Wednesday, July 20, 2011

AYAT QUR AN YANG DIJADIKAN HUJAH OLEH SYIAH

Kata Penutup



Alhamdulillah lengkaplah perbahasan kita ke atas enam ayat “asas” yang paling masyhur diperhujahkan oleh Syi‘ah dan yang paling memberi kesan (impact) kepada masyarakat awam Ahl al-Sunnah. Para pembaca yang terdiri daripada mereka yang (1) berada di dalam Mazhab Syi‘ah, (2) pernah didakwah oleh Syi‘ah dan (3) bakal didakwah oleh Syi‘ah akan mendapati bahawa mereka (Syi‘ah) tidak akan lari daripada menggunakan ayat-ayat ini sebagai hujah, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya.



Bagi setiap ayat, perbahasan dimulakan dengan mengemukakan hujah-hujah Syi‘ah terhadapnya. Ini diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah ke atas hujah-hujah tersebut. Jelas bahawa hujah-hujah Syi‘ah dengan mudah dapat dijawab dengan:



1. Mengkaji secara teliti ayat al-Qur’an tersebut. Kajian dilakukan dengan mencermati secara mendalam maksud Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firman-Nya itu. Juga kaitannya dengan ayat sebelum dan selepasnya.



2. Mengkaji riwayat-riwayat yang digunakan untuk mentafsir ayat tersebut. Sebahagian daripada riwayat ini memiliki kecacatan dalam sanadnya, sebahagian lagi bercanggah dengan petunjuk al-Qur’an manakala sebahagian lagi – setelah dicermati secara mendalam – sebenarnya membelakangi hujah yang cuba ditarik oleh Syi‘ah daripadanya.



Jawapan kita ke atas enam ayat “asas” ini mencukupi untuk meruntuhkan Mazhab Syi‘ah dari sudut penghujahan ayat-ayat al-Qur’an. Sedia diketahui terdapat sejumlah ayat lain yang juga digunakan oleh Syi‘ah sebagai hujah. Namun sengaja penulis tidak memberi perhatian kepadanya kerana:



1. Membahas dan menjawab kesemua ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah bererti mengikut di belakang dalam permainan mereka. Yang benar kita perlu berada di hadapan dan ini tercapai dengan membezakan ayat yang membentuk “asas” mazhab mereka dan kemudian menjawabnya. Dengan terjawabnya beberapa ayat “asas” ini, runtuhlah mazhab mereka sehingga tidak perlu kita beri perhatian kepada ayat-ayat yang lain.



2. Selain daripada enam ayat “asas” ini, tiada yang memiliki nilai menetapkan kedudukan maksum dan jawatan khalifah kepada ‘Ali dan ahli keluarganya, radhiallahu ‘anhum.



3. Selain daripada enam ayat “asas” ini, ayat-ayat lain yang dijadikan hujah tidak lebih hanyalah sekadar: Menggunakan riwayat-riwayat yang lemah dan cacat untuk mengkhususkan ayat yang pada asalnya berbentuk umum.



4. Jika sekalipun riwayat tersebut terbukti sahih, paling maksimum ia dan ayat yang dirujuk olehnya hanya membuktikan keutamaan dan kemuliaan ‘Ali serta ahli keluarganya. Tidak lebih dari itu.



5. Hal ini tidak mengurangkan keutamaan dan kemuliaan lain-lain sahabat kerana bagi mereka juga terdapat ayat dan riwayat yang seumpama.



Insya-Allah penulis akan menyambung buku ini ke Siri Ketiga pula, iaitu:



Jawapan Ahl al-Sunnah kepada hadis-hadis Rasulullah
yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah.



Antara hadis-hadis yang dimaksudkan:



1. Hadis al-Ghadir: Barangsiapa aku adalah Mawlanya maka ‘Ali adalah Mawlanya.



2. Hadis al-Tsaqalain: Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang amat berharga, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an) di mana di dalamnya terdapat hidayah dan (cahaya) nur, maka berpeganglah kepada Kitab Allah. ……Dan Ahl al-Bait aku. Aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah berkenaan Ahl al-Baitku.



3. Hadis al-Safinah: Perumpamaan Ahl al-Baitku kepada kalian adalah bagaikan kapal Nabi Nuh. Barangsiapa menaikinya pasti dia selamat, barangsiapa tidak menaikinya pasti dia tenggelam.



4. Hadis al-Manzilatain: Wahai ‘Ali, kedudukan kamu di sisi aku sebagaimana kedudukan Harun di sisi Musa.



5. Hadis Madinah al-‘Ilm: Aku adalah kota ilmu manakala ‘Ali adalah pintunya. Barangsiapa yang hendakkan ilmu maka hendaklah masuk melalui pintunya.

dan lain-lain lagi.



Bersama kita berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar dipermudahkan bagi penulis untuk menyiapkan buku Siri Ketiga ini. Wassalamu‘alikum waRahmatullahi waBarakatuh

No comments:

Post a Comment