Siapa Hassan al-Saqqaf?
Hassan Ibn Ali al-Saqqaf berasal dari Jordan. Beliau mendakwa dari keturunan Khalifah Ali Ibn Abi Talib radhiyallahu'anhu dan cukup berbangga dengan pangkat itu seolah-olah ianya menjaminkan dirinya bersifat ma'sum dan sentiasa di atas kebenaran.
Beliau cuba menonjolkan diri bahawa beliau seorang ahli Sunnah yang bermazhab al-Imam al-Syafi`i. Dalam masa yang sama beliau selalu menghentam secara lisan para sahabah yang terlibat dalam peperangan menentang Khalifah Ali Ibn Abi Talib radhiyallahu'anhu.
Di negara-negara Timur Tengah, istilah "as-Saqqafiyyah" ini amat masyhur bagi merujuk kepada pemikiran rosak golongan yang merujuk kepada kitab-kitab dan tulisan-tulisan pengasasnya, Hassan al-Saqqaf.
Berikut kami akan paparkan dua contoh penyelewengan Hassan al-Saqqaf yang telah dikutip oleh Zamihan al-Ghari di dalam kitabnya.
1) Mencela Para Sahabat
Menurut Prof. Madya Abdul Fattah Haron Ibrahim, bekas pensyarah Universiti Kebangsann Malaysia (UKM), kitab "Kesahihan As-Salaf dan Al-Khalaf" adalah cetakan pertama kitab "Salafiyah Wahabiyah", lalu telah dihapuskan beberapa hal dalam cetakan selanjutnya.
Hassan al-Saqqaf lalu, dengan hadith ini, mengaitkan ‘peristiwa murtad’ yang berlaku pada Zaman Khalifah Abu Bakr As-Siddiq sebagai alasan dan bukti untuk menjustifikasikan bahawa sebahagian Sahabat telah murtad. Semoga Allah melindungi kami dari bersikap biadap terhadap para Sahabat.
Jika kita merujuk pada syarah Imam an-Nawawi rahimahullah mengenai hadith ini, beliau memaksudkan istilah "sahabat" sebagai berikut:
"Mereka yang dinisbahkan kepada persahabatan dengan Baginda shallallahu 'alayhi wasallam (dari kalangan Umat Baginda)" (Jilid 17, Halaman 125)
Beliau bermaksud: mereka yang dinisbahkan kepada persahabatan dengan Baginda shallallahu 'alayhi wasallam dalam konteks bahasanya dan bukannya dalam konteks istilah ulama.
Maksud sedemikian disokong oleh riwayat kedua yang juga di riwayatkan oleh Muslim selepas riwayat di atas dengan lafaz:
“Pada umatku terdapat 12 orang munafiq…”
Inilah antara kepentingan Ilmu Takhrij Hadith yang melibatkan pengumpulan riwayat kerana sebahagian riwayat itu boleh membantu kita memahami maksud sebahagian yang lain.
Besar kemungkinan as-Saqqaf memang tahu bahawa perkataan أصحابي tersebut bukan bermaksud Sahabat Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam mengikut istilah Ulama. Namun, lantaran kecenderungannya kepada pemikiran Syi'ah, beliau hanya ingin mengelirukan golongan yang bebal dan malas mengkaji.
Sayangnya, Zamihan al-Ghari sekadar memetik dari kata-kata as-Saqqaf tanpa merujuk kitab asal dan syarah para ulama Ahlussunnah terhadap hadith tersebut.
Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah berpesan:
“Jangan kamu mengecam Sahabat-sahabat ku! Jangan kamu mencela Sahabat-sahabat ku! Kerana demi (Allah) yang nyawaku di tanganNya, jika seseorang daripada kamu membelanjakan emas sebesar Bukit Uhud sekalipun nescaya tidak menyamai nilai secupak emas atau setengah cupak emas yang dibelanjakan oleh mereka” (Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
2) Menuduh Ibn Taymiyyah rahimahullah Ber-'Aqidah Sesat
Kebencian terhadap Sheikhul Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah amat terserlah di kalangan Syi'ah dan Sufi akibat tulisan-tulisan beliau yang membungkam firqah-firqah yang menyeleweng ini.
Perlu difahami kaedah Ahlussunnah dalam memahami Sifat-Sifat Allah, yakni tanpa tahrif, ta'thil, takyif dan tamstil.
Tahrif - tidak mengubah lafaz atau mengalih maksud Sifat-Sifat tersebut. Sifat Tangan Allah tidak diubah menjadi kekuasaan-Nya atau nikmat-Nya.
Ta’thil - tidak menolak atau menafikan atau mengalih (takwil) Sifat-sifat tersebut selagi ianya dikhabarkan oleh nas yang sahih.
Takyif - tidak bertanya atau menggambarkan bagaimana bentuk atau ciri-ciri atau tatacara Sifat-sifat tersebut, yakni tidak menjisimkannya.
Tamtsil - tidak menyerupa atau mengumpamakan Sifat-sifat tersebut dengan mana-mana makhluk yang ada di sekalian alam.
Cukuplah buat masa sekarang ini kami mengungkapkan penafian Ibn Taymiyyah sendiri terhadap tuduhan tersebut:
“Sesungguhnya (sesiapa yang) menjadikan sifat Allah seumpama sifat makhluk-makhluk, seperti berkata: “Istiwa’ Allah sebagaimana istiwa’ makhluk atau “Nuzul (Penurunan) Allah sebagai nuzul makhluk” dan apa-apa lain seperti itu, maka (orang itu) adalah seorang pembuat bid‘ah yang sesat. Kerana sesungguhnya al-Qur’an dan al-Sunnah bersama akal telah menunjukkan bahawa Allah tiadalah Dia seumpama makhluk-makhluk dalam apa jua bentuk atau cara sekalipun.” (Majmu' al-Fatawa, 5/262. )
Pandangan JAKIM Terhadap Hassan al-Saqqaf
Malah, lebih dari sekadar mengumumkan kecenderungan as-Saqqaf terhadap fahaman Syi'ah (sebagaimana dipaparkan di atas), kajian Cawangan Aqidah JAKIM ini juga telah mendedahkan hubungkait fahaman ekstremis al-Ahbash dengan golongan as-Saqqafiyyah.
Al-Ahbash adalah kumpulan sufi yang mengkafirkan ramai di kalangan ulama terdahulu dan juga ulama sekarang, termasuk Ibn Taymiyyah rahimahullah. Mereka telah difatwakan sesat oleh Mufti Mesir, Kajian Islam al-Azhar, Institut Kajian Ilmiah Arab Saudi dan Majlis Tertinggi Fatwa Amerika Selatan.
Golongan as-Saqqafiyyah juga telah dikecam oleh para ulama Jordan seperti Sheikh Syu'aib al-Arnauth dan Prof. Dr. Qahthan al-Duri al-Iraqi. Mereka berkomentar bahawa golongan as-Saqqafiyah akan menggalakkan budaya tuduh-menuduh dan membawa kepada kafir-mengkafir sesama umat Islam.
Rujukan:
"Isu Wahhabiyah: Menanganinya Secara Realiti"oleh Mohd Aizam Bin Mas'od, Cawangan Aqidah JAKIM
"Penyelewengan Pemikiran as-Saqqafiyyah" oleh Prof. Madya Abdul Fattah Haron Ibrahim
"Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiyah" oleh Hafiz Firdaus Abdullah
No comments:
Post a Comment