Meletakkan Sutrah (Penghadang) Ketika Solat
Definisi Sutrah
Sutrah adalah suatu yang diletakkan di hadapan orang yang solat setinggi kira-kira pelana unta. Ini adalah berdasarkan suatu hadis dari Abu Musa bin Talhah dari ayahnya, ia berkata, “Rasulullah shallahu ‘alaihi wa sallam (s.a.w.) pernah bersabda,
“Apabila salah seorang kamu sudah meletakkan sesuatu setinggi pelana unta di hadapannya maka solatlah dan jangan pedulikan siapa saja yang melintas di sebalik sutrah tersebut”.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 499)
Hukum Meletakkan Sutrah
Sebahagian ulama menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah adalah sunnah, sebahagiannya menyatakan sebagai sunnah yang sangat-sangat dituntut, manakala sebahagian lagi menyatakan sebagai wajib. Ini adalah antaranya berdasarkan kepada dalil hadis sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Umar Radhiyallahu ‘anhu (r.a.), ia berkata: “Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Janganlah kamu solat kecuali memasang (meletakkan) sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu. Apabila ia tetap berkeras, maka lawanlah dia kerana dia ditemani syaitan”.” (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, no. 820)
Dari Abu Dzarr r.a., dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jika salah seorang di antara kalian sedang mengerjakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki batasan (sutrah) jika di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana unta (sekedup). Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam. Aku berkata, “Wahai Abu Dzarr, apa perbezaan antara anjing hitam dengan anjing merah atau kuning?” Ia menjawab, “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau tanyakan ini juga pernah aku tanyakan kepada Rasulullah s.a.w. dan beliau menjawab, “Anjing hitam itu adalah syaitan”.”” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 510)
Dari hadis ini dapat diambil kesimpulan hukum bahawa solat seseorang muslim sudah dianggap sah walaupun tanpa sutrah. Hanya saja solat tersebut akan batal apabila berlaku tiga hal seperti yang dinyatakan oleh hadis tersebut. Maka, sutrah bukanlah syarat sah solat. (Rujuk: Ensiklopedi Tarjih, m/s. 224)
Bagi yang sengaja mengerjakan solat tanpa sutrah dan tanpa ada uzur syar’i maka solatnya tetap sah. Kecuali jika seorang perempuan berhaid (yang baligh), atau keldai, atau anjing hitam melintasi hadapannya sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis tersebut, ia menunjukkan bahawasanya seseorang yang solat tanpa sutrah maka solatnya sah. Hanya dikhuwatirkan nilai solatnya berkurang atau mungkin mengakibatkan batalnya solat jika tiga hal di atas melintas. Bukanlah membawa erti solat orang tersebut batal terus. (Ensiklopedi Tarjih, m/s. 225)
Tuntutan Meletakkan Sutrah
Sebenarnya sangat banyak hadis-hadis yang menekankan penggunaan (peletakkan) sutrah (penghadang) ketika solat. Dan apa yang sewajarnya kita ambil dari hal ini, adalah mengikuti sunnah, sebagaimana termaktub dalam suatu hadis berkenaan solat,
Nabi s.a.w. bersabda, “Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat..” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Azan, no. 604. Lihat juga Irwau’ul Ghalil oleh Sheikh al-Albani, hadis no. 213)
Begitulah kita melaksanakan ibadah, ittiba’ (mengikuti) apa yang dipraktikkan dan ditunjukkan oleh baginda Nabi s.a.w.
Menurut Sheikh al-Albani di dalam Kitabnya, Sifat Solat Nabi... dalam bab ini,
“Sutrah dalam solat menjadi kewajiban imam dan orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar. Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il, dari imam Ahmad. Ujarnya: “Pada suatu hari saya solat tanpa memasang sutrah di depan saya, padahal saya melakukan solat di dalam masjid Jami’. Imam Ahmad melihat kejadian ini, lalu berkata kepada saya, “Pasanglah (letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun memasang (menjadikan) seseorang untuk menjadi sutrah (solatku).” Kejadian ini merupakan isyarat dari imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid besar atau masjid kecil tetap berkewajiban memasang sutrah di hadapannya. Pendapat inilah yang benar, namun kebanyakan tempat telah mengabaikan hal ini...” (Rujuk: Sifat Solat Nabi, 95)
Bolehnya (Suruhan) Menolak Orang Yang Melintas
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a., dia bercerita: “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jika salah seorang di antara kalian mengerjakan solat dengan menghadap sesuatu yang membatasinya (sutrah) dari orang lain lalu dan kemudiannya ada seseorang yang hendak melintasi (dalam kawasan antara tempat berdiri dengan sutrah) hendaklah kalian menghalangnya dan jika dia berkeras, hendaklah kalian menyerangnya kerana sesungguhnya dia itu syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab Solat, no. 509. Muslim, Kitab Solat, no. 505)
Kedudukan (Posisi) Sutrah
1 – Diletakkan di hadapan. Atau pun benda yang menjadi sutrah itu mestilah berada di hadapan.
2 – Tingginya adalah setinggi lebih kurang setinggi pelana unta (sekurang-kurangnya).
3 – Jaraknya dari tempat sujud adalah sekadar lebih kurang mencukupi laluan seekor anak kambing. Ini adalah berdasarkan hadis berikut,
Daripada sahl bin Sa’d, “Jarak di antara tempat sujud Rasulullah dengan sutrah adalah sekira-kira mencukupi untuk laluan seekor anak kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 475)
Cukup Dengan Satu Sutrah Bagi Satu Solat Jema’ah
Daripada Ibnu ‘Umar, “Apabila Rasulullah keluar untuk melaksanakan Solat ‘Ied, dia memesan supaya membawa tombak dan ia diletakkan (ditancapkan) di hadapan tempat solat, dan beliau solat dengan menghadap ke arah posisi tersebut manakala para makmum di belakang beliau.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat, no. 1010)
Berdasarkan hadis ini dan beberapa hadis yang lain seumpamanya, menunjukkan bahawa sutrah untuk imam adalah memadai buat makmum lain di belakangnya.
Antara Benda (Objek) Yang Dijadikan Sutrah Di Dalam Hadis
1 – Manusia yang sedang diam/duduk.
2 – Unta (haiwan tunggangan).
3 – Lembing/Tombak.
4 – Pelana unta (sekedup).
5 – Dinding.
6 – Pokok.
http://fiqh-sunnah.blogspot.com
No comments:
Post a Comment