Amalan Dan Doktrin Tarikat Sufi/Tasawuf
Sebab-Sebab Kemasukan Sufisma Ke Dalam Islam
Banyak punca dan penyebab mengapa teori khurafat kesufian berkembang di dalam masyarakat Islam. Antara punca-puncanya ialah:
1 - Pertama: Dengan meluasnya pemerintahan (negara) Islam dan agama Islam dianuti oleh para pendita Majusi, Yahudi dan Nasrani, mereka pula telah terbawa-bawa fikrah falsafah metafizika dari agama yang baru sahaja mereka tinggalkan. Ini berlaku sama ada disengajakan atau telah dirancangkan (konpirasi) oleh musuh-musuh Islam. Kacukan dari tiga agama ini yang berasaskan falsafah metafizika telah mengwujudkan doktrin sufisma.
2 - Kedua: Penterjemahan buku-buku falsafah asing ke dalam Islam (Bahasa Arab) juga antara penyebab utama kemasukan unsur-unsur teori dan indoktrinisasi ajaran fasik, kufur dan jahiliyah ini ke dalam Islam.
Malangnya mala-petaka yang tidak dibendung ini telah menyerang bab-bab di bidang akidah Islamiyah sehingga mengwujudkan akidah kacukan tiga dalam satu (Majusi, Yahudi dan Nasrani) yang sekarang ini telah diberi istilah, dilebel atau dikenali sebagai tarikat sufi/tasawuf atau sufisma.
Doktrin
Sebenarnya, sufisma melalui doktrin kebatinannya yang dipenuhi dengan unsur-unsur tahaiyul, khurafat dan bid'ah, amat mudah menekan mentaliti penganutnya yang telah ta'asub dan ghulu. Terutama apabila para penganut tarikat ini bertawajjuh atau melakukan konsentrasi (pemusatan) fikiran ke alam kebatinan (kerohanian) secara keterlaluan (ghulu). Keadaan ini berlaku kerana mereka terlalu ingin meneroka alam kesufian yang lebih mendalam yang kononnya dipenuhi dengan keindahan apabila bersatu dengan Tuhan (wehdah). Akhirnya mereka dipandu oleh syaitan sehingga mengakibatkan amalan dan akidah mereka terkeluar dari garis panduan al-Quran dan as-Sunnah Nabi Muhammad sallallahu alaihi wa sallam tanpa mereka sedari lantaran kejahilan.
Penekanan dari syeikh (pemimpin) kesufian supaya penganutnya mengamalkan suluk (jalan untuk membersihkan diri zahir dan batin) dan mujahadah yang keterlaluan, sering membebankan otak, jiwa (rohani) dan jasmani para pengamal tarikat ini sehingga sering berlaku syatahat, iaitu keadaan merepek, meracau dan mengeluarkan kata-kata yang tidak karuan yang hanya diucapkan oleh seorang yang gila (tidak siuman), malah ada antara mereka yang gila (tidak siuman).
Apabila terjadi keadaan-keadaan seperti dinyatakan di atas kepada seseorang penganut sufi, mereka akan menyangka bahawa mereka sedang di dalam proses untuk sampai ke darjat kesufian yang tertinggi, atau hampir (wusul) sampai ke matlamat untuk bersatu dengan Tuhan dan fana, yang diistilahkan juga sebagai hulul (resapan tuhan dengan makhluk) atau ittihad (bersatu atau jadi satu dengan Tuhan) atau juga telah tercapai matlamat yang diistilahkan dan dikenali dengan sebutan wehdah, wahdatul wujud atau wujudiyah.
Ajaran dan fahaman sufi telah banyak merubah uslub ibadah seseorang kepada uslub yang bercampur baur dengan bid'ah, memesungkan ajaran Islam dan mengajarkan beberapa cara mu'amalah yang bertentangan dengan syariat Islamiyah.
Ketua atau syeikh-syeikh tarikat kesufian sering menguji kepatuhan para pengamal dan para pengikutnya dengan berbagai bentuk amalan bid'ah dan mencipta istilah-istilah yang rumit serta sulit untuk difahami supaya diamalkan oleh para penganutnya. Cara ini akan menyebabkan penekanan dan beberapa beban kepada pengamalnya. Semuanya ini dicipta semata-mata untuk memastikan dan mengetahui sejauh mana kepatuhan para pengikutnya. Malangnya ramai bilangan si Jahil dan si Bebal yang menjadi mangsa penipuan para wali syaitan.
Sufi/Tasawuf
Para pengikut atau penganut ajaran sufi/tasawuf dididik supaya mementingkan uzlah (bertapa, menyendiri atau mengasingkan diri). Syeikh-syeikh mereka menekankan supaya setiap pengamal sufi/tasawuf membenci perhiasan, kelazatan dan kebendaan, termasuklah pengurusannya serta apa sahaja yang bersangkutan dengan keduniaan, kerana dunia dianggap oleh mereka sebagai bangkai, menurut mereka hanya binatang seperti anjing yang mengemari bangkai.
Mereka meyakini bahawa dunia adalah punca maksiat yang melekakan seseorang sehingga boleh melupakan Allah. Dunia dianggap sebagai penyebab sehingga seorang itu membelakangkan akhirat walaupun mereka tahu ada hal-hal keduniaan yang dihalalkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Mereka ditekankan supaya sentiasa mempunyai keinginan yang kuat untuk mencapai makam fana. Dorongan ini telah menjadikan kaum sufi/tasawuf lupa pada tanggungjawab agama yang sebenar bahawa Allah menjadikan manusia sebagai khalifah yang mana mereka diwajibkan untuk mentadbir, mengurus serta memakmurkan dunia ini. Sebagaimana firman Allah:
وَهُوَ الَّذِيْ جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ اْلاَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِى مَآآتَاكُمْ ، اِنَّ رَبَّكَ سَرِيْعُ الْعِقَابِ وَاِنَّهُ لَغَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ.
"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk menguji kamu tentang apa yang diberikanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaNya, dan sungguh Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'."(al-An’am 6:165)
Segala yang terdapat di permukaan bumi ini adalah anugerah Allah untuk manusia, terutama bagi mereka yang beriman supaya segala anugerah ini digunakan dan di manfaatkan dengan cara yang baik sebagai tanda kesyukuran terhadap pemberian Allah, sebagaimana firmanNya:
هُوَ الَّذِيْ خَلَقَ لَكُمْ مَّا فِى اْلاَرْضِ جَمِيْعًا
"Dialah yang menjadikan untuk kamu semuanya segala apa sahaja yang terdapat di permukaan bumi". (al-Baqarah 2: 29)
Allah Subhanahu wa-Ta'ala tidak mengharamkan semua perhiasan dunia kerana dunia dicipta sebagai anugerah kepada orang-orang yang beriman, setiap rezeki yang baik dan halal dicipta untuk dinikmati oleh hamba-hambaNya yang beriman dan merupakan nikmat dari Allah, sebagaimana firmanNya:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِيْنَةَ اللهِ الَّتِيْ اَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ، قُلْ هِيَ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا فِى الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَالِكَ نُفَصِّلُ اْلآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُوْنَ.
"Katakanlah, siapakah (yang berani) mengharamkan perhiasaan Allah yang dikeluarkan untuk hambaNya dan termasuk juga rezeki yang baik-baik? Katakanlah! Semua itu adalah untuk orang-orang yang beriman semasa hidup di dunia, dan khususnya (untuk mereka sahaja) di Hari Kiamat. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui". (al-A’raaf 7:32)
Syeikh-syeikh tarikat terlalu menekankan doktrin dari pengalaman kebatinan syeikh-syeikh tersebut yang dipengaruhi oleh teori falsafah metafizika (spekulasi) Yunani. Amalan-amalan bid'ah ini dipenuhi oleh andaian, lamunan, khayalan, karut-marut, khurafat atau tahaiyul yang diada-adakan atau dicipta oleh syeikh-syeikh sufi dan sama sekali tidak terdapat dalam syariah Islamiyah. Sesiapa yang mengamalkannya telah terkeluar dari millah Islamiyah dan amal-amal tersebut tertolak sebagaimana sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa-sallam:
مَنْ اَحْدَثَ فِى اَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.
"Sesiapa yang mencipta (mengada-adakan) yang baru dalam urusan (agama) kami ini, maka itu tertolak (kerana dianggap bid'ah)" (H/R Ahmad (24840). Bukhari (2499), as-Solah. Muslim (3242), al-Aqdhiah. Abu Daud (3990), as-Sunan. Ibn Majah (14), Muqidamah)
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ اَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ.
"Sesiapa yang melakukan (mengerjakan) suatu amal yang bukan dari suruhan kami, maka (amalan itu) tertolak". (Maksud tertolak di hadith ini ialah kerana ia perbuatan bid'ah (وهو المسمى بالبدعة) "Ia dinamakan bid'ah". Lihat: علم اصول البدع hlm. 29. Ali Hasan)
Ibadah Sufi/Tasawuf Dipenuhi Dengan Bid'ah Dan Khurafat
Cara ibadah sufi/tasawuf yang dipenuhi dengan bid'ah telah memberi pengalaman yang berlainan kepada penganut-penganut kesufian. Ramai yang terpersona sehingga sanggup melakukan kemungkaran dan terpaksa menghadapi berbagai-bagai penderitaan fizikal dan mental. Penderitaan yang sengaja dicari ini dianggap sebagai cubaan dan jalan mujahadah yang terbaik untuk mencapai atau memperolehi kedudukan (darjat) kesufian yang mereka idam-idamkan.
Dalam hal-hal ketuhanan, syeikh-syeikh sufi/tasawuf sering berusaha mencipta wirid-wirid bid'ah, beberapa teori tersendiri serta menghasilkan beberapa istilah yang pelik-pelik. Mereka juga sering mencari amalan tambahan yang bersifat mistik dan berunsur sihir (occult) untuk menghidupkan semangat para pengikutnya. Semangat yang berunsur occult menjadikan mereka lasak menempuh segala ujian, sentiasa merasa khusyuk dan cekal dalam menempuh segala penderitaan atau penyiksaan.
Mereka rela menempuh hidup yang luar biasa dalam usaha mencari-cari Tuhan. Mereka berkeyakinan bahawa inilah caranya untuk wusul (sampai ke sisi Tuhan), hulul (meresap dengan zat Tuhan) atau ittihad (bersatu dengan Tuhan) sehinggalah sampai ke peringkat musyahadah (melihat Tuhan) dan mukasyafah (menyingkap tabir dan mengetahui rahsia-rahsia ketuhanan).
Mereka juga sanggup menempuh segala penderitaan dan penyiksaan dengan berbekalkan semangat serta keyakinan untuk memperolehi makam qutub, iaitu makam kewalian yang diidam-idamkan oleh setiap penganut tarikat sufi/tasawuf.
No comments:
Post a Comment