Sunday, July 3, 2011

BID'AH-BID'AH (AMALAN YANG TIDAK SUNNAH ) DIBULAN SYA'BAN

Bid’ah-Bid’ah Bulan Sya’ban

Menurut hadits-hadits sahih, Rasulullah s.a.w. berpuasa sepanjang atau hampir sepanjang bulan Sya’ban.

Dan lain-lain hadith lagi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menghayati semua atau sebahagian besar bulan Sya'ban dengan mengerjakan puasa sunat.
Hanya amalan puasa inilah sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Sya'ban ini. Selain puasa tidak ada riwayat yang sah mengenai adanya amalan-amalan khas yang lain yang dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan Sya'ban ini dan yang disyariatkan kepada umatnya, dan tidak ada pula riwayat yang menunjukkan para sahabat menghayati sepanjang bulan Sya'ban ini dengan amalan-amalan yang khusus.
Adapun puasa khas pada hari Nisfu Sya'ban, solat khas pada malamnya yang dikenali dengan solatul-Khair, upacara membaca Surah Yaasin dengan kaifiat yang khusus, dan berdoa dengan doa yang khusus, meminta murah rezki, panjang umur dan sebagainya bukanlah amalan Sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.danpara sahabatnya dan tidak pula dikerjakan oleh As-Salafus-Soleh

Imam An-Nawawi berkata di dalam kitab Al-Majmu':

"Solat yang dikenal dengan solat ar-Raghaib iaitu dua belas rakaat yang dilakukan di antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari bulan Rejab dan solat Nisfu Sya'ban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang terpedaya kerana kedua-duanya disebutkan dalam kitab Qutul-Qulub dan Ihyau-Ulumiddin, dan jangan pula terpedaya dengan hadith yang disebutkan dalam kedua-dua kitab itu kerana semuanya adalah batil belaka.
(Al-Ibda', halaman 288)

Al-Imam Ibnu Taiymiah pula berkata:

“Adapun mengadakan solat dengan bilangan rakaat yang tertentu dan bacaan yang tertentu dan dikerjakan secara berjamaah tetap seperti solat Ar-Raghaib pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, solat Alfiah pada awal bulan Rejab, solat Nisfu Sya'ban, solat malam 27hb.Rejab (malam Israk dan Mikraj) dan lain-lain sepertinya tidaklah disyari'atkan dengan sepakat imam-imam orang-orang Is¬lam sebagaimana yang dinashkan oleh ulama-ulama yang mu' tabar. Orang yang menciptanya tiada lain kecuali orang orang jahil”. (Majmu' Fatawa Ibnu Taimiah 2, halaman 3)

Dalam masyarakat kita sejak turun temurun malam Nisfu Sya'ban ini disambut dengan penuh debar dan harapan kerana ia malam seribu berkat di mana pada malam ini diyakini Allah menetapkan urusan-urusannya terhadap makhluknya.
Oleh kerana itu lahirlah upacara solat khas, membaca Yaasin dan membaca doa khas untuk memohon dari Allah supaya dipanjangkan umur, diangkat bala dan dimurahkan rezeki dan sebagainya. Masjid-masjid dan surau-surau penuh sesak dengan para makmum yang datang sejak awal-awal lagi kerana khuatir akan terluput dari upacara yang bermakna ini.

Risalah-risalah yang memuatkan keistimewaan-keistimewaan malam Nisfu Sya'ban, amalan-amalan khasnya dan doa-doanya yang di anggap mustajab tersebar di mana-mana, baik ia disebarkan oleh orang-orang perseorangan mahupun oleh pertubuhan-pertubuhan. Tiada siapa yang berani menilai amalan-amalan dan hadith-hadith yang disebarkan itu sehingga ia seakan-akan berita yang mutawatir dari Rasulullah s.a.w.

Solat Nisfu-Sya’ban

Al-Hafiz al-Irqi berkata:
“Hadits mengenai solat Nisfu Sya’ban adalah hadits Maudhu’ yang didustakan ke atas diri Rasulullah s.a.w”. (Al-Ibda’, hlm. 287-288)

Al-Hafiz Ibnul-Jazari pula berkata:
“Adapun solat Raghaib pada awal khamis bulan Rejab dan solat Nisfu Sya’ban dan solat Lailatul-Qadr dari bulan Ramadhan, maka sanadnya adalah batil, tidak sah”.
(Al-Ibda’, hlm. 287-288)

Ibnul-‘Arabi mengatakan:
“Tidak ada sebuah hadits pun yang boleh dipegang mengenai keutamaan malam Nisfu-Sya’ban dan mengenai penghapusan ajal padanya, maka janganlah kamu memberikan perhatian kepadanya”. (Al-Ibda’, hlm. 287-288)

Sebagaimana puasa khas dan solat khas Nisfu Sya'ban itu adalah amalan bid'ah yang mungkar, maka upacara membaca surahYaasin, membaca doa khas beramai-ramai di masjid-masjid dan surau-surau adalah perbuatan bid'ah pula. la sama sekali tidak dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pula di amalkan oleh para sahabat dan as-Salafus-soleh r.a.

Imam Abu Syamah berkata:
"Di antara bid'ah-bid'ah yang diada-adakan oleh ahli bid'ah dan penyelewengan mereka dari apa yang telah digariskan oleh agama dan mereka telah menjalani sunnah agama Majusi dan menjadikan agama sebagai permainan dan senda-sendaan ialah menyalakan api pada malam Nisfu Sya'ban.

Tidak ada sebuah hadith pun yang sah dari Nabi s.a.w. mengenai keutamaan malam Nisfu Sya'ban dan Rasulullah s.a.w tidak bersabda mengenai solat pada malam ini dan juga menyalakan api padanya. Apa yang diada-adakan itu tidak lain hanya oleh orang yang mempermain-mainkan syari'at Muhammad s.a.w. dan orang yang gemar kepada agama Majusi kerana api itu adalah penyembahan mereka. Perkara ini mulanya diadakan pada zaman Barmaki. Mereka memasukkan ke dalam agama Islam sesuatu yang mereka sadurkannya kepada orang-orang bodoh, iaitu mereka menjadikan unggunan api di bulan Sya'ban seolah-olah salah satu dari ciri-ciri iman sedangkan tujuan mereka yang sebenarnya ialah penyembahan api dan menegakkan agama mereka. Ini adalah iman yang paling rugi sehingga apabila orang-orang Islam bersolat, maka rukuk dan sujud adalah kepada api yang mereka nyalakan itu”. (Al-Ibda’, hlm. 291)

Menurut Asy-Syaikh Muhammad Nashiruddin Al-Albani, bahawa ada hadith yang sah mengenai keutamaan malam Nisfu Sya'ban ini, iaitulah hadith Takhrij Ibnu Abu 'Ashim dalam kitab As-Sunnah dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya yang diterima dari Mu'az bin Jabal:

Allah memerhatikan kepada makhluknya pada Malam Nisfu Sya'ban lalu la memberi keampunan kepada semua makhluknya kecuali orang musyrik dan orang munafik yang sangat jelek.

Hadith ini adalah sahih, perawi-perawinya (sanadnya) orang-orang kepercayaan. Dan hadith ini ada pula syahid-syahidnya dari jalan lain tetapi kesahihan hadith ini tidaklah boleh dijadikan dalil bagi menjadikan malam Nisfu Sya’ban ini sebagai musim perayaan di mana orang ramai berkumpul pada malamnya dan melakukan sebahagian dari perkara-perkara bid'ah. Demikian menurut ulama hadith yang terkenalini. (Ta'liq atas kitab Ishlahul-Masajid, halaman 99)

Menghidupkan malam Nisfu Sya'ban dengan mengadakan perhimpunan di masjid-masjid dan surau-surau dengan menyalakan lampu yang berlebih-lebihan, membaca surah Yaasin beramai-ramai, membaca doa yang khusus, mengerjakan solat yang khusus bererti menambahkan amal dan syi'ar yang sama sekali tidak disyari'atkam oleh Allah dan Rasulnya.

Nisfu Sya’ban & Lailatul-Qadr

Yang lebih mendukacitakan lagi kononnya malam Nisfu Sya'ban itu adalah malam Lailatul-Qadr, maka oleh kerana itu malam tersebut dihayati sedemikian rupa. Kepercayaan ini kononnya didasarkan kepada firman Allah:

“Haa Mim, demi Kitab Allah (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada satu malam yang berkat dan sesunggahnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu Kami jelaskan segala urusan yang penuh hikmat, iaitu urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutuskan Rasul-Rasul sebagai rahmat dari Tuhanmu, sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. – surah ad-Dukhan ayat 1-6

Mereka sandarkan pendapat mereka kepada pendapat yang diriwayatkan dari 'Ikrimah yang mengatakan bahawa Lailatul-Qadr itu jatuh pada malam Nisfu Sya’ban.
Pendapat ini sesungguhnya adalah tidak benar kerana bertentangan dengan riwayat hadith-hadith yang sahih mengenai Lailatul-Qadr ini dan berlawanan dengan pernyataan al-Quran sendiri, kerana al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadr di bulan Ramadhan.

Doa Khas & Bacaan Yaasin

Ataupun doa berikut:

إلـهِىْ بِالتَّجَلِّىْ الأَعْظَمِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَهْرِ شَغْبِانَ.

Bukanlah datangnya dari Rasulullah s.a.w. atau pun dari para sahabat, tetapi ianya berasal dari doa yang diambil oleh Al-'Alim Abu Bakar bin Ahmad daripada al-'Alim Abdullah bin Asad Al-Yafi'ey semasa dalam perjalanan ke Madinah pada tahun 733H dan dari sebahagian orang-orang soleh. Demikian pula mengenai kaifiat atau tatacara bacaan doanya yang disyaratkan sebanyak tiga kali dengan diselangselikan dengan bacaan Yaasin beserta dengan niat panjang umur, menolak bala dan minta dimurahkan rezeki sama sekali tidak dikenali pada zaman Nabi dan para sahabat.
Membaca Yaasin dan berdoa memang digalakkan pada semua masa dan tempat yang munasabah, akan tetapi jika ia telah dijadikan upacara yang tetap dan pada masa yang tetap, dengan kaifiat yang tetap, yang tidak ditetapkan oleh pembuat syarak, maka galakan itu bertukar menjadi terlarang.

.Mengenai ini Asy-Syaikh Ali Mahfuz berkata:
"Di antara bid'ah-bid'ah yang merebak di kalangan manusia ialah orang-orang Islam berkumpul di masjid-masjid bagi menghidupkan malam Nisfu Sya'ban dengan solat dan doa setelah selesai solat Maghrib. Mereka membacanya dengan suara keras dengan talkin imam kerana menghayati malam Nisfu Sya'ban dengan cara demikian dan dengan kaifiat yang makruf itu tidak berlaku pada zaman Rasulullah s.a. w. dan tidak juga pada zaman sahabat r.a."

Dan selanjutnya beliau berkata: "Adapun doa yang kerananya orang ramai berkumpul di masjid-masjid pada malam Nisfu sya'ban, maka tidaklah sabit datangnya dari Rasulullah s.a.w. dan tidak juga daripara As-Salaf Ash-Shalih r.a. bahawa mereka berkumpul di masjid-masjid pada malam Al-Qadr ini kerana tujuan tersebut."
Dan selanjutnya beliau berkata:

"Kadang-kadang (memang sudah menjadi syi'ar) mereka mensyaratkan supaya doa terkabul dengan membaca surah Yaasin dan solat dua rakaat sebelumnya. Mereka melakukan pembacaan Yaasin, solat dan doa sebanyak tiga kali.
Kali yang pertama dengan niat panjang umur, kali yang kedua dengan niat tolak bala dan kali yang ketiga dengan niat supaya murah rezeki, dan mereka meyakini bahawa amalan ini adalah sebahagian dari syi'ar agama, malam ini adalah malam yang utama dan mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang khusus. Hal ini menyebabkan mereka memberikannya perhatian lebih daripada perhatian mereka kepada perkara-perkara yang wajib dan sunat-sunat.

Oleh kerana itu anda melihat mereka segera ke masjid-masjid sebelum matahari jatuh malam Nisfu Sya'ban. Di antara mereka ada yang meninggalkan solat dengan keyakinan bahawa amalan malam Nifsu Sya'ban itu dapat menutup segala taksiran yang telah lalu dan bahawa ia akan dipanjngkan umur dan mereka merasa sial bila terlepas peluang ini. Oleh kerana itu amalan ini sayugialah ditinggalkan dan tidak memberikan perhatian kepadanya seperti telah dinyatakan mengenai bid'ah-bid'ah musim perayaan yang dihubungkan kepada syarak padahal ia bukanlah dari ajaran Syarak.

Ya, berdoa' kepada Allah adalah dituntut pada semua masa dan pada semua tempat, tetapi bukanlah dengan cara yang diada-adakan, tetapi hendaklah mendekatkan diri dengan Allah dengan apa yang telah disyari'atkan, bukan dengan cara bid'ah.(Al-Ibda'.halaman 286 dan 287)

Pengarang kitab As-Sunanu wal-Mlubtada'at" berkata:
"Al-Imam Al-Fattani berkata di dalam kitab Tazkiratul-Maudhu'at: Di antara perkara-perkara baru yang diada-adakan (bid'ah) pada malam Nishfu Sya'ban ialah solat Al-Fiah iaitu seratus rakaat dengan bacaan surah Al-Ikhlas masing-masing sepuluh kali secara berjamaah. Mereka memberikan perhatian kepadanya lebih daripada kepada solat Jumaat dan solat-solat Hari Raya, padahal tiada warid hadith atau athar melainkan yang dha'if ataupun maudhu'. Janganlah hendaknya orang terpedaya kerana ia disebutkan oleh pengarang kitab Qutul-Qulub, kitab Al-Ihya' dan lain-lainnya, dan janganlah pula hendaknya or¬ang tertipu kerana ia disebutkan oleh Tafsir Ath-Tha'labi bahawa malam Nishfu Sya'ban adalah malam Lailatul-Qadr."

Pendapat-Pendapat Ulama

Kata Al-Imam Al-Hafiz al-'Iraqi: "Hadith mengenai solat Nishfu Sya'ban adalah batil dan Ibnul-Jauzi mentakhrijkannya dalam kitab Al- Maudhu'at".
"Solat enam rakaat pada malam Nishfu Sya'ban dengan niat tolak bala, minta panjang umur dan murah rezeki (kaya), membaca Yaasin dan doa' di antara solat itu tidak syak lagi bahawa ianya adalah satu bid'ah dalam agama dan berlawanan dengan Sunnah Sayyidul-Mursalin."

Kata Pensyarah kitab Al-Ihya':
"Solat ini terkenal dalam kitab-kitab golongan mutaakhkhirin dari syaikh-syaikh Sufi. Aku tidak melihat solat ini dan doa ini sandarannya dari Sunnah yang sahih, kecuali ianya adalah di antara amalan syaikh-syaikh sufi. Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah makruh berkumpul untuk menghayati satu malampun dari malam-malam yang disebutkan di masjid-masjid dan lain-lainnya."

"Mengenai cara menghayati malam Nishfu Sya'ban secara berjamaah ini maka An-Najmu Al-Ghaithi berkata: Bahawa ianya diingkari oleh kebanyakan ulama Hijaz di antaranya ialah 'Atha', Ibnu Abi Mulaikah, fuqaha' Madinah dan sahabat-sahabat Malik. Mereka berkata: Yang demikian itu adalah bid'ah dan tiada sabit mendirikan solat secara berjamaah ini daripada Nabi s.a.w dan tidak pula dari para sahabat r.a."

Kata Al-Imam An-Nawawi:
"Solat Rejab dan solat Sya'ban adalah dua perkara bid'ah yang mungkar lagi jelek".
Pengarang kitab As-Sunanu wal-Mubtada'at itu berkata lagi, Adapun doa:

اللهُم يَاذا الـمنِّ ولا يُمَنُّ عَليهِ ياذا الجلالِ والإكرام.

Maka kata pensyarah kitab Ihya' Ulumuddin" dia adalah doa yang tidak berasal dan tidak mempunyai san-darannya". Demikian pula kata pengararig kitab "Asnal-Mathalib". Dia hanyalah di antara susunan sebahagian ahli Ash-Shalah dari dirinya sendiri dan ada yang mengatakan bahawa ia dibuat oleh Al-Buni.
Dan mengenai iktiqad bahawa malam Nishfu Sya'ban itu adalah malam Lailatul-Qadr maka ia adalah batil. Pendapat ini disepakati oleh para muhaqiqin dan ulama hadith. Dia dipandang batil oleh Al-Imam Ibnu Kathir dalam kitab Tafsirnya.
Kata Al-Imam Ibnul-'Arabi dalam kitab Syarah At-Tirmizi:

"Sebahagian ahli Tafsir menyebutkan bahawa firman Allah: “Bahawa kami telah menurunkannya (Al-Quran)” ialah pada malam Nishfu Sya'ban. Pendapat ini adalah batil, kerana Allah tidak menurunkan Al-Quran pada bulan Sya'ban.

Allah hanya berfirman: "bahawa sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Malam Al-Qadr. Malam Al-Qadr itu ialah pada bulan Ramadhan.

Pendapat di atas adalah pendapat orang yang menyimpang dari kitab Allah, yang tidak peduli apa yang dikatakannya. Kami mengingatkan anda semua mengenainya kerana Allah berfirman pula:

Padanya (malam Al-Qadri) Kami jelaskan segala urusan yang penuh hikmah.
Segala perkara tersebut hanya ditetapkan oleh para Malaikat pada malam Al-Qadr yang berkat, bukan pada malam Nisfu Sya'ban”.( As-Sunanu wal-Mubtada'at, halaman 145-146.)

Kesimpulannya, amalan-amalan khusus yang dilakukan pada malam Nisfu Sya'ban dan pada keesokan harinya hanyalah didasarkan kepada hadith-hadil maudhu’ dan batil, dan kepercayaan bahawa malam Nisfu Sya’ban itu adalah malam Al-Qadr adalah kepercayaan yang boleh merosakkan iman kerana ia berlawanan dengan dalil-dalil yang qath'iy dari al-Quran dan al-Hadits dari Rasulullah s.a.w.

Sesungguhnya tiada sesiapapun (selain Nabi) yang berhak menentukan jenis-jenis amal, masanya dan kaifiatnya yang tertentu kecuali dengan tuntutan dari Allah dan Rasulnya. Mengada-ngadakan amalan-amalan yang tertentu tanpa dalil yang sah tiada lain melainkan membuat bid'ah yang samasekali tidak diterima oleh Allah, bahkan diancam dengan hukuman yang berat diakhirat.
Wallahu 'A'alam bish-Shawab.

Oleh Dr Abd Ghani Azmi

No comments:

Post a Comment