Keenam: Ayat al-Selawat
Apabila Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurunkan ayat berikut:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56], para sahabat radhiallahu ‘anhum bertanya bagaimanakah cara berselawat tersebut? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad sebagaimana Engkau berselawat ke atas ahli keluarga Ibrahim. Dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad sebagaimana Engkau memberkati ahli keluarga Ibrahim. Di dalam sekalian alam, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Terpuji dan Maha Mulia.
Hadis sahih di atas dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – no: 405 (Kitab Solat, Bab berselawat ke atas Nabi). Ia juga diriwayatkan oleh imam-imam hadis yang lain dengan beberapa lafaz yang sedikit berbeza tetapi dengan maksud yang sama. Selain itu bacaan selawat ini juga menjadi kewajipan bagi kita untuk membacanya dalam solat, dalam bacaan tasyahud. Ayat di atas dan hadis yang menjelaskannya juga menjadi hujah di sisi Syi‘ah sepertimana berikut:
Hujah Syi‘ah
Syi‘ah menjadikan ayat 56 surah al-Ahzab di atas sebagai hujah kerana dalam menerangkan cara berselawat, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyertakan para ahli keluarganya. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad dan ke atas ahli keluarga Muhammad……” Ini tidak lain menunjukkan keistimewaan dan kekhususan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum sehingga Allah memerintahkan umat Islam berselawat ke atas mereka di samping berselawat ke atas Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.
Muhammad Mar‘i al-Amin berhujah:[1]
Syi’ah seluruhnya bersepakat bahawa ayat yang mulia ini diturunkan berkenaan hak Nabi dan ahli keluarganya yang suci. Selari dengan manhaj ini (tafsiran ini) ialah majoriti ilmuan Ahl al-Sunnah.
Ayat 56 surah al-Ahzab ini juga dijadikan hujah kekhalifahan ‘Ali sesudah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana, menurut Syi‘ah, apabila Allah menyuruh umat Islam berselawat dengan menghubung dan menyebut nama ‘Ali sebaik sahaja selepas nama Rasulullah, bererti yang berhak sebaik sahaja sesudah Rasulullah ialah ‘Ali radhiallahu ‘anh. Allah telah mendahulukan dan memberi prioriti kepada ‘Ali sebaik sahaja sesudah Rasulullah, bererti tidak seorang juga yang memiliki prioriti untuk menjadi khalifah sesudah Rasulullah melainkan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Ini sebagaimana kata Muhammad Mar‘i al-Amin:[2]
Jelaslah berdasarkan ayat yang mulia ini bahawa ‘Ali ‘alaihi salam adalah khalifah yang sabit sesudah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana apabila Allah Ta‘ala menghubungkan ‘Ali bersama Rasul-Nya dalam sebutan selawat ke atasnya sebagaimana yang disebut sebelum ini, maka terhadap ‘Ali – tidak boleh mendahulukan seorang jua ke atas beliau sebagaimana tidak bolehkan mendahulukan seorang jua ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Demikianlah bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat 56 surah al-Ahzab sebagai hujah kekhalifahan ‘Ali radhiallahu ‘anh. Sekarang marilah kita menganalisa sejauh mana kebenarannya.
Jawapan Ahl al-Sunnah
Ahl al-Sunnah menerima sepenuhnya hadis yang menerangkan cara berselawat ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan ahli keluarga baginda radhiallahu ‘anhum sebagai memenuhi tuntutan firman Allah ‘Azza wa Jalla dalam ayat 56 surah al-Ahzab. Hal ini menjadi bukti keadilan Ahl al-Sunnah, di mana apabila hadis itu sahih lagi jelas maksudnya, kita menerima dan mengamalkannya sebagaimana zahir hadis.[3] Akan tetapi Ahl al-Sunnah menolak tafsiran Syi‘ah yang bersifat berlebih-lebihan lagi melampaui batas. Penolakan ini adalah dengan dua sebab:
Pertama:
Hadis yang menganjurkan selawat kepada ahli keluarga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah umum kepada semua ahli keluarga baginda tanpa terbatas kepada Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja, radhiallahu ‘anhum. Rasulullah tidak mengajar cara berselawat seumpama: “Ya Allah, berselawatlah ke atas Muhammad dan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain……”
Justeru tidak boleh membataskan maksud “ahli keluarga Rasulullah” kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain sahaja melainkan dengan dalil yang sahih. Dalam hal ini sememangnya tidak wujud dalil yang sahih untuk membataskannya.
Kedua:
Kewajipan berselawat ke atas ahli keluarga Rasulullah bukanlah hujah kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Yang benar ia hanyalah hujah keistimewaan seluruh ahli keluarga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Seandainya Allah mengingini ‘Ali menjadi khalifah, pasti Allah akan menetapkannya sebagaimana Allah mengingini keistimewaan ke atas ‘Ali lalu Allah menetapkan kewajipan berselawat ke atasnya.
Demikian dua penolakan Ahl al-Sunnah ke atas penghujahan Syi‘ah. Selain daripada itu, ayat 56 surah al-Ahzab dan cara berselawat yang diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah hujah untuk berselawat ke atas ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain serta keturunan mereka secara tersendiri. Ini kerana tidak ada dalil yang menganjurkan selawat ke atas mana-mana ahli keluarga Rasulullah secara bersendirian. Oleh itu Ahl al-Sunnah tidak menyebut Hasan bin ‘Ali ‘alaihi salam tetapi Hasan bin ‘Ali radhiallahu ‘anh. Demikian juga: Ja’far al-Shadiq rahimahullah dan bukannya Ja’far al-Shadiq ‘alaihi salam.
Kesimpulan mudah kepada para pembaca:
*
Kewajipan berselawat ke atas ahli keluarga Rasulullah adalah umum meliputi seluruh ahli keluarga baginda tanpa terhad kepada ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain.
[1] Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 83-84.
[2] Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah, ms. 91.
[3] Lebih lanjut sila rujuk buku penulis yang berjudul: Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah (s.a.w.): Suatu Jemputan Ke Arah Berselawat Dengan Sebenar-benar Selawat dan Huraian Tentang Beberapa Salah Faham Dalam Bab Berselawat (Jahabersa, Johor Bahru 1999 & 2002).
Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah
No comments:
Post a Comment