Saturday, September 3, 2011

Antara Solat Hajat Dan Doa Qunut Nazilah

Antara Solat Hajat Dan Doa Qunut Nazilah

Mengimbas isu-isu semasa yang timbul...,

Semenjak akhir-akhir ini, kita seluruh umat Islam sama ada di negara sendiri mahu pun di luar dari negara kita, telah didatangkan dengan pelbagai ujian dan mungkin juga musibah yang pelbagai sekali. Antara musibah yang saya maksudkan adalah berkaitan isu Lina Joy yang memohon menukar nama kerana telah murtad, yang mana sekaligus membawa kepada pihak-pihak tertentu yang lain (yang memusuhi Islam) melakukan tuntutan untuk meminda undang-undang syariah yang berfungsi melindungi Islam di Malaysia. Dan kemudiannya, timbul pula krisis di Palestine yang secara tiba-tiba semakin memuncak, ditambah pula isu serangan Hizbullah terhadap Israel daripada Lubnan sekaligus mengundang konflik serangan balik Israel ke atas masyarakat Islam di Lubnan. Disamping, isu-isu berbangkit yang lain, seperti krisis Iraq, Afghanistan, palestine dan lain-lain yang seumpamanya.

Maka, kita sebagai insan yang beriman dan bertaqwa (insyaALLAH), dengan berhempas pulas bergantung kepada ruang yang ada, sedaya upaya berusaha untuk membela umat Islam seluruhnya dalam isu-isu yang sepertinya ini. Namun…

Tapi, entah mengapa, secara tiba-tiba budaya solat hajat menjadi begitu berleluasa di seluruh negara. la berpunca daripada sikap kebanyakan orang yang bertaqlid buta dan beramal tanpa ilmu serta anjuran oleh sesetengah tokoh masyarakat yang mengadakannya kononnya untuk mendidik masyarakat tentang kewujudan solat al-haajah (solat hajat).

Sepatutnya jika sesesorang itu benar-benar mempunyai sesuatu keperluan maka adalah tanggungjawab individu tersebut bangun di penghujung malam (sebagai alternatif) lalu berdoa kepada Allah secara individu. Jika dia inginkan seseorang yang alim atau sahabat-sahabatnya turut mendoakannya bolehlah dia meminta mereka mendoakan untuknya. Perbuatan-perbuatan ini adalah berasal dari perbuatan Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam (saw) dan para sahabatnya. Dan dari satu sudut yang lain pula, nabi bersama-sama para sahabat melakukan doa melalui Qunut Nazilah di dalam setiap solat fardhunya, apabila datangnya kesusahan seperti peperangan atau penindasan kaum kafir ke atas umat Islam.

Berikut, kita rujuk terlebih dahulu dalil-dalil berkaitan solat hajat,

Adapun solat al-haajah, bagi mereka yang menganggapnya sunnah maka biasanya mereka akan berdalilkan hadith-hadith berikut:

a. Dari 'Abdillah ibn Abi Aufa meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang memiliki hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluq-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan kemudiannya memuji Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW lalu hendaklah dia membaca do'a ini. La Ilaha iIIAIIah al-Halim al-Karim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Adzim (du'a ini tidak disalin semua)" (at-Tirmidzi, Kitab as-Solah, Ma jaa'a fi solaah al-haajah - Dho'if sunan at-Tirmidzi, no. 73)

Hadith ini dimasukkan oleh Imam Ibn al-Jawzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at (iaitu kumpulan hadith-hadith palsu) akan tetapi ia dihukum oleh Shaykh al-Albani dalam Dha'if Sunan at-Tirmizi sebagai sangat dha'if. Ini adalah kerana di dalam silsilah perawi hadith ini ada seorang yang bernama Faid bin Abd al-Rahman. Dia sangat dho'if, dikatakan Mungkar al-Hadith oleh Imam al-Bukhari, Matruk (Ditinggalkan hadithnya tanpa ber'amal dengannya) oleh Imam Ahmad, Dho'if oleh Yahya ibn Ma'iin,

Hadith Kazhib (Hadithnya Bohong) oleh Abu Hatim al-Razi. Maka hadith ini tidak boleh dijadikan hujjah pensyari'atan solat hajat.

b. Dari 'Abdillah bin Abi Awfa al-Aslamiy bahawa satu hari telah keluar kepada kami Rasulullah SAW maka baginda bersabda,

"Barangsiapa yang memiliki hajat kepada Allah atau kepada seseorang makhluq-Nya, maka hendaklah dia berwudhu' dengan mengelokkan wudhu'nya dan bersolat dua raka'at, dan (perhatikan perbezaan matan hadith ini dengan yang sebelumnya, di mana di dalam hadith ini tiada terdapat suruhan agar memuji Allah dan berselawat di atas junjungan Rasulullah SAW) kemudiannya hendaklah dia membaca doa ini. La Ilaha iIIAIIah al-Halim al-Kariim, SubhanAllah rabb al-'Arsh al-'Aziim (doa ini tidak disalin semua) kemudian dia meminta dari Allah akan perkara-perkara dunia dan akhirat, apa sahaja yang dia kehendaki, Sesungguhnya Dialah yang menentukan (ini juga merupakan penambahan di dalam riwayat yang sebelum ini)" (Diriwayatkan oleh Ibn Majah, Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiiha, Ma jaa'a fi solah al-haajah - Dho'if Sunan Ibn Maajah, no. 293)

Hadith ini juga terdapat penyakit iaitu Faid bin Abd al-Rahman sebagaimana yang sebelumnya. Maka hadith ini juga tidak sah dijadikan hujjah.

c. Dari Abi Ad-Darda' Radyiyallahu 'anhu (RA) bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang berwudhu' lalu diperelokkan wudhu'nya, kemudian dia menunaikan solat 2 raka'at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa yang dimintanya, sama ada cepat atau lambat (hadith ini tidak diterjemah sepenuhnya)" (Diriwayatkan oleh Ahmad, Musnad al-Qoba'il)

Hadith ini pada silsilah periwayatnya ada seorang yang bernama Maimun atau Abu Muhammad al-Mara'ii at-Tamimi, seorang yang majhul yang tidak diketahui siapakah gerangannya oleh 'ulama' hadith. Malah di dalamnya juga ada Yahya ibn Abi Kathir. Beliau adalah tsiqah tetapi terkadang dia meriwayatkan hadith secara mudallas dan terkadang dia meriwayatkan hadith dengan terputus sanad (Mursal). Jadi terdapat satu perawi yang majhul dan satu lagi yang ada mempunyai kes-kes yang tidak enak di dalam meriwayatkan hadith. Jadi, ia juga dho'if lalu tidak boleh dijadikan hujjah.

d. Dari 'Uthman bin Hunaif RA, bahawa telah datang kepada Rasulullah SAW seorang yang buta matanya seraya berkata, “Ya Rasulallah! Doakan kepada Allah untuk saya supaya Dia menyembuhkan saya.” Rasulullah SAW bersabda, “Jika engkau mahu, (doakan segera) maka akan aku doakan untukmu dan jika kamu mahu, kamu boleh bersabar dan ianya (bersabar) lebih baik bagi kamu.” Lelaki itu menjawab, “Doakanlah!” Maka Rasulullah SAW menyuruhnya supaya berwudhu' dengan elok lalu bersolat dua raka'at dan berdoa dengan doa ini, “Allahumma Inni asaluKa wa atawajjahu ilaika binabiyyika Muhammad Nabiy ar-rahmah. Inni tawajjahtu bika ila rabbi fi hajati hazihi lituqdha liyy. Allahumma fashaffi'hu fiya” (Hadith Hassan Sahih Gharib - at-Tirmizi: Kitab ad-Da'awat 'an Rasulillah, fi Du'aa' ad-Dho'iif. Ibn Majah: Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiha)

Hadith inilah merupakan hadith yang paling sohih berbanding hadis-hadis yang lain dalam menjadikan hujjah sebagai pensyari'atan solat hajat. Akan tetapi doanya tentulah tidak sesuai diamalkan kerana ia bersangkutan dengan tawassul kepada Nabi pada masa hidupnya.

Adapun sekarang, Rasulullah SAW telah pun wafat. Maka tidak boleh lagi bertawassul melalui baginda.

Jika dilihat dari hadith-hadith di atas, sama ada yang dho'if atau pun yang sahih, ia dilakukan sendiri oleh tuan empunya hajat. Rasulullah SAW, walaupun pada ketika itu masih hidup dan ada bersama lelaki yang buta itu, akan tetapi baginda tetap tidak mendirikan solat itu bersama-sama dengannya malah baginda menyuruh si buta itu sendiri melaksanakan solat untuk memohon hajatnya kepada Allah secara langsung. Cuma do'anya sahaja bertawassulkan kepada Rasulullah SAW (ketika hidup) sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Solat ini di dalam mazhab asy-Syafi'ie diletakkan di bawah solat naafil (sunnat) yang didirikan secara individu. Solat nafil yang didirikan secara berjama'ah adalah seperti Solat 'Eid al-fitr dan Solat 'Eid al-Adha (solat raya), solat Istisqo' (solat minta hujan) serta solat gerhana. Solat al-haajah ini tidak diletakkan di bawah solat nafil yang dilakukan secara berjama'ah dan seelok-eloknya ia dilakukan secara individu.

Demikianlah yang diketahui dan diajar oleh para 'ulama' zaman-berzaman. Manusia yang paling hebat diuji oleh Allah adalah para Nabi-nabi 'alayhimussolatu wassalam bertepatan dengan sabdaan Nabi SAW dalam sebuah hadith yang sohih: "Sesungguhnya di antara sedahsyat-dahsyat manusia yang diberi balaa' (ujian) adalah para anbiyaa', kemudiannya adalah orang yang selepasnya (dari segi keimanan) dan kemudian adalah yang selepasnya." (Riwayat Ahmad, al-Musnad) (al-Haithami, Majma' az-Zawwa'id) ( Silsilah al-Ahaadith as-Sahiihah, no. 145, 3267, 1165) (diriwayatkan hadis ini juga oleh beberapa perawi lain dengan lafaz yang sedikit berbeza)

Nabi Muhammad saw dan para sahabat sendiri telah melalui pelbagai keadaan di zaman mereka seperti:

a) Peristiwa penyiksaan ke atas Bilal, Khabbab dan para sahabat yang lain.
b) Pemboikotan ekonomi ke atas kaum Muslimin
c) Kejadian ba'iah ridhwan selepas 'Uthmaan tidak pulang ke pangkuan kaum Muslimin.
d) Berpuluh-puluh misi ketenteraan
e) Peristiwa hadith al-ifk yang menimpa 'Aisyah
f) Peristiwa pengepungan ke atas kota Madeenah oleh tentera Ahzaab
g) Peristiwa pembunuhan 'Uthman
h) Peristiwa perang saudara di antara Mu'awiyyah dan 'Ali

Walaupun terdapat begitu banyak dugaan dan cabaran yang menimpa kaum Muslimin di zaman Nabi SAW dan para sahabat namun tidak pernah sekali pun kita mendengar Nabi saw atau para sahabat-sahabatnya menganjurkan solat haajah (malahan secara berjama'ah) sebagaimana yang dibudayakan oleh kebanyakan orang Melayu pada hari ini. Di sesetengah masjid di Negara kita, hampir tiap-tiap malam diadakan majlis solat haajah berjama'ah ini untuk pelbagai sebab yang mendatang. Ini tidak lain adalah rekaan dalam 'ibadah yang semua kaum Muslimin perlu menghindarinya. Sesungguhnya yang terbaik itu adalah dalam mengikuti Sunnah dan menjauhi bid'ah.

Berikut pula adalah kupasan berkaitan dalil Doa Qunut (Nazilah),

Hadis daripada Ibnu Abbas RA:

Ertinya: Rasulullah berqunut sebulan terus menerus dalam solat zuhur, asar, magrib, isyak dan subuh di akhir tiap-tiap kali solat apabila ia berkata "sami'allahu liman hamidah" dari rakaat akhir, beliau mendoakan kehancuran ke atas penduduk kabilah bani salim, kabilah ra'lun, zakwan dan 'Ushyayyah dan orang-orang yg dibelakang mengaminkannya. (Diriwayatkan oleh Abu Daud & Imam Ahmad)


Rasulullah berbuat demikian kerana kabilah-kabilah tersebut mengaku memeluk islam dan meminta kpd Rasul SAW supaya menghantar kepada mereka guru-guru yang akan mengajar mereka. Rasulullah SAW lalu menghantar 70 orang guru tetapi mereka membunuhnya maka oleh kerana itulah Rasulullah SAW berqunut nazilah. Abu hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah apabila hendak berdoa untuk kehancuran seseorang atau untuk kebaikan seseorang, beliau akan berqunut selepas rukuk.

Daripada hadis di atas juga bacaan doa Qunut sebenarnya tidak dihadkan kepada ketika solat subuh sahaja, sebagaimana hadis yang berikut:

Ertinya: “Bahawasanya Nabi SAW tidak berqunut di dalam solat subuh melainkan apabila ia mendoakan kebaikan kpd satu kaum ataupun kehancuran satu kaum. (Diriwayatkan oleh Ibnu hibban, dan Ibnu Khuzaimah)

Imam asy-Syaukani pula mengatakan supaya jangan dikhususkan qunut itu di dalam satu solat sahaja tanpa dilakukan di dalam solat-solat (fardhu) yang lain.

“Adalah Rasulullah SAW tidak berqunut melainkan apabila beliau berdoa untukk kebaikan seseorangg atau mendoakan kehancuran seseorang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Abu Hurairah)

Kesimpulan,

Maka daripada situasi yang kita hadapi sekarang dan berpandukan kepada dalil yang telah kita lihat. Qunut nazilah adalah lebih utama (jelas akan kesahihan dalilnya dan tanpa perselisihan ulama) berbanding melakukan solat hajat. Jadi, adalah lebih utama jika kita semua seluruh masyarakat Islam di mana jua, agar bersama-sama mengamalkan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan saudara seagama kita dan mendoakan kehancuran musuh-musuh kita.


Wallahua'lam.

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment