Wednesday, July 20, 2011

AYAT QUR AN YANG DIJADIKAN HUJAH OLEH SYIAH ( Ayat al-tabligh)

Keempat: Ayat al-Tabligh



Penghujahan Syi‘ah yang seterusnya adalah ke atas sepotong ayat yang mereka namakan Ayat al-Tabligh. Ia merujuk kepada perkataan Balagh (بلغ) dalam ayat 67 surah al-Maidah:

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya; dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir. [al-Maidah 5:67]



Bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat ini sebagai hujah? Penjelasannya seperti berikut:



Hujah Syi‘ah

Berhubung ayat ini, Syi‘ah merujuk kepada kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, mengarah kepada perlantikan beliau sebagai khalifah umat Islam di sebuah tempat bernama Ghadir Khum. Perlantikan ini terkenal dengan gelaran Khutbah Ghadir Khum.

Secara lebih mendalam, lanjut Syi‘ah, apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyedari bahawa tugasnya menyampaikan syari‘at Allah 'Azza wa Jalla sudah hampir selesai, baginda ingin melantik ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah pengganti. Perlantikan ini ingin baginda umumkan ketika perlaksanaan Haji Wida’ memandangkan pada saat itu majoriti umat Islam semuanya berhimpun di satu tempat yang sama.

Akan tetapi baginda ketakutan untuk mengumumkannya kerana menjangkakan bantahan daripada umat Islam, khasnya para sahabat baginda. Ketakutan baginda ini tidak diterima sebagai satu alasan di sisi Allah. Dalam perjalanan balik dari Haji Wida’, ketika di satu lembah bernama Ghadir Khum, Allah menurunkan perintah kepada Rasul-Nya untuk tetap teguh mengumumkan perlantikan tersebut. Allah berfirman:

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu… iaitu sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti.

…dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya… yakni jika kamu, wahai Muhammad, tidak mengumumkan perlantikan tersebut, bererti kamu tidak menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.

…dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia… Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada para sahabat kamu yang membantah perlantikan yang akan diumumkan itu.

Berdasarkan perintah Allah ini, Rasulullah terus berkhutbah di hadapan orang ramai sambil mengangkat tangan ‘Ali dan bersabda: Barangsiapa menjadikan aku Mawlanya, maka ‘Ali adalah Mawlanya. Khutbah ini baginda sampaikan selepas solat Zohor dalam suasana panas terik, menandakan kepentingannya yang tidak boleh dilengahkan lagi.

Demikianlah hujah Syi‘ah. Penggunaan ayat 67 surah al-Maidah oleh Syi‘ah sebagai hujah kekhalifahan ‘Ali radhiallahu 'anh dapat kita jawab dan tolak dengan mudah. Ikutilah jawapannya seterus ini.



Jawapan Ahl al-Sunnah

Sebelum ini ketika membahas Ayat al-Mawaddah, kita telah menjawab dan menolak hujah-hujah Syi‘ah berdasarkan kajian darjat hadis dan semakan kepada maksud sebenar ayat 23 surah al-Syura. Insya-Allah kita akan gunakan manhaj yang sama untuk menilai, menjawab dan menolak penghujahan Syi‘ah ke atas ayat 67 surah al-Maidah. Kita mulakan dengan kajian darjat hadis kemudian diikuti dengan semakan maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah.



Pertama: Menilai darjat hadis yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun untuk mengarahkan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah.



Sebagai permulaan, hadis yang dirujuk oleh Syi‘ah untuk menghujahkan ayat 67 surah al-Maidah bukanlah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tetapi kata-kata Abu Sa ‘id al-Khudri sahaja, radhiallahu 'anh. Ia berbunyi:

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri, dia berkata: Diturunkan ayat ini: “Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu” [al-Maidah 5:67] ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum berkenaan ‘Ali bin Abi Thalib.



Kedua, sanad riwayat ini adalah dha‘if. Ia dikeluarkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim – no: 6609 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah), al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul, ms. 233 (ayat 67 surah al-Maidah) dan Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimasq al-Kubra, jld. 45, ms. 179 (biografi ‘Ali bin Abi Thalib), kesemuanya dengan sanad yang berpangkal kepada ‘Ali bin ‘Abas, daripada al-‘Amasy, daripada ‘Athiyah, daripada Abu Sa‘id al-Khudri.



‘Athiyah, beliau ialah ‘Athiyah bin Sa‘ad Abu al-Hasan al-‘Aufiy, seorang Syi‘ah daripada Kufah. Beliau dihukum dha‘if oleh Hisyam, Yahya bin Sa‘id al-Qathan, Ahmad bin Hanbal, Sufyan al-Tsauri, Abu Zar‘ah al-Razi, Ibn Ma‘in, Abu Hatim al-Razi, al-Nasa’i, al-Jauzajani, Ibn ‘Adiy, Abu Daud, Ibn Hibban, al-Daruquthni dan lain-lain lagi. Selain itu beliau masyhur dengan sifat tadlis yang amat buruk.[1]



Berdasarkan kecacatan di atas, riwayat ini ditolak bukan sahaja kerana kedha‘ifan dan sifat tadlis ‘Athiyah, tetapi juga kerana di sisi disiplin hadis Ahl al-Sunnah, riwayat yang dibawa oleh seorang Syi‘ah demi kepentingan mazhabnya adalah tertolak. ‘Athiyah sememangnya terkenal menyandarkan riwayat-riwayat Syi’iyyat[2] daripada Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhum. Sebelum ini beliau menyandarkan riwayat berikut daripada Abu Sa‘id:

Diturunkan ayat ini kepada lima orang: “Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud hendak menghilangkan dosa kamu wahai Ahl al-Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya” , iaitu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain (radhiallahu ‘anhum).



Riwayat ini telah kita bahas dan tolak dalam perbahasan Ayat al-That-hir yang lalu.

Selain Ibn Abi Hatim, al-Wahidi dan Ibn ‘Asakir, al-Suyuthi di dalam al-Durr al-Mantsur, jld. 2, ms. 528 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah) juga menyandarkannya riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun berkenaan ‘Ali kepada Ibn Marduyah. Akan tetapi rujukan kepada sumber ini tidak wujud pada masa kini. Sementara itu al-Hafiz al-Haskani turut mengemukakan beberapa riwayat yang senada di dalam Syawahid al-Tanzil – no: 243-250 dengan sanad yang sebahagian besarnya adalah cacat manakala bakinya terdiri daripada para perawi yang tidak ditemui status al-Jarh wa al-Ta’dilnya. Yang beratnya, al-Hafiz al-Haskani sendiri tidak menerangkan status riwayat-riwayat yang dikeluarkannya. Justeru mencukupilah kita dengan takhrij serta rumusan al-Alusi rahimahullah (1275H) berikut ini, ketika mengulas riwayat-riwayat Ghadir Khum yang berkaitan dengan ayat 67 surah al-Maidah:[3]



Dan anda sedia mengetahui bahawa khabar-khabar berkenaan peristiwa Ghadir (Khum) yang padanya terdapat perintah perlantikan (‘Ali sebagai) khalifah adalah tidak sahih di sisi Ahl al-Sunnah, bahkan tidak diterima asal-usul kelahirannya.



Demikian takhrij ke atas riwayat yang mengatakan ayat 67 surah al-Maidah turun untuk mengarahkan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Yang benar riwayat tersebut tertolak kerana ia dibawa oleh seorang perawi yang bermazhab Syi‘ah. Lebih dari itu, jika kita mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah, ia sebenarnya tidak memiliki apa-apa kaitan dengan subjek perlantikan khalifah.



Kedua: Mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah.

Jika kita mengkaji maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah, jelas bahawa ia tidak memiliki apa-apa kaitan dengan subjek perlantikan khalifah sebagaimana dakwa Syi‘ah. Perhatikan poin-poin berikut:

Pertama:

Ayat 67 surah al-Maidah berbentuk umum maka ia difahami secara umum juga. Firman Allah: …sampaikanlah… (بلغ) …apa yang telah diturunkan …
(ما أنزل) dan … risalah-Nya… (رسالته) adalah umum merujuk kepada perintah menyampaikan seluruh syari‘at Islam.

Muhammad Quraish Shihab mengulas:[4]



Di sisi lain, apakah objek yang diperintahkan untuk disampaikan – tidak disebut oleh ayat ini. Mengapa tidak disebut jika ia sedemikian penting? Atau yang berlaku di sini adalah kaedah yang menyatakan: Apabila satu kalimat tidak menyebut objeknya, maka objeknya menjadi segala sesuatu yang dapat dicakup olehnya.



Misalnya, jika di hadapan anda terhidang aneka makanan, kemudian anda dipersilakan makan (oleh tuan rumah) tanpa menyebut makanan tertentu, maka itu bererti bahwa anda dipersilakan makan segala apa yang terhidang tanpa sebarang pengecualian.



Demikian juga di sini (dalam ayat ini). (Perintah) “Sampaikanlah” (بلغ) disebut dengan tidak menyebut objeknya, maka ia bererti segala sesuatu yang berkaitan dengan penyampaian ajaran agama.



Menarik untuk diperhatikan soalan Quraish Shihab: Mengapa tidak disebut jika ia sedemikian penting? Di sini Quraish Shihab merujuk kepada hujah Syi‘ah yang berkata ayat 67 surah al-Maidah diturunkan bagi memerintahkan Rasulullah akan satu hal yang penting, iaitu perlantikan ‘Ali sebagai khalifah. Maka Quraish Shihab bertanya, jika hal perlantikan tersebut sedemikian penting maka kenapa ia tidak disebut sendiri oleh Allah dalam ayat ini?

Hakikatnya adalah mudah untuk Allah ‘Azza wa Jalla berfirman sedemikian, umpama:



Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah pengganti kamu……



Berfirman dalam bentuk yang khusus untuk menerangkan jawatan khalifah seseorang adalah mudah bagi Allah dan Dia telah melakukannya beberapa kali di dalam al-Qur’an. Di antaranya ialah tindakan mengkhususkan jawatan khalifah kepada Nabi Daud ‘alaihi salam dan menetapkan kerajaannya:

Wahai Daud ! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu). [Shad 38:26]



Juga tindakan Allah yang secara khusus menetapkan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam sebagai pengganti jawatan khalifah Nabi Daud ‘alaihi salam:

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud. [al-Naml 27:16]



Oleh itu apabila Allah berfirman secara umum, bererti yang dikehendaki oleh-Nya adalah pemahaman yang umum. Tidak boleh mengkhususkannya kepada perlantikan ‘Ali kerana Allah tidak mengkehendaki pengkhususan tersebut.



Kedua:

Selain keumuman perkataan …sampaikanlah… (بلغ) …apa yang telah diturunkan … (ما أنزل) dan … risalah-Nya… (رسالته), terdapat petunjuk lain yang menafikan dakwaan bahawa ayat 67 surah al-Maidah diturunkan berkaitan dengan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah di Ghadir Khum. Petunjuk ini terdapat pada firman Allah: (والله يعصمك من الناس) yang bermaksud: …dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia. Siapakah yang dimaksudkan dengan manusia (الناس) yang akan Allah peliharakan untuk Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam? Jawapannya terdapat pada penghujung ayat 67 surah al-Maidah tersebut: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.[5]

Berkata al-Zamakhsyari rahimahullah (538H):[6]



Dan (yang dimaksudkan dengan) “manusia” ialah orang kafir berdalilkan firman Allah: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.



Di sini perlu diterangkan bahawa rangkap-rangkap pendek yang lazimnya mengakhiri sesebuah ayat, tidaklah ia memiliki pengajaran yang berpisah atau semata-mata untuk menyedapkan bacaan. Akan tetapi ia berperanan melengkapkan perbahasan ayat. Tidak tepat penafsiran sesebuah ayat selagi mana rangkap pendek yang mengakhirinya tidak diambil kira. Dalam ayat 67 surah al-Maidah di atas, rangkap pendek yang mengakhirinya: Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir menunjukkan bahawa keseluruhan perbincangan ayat adalah berkenaan orang-orang kafir, iaitu mereka yang mengingkari risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah.

Seandainya ayat 67 surah al-Maidah ini merujuk kepada perintah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah, ia tidak akan membicarakan tentang orang-orang kafir tetapi khusus berkenaan orang-orang yang beriman. Ini kerana seorang khalifah adalah pemimpin, penjaga dan pengurus hal ehwal agama dan kehidupan orang-orang yang beriman. Merupakan satu kesia-siaan membicarakan urusan perlantikan khalifah Dar al-Islam dengan orang kafir.



Ketiga:

Daripada poin kedua dan ketiga di atas, jelas bahawa ayat 67 surah al-Maidah merujuk kepada misi dakwah Rasulullah menyampaikan syari‘at Islam kepada orang bukan Islam. Izinkan penulis menjelaskan maksudnya seperti berikut:

*

Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu… iaitu sampaikanlah risalah atau syari‘at Islam kepada orang ramai.



*

…dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan risalah-Nya… yakni jika kamu, wahai Muhammad, tidak menyampaikan risalah atau syari‘at Islam kepada orang ramai, bererti kamu tidak menyampaikan syari‘at-Nya secara lengkap.



*

…dan Allah jualah akan memeliharamu daripada manusia… Allah akan memelihara kamu, wahai Muhammad, daripada orang-orang yang mungkin membantah atau mengancam kamu dalam usaha kamu menyampaikan risalah Islam.



*

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir… janganlah kamu berdukacita wahai Muhammad kerana orang-orang kafir, yakni mereka yang mengingkari risalah yang kamu sampaikan itu sebenarnya terdiri daripada mereka yang tidak diberi hidayah petunjuk oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.



Tiga poin di atas mengakhiri kajian kita ke atas maksud sebenar ayat 67 surah al-Maidah. Jelas bahawa ia tiada kaitan dengan peristiwa perlantikan ‘Ali di Ghadir Khum sebagaimana dakwa Syi‘ah. Malah maksud dan tujuan ayat 67 ini bertentangan dengan dakwaan Syi‘ah, kerana sepertimana yang telah disebut dalam poin kedua di atas: Merupakan satu kesia-siaan membicarakan urusan perlantikan khalifah Dar al-Islam dengan orang kafir.

Menarik untuk diperhatikan bahawa dalam keghairahan Syi‘ah menghujahkan ayat 67 surah al-Maidah, mereka mengemukakan beberapa poin yang menyelisihi pemikiran yang waras dan logik yang sihat. Dua di antara poin tersebut adalah:



1. Syi‘ah mendakwa kononnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam takut untuk menyampaikan perintah perlantikan ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai khalifah. Ini adalah dakwaan yang jelas tidak benar dan merupakan fitnah semata-mata ke atas Rasul Allah. Menarik untuk diperhatikan bahawa ayat 67 yang diturunkan oleh Allah 'Azza wa Jalla “hasil daripada ketakutan Rasulullah” juga tidak menyebut apa-apa tentang perlantikan ‘Ali. Adakah dengan itu akan didakwa bahawa Tuhan juga takut?



2. Syi‘ah mendakwa oleh kerana kepentingan isu perlantikan ‘Ali, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menahan orang ramai dalam suasana panas terik selepas solat Zohor untuk berkhutbah di Ghadir Khum.



Ini adalah dakwaan yang pelik kerana setiap khutbah yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sampaikan pada siang hari sememangnya disinari matahari manakala pada malam hari sememangnya disinari bulan dan bintang kerana sememangnya begitu iklim semulajadi di Semenanjung Arab. Lebih dari itu pada zaman tersebut tidak wujud masjid dan dewan persidangan yang berhawa dingin sebagaimana masa kini. Oleh itu tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi khutbah dalam suasana panas terik bukanlah kerana kepentingan isu tetapi kerana iklim semulajadi di Semenanjung Arab.



Alhamdulillah, berakhirlah perbahasan dan jawapan kita ke atas ayat 67 surah al-Maidah yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah sebagai Ayat al-Tabligh. Terdapat satu poin lain yang penulis tangguhkan perbahasan dan jawapannya. Poin tersebut merujuk kepada khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada Hari Ghadir Khum. Khutbah itu sendiri, seandainya ia berdarjat sahih, tidak mengangkat ‘Ali sebagai khalifah. Yang wujud hanyalah dakwaan dan angan-angan kosong Syi‘ah. Khutbah ini akan penulis bahas dalam buku Siri Ketiga insya-Allah dalam rangka menjawab hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah dalam persoalan khalifah. Sementara itu kita beralih kepada ayat seterusnya yang dinamakan Ayat al-Mubahalah oleh Syi‘ah.



Kesimpulan mudah kepada para pembaca:

*

Ayat 67 surah al-Maidah merujuk kepada misi dakwah Rasulullah kepada orang kafir. Ia tidak memiliki apa-apa kaitan dengan perlantikan ‘Ali sebagai khalifah.





Kelima: Ayat al-Mubahalah




[1] al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – biografi no: 1392; Ibn Hajar al-‘Asqalani – Thabaqat al-Mudallisin – biografi no: 122 dan Syu‘aib al-Arna’uth (الأرنؤوط) & Basyar ‘Awwad Ma’ruf – Tahrir Taqrib al-Tahzib, biografi no: 4616.

Tadlis bermaksud menyembunyikan nama perawi sebenar yang diambil hadis daripadanya. Ini dilakukan atas beberapa sebab, yang masyhur ialah menutup kelemahan dan kecacatan yang terdapat pada perawi yang disembunyikan itu supaya hadis yang dibawanya tidak menjadi lemah atau tertolak.

[2] Ini adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada riwayat-riwayat yang berasal daripada sumber atau perawi Syi’ah yang terselit di antara sumber-sumber Ahl al-Sunnah. Ia umpama riwayat Israiliyyat, merujuk kepada riwayat-riwayat yang berasal daripada sumber atau perawi Bani Israil yang terselit di antara sumber-sumber Ahl al-Sunnah. Lebih lanjut rujuk kepada buku yang amat bermanfaat oleh Muhammad Asri Yusuf yang berjudul Ibnu Ishaq: Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syi‘ah Di Kalangan Ummah (Pustakan Bisyaarah, Kubang Kerian, Kelantan 2004).

[3] Shihab al-Din Muhammad al-Alusi – Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sab’i al-Mutsani, jld. 3, ms. 360 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah). Lihat juga ulasan seumpama daripada Ibn Taimiyyah di dalam Minhaj al-Sunnah, jld. 7, ms. 33 dan seterusnya (bagi edisi lama, rujuk jld. 4, ms. 10 dan seterusnya).

[4] Tafsir al-Mishbah (Lentera Hati, Djuanda 2001), jld. 3, ms. 140 dengan sedikit suntingan bahasa daripada penulis kerana rujukan ini asalnya dalam bahasa Indonesia.

[5] al-Alusi – Ruh al-Ma‘ani, jld. 3, ms. 363.

[6] Muhammad bin ‘Umar al-Zamakhsyari – al-Kasyf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil fi Wujuh al-Ta’wil, jld. 1, ms. 692 (tafsir ayat 67 surah al-Maidah).

No comments:

Post a Comment