Hadis “Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad besar”
Salam. Berkenaan dengan ucapan saya pada Program Maal Hijrah tempoh hari, saya ada menyebut satu hadis berkenaan ‘Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad besar’ apabila Rasulullah s.a.w pulang dari satu peperangan. Berikut merupakan matannya : “Kamu telah datang dengan sebaik-baik kedatangan, kamu telah datang dari jihad yang kecil kepada jihad yang besar.” Ditanya: “Apakah jihad yang besar?” Baginda menjawab: “Jihadnya seorang hamba (manusia) ke atas nafsunya” Sanad Dha’if: Hadis dikeluarkan oleh al-Baihaqi, Abu Bakar al-Shafi’I dan al-Khatib al-Baghdadi, semuanya dari jalan Laits bin Abi Sulaim dan beliau adalah seorang yang masyhur dihukum dha’if di dalam kitab-kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Secara terperinci:
-Hadis ini dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam Kitab al-Zuhud dan ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (al-Mughni ‘an Hamlin al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar), jld. 3, hadis no:02 bagi bab Syarah Keajaiban Hati dan beliau berkata: Riwayat al-Baihaqi di dalam Kitab al-Zuhud dan di dalam (sanad)nya terdapat kelemahan.
-Juga ditakhrij oleh al-‘Iraqi di dalam Kitab al-Zuhud, hadis no: 1 bagi bab Latihan al-Nafs dan beliau berkata: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam Kitab al-Zuhud dan telah dibahas dalam bab Syarah Keajaiban Hati. Asalnya disebut oleh al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din, lihat al-Ithaf al-Sadah al-Muttaqin bi Syarh Ihya’ Ulum al-Din oleh al-Zubaidi , jld. 8, ms.397 (Kitab Keajaiban Hati) dan jld. 8, ms. 657 (Kitab Latihan al-Nafs).
-Juga ditakhrij oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani (al-Kafi al-Syaf fi Takhrij Ahadits al-Kasysyaf) dan beliau berkata: Ia adalah daripada riwayat ‘Isa bin Ibrahim, daripada Yahya bin Ya’la, daripada Laits bin Abi Sulaim, dan ketiga-tiganya adalah dha’if.
-Dan dikemukakan oleh al-Nasa’i di dalam Kitab al-Kuna sebagai perkataan Ibrahim bin Abi ‘Ablah, seorang tabi’in daripada penduduk Syam. Beliau berkata di dalam Tasdid al-Qaus: Ia (hadis ini) masyhur di atas lisan manusia, ia adalah perkataan Ibrahim bin (Abi) ‘Ablah.
-Juga ditakhrij oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah.
Adalah kesilapan saya tidak menyebut status hadis ini yang dha’if. Kerana dibimbangi termasuk dalam mereka yang berdusta dia atas nama Rasulullah.
Oleh itu adalah menjadi kewajipan untuk kita menyemak sanad dan matan sesebuah hadis. Amaran Rasulullah dalam sebuah hadis yang mutawatir:
“Sesiapa yang membuat dusta ke atasku maka siaplah tempat duduknya di dalam neraka” (Hadis mutawatir, diriwayatkan 10 Imam; al-Bukhari, Muslim, Ad-Darimi, Abu Daud, Ibnu Majah, Tirmizi, Abu Ha’nifah, Tabrani dan Hakim)
No comments:
Post a Comment