diakui.

Tiada yang diambil untuk menjadi contoh tauladan oleh beliau dalam hal memperolehi kewalian, kecuali beramal dan mengambil segala dalil dari al-Kitab dan as-Sunnah dalam perlaksanaan setiap perkara yang perlu dilakukan dan yang perlu ditinggalkan. Beliau (Umar) sentiasa bermasyuarat dengan para sahabat, mereka saling menjadi rujukan, saling memerlukan di dalam mengembalikan semua persoalan berdasarkan al-Kitab dan as-Sunnah.

Maka sesiapa yang bertentangan dengan kenyataan ini apabila menamakan dirinya sebagai seorang wali dari kalangan wali-wali Allah, maka realitinya dia bukanlah wali Allah yang dimaksudkan". (Fahrurrazy, (مفاتح الغيب), hlm. 5)

Oleh kerana pengertian "wali" menurut Bahasa Arab dan juga al-Quran bermakna cinta (mencintai Allah), pendekatan (mendekatkan diri kepada Allah), memelihara (memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang haram terutamanya bid'ah dan syirik) dan menolong (menolong menegakkan agama Allah dan memelihara sunnah RasulNya), maka mereka yang paling layak dan afdal digelar wali Allah ialah para sahabat Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wa-sallam. Ini adalah disebabkan mereka mempunyai segala kelayakan, rukun dan syarat yang terdapat di dalam definisi wali di atas. Ini diperkuatkan lagi dengan keterangan melalui firman Allah di dalam al-Quran:



فَالَّذِيْنَ آمَنُوْا بِهِ وَعَزَّرُوْهُ وَنَصَرُوْهُ وَاتَّبَعُوْا النُّوْرَ الَّذِى اُنْزِلَ مَعَهُ اُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ.

"Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Rasul) memuliakannya, menolongnya dan mengikuti petunjuk yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan". (al-A’raaf, 7:157)



اَلآ اِنَّ اَوْلِيَآءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُوْنَ. الَّذِيْنَ آمَنُوْا وَكَانُوْا يَتَّقُوْنَ.

"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran (tidak merasa takut) terhadap mereka dan tidak (pula) merasa bersedih (berdukacita). (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertakwa". (Yunus, 10:62-63)

Pengertian wali yang diberikan oleh ayat al-Quran di atas, nyata bertentangan dengan pengertian wali yang difahami oleh golongan sufi/tasawuf. Kerana golongan sufi/tasawuf sering mengistilahkannya bahawa mereka yang asyik berjihad melawan nafsu kebatinan, yang meninggalkan keinginan duniawi serta yang sentiasa beramal mencari akhirat semata-mata sehingga melupakan urusan dunia dengan harapan dapat mencapai taraf kewalian, iaitu sampai ke makam qutub dan fana, maka orang yang berkeadaan seperti inilah yang dianggap akan menjadi wali Allah oleh penganut sufi/tasawuf.

No comments:

Post a Comment