Thursday, July 21, 2011

PENDIRIAN MUAWIYAH DI SEBALIK PERLANTIKAN YAZID DAN PEMBUNUHAN HASAN.

PENDIRIAN MUAWIYAH DI SEBALIK PERLANTIKAN YAZID DAN PEMBUNUHAN HASAN.


Apabila disebut nama Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu 'anh, ia
lazimnya dikaitkan dengan tiga peristiwa sejarah yang buruk. Pertama
adalah Perang Siffin, kedua adalah tindakan Muawiyah melantik anaknya
sendiri – Yazid bin Muawiyah – menjadi khalifah yang menggantinya dan
ketiga adalah penglibatan Muawiyah dalam pembunuhan Hasan bin Ali
radhiallahu 'anh. Dalam artikel sebelumnya, kita telah meneliti
pendirian Muawiyah di sebalik Perang Siffin. Maka dalam artikel ini
insya-Allah, kita akan meneliti pendirian Muawiyah di sebalik
perlantikan Yazid dan pembunuhan Hasan.

PERLANTIKAN HASAN BIN ALI SEBAGAI KHALIFAH.

Apabila Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dibunuh, orang ramai
melantik anaknya Hasan sebagai khalifah yang baru. Ali tidak
mewasiatkan sesiapa jua untuk menjadi penggantinya sebagaimana
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga tidak mewasiatkan
sesiapa menjadi pengganti baginda. Al-Imam al-Baihaqi rahimahullah (458H)
meriwayatkan bahawa orang meminta kepada Ali:

"Lantiklah pengganti ke atas kami!"

Ali menjawab:

"Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melantik seorang
pengganti (maka aku tidak akan menyelisihi sunnah sedemikian). Akan
tetapi jika Allah mengkehendaki kebaikan kepada manusia, Allah akan
mengumpul mereka sesudah aku di atas kebaikan mereka (sendiri)
sebagaimana Allah telah mengumpul mereka (para sahabat) sesudah Nabi
mereka shallallahu 'alaihi wasallam di atas kebaikan mereka
(sendiri)." [al-Sunan al-Kubra (diteliti oleh Muhammad `Abd al-Qadir
`Atha'; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), riwayat no: 16573]

Maksudnya, apabila masyarakat itu baik, maka kebaikan mereka secara
tersendiri akan melahirkan seorang pemimpin yang baik ke atas mereka.
Sebaliknya apabila masyarakat itu buruk, maka keburukan mereka secara
tersendiri akan melahirkan pemimpin yang buruk ke atas mereka.
Demikian peraturan Allah (sunnatullah) kepada manusia di mukabumi
ini.

Tindakan Ali yang tidak melantik seorang pengganti dan menyandarkan
tindakannya itu ke atas sunnah Rasulullah membatalkan dakwaan Syi`ah
kononnya baginda telah melantik Ali sebagai khalifah pengganti ke
atas umat Islam. Adapun ayat-ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah
yang dijadikan dalil kekhalifahan Ali oleh Syi`ah, semuanya adalah melalui
takwilan yang batil. Alhamdulillah saya telah menyusun tiga buku khas
dalam bab ini berjudul Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi`ah al-
Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

HASAN MENYERAHKAN JAWATAN KHALIFAH KEPADA MUAWIYAH.

Sekalipun orang ramai melantik Hasan sebagai khalifah yang
menggantikan ayahnya, Hasan lebih mengingini kemaslahatan dan
persatuan umat Islam daripada jawatan tersebut. Pada saat itu umat
Islam masih berselisih kerana para pembunuh Usman ibn Affan
radhiallahu 'anh masih belum ditangkap. Hasan ingin menutup
perselisihan ini. Pada pengamatan beliau, hal ini hanya mampu dicapai
jika jawatan khalifah diserahkan kepada Muawiyah. Maka tanpa berbelah
bahagi Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah dan
kemudian membai`ah Muawiyah sebagai khalifah umat Islam yang baru. Tindakan
Hasan ini memiliki beberapa kepentingan:

Pertama: Ia menunjukkan kemuliaan tak tertanding yang dimiliki oleh
Hasan bin Ali. Beliau lebih mencintai apa yang baik untuk umat Islam
melebihi segala-galanya. Kedua: Ia membenarkan sabda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam yang pada masa hidupnya telah bersabda
di atas mimbar sambil mendukung Hasan yang ketika itu masih kecil:

"Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah mendamaikan
dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang berselisih." [Shahih
al-Bukhari – hadis no: 3629]

al-Qadhi Ibn al-`Arabi mengulas dua kepentingan di atas:

"…Hasan lebih berhak daripada Muawiyah dan orang-orang yang lain
(untuk jawatan khalifah). Beliau memiliki sifat-sifat seperti
ayahnya, iaitu mengajak kumpulan yang berselisih kepada kebenaran dan
ketaatan. Maka (bagi Hasan) perdamaian diberi kepentingan (priority) dan semua
masalah lain diketepikan. Ini semua adalah untuk menghindari
pertumpahan darah di kalangan umat Islam dan membenarkan sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam bahawa Hasan adalah seorang juru damai."
[al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 206-207].

Ketiga: Ia membuktikan bahawa Muawiyah bukanlah musuh atau
pemberontak. Ini kerana jika Muawiyah adalah musuh atau pemberontak,
yang menjadi wajib adalah perang dan bukannya perdamaian. Syaikh
al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menerangkan:

"Ini menunjukkan bahawa mendamaikan antara dua kumpulan adalah baik
dan terpuji, dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya. Apa yang dilakukan
oleh Hasan adalah daripada keutamaan beliau yang amat agung dan
kedudukannya yang dipuji oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Seandainya perang adalah wajib atau disunatkan, nescaya Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan memuji sesiapa jua yang
meninggalkan kewajipan atau kesunatan tersebut." [Minhaj al-Sunnah,
jld. 4, ms. 531-532]

Keempat: Ia membuktikan bahawa Syi`ah bukanlah pendukung Hasan secara
khusus dan Ahl al-Bait secara umum. Ini kerana jika mereka adalah
pendukung yang sebenar, pasti mereka rela ke atas tindakan Hasan yang
menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun riwayat-riwayat
sejarah menunjukkan mereka amat marah dan benci kepada Hasan atas
tindakannya itu. Malah dalam sebahagian kitab mereka, Husain lebih
diberi keutamaan berbanding Hasan.

MUAWIYAH SEORANG PEMERINTAH YANG CEMERLANG.

Dalam artikel sebelumnya, kita dapat mengenal bahawa Muawiyah
bukanlah calang-calang orang, tetapi seorang sahabat Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam yang memiliki banyak keutamaan. Pernah seorang
lelaki bertanya kepada al-Mu`afi bin Imran rahimahullah: "Wahai Abu Mas`ud
(gelaran al-Mu`afi)! Bagaimana kedudukan Umar bin Abdul Aziz
berbanding Muawiyah bin Abi Sufyan?" al-Mu`afi menjadi amat marah
mendengar soalan tersebut, lantas menjawab:

"Para sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak dapat
dibandingkan dengan sesiapa jua. Muawiyah adalah seorang sahabat
(Rasulullah), ipar baginda, jurutulis baginda dan kepercayaan baginda
dalam menulis wahyu Allah." [Diriwayatkan oleh al-Imam al-Khatib
al-Baghdadi (463H) di dalam Tarikh Madinah al-Salam (diteliti oleh
Basyar `Awwad Ma'ruf; Dar al-Gharb al-Islami, 2001), jld. 1, ms. 577]

Muawiyah juga memiliki satu keutamaan yang khusus, iaitu beliau
memiliki ciri-ciri kepimpinan (leadership qualities) yang amat baik.
Di atas ciri-ciri inilah beliau dapat memerintah negara Islam pada
zamannya dengan penuh kecemerlangan, keadilan, kemakmuran dan
kekuatan. Ciri-ciri ini dipersaksikan oleh para sahabat yang lain. Di
antaranya ialah Abdullah ibn Abbas radhiallahu 'anh dimana beliau
pernah berkata:

"Belum pernah aku melihat orang yang lebih istimewa dalam
pemerintahannya selain Muawiyah." [Diriwayatkan oleh al-Imam `Abd
al-Razzaq (211H) di dalam al-Musannaf (diteliti oleh Habib al-Rahman
al-`Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1983), riwayat no: 20985]

Abdullah ibn Umar radhiallahu 'anh turut berkata: "Tidak pernah aku
melihat seorang jua selepas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
yang lebih bijak kepimpinannya selain Muawiyah." Orang bertanya:
"Tidak juga Abu Bakar al-Siddiq?" Ibn Umar menjawab: "Tidak juga Abu
Bakar al-Siddiq akan tetapi Abu Bakar adalah lebih baik daripada
beliau (dalam sudut-sudut yang lain). Orang bertanya lagi: "Tidak
juga Umar?" Ibn Umar menjawab: "Tidak juga Umar akan tetapi Umar adalah
lebih baik daripada beliau (dalam sudut-sudut yang lain)."
[Diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Asakir (571H) di dalam Tarikh Dimashq
al-Kubra (diteliti oleh `Ali `Asyur; Dar Ihya' al-Turath al-`Arabi,
Beirut, 2001), jld. 62, ms. 120]

Qabishah bin Jabir rahimahullah berkata: "Belum pernah aku melihat
orang yang lebih agung kesantunannya, lebih besar kemuliaannya dan
lebih lembah lembut pemerintahannya melainkan Muawiyah." [Tarikh
Dimashq al-Kubra, jld. 62, ms. 123].

Bahkan Mujahid rahimahullah pernah berkata: "Seandainya kalian
melihat Muawiyah, nescaya kalian akan mengatakan: Inilah Mahdi!" [Tarikh
Dimashq al-Kubra, jld. 62, ms. 119]

Terdapat banyak keterangan daripada para sahabat dan para tokoh
daripada zaman selepas para sahabat berkenaan kecemerlangan
pemerintahan Muawiyah, sehingga berkata Syaikh Muhib al-Din al-Khatib
rahimahullah: "Di antara perkara yang perlu dikaji berkenaan sejarah
Arab dan Islam adalah untuk mengetahui bahawa Muawiyah mempelopori
kepimpinan, kepanglimaan dan pembentukan hukum." [catitan notakaki
kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 211]

Mengenali kecemerlangan pemerintahan Muawiyah adalah penting kerana
ia membentuk dasar kepada pengajian kita tentang sejarah pemerintahan
beliau. Sebelum ini, kebanyakan umat Islam hanya mengenali Muawiyah
sebagai seorang yang jahat lagi tercela, hasil daripada pengaruh
Syi`ah. Semua ini menyebabkan mereka membaca sejarah pemerintahan
beliau dengan mindset yang negatif. Kini, kita akan mengkaji semula
sejarah pemerintahan beliau dengan mindset yang positif.

PENDIRIAN MUAWIYAH DI SEBALIK PERLANTIKAN YAZID.

Sejarah versi Syi`ah mencela Muawiyah kerana telah menyerahkan
jawatan khalifah kepada anaknya Yazid. Penyerahan ini, menurut Syi`ah,
membuktikan bahawa Muawiyah bukanlah pemerintah yang adil. Bahkan ia
membuktikan Muawiyah tamak kepada jawatan tersebut dan enggan
melepaskannya kecuali kepada keturunannya sendiri.

Adapun di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, tindakan Muawiyah tidak
lain adalah kerana kemaslahatan yang ingin beliau berikan kepada
seluruh umat Islam. Al-Allamah Ibn Khaldun rahimahullah (808H)
menerangkan kemaslahatan ini:

"Seorang imam tidak sewajarnya dicurigai meskipun dia telah melantik
ayah atau puteranya sendiri sebagai penggantinya. Dia telah
dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kebajikan kaum muslimin
selagi dia masih hidup. Lebih daripada itu dia bertanggungjawab untuk
membasmi, semasa hidupnya (kemungkinan mewabaknya perkara-perkara
yang tidak diingini) setelah kematiannya …. Malah, dia tidak harus sama
sekalinya dicurigai dalam apa jua hal pun. Lebih-lebih lagi sekiranya
ada alasan (untuk melantik seorang pengganti itu), seperti
keinginannya untuk meningkatkan kepentingan umum, atau kekhuatiran
akan terjadinya suatu malapetaka (sekiranya tidak dilantik seorang
pengganti), oleh itu meragui seorang imam itu adalah bukan
persoalannya.

Hal yang sedemikian sebagai satu contoh adalah sebagaimana yang
berlaku apabila Muawiyah melantik puteranya, Yazid. Tindakan itu
diambil dengan persetujuan rakyat dan, dengan kerana itu, dengan
sendirinya menjadi satu bahan hujah kepada persoalan yang
dibincangkan. Akan tetapi, Muawiyah sendiri bersikap lebih menyokong
puteranya Yazid berbanding dengan bakal penggantinya yang lain.
Sebabnya ialah, dia lebih menitikberatkan kepentingan umum yang
menghendaki adanya perpaduan dan harmoni di kalangan masyarakat itu,
kerana orang yang menerajui kuasa eksekutif, iaitu Bani Umayyah, pada
waktu itu bersetuju melantik Yazid.

Tidak ada motif yang lainnya daripada Muawiyah. Hemahnya yang tinggi
dan hakikat bahawa dia merupakan salah seorang daripada
sahabat-sahabat Nabi mencegah keterangan yang lain-lainnya. Fakta
bahawa dia sering datang kepada para sahabat terkemuka, untuk
dimintai nasihat, dan kenyataan bahawa mereka tidak memberikan pendapat (yang
bertentangan) merupakan bukti tidak adanya kecurigaan atas dirinya.
Mereka (para sahabat) tidak termasuk orang gegabah yang mengambil
keputusan dalam masalah kebenaran, dan demikian pula Muawiyah tidak
mudah seenaknya menerima kebenaran. Mereka mempunyai peranan
masing-masing dalam masalah ini, dan keadilan mereka menahan diri
mereka untuk bertindak sewenang-wenangnya." [Muqaddimah (edisi
terjemahan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1995), ms.
229-230]

Demikian penjelasan Ibn Khaldun. Sebelum beralih kepada penelitian
seterusnya, ingin saya menarik perhatian para pembaca sekalian kepada
satu fakta menarik. Kita perhatikan Syi`ah mencela Muawiyah kerana
menjadikan jawatan khalifah sesuatu yang diwarisi oleh keturunannya.
Bukankah pada waktu yang sama Syi`ah juga menjadikan jawatan khalifah
sesuatu yang diwarisi oleh keturunan, iaitu keturunan Ahl al-Bait
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam? Yang dapat kita katakan
adalah, celaan Syi`ah ke atas tindakan Muawiyah berbalik menjadi
celaan ke atas diri mereka sendiri.

PENDIRIAN MUAWIYAH DI SEBALIK PEMBUNUHAN HASAN.

Apabila ditanya kepada orang ramai, siapakah yang membunuh Hasan?
Pasti mereka menjawab "Muawiyah". Malah mereka mampu
memperincikannya,konon Muawiyah telah merasuah isteri Hasan untuk meracuni suaminya. Sebagai ganjaran, isteri tersebut akan diberi sejumlah bayaran wang
dan dikahwinkan dengan Yazid bin Muawiyah. Demikianlah kemasyhuran
sejarah versi Syi`ah sehingga orang ramai menganggapnya sebagai satu
peristiwa yang benar-benar berlaku.

Yang benar adalah, tidak ada apa-apa bukti untuk menuduh mahupun
mengaitkan Muawiyah dengan peristiwa pembunuhan Hasan. Syaikh al-
Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

"Dan adapun pendapat: "Sesungguhnya Muawiyah meracuni Hasan", maka ia
adalah daripada perkara yang disebut-sebut oleh sebahagian orang,
padahal tidaklah tuduhan yang sedemikian sabit daripada penjelasan
syari`at atau pengakuan orang yang muktabar dan tidak juga dinukil
secara tegas berkenaannya. Dan ia adalah daripada sesuatu yang tidak
mungkin berdasarkan ilmu, maka berkata dengannya adalah perkataan
yang berdiri tanpa ilmu." [Minhaj al-Sunnah, jld. 5, ms. 469]

Paling kurang terdapat tiga sebab kenapa dikatakan "ia adalah
daripada sesuatu yang tidak mungkin berdasarkan ilmu".

Pertama: Muawiyah sendiri pada asalnya tidak pernah memandang Hasan
sebagai persaingan dalam jawatan khalifah. Beliau mengenali Hasan
sebagai seorang insan yang memiliki pelbagai ciri-ciri mulia. Antara
ciri mulia tersebut adalah Hasan sanggup menyerahkan jawatan khalifah
kepadanya (Muawiyah) demi kemaslahatan umat Islam dan beliau tidak
memiliki hasrat untuk merebutnya kembali. Muawiyah mengetahui bahawa
Hasan berpegang teguh kepada sabda datuknya shallallahu 'alaihi
wasallam: "Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid, semoga Allah
mendamaikan dengannya dua kumpulan umat Islam yang sedang
berselisih."[Shahih al-Bukhari – hadis no: 3629]

Kedua: Jika Hasan adalah persaingan kepada Muawiyah, maka "membasmi"
persaingan politik bukanlah merupakan tindak-tanduk seorang
pemerintah yang cemerlang. Ia hanya akan menimbulkan rusuhan daripada masyarakat
dan ini akhirnya akan memberi natijah yang buruk kepada pemerintah
itu sendiri. Oleh itu seandainya Hasan menjadi persaingan kepada
Muawiyah, pasti beliau akan bermusyawarah dengannya dalam mencari jalan keluar
yang terbaik kepada agama, umat dan negara.

Ketiga: Cerita kononnya "Muawiyah merasuah isteri Hasan untuk
meracuni suaminya" bukan sahaja merupakan fitnah ke atas Muawiyah tetapi juga
ke atas Hasan. Ini kerana cerita tersebut menunjukkan seolah-olah
Hasan telah memilih seorang isteri yang fasiq dan tidak prihatin ke
atas tindak-tanduk isterinya yang sanggup menerima rasuah untuk
meracuni dirinya. Hal ini sungguh tidak mungkin berlaku ke atas Hasan
yang memiliki keimanan yang jitu, ketaqwaan yang teguh, keilmuan yang
tinggi, wawasan yang luas dan kemuliaan yang tidak tertanding.
Justeru Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah bukan sahaja menolak cerita "Muawiyah
merasuah isteri Hasan untuk meracuni suaminya" dalam rangka
membersihkan nama Muawiyah tetapi juga dalam rangka membersihkan nama
Hasan. Pada waktu yang sama dapat juga kita perhatikan bahawa dalam
rangka Syi`ah membuat fitnah ke atas Muawiyah, mereka juga membuat
fitnah yang tersembunyi yang lebih berbisa ke atas Hasan.

Dengan itu tinggal satu persoalan, siapakah yang meracuni Hasan?
Apabila tidak ada bukti yang kukuh dalam persoalan ini, Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah menahan diri daripada menuduh sesiapa. Seorang
penjenayah mungkin terlepas di dunia tetapi dia tidak akan terlepas
di Akhirat. Andai kata dibolehkan membuat tuduhan, maka pihak yang
paling layak menjadi suspect ialah orang-orang Syiah itu sendiri. Ini kerana
tidak ada sesiapa jua yang lebih benci dan marah ke atas Hasan
disebabkan tindakannya menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah
melainkan orang-orang Syi`ah itu sendiri.


Oleh
Hafiz Firdaus Abdullah

No comments:

Post a Comment